Monday, October 10, 2011

HEBAT SANGATKAH AHP MENENTANG HIV?


Ramai juga yang bertanya, adakah betul aku langsung tidak mempunyai gangguan kesihatan selepas menjadi pembawa HIV?

Kuat sangatkah sehingga seolah-olah tiada apa-apa masalah langsung?

Tidak takutkah cara kematian yang mengaibkan akibat AIDS suatu ketika nanti?

Macam-macam lagilah pertanyaaan sama ada yang terluah atau tinggal menjadi monolog dalam diri masing-masing.

Allahu Akbar! Sejujurnya aku sama sahaja seperti PLHIV atau pembawa HIV yang lain. Ada masalah dan kerisauan tersendiri. Cuma terpulanglah kepada individu bagaimana mahu menghadapi dan menafsirkan cabaran dalam kehidupan kita sebagai makhluk-Nya. 

Kalau aku mahu bercerita tentang masalah, 3 hari 3 malam pun belum tentu habis. Bacalah sendiri sedikit demi sedikit yang sebahagiannya aku kongsikan dalam entries yang lain. Hampir semuanya aku kongsi sama ada pada peringkat awal jangkitan dan masih tercari-cari kekuatan diri sehinggalah sekarang yang masih belajar dan terus belajar.

Soal basic, bagaimana aku dijangkiti HIV pun masih kabur. Jika diikutkan luka di hati, hanya tuhan yang tahu. Tekanan karier, majikan, urusan rawatan, alahan HAART, kesan jangka panjang rawatan HAART dan apa sahaja yang pembawa HIV lain rasakan itulah yang aku rasakan. Kerisauan, tanda tanya dan cabaran kesihatan sentiasa aku hadapi.

Stigma, judgmental, prejudis dan diskriminasi juga sangat-sangat menyiksa jika difikirkan. Tetapi fikir untuk apa? Siapa yang boleh tahu tentang hari besok kecuali berusaha, berdoa dan tawakkal. Usaha dan doa pula mestilah yang terbaik, barulah puas hati jika kalah sekalipun.

Semasa aku dikatakan mengidap macam-macam jenis kanser dan terlantar di wad hampir setahun yang lalu, seorang doktor pernah mengandaikan kononnya bahawa umurku sekitar 4-5 tahun sahaja lagi.

Apabila diberi peluang untuk menjalani kehidupan seperti biasa sekarang, aku nekad menghabiskan sisa-sisa hidupku sebaik mungkin dalam mencari keredhaan Allah dan berbakti sedaya mungkin. Ketakutan aku neutralkan menjadi sebagai satu harapan, anugerah dan cabaran.

Aku tidak ada masa melayan perasaan. Serius, betul-betul tidak ada masa. Aku tidak pandai hidup dengan mengandaikan macam-macam perkara yang di luar kawalanku. Soal remeh temeh aku ketepikan.

Aku hanya focus untuk cuba memenuhi segala peluang yang ada ini dengan warna-warna indah untuk dikongsi bersama keluarga, masyarakat dan rakan-rakan. Manalah tahu jika ianya diterima Allah sebagai sebahagian daripada amal jariahku. Jika diterima, syukur alhamdulillah…

Jangan ditanya segala masalahku. Tidak ada gunanya. Soal masa depan kita serahkan kepada Allah. Di sebalik segala ujian ini terkandung rahmat yang jauh melebihi cabaran. Jika aku sudah tidak terdaya nanti, terpulanglah kepada takdir yang menentukan.

Aku pegang kata-kata sahabatku As, takdir itu letaknya di hujung usaha. Aku tumpang semangat Luka Rafieqa dan rakan-rakan positif yang lain. Kekuatan dan inayah sebenar adalah anugerah Allah.  

Bahkan jika sembuh daripada HIV sebagai tukaran terhadap rahmat Allah dan hidup bermakna yang aku alami sekarang, biarlah aku hidup dengan HIV selama-lamanya. Aku redha…

Sesungguhnya ada perkara yang semakin dikejar menjadi semakin jauh. Ada perkara yang semakin kita lari, semakin menghampiri. Hidup ini milik Allah dan pinjaman belaka. Terlalu singkat untuk ditangisi.

Hadirku di sini hanya sekadar cuba membantu. Terpulanglah kepada pilihan masing-masing membuat pilihan terhadap jalan hidup yang bakal dilalui. Terpulang kepada anda memilih bahagia atau derita hidup sebagai pembawa HIV.

Aku bukanlah adiwira di sini. Tak perlu disanjung-sanjung kerana aku hanyalah insan biasa. Tidak perlu juga umpat keji dan kata-kata sinis, kelak menambah dosa. Tiada apa-apa yang mahu aku banggakan sebagai pembawa HIV.

Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita kembali.