Saturday, October 22, 2011

BERBINCANGLAH DENGAN DOKTOR ANDA SEBELUM MEMULAKAN RAWATAN

Kenapa doktor merupakan orang yang amat penting?
Adalah penting bagi anda mempunyai hubungan yang baik berdasarkan perasaan saling mempercayai dengan doktor anda kerana ia adalah hubungan yang akan berkekalan sepanjang hayat.

Anda mungkin mempunyai soalan berkaitan HIV, rawatan, kesan sampingan dan perubahan gaya hidup yang ingin dibincangkan dengan doktor anda.  Anda perlulah berasa selesa membincangkan semua ini dengan doktor anda.

Apa yang perlu saya bincangkan dengan doktor?
·    Bagaimana rawatan boleh mengubah hidup anda.
·    Bagaimana cara untuk bersedia dari segi mental, emosi dan fizikal kerana rawatan akan menjadi keutamaan dalam hidup anda.
·    Ia adalah satu komitmen sepanjang hidup.


Bagaimana jika saya tidak dapat memakan ubat pada masa yang ditetapkan?
Ia mungkin menyebabkan kegagalan kombinasi ubat anda yang pertama.  Dan ia mungkin menyebabkan usaha mengawal virus dengan kombinasi ubat yang lain sukar.

Berapa banyakkah kombinasi ubat yang boleh didapati?
Hanya ada beberapa jenis kombinasi sahaja.  Oleh itu, anda tidak mempunyai begitu banyak pilihan.  Jadi, adalah amat penting bagi anda untuk memastikan kombinasi pertama berkesan selama mungkin.

Adakah ubat tersebut membawa sebarang kesan sampingan?
Ya.  Semua ubat, walaupun yang paling asas, mempunyai kesan sampingan.

Adakah semua orang yang menjalani rawatan HAART mengalami kesan sampingan yang sama?
Tidak.  Ada yang tidak dan ada yang menghadapi kesan ringan serta ada yang teruk.  Oleh itu, kombinasi ubat yang pertama perlu diambil sebaik mungkin, supaya keberkesanannya boleh diketahui.  Berbincanglah dengan doktor anda mengenai kesan sampingan kombinasi ubat.  Ini akan membantu anda menentukan sama ada anda mampu menghadapinya atau tidak.

Bolehkah saya mengambil kombinasi yang sama seperti rakan saya?
Tidak boleh.  Apa yang mungkin berkesan untuk seseorang tidak semestinya berkesan untuk orang lain.

AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.