Rakan-rakan pembawa HIV dan pengunjung blog yang dikasihi.
Sesungguhnya, aku betul-betul kecewa dengan segelintir sikap para pengunjung terutama para pembawa HIV sendiri.
Nampaknya ramai para pengunjung baru yang tidak tahu bahawa blog ini milik peribadi aku untuk menentang virus HIV. Di sinilah medannya aku berjuang mencari kekuatan diri, mengumpul maklumat dan cuba membantu rakan-rakan senasib, berkongsi sokongan dan masalah. Ini mungkin antara amal baktiku yang terakhir.
Tanpa sedikit tapisan, sesiapa sahaja boleh meninggalkan komen dan jejak sekalipun secara peribadi aku tidak selesa dengan “anonymous” terutama tanpa sebarang pengenalan diri. Berdasarkan etika, mereka yang hanya bersembunyi sebalik nama “anonymous” boleh dianggap kurang integritinya.
Sesiapa sahaja boleh menjadi apa juga “anonymous” yang disukainya. Sekejap boleh menjadi Ultraman Taro, sekejap boleh jadi Labu Air ataupun menyamar sebagai “anonymous” lain sedia ada. Mereka bebas lempar batu sembunyi tangan.
Tak mengapa, aku masih bertolak ansur sekalipun bertentangan dengan prinsip aku dan asalkan niatnya ikhlas. Sama ada untuk membantu atau berkongsi masalah. Bersama menentang HIV secara tepat.
Kemudian atas pertolongan Allah, hadirlah beberapa insan berhati mulia yang terdiri daripada kalangan rakan komuniti. Tidak kurang insan-insan prihatin lain yang sudi menghulur tangan. Antaranya Doktor Pakar, M.O, bakal doktor dan insan-insan prihatin yang sebahagiannya tidak ada kena mengena langsung sebagai pembawa HIV!
Antara mereka yang sangat aktif ialah Luka Rafieqa (yang sangat berpengalaman sebagai sukarelawan) dan Anonymous One (bukan PLHIV) yang berlatar belakangkan pendidikan di bidang kesihatan.
Mereka cuba memberikan sokongan dan bantuan sebaik mungkin walaupun masing-masing sebenarnya terikat dengan pelbagai komitmen lain. Mereka juga mungkin mengalami nasib yang sama seperti kita, punya karier yang perlu diurus, berada di lapangan sasar membantu rakan-rakan senasib secara direct, punya komitmen terhadap keluarga, tekanan rawatan, penat, risau dan apa sahaja yang sengaja tidak mereka war-warkan.
Mereka bukan sekadar menjadi penerima tetapi insan-insan yang sanggup memberi melebihi kepentingan diri. Cuba bayangkan, alangkah sedihnya jika sesekali, dalam keadaan yang kepenatan dan tertekan, soalan-soalan yang keluar pula ada masanya terlalu personal, atau terlalu remeh dan enggan dicari sama ada di blog ini dan melalui sumber carian yang lain.
Sangat-sangat mencerminkan ketidakfahaman dan enggan berdikari. Sentiasa mahu disuap dan dibantu. Tenggelam dalam kejahilan tentang HIV/AIDS sehingga memenjarakan diri dan berada dalam ketakutan melulu.
Maka timbullah soalan begini: “virus berjangkit tak kalau kita kongsi bekas makanan dengan orang lain?” Sebahagiannya pula salam tidak, terima kasih pun tidak. Selepas dapat jawapan, ghaib begitu sahaja. Itu masih OK! Cuba bayangkan, tercapai sahaja hajat dihati, mulalah meluah perasaan, dihina dan disindirnya pula. Apa perumpamaanya untuk sikap begini? Masya-Allah! Sesungguhnya benarlah bahawa hanya Allah yang Maha Penyabar.
Dalam kebanyakan masa, sahabat-sahabat yang membantu sangat supportive dan lemah lembut. Adakah hanya dengan sesekali bersikap agak tegas akan menafikan segala kebaikan dan pertolongan mereka? Adakah dengan hanya segelintir pembaca yang lain yang bersikap kasar dan sering bertukar watak, yang bersembunyi watak di sebalik “anonymous”, anda tergamak begitu sinis mengungkit macam-macam petikan kata-kata positif di blog aku?
Pergilah ke mana-mana blog terkenal yang lain, bukan semua komen-komen akan dilayan. Sekurang-kurang blog picisan ini masih juga cuba membantu. Tetapi kalau tidak berpuas hati terhadap individu tertentu atau akibat diri sendiri yang terlalu naïf, janganlah sampai seolah-olah aku tiada harga diri dan pertimbangan.
Siapa yang sebenarnya stigma, prejudis, judgmental dan diskriminasi? Mungkin anda tidak sedar, anda telah menyerang aku secara peribadi. Jangan bersikap tidak masuk ajar. Kurang ajar masih boleh diajar!
Jika rasa ada medan lain yang lebih baik untuk memuaskan perasaan anda, persilakanlah. Di sini bukan medannya untuk manja-manja dan saling mengeji. Ada banyak lagi blog pembawa HIV yang lain. Kita tengok, anda akan dilayan dengan penuh manja atau tidak? Aku tidak rela blog aku dicemari dengan sikap jengkel begini.
Sekali lagi aku ulang, aku boleh tapis dan delete apa saja komen yang tidak aku senangi tetapi seboleh-bolehnya aku enggan menyusahkan mereka yang benar-benar perlukan sokongan dan berniat berkongsi atau menyokong. Blog ini Ini bukan kaunter pertanyaan dan langsung tiada imbuhan wang ringgit kecuali untuk mencari keredhaan Allah. Pasang nuffnang pun tidak kerana aku cuba menjaga keikhlasan.
Tidak perlu menjadi terlalu keanak-anakan dan tuduh menuduh. Jangan juga cuba jadi batu api. Fahami dulu konsep blog ini betul-betul. Jangan diungkit-ungkit kerana sebagai pemiliknya aku sangat terluka dengan cara anda.
Kita gagal membuktikan mampu berdikari dan matang. Pengunjung blog ini bukan sekadar terdiri daripada pembawa HIV sahaja tetapi terdiri daripada pelbagai latar belakang bidang professional. Aku malu dibuatnya. Pembawa HIV insan istimewa dan kuat. Bukannya meleleh tak tentu hala. Bimbang nanti dianggap, "Patutlah dapat HIV, batu api dan lembik sangat!"
Kali ini aku telah beri anda peluang meluahkan perasaan dan kekalkan komen anda di blog sebagai pengajaran bersama tetapi ingat, tiada peluang kedua untuk golongan yang bersikap memualkan.
Jangan kerana anda, orang lain menjadi mangsa. Jika blog ini terasa merimaskan, pergilah dengan ucapan semoga rahmat dan redha Allah untuk anda. Anda tidak dialu-alukan di sini.
Kepada rakan-rakan yang bersungguh-sungguh membantu, harapanku kita jangan jadi dua kali ganda lemah daripada mereka. Teruskan perjuangan dan jangan serik. Mana-mana keluhan yang boleh kita pertimbangkan, kita pertimbangkan. Kita perbaiki diri. Karenah dan mehnah dalam perjuangan perkara biasa.
Tanpa sahabat-sahabat, aku sangat-sangat kepenatan menguruskan blog ini, menjawab soalan-soalan yang terlalu simple, pernah dikongsikan dan berulang-ulang kali. Syukur alhamdulillah atas segala pertolongan ini dan semoga rahmat dan redha yang melimpah ruah untuk para sahabat.
Kalau perlu jawab, kita jawab. Tidak perlu, abaikan. Pandai-pandailah masing-masing berdikari. Kita bukan mencari gaduh dan untuk dimusuhi. Ramai lagi yang betul-betul memerlukan bantuan. Ramai yang berhati celik menghargai kalian.
Akhir kata, mohon maaf atas kata-kata yang sebenarnya memualkan diri sendiri dan tidak perlu ini. Bukan rajuk atau menagih simpati tetapi sebagai tanda protes, aku akan berehat daripada berblog buat seketika.