Tuesday, October 18, 2011

HIV: SELAMAT PENGANTIN BARU, SEMOGA BAHAGIA MEMBAWA KE SYURGA




Hari ini aku mendapat beberapa emel dan komen yang sangat positif daripada beberapa orang rakan dan pembaca blog. Salah satunya daripada pengunjung entry ini: PENDAPAT MEREKA JIKA MAHU BERKAHWIN DENGAN PEMBAWA HIV


Sebaik sahaja membacanya, tubuh diselubungi kepuasan dan gembira kerana dapat melihat sebuah ‘masjid’ lagi bakal terbina. Syukur alhamdulillah...

Dalam masa yang sama sebenarnya aku turut gementar yang teramat kerana aku tahu cabarannya bukanlah sedikit. Apa yang sangat mengkagumkan  ialah pembaca tersebut adalah seorang wanita yang bebas HIV. Hebatnya beliau.  

Bersamalah kita doakan kebahagiaan mereka kekal dan membawa ke syurga. Terdapat sedikit suntingan berbanding daripada komen asal untuk disesuaikan sebagai sebuah entry. Mari baca:

Salam,
Saya akan berkahwin dalam masa 2 bulan lagi. Segala persiapan telah dilakukan. Setelah mengambil ujian saringan HIV, tunang saya didapati positif HIV. Saya telah mengenali tunang saya selama 11 tahun dan saya telah nekad untuk menjadi isterinya.

Kini, saya bingung sama ada untuk meneruskan perkahwinan ataupun tidak. Keluarga saya belum mengetahui hal ini dan saya pasti jika mereka ketahui, mereka akan melarang perkahwinan ini. Saya berada di dalam dilema. Apakah yang harus saya lakukan?

Waalaikumussalam wrh wbk.
Sila rujuk entry ini:
http://akuhivpositif.blogspot.com/2011/10/isu-perkahwinan-pembawa-hiv.html

Ada beberapa lagi entry berkaitan. Moga dapat membantu,

Wallahu a'lam!


Salam AHP,
Terima Kasih atas maklum balas. Saya masih baru dan dalam keadaan terkejut selepas keputusan ujian saringan tunang saya. Sekarang, saya dan tunang saya sedang berusaha untuk mencari jalan penyelesaian.

Sejujurnya dan sepenuh hati, saya ingin mendirikan rumahtangga bersamanya. Apa yang saya khuatiri adalah penerimaan keluarga saya akan perkahwinan ini. Saya takut tidak direstui dan tidak dipersetujui oleh wali (ayah) saya.

Saya juga terfikir untuk merahsiakan perkara ini daripada keluarga. Apa pendapat AHP?

Waalaikumussalam,
Saya faham keadaan tersebut tetapi saya perlu memberikan pandangan tidak berdasarkan emosi.

Sejujurnya juga, dalam soal kes seperti saudari, apa yang paling penting ialah bakal suami mesti bersikap positif. Jika beliaupun menggelabah dan bersikap terlalu bergantung, keadaan tersebut tidak sesuai untuk meneruskan hasrat.

Kedua, saya berdepan 5 kes yang sama seperti saudari sepanjang bulan Oktober ini dan yang ironinya, semua memilih tarikh 11.11.2011 untuk berkahwin.
Daripada kelima-lima kes tersebut, 4 pasangan nampaknya bermasalah dan 1 pasangan tidak menghadapi masalah untuk meneruskan hasrat kerana:

Pasangan tersebut mampu menunjukkan sikap positif dan keluarga bersikap memahami serta memberi sokongan. (walaupun permulaannya turut keliru) Itulah namanya jodoh.

Mereka adalah golongan professional dan latar belakang keluarga yang sangat baik termasuk ada yang terlibat di bidang kesihatan. Maksudnya mereka tidak bersikap stigma, prejudis, diskriminasi dan judgmental.

Pasangan lelaki pula mampu menunjukkan kewibawaan serta kejujuran.

Suka atau tidak wali perlu dimaklumkan dan saya faham bahawa itulah masalah utamanya. Saya ada saya kongsikan prosedur tersebut dalam entries lain yang berkaitan dan kenapa ianya perlu dilakukan. Saudari dan tunang perlu menghadapinya.

Tetapi jika tetap mahu meneruskan hasrat tanpa memaklumkan kepada wali untuk mengelakkan masalah berbangkit dan kedua-dua pihak (pasangan) betul-betul faham tentang HIV serta bersedia menanggung risiko, pandai-pandailah saudari memikirkannya. Saya tidak boleh memberikan cadangan, bimbang disalah anggap.

Apa-apapun jangan diikut rasa hati. Usah membina rumah di tepi pantai jika takut dilambung ombak kemudian hari.

Hati mesti kuat!


Wallahu a'lam!

Assalamualaikum AHP,
Terima Kasih atas maklumbalas. Alhamdulillah, saya dan tunang saya telah tetapkan hati untuk meneruskan perkahwinan ini. Saya telah berbincang risiko-risiko yang perlu kami hadapi.

Apa yang saya lalui setakat ini, saya dapati lebih banyak manfaat yang kami perolehi daripada ujian ini berbanding kemudaratan itu sendiri. Saya dan tunang saya lebih mendekatkan diri pada Allah agar kuat menghadapi ujian yang mendatang.

Sebelum ini kami berdua alpa dengan nikmat yang mencurah-mencurah yang Allah berikan. Saya yakin, dengan izinNya saya akan berbahagia bersama tunang saya.

Saya telah pun menghubugi Pejabat Agama Islam. Info yang saya dapati, mereka tidak akan mendedahkan perkara ini pada keluarga mahupun wali. Ia terpulang pada pasangan itu sendiri sama ada untuk berkongsi bersama keluarga. Doktor yang merawat tunang saya juga memberitahu info yang sama.

Saya bercadang untuk merahsiakan perkara ini daripada keluarga dan meneruskan perkahwinan seperti yang dirancang. Ini kerana saudara sendiri tahu, bukan setiap individu dapat menerima dan sangat skeptical dalam hal ini.

Tetapi saya yakin pilihan saya tidak salah kerana setakat ini, jalan yang saya dan tunang saya lalui mudah dan lancar untuk meneruskan perkahwinan. Bahkan, doktor yang kami jumpa semasa sesi kaunseling juga memberi sokongan akan tindakan saya.

Insya-Allah, saya berdoa agar apa yang kami rancang akan terlaksana. Saya dan tunang saya berdoa agar kami terus kuat dalam menghadapi ujian yang mendatang. Saya yakin, ramai di luar sana yang senasib seperti kami juga akan lebih kuat untuk meneruskan kehidupan.

Terima Kasih Saudara AHP! Saya bersyukur kerana di saat saya memerlukan dan tercari-cari info dan pendapat, saya terlihat blog AHP. Teruskan perjuangan! Semoga blog saudara ini dapat membantu lebih ramai lagi insan2 yang lain :)

Waalaikumussalam wrh wbk.
Alhamdulillah dan semoga segala urusan berjalan lancar serta berbahagia membawa ke syurga. Sila dapatkan beberapa tips lain termasuk jika pasangan ingin mendapatkan zuriat di blog ini. Berhati-hati semasa melakukan hubungan intim dan pastikan sentiasa mendapat rawatan serta pemantauan doktor.

Tahniah daripada saya. Tak jemput kenduri ke? Hehehe…