Kali ni kita rehatkan minda kejap. Kita cerita pasal kahwin, nak tak? Oppss…!! apa pasal en. Fareez cepat sangat angkat tangan tanda setuju ni? En. Fareez tak berkenaan ya, hehehe…
Asalnya aku masih nak share cerita tentang ujian darah tetapi sengaja nak alih perhatian sekejap.
Bila bercakap soal perkahwinan, ramailah rakan-rakan pembawa HIV yang terkedu. Ada macam-macam kisah sedih seperti:
Ada yang dah nak kawin sangat. Semua dah sedia dan apabila buat ujian saringan, pertunangan atau majlis perkahwinan dibatalkan akibat HIV.
Ada yang dah berkahwin, bercerai berai akibat HIV.
Ada yang nak kahwin, terus phobia dan tak nak kahwin sampai ke sudah kerana HIV.
Macam-macamlah. Itu belum termasuk kisah bila dah bercerai, nak jumpa anak pun tak boleh sebabkan ada HIV.
Sebenarnya kalaulah masyarakat betul-betul faham tentang HIV, tak ada masalahpun nak berkahwin dengan pembawa HIV. Jauh sekali sampai ke tahap bercerai berai dan tak boleh jumpa anak.
Inilah akibat stigma, diskriminasi, prejudis dan judgmental. Tak faham betul-betul tentang HIV tetapi memandai-mandai buat andaian. Sibuk menjatuhkan hukuman sebelum diadili.
Ada yang kononnya faham tetapi katanya tunggu rawatan HAART dulu barulah boleh berkahwin sebab dengan HAART, virus dapat dilemahkan. Patutnya bersyukurlah belum perlu sampai ke tahap rawatan HAART.
Ada yang nak kahwin tapi alasannya takut tak boleh ada zuriat. Sebenarnya ada cara dan kaedahnya.
Nak salahkan masyarakat atau pasangan 100% pun tak boleh juga. Pembawa HIV sendiri pun ramai yang bersikap begitu. Sepatutnya pembawa HIV sendirilah yang perlu ke depan, berikan penerangan dan berjuang.
Orang yang rasa dirinya sehat, memanglah…
Mereka kata faham dan simpati tetapi hakikatnya apabila berdepan dengan situasi sebenar, pendirian akan goyang dan sibuk menjaga kepentingan masing-masing. Sibuk nak lari. Mereka berhak memilih, biarkan.
Kalau kita tahan, dikeluarkan segala ayat Al-Qur’an dan Hadis yang dirujuk mengikut tafsiran akalnya. Seolah-olah pembawa HIV ni bukan makhluk tuhan. Malas nak bertekak, terpulanglah.
Ada ke patut, minum air dengan kita pun takut-takut sedangkan setiap hari tanpa sedar berkongsi sudu garfu dengan pembawa HIV di restoran atau gerai-gerai makan. Kita terbersin je, sibuk nak melompat, hahaha…
Lain kali bawa sudu garfu sendiri dari rumah…Kadang-kadang aku pun bosan juga. Seolah-olah ujian Allah ni kejam sangat. Seolah-olah pembawa HIV ni hina sangat.
Selain berhak memilih, mereka punya beribu alasan untuk melepaskan diri. Apa dirayu pada yang tak sudi. Hanya kasih sayang Allah kekal abadi.
Kalau ditanya secara peribadi kepada aku, adakah pembawa HIV layak berkahwin?
Aku dengan yakin katakan, jika pembawa HIV tersebut betul-betul bersikap positif, memahami HIV, bertaubat dan belajar daripada kesilapan (jika terinfeksi akibat kekhilafan lampau), mendapatkan rawatan daripada pihak professional dan punya kerjaya maka berkahwinlah.
Tak ada apa-apa masalahpun kecuali beberapa perkara asas yang perlu dijaga. Sama seperti pengidap penyakit-penyakit tertentu yang kadang kala jauh lebih bahaya.
TETAPI JIKA…
Pembawa HIV tersebut bersikap negative, kekal mengamalkan bad habits, enggan mendapatkan rawatan secara professional, tiada kerjaya dan asyik minta dibantu dan ditaja, tinggalkan sahaja. Tak perlu ragu-ragu jika masih enggan berubah.
Apa-apapun rakan-rakan pembawa HIV, kita sukar mengubah persepsi negative masyarakat selagi kita sendiri tidak mengubah pendirian dan kehidupan kita. Dalam beberapa keadaan, hanya sesama pembawa HIV lebih memahami perasaan pembawa HIV.
Kalau orang dah tak sudi dan jijik kepada kita, tak payahlah ditangisi. Membazir air mata dan doakan sahaja kebahagian mereka.
Oleh itu, jika masih ada naluri dan keinginan untuk berumahtangga dan anda layak, lebih baik memikirkan, mencari dan membela sesama rakan senasib. Ramai yang masih keseorangan, kesepian dan memerlukan seperti anda di luar sana.
Jika anda betul-betul jujur, sila hubungi aku di alamat blog supaya sahabat aku Luka Rafieqa dapat aturkan silaturrahim. Manalah tahu ada jodoh yang Allah tentukan.
Hanya yang betul-betul jujur sahaja akan dilayan. Kita cuba aturkan yang terbaik supaya mendapat keberkatan dan redha Allah s.w.t Insya-Allah…
p/s- Fieqa, saya pun sebenarnya kepingin tapi tak mampu, huhu…