Friday, October 28, 2011

PERKARA-PERKARA YANG PEMBAWA HIV PERLU FAHAM BERKAITAN KEPENTINGAN PENJAGAAN MULUT DAN GIGI



Apakah itu plak gigi / kekaratan?
Plak gigi adalah bahan melekat yang mula terbentuk pada permukaan gigi kita.  Ia biasanya disebabkan oleh makanan bergula yang boleh menyebabkan kerosakan gigi (Karies).

Bakteria plak yang berlainan menyebabkan penyakit gusi (Gingivitis dan Periodontitis).  Plak hendaklah ditanggalkan dengan cara memflos dan memberus.

Apakah jenis-jenis jangkitan yang perlu saya beri perhatian?
·        Karies (Kerosakan Gigi)
·        Gingivitis HIV (Jangkitan Gusi Berdarah dan Bernanah)
·        Jangkitan Kendida (Jangkitan Keputihan Dalam Mulut)
·        Hairy Leokoplakia Mulut
·        HPV – Ketuat Mulut
·        Ulser
·        Sarkoma Karposi

Karies (Kerosakan Gigi)
Air liur bertindak sebagai pembersih yang mampu menghindarkan bakteria semasa mulut sedang berfungsi seperti sewaktu sedang makan dan bercakap.  Memakan ubat anti HIV boleh mengurangkan pengaliran air liur dan boleh menyebabkan peningkatan jumlah bakteria yang akhirnya akan menyebabkan kerosakan gigi.

Kekalkan kandungan air dalam badan anda dengan meminum air secara kerap sepanjang hari.  Gula-gula getah juga boleh membantu meningkatkan pengaliran air liur.  Anda perlu mengambil langkah penjagaan yang lebih untuk mengekalkan kebersihan gigi dan mulut anda (memberus dan berkumur).

Gingivitis (Jangkitan Gusi Berdarah dan Bernanah)
Gingivitis HIV adalah penyakit gusi yang teruk.  Ia menyakitkan, mengeluarkan darah, dan akan bertambah teruk jika tidak dirawat.  Ia boleh menyebabkan kehilangan gigi.

Sistem daya tahan badan yang lemah menjadikan anda lebih cenderung kepada masalah ini.  Jika anda disahkan mempunyai Gingivitis HIV, anda perlu berjumpa doktor gigi dengan kerap.

Jangkitan Kendida (Jangkitan Keputihan Dalam Mulut / Oral Thrush)
Kulat di dalam mulut biasanya dikawal oleh sistem daya tahan badan dan bakteria baik di dalam badan anda.  Apabila sistem daya tahan badan lemah, ia boleh mengakibatkan satu keadaan dipanggil Jangkitan Kendida Mulut (Oral Thrush).

Tanda-tandanya adalah tompok-tompok putih dan merah yang menyakitkan di atas lidah, gusi, dan sebelah dalam pipi.  Jangkitan Kendida boleh dikawal dengan ubat.  Sebagai pilihan lain, anda boleh menggunakan bawang putih dan bunga cengkih kerana ia mempunyai bahan untuk melawan jangkitan kendida.

HPV (Virus Papiloma Manusia) – Ketuat Mulut
Beberapa jenis HPV boleh menyebabkan ketuat di dalam mulut atau bibir terutamanya mereka yang mempunyai jumlah sel CD4 sebanyak 200 atau kurang.  Ia hanya berasa sakit apabila berada pada gusi.  Dalam kes-kes tertentu HPV boleh mengakibatkan kanser.

Simptom-simptom
Kelihatan seperti ketumbuhan ketuat yang banyak di merata bahagian mulut atau pada satu bahagian tertentu.  Ia mungkin berbentuk leper atau seperti bunga kobis.

Rawatan
Pembedahan laser, tetapi ia mungkin boleh menyebabkan virus tersebut merebak ke bahagian lain dalam mulut.  Pilihan yang lebih baik mungkin dengan membuangnya melalui pembedahan biasa.  Walau bagaimanapun, perlu diingatkan, kadar penyakit ini berulang semula adalah tinggi.

Ulser
Ulser boleh terjadi di dalam tisu lembut mulut dan tekak serta boleh menyebabkan kesakitan.  Ia selalunya menyebabkan proses semasa makan menjadi sukar.  Tekanan / stress boleh menjadi penyebab utama.  Doktor gigi anda boleh memberi ubat untuk mengurangkan kesakitan.

Hairy Leokoplakia Mulut / Cendawan Dalam Mulut
Ia adalah jangkitan virus yang muncul di sebelah dalam pipi, di bawah, dan di tepi lidah.

Simptom-simptom
Tompok-tompok putih memanjang yang kelihatan berlipat atau berkedut dan kelihatan seperti rambut mungkin seperti jangkitan Kendida.  Ia boleh menjadi lebih teruk dan meliputi keseluruhan permukaan atas dan tepi lidah.  Dalam kebanyakan kes, ia tidak menyakitkan.

Rawatan
Tidak perlu dirawat melainkan jangkitan tahap kedua berlaku di atas tompok-tompok putih.  Ia boleh dirawati jika berlaku ketidakselesaan atau munculnya kudis.

Karposi Sarkoma
Mulut adalah bahagian biasa dijangkiti Karposi Sarkoma.

Simptom-simptom
Kudis yang menyakitkan berwarna ungu.  Ia berbentuk rata atau berbonjol.  Lama-kelamaan ia akan menjadi lebih gelap, berbentuk ulser dan dalam dalam kes-kes tertentu boleh dijangkiti dengan jangkitan Kendida.

Rawatan
Kemoterapi atau radiasi.


AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.