Sunday, October 09, 2011

‘KITA SUDAH TIADA MASA’


KUALA LUMPUR: Penularan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) di negara ini sudah mencapai tahap pandemik dengan semua penduduk Malaysia berisiko terdedah kepadanya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Menurutnya, terdapat empat faktor utama mendorong masyarakat pelbagai peringkat umur menghidap penyakit itu, antaranya aspek pemakanan, gaya hidup, merokok dan mengambil alkohol.

“NCD seperti penyakit jantung, angin ahmar, diabetes dan kanser boleh dihidap semua orang dan dua pertiga daripada kadar kematian penduduk dunia disebabkan penyakit ini.

“Kita sudah tidak ada masa lagi, khususnya apabila Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara mempunyai kadar penghidap diabetes paling tinggi dan (kedudukan) keenam di Asia.

“Pada Mesyuarat Peringkat Tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Mengenai NCD di New York, Amerika Syarikat, baru-baru ini, turut dinyatakan ramalan berlaku peningkatan ketara sehingga 17 peratus penghidap NCD menjelang 2025.

“NCD sudah jadi pandemik sekarang. Semua pihak kena bersama kerajaan membantu mengurangkan kadar penghidap penyakit membawa maut ini sehingga 15 peratus...tidak boleh tidak,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Injap Jantung Ke-2, di sini, semalam.

Persidangan anjuran Institut Jantung Negara (IJN) itu berlangsung sehingga esok disertai 400 peserta termasuk dari luar negara yang membincangkan pelbagai isu termasuk teknologi terbaru dalam pembedahan jantung dan injap jantung.

IJN turut memperkenalkan beberapa prosedur baru dalam pembedahan kardiothorasik yang ditunjukkan secara langsung dari bilik pembedahan IJN kepada semua peserta.

Mengulas lebih lanjut, Liow mahu semua pihak bersatu menghadapi NCD seperti ketika negara berdepan pandemik Influenza A (H1N1) yang pernah mencatat tahap bahaya dan mengakibatkan banyak kematian.

Ketika H1N1, semua rakyat bersatu, media membantu dan masyarakat sedar pentingnya mereka menjaga kebersihan serta lain-lain pencegahan sewajarnya. Kali ini, kita mahu sokongan sama untuk hadapi pandemik NCD.

“Jawatankuasa Kabinet yang ditubuhkan April lalu dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan SrMuhyiddin Yassin dan membabitkan 10 kementerian akan berusaha keras menyediakan program kesedaran mengikut empat faktor utama terbabit,” katanya.

Sementara itu, beliau mengumumkan tempoh perkhidmatan wajib ahli farmasi dengan kerajaan kini dipendekkan kepada setahun, berbanding tiga tahun sebelum ini bagi membolehkan industri farmaseutikal diperkukuhkan.

Katanya, keputusan dicapai Kabinet awal bulan lalu itu berkuat kuasa serta-merta dengan ahli farmasi tidak perlu menjalani latihan setahun dan berkhidmat wajib dengan kerajaan bagi tempoh tiga tahun, sebalik masing-masing setahun sudah mencukupi.


AHP: HIV digambarkan cukup bahaya dan menyebabkan begitu ramai kematian. Memang semua makhluk akan mati. Cuba bandingkan peratus kadar kematian akibat penyakit diabetes, jantung dan darah tinggi berbanding HIV. Akhirnya kita sedar bahawa semua ini tidak lebih daripada stigma, judgmental, prejudis dan diskriminasi.

Bagaimana pula jika pembawa HIV tersebut mempunyai masalah diabetes? Aku lah tu. Hehehe…

Tahukah anda bahawa virus (HIV) hanya mampu bertahan beberapa saat sahaja jika terdedah di atmosphere? Ia cuma banyak terdapat di dalam darah, cecair faraj dan air mani. JANGAN KELIRU: Ianya tidak berada di dalam sperma pembawa HIV.