Saturday, October 15, 2011

NOSTALGIA 70an SEORANG PEMBAWA HIV TUA



Cerita semalam kita tinggalkan. Jangan suka fikirkan perkara remeh temeh dan melayan perasaan. Salah dan silap aku maafkan dan tiada simpan di hati.

Hari ini kita lupakan sementara kisah HIV. Penat. Kali ni aku nak share cerita pasal makan-makan. Hah, makan? Mestilah sebab dulu-dulu aku sebenarnya kaki makan. Kebetulan pula malam ni ada jemputan annual dinner di sebuah hotel berdekatan.

Ada yang suka kalau dapat jemputan makan-makan di hotel. Ada yang tak suka. Aku pula boleh dikategorikan tak suka. Pergi sekadar melunaskan formality.

Kenapa?

Sebabnya masakan isteri-isteriku jauh lebih sedap walaupun sekadar ulam timun cecah sambal belimbing rebus atau ikan pekasam goreng. Makan dengan keluarga lagi best. Aku cepat rimas dengan formality. Aku suka santai dan privacy.

Tambahan lagi makan-makan di hotel rasanya standard. Standard antarabangsa. Kalau masakan Melayu, masak lemaknya yang tak berapa nak lemak. Kalau asam pedas, asam pedas yang tak berapa nak pedas. Ala-ala sesuai untuk semua kaum dan golongan agaknya.  

Yang aku suka sikit bila sesekali dapat mencuba masakan jarang jumpa. Masakan yang entah dari negara mana. Contohnya ada kambing panggang ala arab. Masakan dari negara China. Pelik-pelik belaka namanya.

Itupun belum tentu sesuai dengan lidah tuaku yang kematu. Makan banyak-banyak pun tak boleh. Diabetes kena kawal. Air ada macam-macam jenis, yang aku minum hanya air suam. Paling best pun sekadar tengok waitress nya yang comei-comei, hehehe… (Relaks la, gurau-gurau aje, isteri-isteri dan anak-anak aku pun baca blog ni. Dah faham sangat pe’el kuat bergurau aku ni)

Teringat aku zaman paling best makan-makan suatu ketika dulu. Awal 70an. Zaman kanak-kanak.

Kampung jauh terpencil di hulu negeri. Satu-satunya pengangkutan awam dan penghubung dengan dunia luar hanyalah keretapi. Eleterik tak ada, air paip tak ada, jalan tanah merah dan berlopak. Internet, siaran TV dan astro? Biar betul dik…

Siaran TV cuma beberapa jam sehari, itu pun rumah orang-orang kaya sahaja yang ada. TV hitam putih, TV pakai tenaga bateri kereta atau generator. Kena pasang arial tinggi-tinggi, siap letak tudung periuk besar untuk dapatkan siaran. Nak tumpang tengok cerita Melayu malam sabtu kena bayar 20 sen. Duit minyak generator katanya.

Tetapi banyak indahnya di sana….

Lopak, pokok kundang, sungai, sawah dan huma medan permainan. Lumpur selut perkara biasa. Libasan rotan, buat selamba. Berjalan kaki menoreh getah sehingga berbelas kilometer di musim cuti sekolah adalah rutin. Bekalnya cukup sekadar ikan paya goreng bersama sambal bilis atau tempoyak. Macam-macam ulam boleh dipetik di kebun getah. Pokok jering dan kerdas turut ditanam berhampiran kebun.

Kalau lapar semasa berjalan, bawa sahaja bekal petai rebus, jambu padang, kundang muda bersama garam dan jeruk perah di dalam poket. Kunyah saja bila teringin. Itu pengganti jajan. Kalau terlupa tak ada masalah. Tiada sesiapa yang marah mengutip buah rambutan atau mempelam muda, buah salak dan buah kelubi yang terdapat hampir di mana sahaja. Dahaga, teguk sahaja air telaga atau sungai yang ‘manis’ dan segar rasanya.

Menebas kebun, peluh yang boleh diperah, kaki ayam, bau harimau, kesejukan embun, atap rumbia, dinding kulit kayu, lantai buluh, rakit, dengusan babi, tahi gajah, pacat dan lintah yang cuba memasuki punggung yang telanjang bulat ketika mandi sawah lumrah harian.

Berhenti kerja cuma waktu solat dan menjelang maghrib. Malam tidur lena di bawah sinar rembulan dan ditemani bunyian alam. Paling menarik, haaa… mestilah ketika makan!

Tanaman kontan sekeliling rumah. Kacang tanah, keledek, jagung, lada, labu, kacang bendi, terung, rambutan, nanas, mentimun dan macam-macam lagi menunggu giliran untuk mengeluarkan hasil. Pokok kelapa, ayam dan itik semua ada.

Daging pula makanan mewah. Cuma makan di musim perayaan atau jika allahyarham ayah sesekali pasang perangkap kancil, landak dan memburu rusa. 

Boleh bayangkan nikmatnya makan nasi hasil padi tanam sendiri dan mandi di sungai yang jernih, udara yang bersih? Boring masak lemah pucuk ubi, boleh buat petola tumis air. Jemu petola tumis air, masak lemak kuning terung pedas. Nak ikan, tangguk atau lukah saja di sungai atau sawah.

Jemu lagi, sembelih sahaja ayam atau itik. Telor sampai busuk di sangkar. Buah-buahan muda tak menang tangan nak dijeruk. Tempoyak setempayan, petai rebus setempayan dan padi sekepuk. Semuanya fresh dan tiada racun. Badan pula sentiasa menggunakan kudrat. Umur muda dan berehat pula di pondok menunggu padi di tengah sawah yang dihembus angin sepoi-sepoi bahasa.

Muak dan tak habis makan, mak suruh aku jual segala hasil di stesen keretapi. “Jagung rebus, kacang rebus, mempelam jeruk, rambutan, kundang…!” Jeritku mengikut musim atau hasil tuaian. Awek sebaya dalam keretapi yang sedang berhenti langsung tak pandang aku!

Subhanallah, semuanya umpama syurga. Tambahan lagi tiada bil eletrik, tiada hutang dan tiada HIV. Hahaha… itu sahajalah cerita aku.

Boring ke? Mmmph..., maaf ya.  Sengaja nak share! Kesusahan lampau itulah antara yang memberikan aku kekuatan menghadapi segala ujian-Mu ya Allah! Syukur Alhamdulillah!