Thursday, October 27, 2011

KEPENTINGAN MENJAGA KEBERSIHAN MULUT DAN GIGI KEPADA PEMBAWA HIV


Mulut dan gigi merupakan bahagian badan yang cenderung untuk mendapat jangkitan apabila anda HIV-positif.  Ia disebabkan oleh sistem daya tahan badan anda yang lemah.  ini bermakna anda mungkin memerlukan penjagaan dan rawatan yang lebih kerap.  Selain itu, tanda-tanda awal perkembangan HIV boleh dikesan di dalam mulut.  Sebagaimana yang kita sedia maklum, mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

Orang biasanya beranggapan bahawa penjagaan mulut dan gigi yang sempurna adalah suatu kemewahan.  Mulut yang sihat adalah penting untuk mengunyah dan menelan makanan.  Ia adalah penting untuk mengekalkan penampilan dan keyakinan diri anda.

Anda akan menemui soalan-soalan yang biasa ditanya berhubung penjagaan mulut dan gigi di dalam bahagian ini yang mungkin boleh membantu anda memahami kepentingan penjagaan mulut dan gigi bagi mereka yang HIV-positif.


Berapa kerapkah saya perlu berjumpa doktor gigi?
Sekurang-kurangnya 3 – 6 bulan sekali.  Lebih kerap jika anda menghidap kudis dalam mulut.

Saya tidak mampu untuk mendapatkan perkhidmatan penjagaan gigi swasta.  Apa yang patut saya lakukan?
Terdapat klinik gigi kerajaan di kebanyakan Bandar.  Kosnya adalah murah.  Anda boleh membuat pertanyaan di klinik-klinik tersebut berkaitan kos yang dikenakan.

Bilakah saya patut pergi berjumpa pakar gigi?
Anda mungkin perlu berjumpa dengan pakar gigi untuk masalah mulut dan gigi yang rumit.  Anda memerlukan surat rujukan daripada mana-mana doktor untuk berjumpa dengan pakar gigi kerajaan.

Perlukah saya membayar untuk berjumpa dengan pakar gigi kerajaan?
Ya, tetapi caj / yuran yang dikenakah adalah murah.




Perlukah saya memaklumkan kepada doktor gigi berkenaan status HIV saya?
Ia adalah keputusan peribadi anda sama ada hendak memaklumkan status anda atau tidak.  Walau bagaimanapun, memaklumkan kepada doktor gigi berhubung status HIV anda akan membantu beliau mengendali dan memantau dengan lebih baik kesihatan gigi anda.  Semua doktor gigi bertauliah dikehendaki mengambil langkah berjaga-jaga berhubung kawalan jangkitan yang boleh mengelakkan jangkitan HIV atau penyakit berjangkit melalui darah kepada kakitangan pergigian dan pesakit-pesakit lain.

Adakah sebarang perkara yang perlu saya pertimbangkan sebelum saya memutuskan untuk berjumpa doktor gigi?
Berikut adalah beberapa panduan yang boleh anda ikuti:
·    Pilihlah doktor gigi yang boleh dibawa berbincang, mampu menenangkan, dan membuat anda berasa selesa.
·    Pilihlah doktor gigi yang memahami keadaan anda dan yang sedar berhubung kesan AIDS terhadap kesihatan mulut dan pergigian.
·    Pilihlah doktor gigi yang mempunyai pengalaman merawat pesakit HIV.
·    Pilihlah doktor gigi yang mengambil langkah berjaga-jaga berhubung kawalan jangkitan untuk mengelakkan jangkitan HIV kepada orang lain dengan menggunakan:
o   Alatan perlindungan seperti sarung tangan getah, topeng perubatan, pelindung muka, dan lain-lain.
o   Membersihkan semua peralatan selepas digunakan.
·    Pilihlah klinik di mana semua kakitangannya boleh membuatkan anda berasa selesa.


AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.