Friday, October 21, 2011

‘MESTI ADA BUKTI SEBELUM ARAH TUTUP’- SPA IKAN ATAU STIGMA?


Kementerian Kesihatan perlu teliti secara menyeluruh risiko terapi spa ikan

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan diminta membuat kajian teliti dan menyeluruh berhubung risiko terapi spa ikan yang dikatakan boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya, termasuk Hepatitis C, HIV/AIDS dan tibi serta penyakit bawaan air sebelum mengeluarkan arahan premis perniagaan berkenaan ditutup.

Seorang pakar parasitologi, Prof Dr Mohamed Adel Mohamed Abdel Rahim Elkadi, berkata ini kerana kajian oleh Agensi Penjagaan Kesihatan (HPA) United Kingdom yang mendakwa kaedah rawatan alternatif itu boleh menjadi punca penyebaran penyakit berbahaya belum dibuktikan kesahihannya.

Koordinator Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu juga berkata virus HIV/AIDS hanya boleh tersebar menerusi jangkitan darah dan bendalir dalam badan saja.

“Saya tidak rasa ikan yang digunakan untuk terapi itu boleh menjadi punca jangkitan AIDS/HIV kerana ikan berkenaan tidak bertindak secara langsung dengan perdarahan. Begitu juga penyakit tibi yang merebak melalui titisan.

“Selain itu, tidak mungkin berlaku pemindahan darah daripada seseorang kepada seseorang yang lain seperti jarum suntikan kerana ikan bukan haiwan penghisap darah,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Dr. Mohamed Adel berkata, selain itu banyak kaedah boleh digunakan oleh pengusaha rawatan spa ikan di negara ini untuk menjamin keselamatan dan kesihatan perkhidmatan itu seperti menggunakan kaedah pensterilan dan penapisan air yang dimasukkan ke dalam kolam ikan.

“Antara kaedah pensterilan popular yang biasa digunakan adalah pensterilan ozon dan sinar ultra lembayung (UV). Kaedah pensterilan adalah cara terbaik membasmi kuman dan bakteria yang mungkin ada dalam kolam dan seterusnya melindungi pengguna. Jika semua langkah penjagaan ini diikuti sebaik mungkin, saya fikir ia selamat digunakan dan tiada risiko kesihatan yang akan timbul,” katanya.


Semalam, akhbar ini melaporkan Kementerian Kesihatan memberi amaran risiko terapi ikan kerana boleh menyebarkan pelbagai penyakit berbahaya.

Malah, Pakar Dermatologi Hospital An-Nur, Dr Saadiah Sulaiman bersetuju ikan berkenaan boleh menyebarkan virus dan seterusnya menyebabkan kemungkinan berlaku jangkitan penyakit kepada pengguna.

Beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada sudah mengharamkan perkhidmatan itu bagi membendung penularan penyakit berbahaya di kalangan rakyat dan penggemar rawatan alternatif itu.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, menasihatkan pengguna supaya tidak lagi mendapatkan rawatan berkenaan jika dakwaan itu betul dan sahih.


Source:
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kajisebelumarahtutuppremis/Article

AHP:

Mari fikir betul-betul kesan kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan ini terhadap para PLHIV:

1.   Bukankah ianya akan mendatangkan kesan yang sangat buruk terhadap usaha penyebaran langkah mencegah HIV secara tepat yang semua pihak perjuangkan selama ini?
2.   Bukankah ianya menyuburkan stigma, diskriminasi dan judgmental di kalangan masyarakat terhadap PLHIV?
3.   Cuba review kembali bagaimana jangkitan boleh berlaku. Darah, air mani dan cecair faraj kan? Virus pula sangat lemah dan akan mati serta merta apabila terdedah ke athmosphere.
4.   Tertanya-tanya: kenapalah Ketua Pengarah Kesihatan sendiri yang menjadi agen penyebar kekeliruan itu? Takkan KP KKM sendiri tak clear!