Wednesday, October 05, 2011

PANDUAN UJIAN SARINGAN HIV UNTUK BAKAL PENGANTIN


BORANG UJIAN SARINGAN HIV

Bakal pengantin boleh mendapatkan borang ujian saringan HIV di Jabatan Agama Islam berhampiran anda.

Bayaran RM10 dikenakan bagi setiap permohonan Ujian Saringan HIV. (Bayaran adalah berbeza mengikut negeri)

Borang Ujian Saringan HIV hendaklan dilengkapkan dan dibawa ke Klinik Kesihatan yang telah disenaraikan bagi menjalani Ujian HIV 1 & 2.

UJIAN SARINGAN HIV DI KLINIK KESIHATAN KERAJAAN

Bakal pengantin hendaklah hadir ke klinik kesihatan yang disenaraikan dengan membawa Borang Ujian Saringan beserta resit.

Sekiranya keputusan ujian TIDAK AKTIF, bakal pengantin boleh
meneruskan proses permohonan berkahwin.

Sekiranya keputusan adalah AKTIF, pemohon perlu menjalani ujian lanjut  bagi pengesahan HIV. Keputusan ujian dikeluarkan dalam masa 2 minggu.

Pegawai perubatan akan mencatat keputusan dalam borang dan
dimasukkan dalam sampul surat SULIT untuk diserahkan kepada bakal
pengantin.

Setiap kes HIV POSITIF, perlu dirujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga atau Klinik Penyakit Berjangkit.

Keputusan tersebut sah laku dalam tempoh 6 bulan dari tarikh ujian
dijalankan.

ALIRAN UJIAN SARINGAN HIV PERKAHWINAN DI KLINIK KERAJAAN

Dapatkan borang ujian HIV dari Jabatan Agama

Serahkan borang di kaunter pendaftaran klinik

Kaunseling Pra-Ujian

Jalani ujian pantas HIV (Rapid Test)

Rujuk pegawai perubatan untuk dapatkan keputusan

Sesi kaunseling Pasca ujian

TINDAKAN SELEPAS MENDAPAT KEPUTUSAN

Jika negatif:

Proses permohonan kebenaran berkahwin

Kahwin.

Jika positif:

Darah diambil untuk tujuan pengesahan HIV

Jika masih positif, kes dirujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga/ Klinik Penyakit Berjangkit.

Pilihan untuk meneruskan perkahwinan atau tidak.

PERMOHONAN KEBENARAN BERKAHWIN DI JABATAN AGAMA ISLAM.

Permohonan Kebenaran Berkahwin yang telah mendapat pengesahan dari Penolong   Pendaftar hendaklah dihantar semula ke Jabatan Agama Islam di tempat masing-masing bersama dengan keputusan Ujian Saringan HIV yang telah disahkan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan.

Sekiranya keputusan ujian adalah NEGATIF, proses permohonan kebenaran berkahwin akan diteruskan.

Sekiranya keputusan HIV adalah POSITIF, maka:

Pemohon perlu menjalani sesi khidmat nasihat di Jabatan Agama sebelum meneruskan permohonan kebenaran berkahwin.

Pemohon, pasangan dan keluarga akan diberi pendedahan tentang implikasi HIV.

Pemohon dan pasangan akan diminta membuat keputusan sama ada mahu   meneruskan perkahwinan atau sebaliknya.

Sekiranya pemohon dan pasangan membuat keputusan untuk meneruskan perkahwinan, maka permohonan kebenaran berkahwin akan diproses.

Pemohon dan pasangan perlu merujuk kepada Pakar Perubatan Keluarga dan Klinik Penyakit Berjangkit untuk penjagaan kesihatan seterusnya.

JIKA POSITIF, ADAKAH PERLU KEPUTUSAN UJIAN DIMAKLUMKAN KEPADA WALI?

Ya, perlu dan wali juga mesti menjalani sesi kaunseling. Ianya melibatkan banyak perkara berbangkit di kemudian hari termasuk implikasi di sudut perundangan.

UJIAN SARINGAN DIBUAT SECARA MANDATORI KERANA:

Wabak HIV/AIDS amat menakutkan berbanding penyakit lain dan menyerang dunia secara perlahan-lahan melemah, mengaibkan keluarga dan menghapuskan nasab manusia. (AHP: STIGMA, JUDGMENTAL DAN DISKRIMINASI)

Memenuhi tuntutan Maqasid Syariah, salah satunya ialah menjaga kesucian nasab bagi mewujudkan generasi yang sihat.

Mencegah kemudaratan yang ada pada individu dan mengelakkan kemudaratan kepada orang lain.

Menutup punca kemudaratan (Saddu az-Zaraa’i) agar tidak mendatangkan kemudaratan yang lebih besar kepada manusia.

Sebagai kempen kesedaran penjagaan kesihatan ‘Mencegah lebih baik daripada mengubati’.

Keputusan resolusi seminar yang dibuat untuk mencegah wabak HIV/AIDS.


AHP:

Perkongsian ini adalah berdasarkan carian dan pemahaman peribadi serta sedikit input daripada Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

Jika ada pendapat lain, sila kongsikan di sini.

Isu wali enggan menikahkan dan sebagainya adalah halangan-halangan biasa dalam kehidupan sesiapa juga. Tanpa HIV pun ada wali yang enggan menikahkan pasangan atas sebab-sebab tertentu.

Kisah patah hati berlaku di mana-mana saja. Kisah Rumi dan Juli ada dalam semua negara dan bangsa. Bahkan kalau wali setuju tetapi pasangan pula tidak setuju, itu hak mereka.

Bagaimana menyelesaikannya? Tak taulah dik… tak dapat pakcik nak tolong semua. Kalau pakcik, tahulah pakcik menyelesaikannya.