Friday, October 07, 2011

CERIA DI SEBALIK EPISOD HITAM


Mangsa darah tercemar HIV lega dapat pampasan teruskan kehidupan

SEPULUH tahun berulang alik ke mahkamah sebelum kes berjaya diselesaikan dengan nilai tuntutan RM788,000, ternyata memberi kelegaan kepada Bashah Mustaffa, mangsa darah tercemar yang disahkan dijangkiti HIV selepas menjalani pemindahan darah pada 2000.

Bekas guru agama dari Kampung Padang Pekan, Jitra, Kedah itu juga tidak menduga mampu hidup sihat sehingga kini selepas mengharungi pelbagai penderitaan akibat penyakit yang sehingga kini tiada penawarnya.

Ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini, Bashah, 59, yang kelihatan sihat dan ceria itu berkata dirinya kini semakin tenang dan menerima hakikat menghidap HIV, namun berharap tidak ada orang menerima nasib sepertinya.

Pemindahan darah, katanya perlu dilakukan dengan penuh hati-hati selepas menjalani prosedur saringan ketat bagi mengelak kejadian sepertinya berulang.

“Saya mendapat rawatan pemindahan darah di Hospital Jitra kerana mengalami tumpah darah selama dua minggu, pada April 2000. Selepas dirawat, penyakit tumpah darah saya tidak sembuh hampir enam tahun, sebaliknya saya pula disahkan mendapat HIV.

“Bayangkan perasaan saya ketika itu apabila dimaklumkan pihak hospital, darah yang dipindahkan ke tubuh saya itu adalah darah tercemar selepas diperiksa, memang sah darah saya dicemari HIV, saya rasa macam mahu bunuh diri,” katanya yang ditemani suaminya, Halim Hamid, 56.

Selepas mendapat penyakit itu, bermula episod hitam dalam hidupnya bermula apabila dirinya dipulau masyarakat sekeliling yang takut penyakit itu berjangkit kepada diri mereka.

“Penyakit ini dan perubahan sekeliling yang berlaku membuat saya terkejut, tidak lalu makan dan tidur, badan jadi kurus, saya fikir macam-macam, penderitaan ini berat untuk ditanggung,” katanya.

Ibu kepada empat anak itu juga terpaksa menghentikan kelas agama di rumahnya kerana orang kampung tidak mahu menghantar anak mereka mengaji al-Quran dengannya. Bashah juga mengurung diri hampir dua tahun sebelum semangatnya itu berjaya dipulihkan hasil bantuan keluarga, sanak saudara dan jiran terdekat.

Anak turut menerima tempias apabila dipulau di sekolah dan mengalami tekanan jiwa mengenangkan kemungkinan kehilangan ibu tersayang pada bila-bila masa.

Walaupun pihak kerajaan menerusi hospital memberi kemudahan rawatan kepadanya termasuk ubat-ubatan secara percuma serta menyediakan pengangkutan untuk memudahkannya berulang alik ke hospital, ia tidak mampu meringan beban yang ditanggung.

“Sehingga kini saya masih mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan hospital selain berubat dengan pelbagai kaedah rawatan. Ubat-ubatan dan doa berterusan itu membantu saya untuk bertahan sehingga kini,” katanya yang tidak mempunyai sebarang penyakit seperti kencing manis atau darah tinggi.

Sementara itu, Halim berkata walaupun kes pemindahan darah tercemar itu jarang berlaku di negara ini, namun tidak bermakna ia tidak boleh terjadi pada sesiapa jua.

“Apa yang saya kesali, salah satu darah yang dipindahkan ke tubuh isteri saya itu masih tidak disaring lagi, bagaimana ia boleh terlepas, berpunca daripada kecuaian pihak hospital.

“Perkara ini tidak akan berlaku kalau mereka betul-betul mematuhi prosedur kerja. Bagaimanapun saya sebagai umat Islam terima ini sebagai takdir yang mempunyai hikmah tersendiri,” katanya.

Berikutan kejadian itu, beliau dan isterinya mengemukakan saman ganti rugi teruk dan teladan berjumlah RM100 juta selain ganti rugi khas, kos perbicaraan dan perintah lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

Bagaimanapun pada Mei 2006, mereka mengurangkan tuntutan ganti rugi kepada RM3.25 juta membabitkan kesan psikiatrik, malu dan kehilangan reputasi, kehilangan keinginan melakukan hubungan seks dan analogi kes selain ganti rugi teruk RM500,000 dan teladan RM750,000.

November 2007, Bashah berjaya dalam tuntutan saman dan akhir tahun lalu memperoleh jumlah ganti rugi bersih bernilai RM630,000 selepas ditolak komisyen 20 peratus untuk peguamnya, Jagdeep Singh Deo.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Bashah dan Halim merancang untuk membina rumah baru bagi mengganti rumah usang sedia ada selain mengerjakan fardu haji.

http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Ceriadisebalikepisodhitam/Article/