Sunday, October 23, 2011

BOLEHKAH ANDA NYATAKAN KEPADA SAYA BERKENAAN KESAN-KESAN SAMPINGAN DAN APA YANG HARUS DILAKUKAN?

Ya, kami mencadangkan anda mencadangkan anda mesti berjumpa doktor secepat mungkin jika mengalami sebarang symptom yang disenaraikan:



Kelesuan
Simptom / tanda-tandanya adalah kepenatan, kesukaran untuk bangun dari katil untuk melakukan perkara-perkara yang biasa anda lakukan.  Jika keadaan ini kerap kali anda alami, mintalah nasihat doktor.

Tip-tip
·    Masuk tidur dan bangun pada masa yang sama setiap hari.
·    Bersenam, kerana senaman melegakan tekanan dan membuat anda berasa bertenaga.
·    Simpanan makanan yang mudah disediakan / dimasak di rumah untuk dimakan semasa anda berasa terlalu letih untuk memasak.




Ruam
Wanita lebih cenderung untuk mendapat ruam.  Beri perhatian kepada sebarang perubahan warna, kegatalan dan apa-apa perubahan lain pada kulit anda.

Tip-tip
·    Sentiasa sediakan losen seperti losen pelembap dan minyak zaitun kerana ia boleh membantu melegakan kulit.
·    Gunakan sabun yang lembut seperti ‘Johnson & Johnson’ atau ‘Dove’.  Anda juga disyor menggunakan pembersih tanpa sabun (soap free).
·    Jangan mandi menggunakan air yang terlalu panas kerana ia boleh memburukkan lagi ruam.  Gunakan air suam.
·    Jangan dedahkan ruam anda kepada cahaya matahari.

Sakit Kepala
Ia disebabkan oleh ketegangan dan biasanya boleh diubati dengan ubat seperti Paracetamol (bincang dengan doktor anda sebelum mengambilnya).  Cuba kurangkan tekanan.

Jika anda meminta nasihat daripada seorang doktor (bukan doktor yang merawati anda untuk HIV), pastikan beliau tidak memberi preskripsi antibiotik / ubat yang boleh bertindak balas dengan ubat-ubatan HIV anda.

Sebagai alternatif, anda boleh meminta nasihat seorang doktor yang mengetahui status HIV anda.

Tip-tip
·    Tutup mata anda dan berehat dalam bilik yang senyap dan gelap.
·    Letakkan kain lembap yang sejuk di atas mata anda.
·    Urut di pangkal tengkuk / leher dan bahagian tepi dahi anda dengan ibu jari.
·    Elakkan daripada memakan makanan yang boleh menyebabkan sakit kepala seperti kopi, teh, makanan segera, buah-buahan sitrus seperti oren, limau dan lain-lain.

Mulut Kering
Mulut terasa kering, membuatkan proses mengunyah, menelan dan bercakap menjadi sukar.  Keadaan ini boleh memberi kesan kepada deria rasa dan boleh menyebabkan nafas berbau, kerosakan gigi dan jangkitan kendida / keputihan dalam mulut.

Tip-tip
·    Minum air dengan banyak.
·    Elakkan meminum minuman ringan bergas atau yang mengandungi kafeina sepeti kopi, teh dan lain-lain.
·    Kunyah gula-gula getah tanpa gula untuk merangsang pengeluaran air liur atau hisap gula-gula, ‘Strepsil’ atau ais hancur untuk menyejuk dan melembapkan mulut.
·    Berkumur dengan air garam sekerap mungkin.

 

Kerosakan Saraf
Kaki, jari kaki dan tangan merasa panas, pedih, kejang, geli, atau kebas.  Ia mungkin kekejangan ringan atau teruk sehingga anda tidak boleh berjalan.

Tip-tip
·    Gunakan kasut dan stokin longgar.
·    Urut kaki anda.
·    Berjalan-jalan untuk melancarkan pengaliran darah.

Cirit-Birit
Pergi ke tandas lebih daripada 2 kali sehari atau setiap kali anda makan.  Perkara yang membimbangkan apabila anda mengalami cirit-birit adalah kehilangan air dan mineral dalam badan.

Tip-tip
·    Minum air dengan banyak.  Jangan minum minuman ringan bergas.
·    Makan seperti biasa.
·    Makan makanan seperti bijirin oat, roti putih lembut, atau bubur.
·    Jangan minum produk susu, makan makanan berminyak, pedas, atau terlampau manis.
·    Yogurt biasa mungkin boleh membantu.
·    Minum larutan garam rehidrasi (rehydration salt) yang boleh membantu untuk mengembalikan mineral dalam badan anda.
 


Rambut Gugur
Rambut gugur 100 helai sehari adalah perkara biasa.  Jika anda perhatikan yang anda keguguran rambut luar biasa banyaknya, ia mungkin disebabkan ubat yang anda makan.

Tip-tip
·    Elakkan daripada mengkeriting, mewarna, melurus, menyanggul atau menggunakan pengering rambut.
·    Kurangkan tekanan / stress kerana ia juga boleh mengakibatkan keguguran rambut.


Loya & Muntah-Muntah
Rasa seperti hendak termuntah atau muntah.  Ia boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan dan dalam kes-kes tertentu, kekoyakan pada bahagian tekak.  Hubungi doktor anda jika anda muntah sepanjang hari atau jika keadaan ini mengganggu pengambilan ubat anda.

Tip-tip
·    Makan pisang, bubur, roti bakar, atau biskut bijirin.
·    Simpan biskut bijirin dekat dengan tempat tidur anda supaya anda boleh makan beberapa keping pada waktu pagi.  Duduk di atas katil selama beberapa minit sebelum bangun.
·    Minum air limau atau teh hijau (teh Jepun) untuk melegakan perut.
·    Elakkan minuman bergas.
·    Minum jus limau suam kerana ia memang diketahui mampu mengurangkan rasa loya.
·    Elakkan memakan makanan pedas atau berminyak.

Anemia
Anemia adalah keadaan di mana kadar sel darah merah anda adalah rendah.  Sel-sel ini membekalkan oksigen untuk tubuh anda dan apabila anda menghidap anemia, ia boleh menyebabkan keletihan (kelesuan).

Tip-tip
·    Lakukan pemeriksaan jumlah sel darah merah dengan kerap.
·    Makan ikan, daging, ayam, sayur bayam, asparagus, dan sayuran berdaun hijau dengan banyak.
 


Berat Badan Berkurangan / Susut
Berat badan berkurangan adalah satu masalah yang serius dan boleh disebabkan oleh muntah-muntah, cirit-birit, anemia, atau keletihan / kelesuan.

Tip-tip
·    Awasi berat badan anda.
·    Jika anda mengalami pengurangan berat badan yang luar biasa, berbincanglah dengan doktor anda untuk mencari puncanya.


Masalah Kitaran Haid
Masalah ini adalah perkara biasa di kalangan wanita terutamanya mereka yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah.  Simptom / tanda-tandanya adalah: kitaran haid yang tidak tetap, darah haid yang banyak atau sedikit atau kesakitan ketika datang haid (senggugut).  Kadangkala wanita mengalami masalah putus haid (tidak datang bulan).

Tip-tip
·    Simpan kalendar yang menunjukkan tarikh-tarikh anda datang bulan dan perhatikan sebarang perubahan seperti berat badan berkurangan, tekanan / stress, dan lain-lain.  Ia mungkin boleh membantu anda mencari punca mengapa anda mempunyai masalah kitaran haid.
·    Buat senaman ringan kerana ia membantu melancarkan pengaliran haid dan mengurangkan senggugut.
·    Jika anda mengalami kekejangan, tuam perut dan belakang anda dengan botol air panas.
·    Pastikan anda memaklumkan doktor anda berhubung sebarang kesan sampingan yang anda alami sewaktu lawatan yang berikutnya.

Sentiasa minta nasihat doktor setiap kali anda mengalami tanda-tanda awal kesan sampingan.
 
AHP: Kredit kepada KKM, MAC & Saudara Mohamad Raffie bin Jaafar.