Monday, January 31, 2011

KEHAMILAN IBU HIV


Sekiranya anda mengandung dan tubuh anda mengandungi sejenis kuman yang dikenali sebagai Human Immunodeficiency Virus (HIV), ia boleh ditularkan kepada bayi anda.

Namun, ada langkah-langkah kesihatan tertentu yang dapat mengurangkan risiko ini. HIV menyebabkan sindrom kurang daya tahan penyakit (AIDS).

Infeksi berlaku apabila bendalir atau cecair daripada individu yang dijangkiti seperti darah, air mani, rembesan dari faraj dan susu badan memasuki badan wanita.

Sentuhan dengan cecair tersebut berlaku semasa hubungan kelamin intim, penyusuan dada, darah dan juga perkongsian jarum suntikan dalam kes penyalahgunaan dadah.

‘‘Transfusi darah juga berkemungkinan tetapi dalam kebanyakan kes pemindahan, anda tidak perlu runsing kerana darah-darah di Malaysia disaringkan serta diuji dengan kehadiran kuman-kuman merbahaya seperti HIV, hepatitis serta malaria.”

‘‘Sekiranya seseorang wanita dijangkiti HIV, sindrom AIDS tidak berlaku dengan pantas. Sistem keimunan badan diterokai dan dilemahkan secara beransur-ansur,’’ kata Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Prof. Madya Dr. Shah Reza Johan Noor.

Menurutnya, rungutan seperti demam selesema mungkin berlaku dan apabila sistem keimunan badan bertambah lemah, anda akan merasai keletihan ketara, hilang berat badan serta lemah keseluruhan dan juga demam.

Beliau berkata, AIDS dilabelkan apabila seseorang itu mempunyai kriteria tertentu seperti kekurangan sel CD4 di bawah paras tertentu.

‘‘Sel ini merupakan salah satu sistem utama keimunan badan. Bilangan sel CD4 ini akan menyatakan akan keutuhan sistem keimunan badan anda.”

‘‘Apabila keimunan badan jatuh, anda akan terdedah kepada penyakit- penyakit serta kanser-kanser yang tertentu,’’ ujar beliau.

Mungkin berbulan-bulan dan kadangkala bertahun- tahun sebelum seseorang disahkan sebagai pembawa kuman HIV, barulah AIDS dimanifestasikan.

Disebabkan sifat kuman yang tidak meledak manifestasinya itu, anda mungkin tidak tahu akan kehadiran HIV dan merasakan yang anda seorang yang sihat. Penularan berlaku tanpa pengetahuan.

Masih tidak ada vaksin mahupun perawatan untuk kuman HIV, yang ada hanyalah ubat-ubatan yang boleh melambatkan kehadiran AIDS serta membantu sistem keimunan merosot dengan cepat.

Terdapat langkah-langkah tertentu untuk meminimumkan tularan kepada bayi yang sedang dikandung.


HIV DAN MENGANDUNG

Sekiranya anda dijangkiti oleh HIV, infeksi pada bayi boleh berlaku semasa ia di dalam kandungan, semasa kelahiran juga semasa penyusuan badan.

‘‘Sebab itulah status HIV perlu diketahui seawal mungkin semasa mengandung, sebab ada langkah-langkah tertentu yang boleh membantu mengurangkan risiko pada bayi.”

‘‘Sekiranya tidak dirawat, kebarangkalian bayi untuk dijangkiti adalah setinggi 25 peratus tetapi dengan ubat serta langkah-langkah tertentu mampu meminimumkan penularan,’’ jelas Dr. Shah Reza lagi.


UJIAN

Sebagai penjagaan kesihatan semasa mengandung, di Malaysia, wanita hamil pada lawatan pertama akan diuji kehadiran kuman HIV.

Jika kuman didapati positif, ujian lanjutan pengesahan dilakukan. Mempunyai HIV, tidak bermakna yang anda menghidapi AIDS.

Sekiranya anda dan suami berisiko tinggi, mungkin disebabkan oleh pengalaman lampau, sosial serta perubatan, ujian kehadiran HIV yang negatif tidak bermakna yang anda tidak mempunyai jangkitan.

Cuma, antibodi memerlukan masa untuk penghasilan dengan jumlah tertentu untuk dikesan. Sekiranya anda sangsi, ujian yang sama boleh diulang pada penggal ketiga mengandung.


RAWATAN

Dr. Shah Reza berkata, sekiranya kehadiran HIV dikesan, penyakit-penyakit lain juga akan disaring.

Kemungkinan tularan kepada bayi semasa mengandung bergantung pada jumlah virus di dalam badan serta status CD4.

Jumlah CD4 yang rendah serta paras kehadiran kuman HIV yang tinggi meningkatkan peratusan jangkitan.

‘‘Banyak kombinasi ubat-ubat digunakan untuk merawat HIV, sekiranya puan sudah pun mengambil ubat sebelum mengandung, teruskan pengambilannya semasa mengandung.”

‘‘Sekiranya puan belum lagi menerima apa-apa perawatan, tunggu sehingga trimester/penggal pertama mengandung sebelum memulakan ubat,’’ terangnya sambil menambah, ubat ini bertujuan mengurangkan bebanan kehadiran kuman HIV.

Sebagaimana ubat-ubatan lain, ubat ini juga mengganggu tumbesaran bayi dalam kandungan, tetapi sekiranya tidak diambil, bayi pula akan mendapat HIV dengan peratusan yang tinggi.

Berkemungkinan selepas kelahiran, bayi akan mendapat anemia (penyakit kekurangan darah) serta kelembapan tumbesaran yang lain, tetapi risiko alahan terhadap HIV lagi besar sekiranya rawatan tidak diberikan.


KELAHIRAN

Kebarangkalian infeksi pada bayi tinggi semasa kelahiran kerana ia terdedah kepada cecair serta bendalir badan ibu yang mempunyai kuman HIV.

Disebabkan isu inilah, wanita hamil dinasihat agar melahirkan bayi mereka menerusi pembedahan caesarean terancang, terutamanya jika anda mempunyai bebanan kuman HIV yang tinggi.

‘‘Ujian rapid HIV dilakukan sekiranya puan melalui proses kelahiran tanpa mengetahui status HIV. Jika ujian rapid HIV itu positif, langkah-langkah keselamatan serta ubat diberikan.”

‘‘Perlu diingat, walaupun ujian tersebut positif, tidaklah bermakna yang puan mempunyai HIV, ujian kedua serta lanjutan akan dikendalikan untuk kepastian,’’ kata Dr. Shah Reza.

Bagi tujuan keselamatan, perawatan diberikan untuk meminimumkan penularan kepada bayi semasa kelahiran. Lazimnya penyusuan dada ditunda sehingga status kekal HIV diketahui dengan pasti.


SELEPAS BAYI DILAHIRKAN

Ujian dan perawatan

Bayi akan diuji beberapa kali selepas kelahiran. Lazimnya ujian yang positif berlaku sebaik sahaja kelahiran tetapi ini tidak bermakna yang bayi mendapat HIV.

Kadangkala ujian ini menjadi negatif setelah 6 bulan. Sekiranya anda menerima rawatan semasa mengandung, bayi juga akan menerima perawatan.

Dos pertama akan diberikan setelah 8 hingga 12 jam kelahiran dan akan diteruskan setiap 6 jam sehingga usianya mencecah enam minggu.


PEMAKANAN BAYI

Wanita yang mempunyai HIV dinasihatkan supaya tidak mengamalkan susuan dada kerana kuman HIV boleh hadir di dalamnya.  Susu formula diberikan sebagai gantian.

Disebabkan oleh payudara yang semakin membengkak kerana penyusuan tidak dapat diberikan, langkah-langkah berikut perlu diikuti supaya kesakitan payudara dapat dikurangkan.

1.       Sokonglah payudara dengan coli yang kemas, membalut dada di bahagian payudara juga boleh mengurangkan renjatan pergerakan serta ayunan

2.       Penggunaan ais di payudara

3.       Pengambilan ubat penahan sakit seperti paracetamol

4.       Jangan mengurut serta menungku haba di payudara kerana kaedah ini akan menambahkan lagi penghasilan susu.


Sumber: sini

MEMAKLUMKAN STATUS HIV POSITIF KEPADA ANAK-ANAK


Sebenarnya sejak aku mengetahui isteri-isteriku bebas HIV, (sekalipun masih perlu membuat ujian darah setiap 6 bulan sekali) ianya merupakan satu kemenangan dan kelegaan besar terhadapku. Aku cukup risau keluarga dan zuriatku menderita serta ‘pupus’ akibat virus HIV.

Setelah bertemu Dr. Iskandar, aku bersedia untuk berterus terang dengan anak-anakku kerana kali ini status HIV positif telah sah dan banyak soalan-soalan besar di fikiranku telah terungkai.

Sejak disahkan sebagai HIV positif, sebenarnya aku telah lama mengambil keputusan dan menunggu masa yang sesuai untuk berterus-terang.

Tentu tidak adil jika aku berterusan mengambil sikap berahsia sedangkan kami sekeluarga tidak menerima cara begitu. Apatah lagi anak-anakku sentiasa melihat aku berulang alik ke hospital tanpa penjelasan yang pasti dariku kecuali kerana “jangkitan kuman.”

Lambat laun segala-galanya akan terbongkar juga di saat aku terlantar sakit atau apabila jenazahku diuruskan.

Sekalipun ada doctor yang berpendapat aku tidak perlu memaklumkannya kepada anak-anak tetapi aku lebih selesa berterus-terang.

Aku tak mahu dipersalahkan di kemudian hari sedangkan ketika itu segala-galanya mungkin telah terlambat. Bahkan mereka juga berisiko dijangkiti jika kami mengambil mudah terhadap masalah tersebut.

Aku kenal keperibadian anak-anakku. Mereka telah terdidik supaya sentiasa bersedia dengan perkara di luar jangka yang Allah tentukan. Hidup dan segala nikmat yang ada sekadar pinjaman semata-matanya.

15 Januari 2011, anak sulungku yang sedang belajar di IPTA pulang ke kampung. Aku dan isteri-isteriku merancang untuk memaklumkan berita berkenaan pada tarikh tersebut.

Selepas solat Maghrib berjemaah, kami sama-sama berkumpul dan aku cuba menggunakan segala pendekatan psikologi yang ada supaya mereka tidak terkejut dan memahami situasi tersebut.

Aku juga menerangkan punca-punca jangkitan, rawatan dan kesan virus terhadap pesakit. Aku minta mereka bersedia dengan segala kemungkinan dan menghadapinya sepositif mungkin.

Aku cuba perbetulkan stigma mereka, mengajak mereka mengambil iktibar daripada ujian Allah, membuat perbandingan situasiku dengan pesakit-pesakit kronik lain yang jauh lebih menderita.

Aku juga memberi peluang kepada mereka bertanya apa sahaja tentang masalah tersebut kepadaku. Nak luahkan perasaan marah pun aku izinkan jika itu yang mereka mahu.

Alhamdulillah mereka menerimanya dengan terbuka sekalipun pada peringkat awal mereka agak terkejut. Bahkan aku sangat kagum apabila aku pula yang mereka ‘kaunseling'kan.   

Kami sekeluarga mengambil keputusan untuk menghadapi situasi tersebut seperti  biasa. Saling sokong menyokong dan menjaga rahsia tersebut selama-lamanya bagi mengelakkan tekanan yang tidak kami perlukan dalam kehidupan kami.

Sokongan, doa dan kepercayaan mereka membuatkan aku tidak terasa apa-apa masalah untuk berjuang sebagai HIV fighter.


AHP:  Pasangan suami isteri (kedua-dua pesakit HIV positif) masih berpeluang mendapat anak yang sihat terutamanya  jika kedua-duanya mendapat rawatan HAART walaupun doctor tidak menggalakkan keadaan tersebut berlaku. Kepada pesakit HIV: Jika anda sedia menanggung tekanan yang menggunung, tidak perlu menambahkan macam-macam lagi tekanan akibat stigma melulu. Teruskan berjuang!

MEREKA YANG BERHATI MULIA


Alhamdulillah aku menerima satu lagi sokongan yang sungguh bermakna daripada mereka yang sudi berkongsi rasa membaca pengalamanku sebagai HIV positif.

Terima kasih dan jazakallah khier... si semut yang comel. Moga Allah merahmatimu atas kemuliaan dan keprihatinmu terhadap sesama insan.

Sebagai tanda menghargai dan dokumentasi, aku berkongsi sokongan dan doa ini bersama insan-insan lain yang melalui penderitaan yang sama dan sesiapa saja yang sedang berdepan ujian Allah.  


Assalammualaikum...

Tertampil nyer aku dientry kali ini....
sebab nk kongsi sesuatu dgn kawan3,pengfolow bl0g semut.....
tetang blog seorang insan yg agak tabah

  • Penemuaan aku bermula dgn mengomen entry si Mata kucing teman rapat ku...about entry yg berkisahkan anakbuahnyer nk pergi tgk justin bibir...,,sedang aku nk comment terjumpa plk blog AHP..
  • Lansung...aku meneruskan bacaan aku.....pejam celik pejam celik tb pukul 5ptg.....sampai aku terlupa akan ayah ku tunggu dibawah utk menjemput ku pulang....
  • akhir kata dari ku insan kerdil...."kunjungi la blog Aku HIV Positif....kerana insan ini amat tabah dgn dugaan yg ALLAH S.W.T beri pada nya... dan aku juga berdoa..yg beliau akan sentisa kuat+tabah+sabar+tawakal dan sentiasa positif..amin...
  • walaupon aku tidak mengenalinya..tp sejak membaca blog nya aku makin rasa dekat dgn nya....

apa3 pon...salam rindu dari bumi tuhan...utk semua pembaca blog n kawan3...

Sunday, January 30, 2011

BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN

                            Dr. Iskandar Firzada bin Osman


14 Januari 2011 aku ke Klinik Kesihatan (KK) XXX untuk temujanji pertama dengan Dr. Iskandar. Aku meminta kedua-dua isteriku menemani kerana aku mahu mereka mendengar dan bertanya sendiri apa sahaja perkara yang mungkin timbul. Biar segala-galanya jelas kerana tiada apa-apa perkara yang perlu aku sembunyikan.

Ketika itu kedua-dua anakku belum tahu status HIV ku kerana aku mahu menunggu pendapat Dr. Iskandar terlebih dahulu. Insya-Allah aku akan ceritakan bagaimana aku memberitahu anak-anakku tentang hakikat tersebut.

Perjalanan ke KK tersebut dari daerahku mengambil masa hampir 2 jam. Kami berbincang dan mencatatkan apa sahaja perkara yang mahu ditanya. Hatiku gelisah setiap kali ke mana-mana saja pusat perubatan / rawatan kerana ianya bermakna aku terpaksa mendedahkan dan berbincang mengenai status HIV positiveku. Aku betul-betul tidak selesa dan sebenarnya sukar untukku memberi kepercayaan kepada sesiapa pun.  

Terus-terang aku katakan bahawa bertemu Dr. Iskandar Firzada banyak mengubah persepsi dan stigma negative aku sendiri terhadap HIV / AIDS serta kakitangan perubatan. Beliau dengan tenang menerangkan tentang HIV/ AIDS, HAART dan menjawab apa sahaja soalan dengan baik. Pesakit seperti aku memang sangat-sangat memerlukan pendapat pakar walaupun kesemua maklumat tersebut boleh dicapai di hujung jari (google).

Pesakit juga bukanlah mengharapkan kesempurnaan jawapan doctor 100% sebaliknya lebih kepada empathy dan bantuan psychology untuk memulakan rawatan klinikal. Paling asas ialah doctor mesti tahu cara membina kepercayaan pesakit. Kesungguhan dan keikhlasan membantu itu aku akui wujud dalam diri Dr. Iskandar Firzada.

Beliau memberi kaunseling kepada kami selama hampir 2 jam, tidak terburu-buru dan mengiringi kami ke makmal untuk ujian darah dan diabetes.

Tips terpenting yang beliau ingatkan ialah, aku mesti positif dan lupakan sahaja perkara yang telah berlaku bahkan terdapat seorang lagi pesakit beliau yang hampir sama situasinya dengan aku. Seorang pesakit diabetes, tak diketahui punca jangkitan dan sedang menghabiskan thesis PHDnya.

Aku juga mesti mengawal diabetesku terlebih dahulu. Kandungan gula yang terkawal membantu aku melawan penyakit. Aku perlu bersungguh-sungguh mengawal diet dan konsisten dengan senaman.

Nak tahu sebahagian daripada soalan yang kami tanya? Soalan-soalan bolehlah aku share tetapi jawapan-jawapan aku akan kongsikan secara beransur-ansur dalam entries seterusnya. Antara soalan-soalannya ialah:

1.  Adakah aku perlu memaklumkan status HIV positiveku kepada majikan? Maklumlah bila registered sebagai HIV positive, aku beranggapan data automatically online. Selain itu aku perlukan Guaranty Letter (GL) setiap kali mendapatkan rawatan.

2.  Bagaimana jika aku mendapatkan rawatan tanpa mengisytiharkan bahawa aku adalah penjawat awam?

3.  Adakah anak-anakku perlu menjalani HIV test dan adakah aku perlu berterus terang tentang statusku kepada mereka?

4.  Batasan pergaulanku bersama orang ramai. Maklumlah ketika itu inferiority complex aku dah sampai ke tahap serba salah nak bersalaman dengan orang ramai.
Bukan kerana bimbangkan jangkitan penyakit terhadap mereka tetapi aku tak sanggup membayangkan betapa ngerinya mereka rasa bila mendengar aku terlantar sakit atau meninggal dunia kerana AIDS sedangkan aku pernah bergaul dengan mereka. “Eeee... dulu aku selalu bersembang dan bersalam dengan allahyarham, tak berjangkit ke?”   

5.  Adakah dengan menggunakan condom, aktiviti seks betul-betul selamat, adakah lebih baik aku ‘pencen’ terus?”

6.  Apakah jenis-jenis supplement food yang bagus untuk membantu membina immunity dan ketahanan badan?

7.  Apakah aku boleh memilih rawatan alternative? Selagi tidak meninggalkan rawatan klinikal, beliau berpendapat ianya boleh dicuba dan dianggap sebagai rawatan complementary. Contohnya menggabungkan rawatan klinikal dan acupuncture untuk rawatan sakit sendi.  

8.  Setakat mana aku boleh yakin dengan Etika Kerahsiaan pesakit di kalangan kakitangan Kementerian Kesihatan sendiri?

Selepas sesi kaunseling, beliau mencadangkan aku mendapatkan suntikan imunisasi Hepatitis B, Influenza dan Meningitis (Kesemuanya telah aku lakukan). Aku juga perlu menghabiskan Co-Trimoxazole (antibiotic) yang dibekalkan untuk sebulan.

Disebabkan tahap imunisasi yang rendah, aku perlu bijak menjauhkan diri daripada kawasan-kawasan yang berisiko dengan jangkitan dan kalau perlu, mask hendaklah digunakan.  


AHP:  Banyak lagi perkara akan aku kongsikan. Kepada para pengunjung, sila sebarkan blog kerdil aku ini sebagai renungan insan-insan lain. Jika anda seorang HIV positive, aku jemput anda berkongsi pengalaman anda di sini. Perkara yang lepas usah dikenang, nikmati kesempatan yang ada dengan berkualiti.

HAK-HAK PESAKIT



1. Setiap individu mempunyai hak untuk mendapat rawatan kecemasan dengan segera.

2. Setiap pesakit akan dirawat dengan penuh kesopanan dan ketertiban.

3. Setiap pesakit perlu dirawat dengan penuh perhatian, bertimbang rasa, adil, penuh hormat dan kemuliaan.

4. Setiap individu mempunyai hak untuk mendapatkan kerahsiaan semasa sesi soal jawab, pemeriksaan dan rawatan oleh staf perubatan.

5. Pesakit perlu memberikan kerjasama semasa sebarang pemeriksaan fizikal atau rawatan dijalankan.

6. Setiap kanak-kanak yang dimasukkan ke wad mempunyai hak, bilamana diperlukan, ditemani oleh ibu atau bapa atau penjaganya pada setiap masa.

7. Pesakit mempunyai hak untuk memilih pakar perunding sendiri sekiranya diperlukan.

8. Pesakit mempunyai hak untuk mendapatkan pendapat kedua bila diminta.

9. Pesakit mempunyai hak untuk mendapatkan maklumat berserta penjelasan tentang keadaan dirinya, hasil penyiasatan, dan keputusan pemeriksaan yang telah dijalankan ke atas beliau.

10. Pesakit perlu disediakan dengan maklumat tentang anggaran kos rawatan, penyiasatan dan prosedur yang bakal dijalankan ke atas beliau.

11. Pesakit yang telah mendapat maklumat lengkap tentang keadaan dirinya mempunyai hak sepenuhnya untuk menerima atau menolak rawatan sebagaimana yang dicadangkan kepada beliau.

12. Pesakit mempunyai hak untuk mendapatkan penjelasan dalam istilah biasa secara jelas, ringkas dan padat untuk sebarang rawatan atau prosedur yang dicadangkan serta alternatifnya. Maklumat perlu disertakan dengan risiko yang berkemungkinan berlaku, kesan sampingan dan kemungkinan kegagalan.

13. Keizinan pesakit perlu diperolehi sebelum mana-mana prosedur dapat dijalankan. Bagi kes minor, keizinan perlu diperolehi daripada ibu atau bapa atau penjaga yang sah.

14. Semua maklumat pesakit perlu dianggap rahsia dan tidak dibincangkan secara persendirian dengan orang lain selain daripada golongan professional yang terlibat.

15. Pesakit mempunyai hak untuk mendapatkan penjagaan kesihatan (nursing care) yang selamat, cekap dan pantas sepanjang berada di hospital ini.

16. Sebarang rungutan/ aduan dari setiap Pesakit wajib didengari dan diambil perhatian dan tindakan yang sewajarnya.

17. Pesakit dan waris wajar diberi khidmat nasihat yang berkaitan dengan keadaan kesihatan beliau, di samping pendidikan dan kaunseling tentang penjagaan diri, pengambilan ubat, termasuk kesan sampingan yang mungkin ada dan langkah keselamatan yang mungkin diperlukan semasa di hospital dan sebelum keluar wad.

18. Pesakit mempunyai hak kepada persekitaran yang bersih, selamat dan kondusif di hospital ini.

19. Pesakit berhak untuk mendapatkan bil perubatan yang jelas dan terperinci dan sebarang penjelasan mengenai bil tersebut perlu diberikan jika diminta.

20. Pesakit akan disediakan dengan laporan perubatan dalam masa yang munasabah jika diminta oleh pesakit pada kadar bayaran yang berpatutan.

AHP: Semoga ianya menjadi reality sepenuhnya suatu hari nanti.

Sumber: sini

AKAL YANG TERSASAR, NAFSU YANG MELULU


Sesungguhnya kehidupan di dunia ini amat mempersonakan kita. Orang yang beriman kepada Allah tidak mungkin akan diperdayakan oleh kehidupan dunia kerana yang pastinya satu hari nanti manusia dan makhluk-makhluk yang lain akan binasa. Sementara yang kekal hanyalah Allah s.w.t, Tuhan sekelian alam.

Kehidupan di dunia ini merupakan anugerah Allah yang amat bernilai kepada manusia. Namun begitu, dalam sejarah manusia itu sendiri telah dipenuhi dengan pelbagai peristiwa, ada yang mengembirakan, ada yang menyedihkan, ada yang menyayat hati dan sebagainya termasuklah yang membawa kepada kematian seperti diserang dengan pelbagai penyakit dan wabak-wabak tertentu. Tetapi berkat hasil kajian dan penelitian manusia dalam ilmu perubatan atau kedoktoran telah berjaya membasmi penularan pelbagai wabak penyakit.

Namun begitu, dunia tiba-tiba dikejutkan dengan penemuan satu virus yang disebut sebagai HIV (Human Immunodeficiency Virus) yang menyebabkan kegagalan sistem tubuh manusia melawan penyakit atau kebiasaan disebut sebagai sindrom kurang daya tahan penyakit atau dengan panggilan ringkasnya (AIDS) iaitu suatu penyakit yang sampai sekarang belum ditemui ubat atau penawarnya.

Penyakit AIDS telah mewujudkan pelbagai fenomena sejak ia mula melanda dunia seawal tahun 70-an lagi. Namun demikian penyakit AIDS akibat jangkitan HIV mula dikenal pasti pada tahun 1981 dan semenjak dari itu pelbagai implikasi dan impak social, budaya, ekonomi dan politik mula timbul akibat dari wabak ini, walaupun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengatasinya sejak lebih 20 tahun yang lalu. Namun masalah ini masih membelenggu hidup masyarakat di negara kita, ibarat duri dalam daging dan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat.

Kesan akibat AIDS terhadap masyarakat dunia amatlah besar, berjuta-juta orang yang dijangkiti virus HIV, mereka kelihatan sehat dan tanpa mereka sedari mereka memindahkan virus tersebut kepada berjuta-juta orang lain yang menyebabkan pesakit AIDS meningkat dari semasa ke semasa.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh Majlis AIDS Malaysia sehingga Jun 2006, pengidap HIV di Malaysia berjumlah sebanyak 73,427 kes dengan bangsa Melayu sebanyak 53,270 kes atau 72.5% berbanding bangsa yang lain. Manakala kes kematian akibah AIDS bagi tahun 2006 sehingga bulan Jun sahaja sebanyak 524 kes dengan purata 3 kematian setiap hari.

Angka ini cukup menakutkan kita semua kerana sepatutnya perkara sebegini tidak terjadi kepada bangsa Melayu yang sememangnya beragama Islam dan berpegang dengan ajaran agama yang melarang umatnya supaya menjauhi perkara-perkara yang boleh menghampirkan atau boleh menjerumuskan diri kepada kebinasaan.

Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud:
“Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan, dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.”

Di antara faktor yang menyebabkan tersebar dan merebaknya penyakit AIDS di Malaysia adalah disebabkan oleh hasutan iblis, dadah dan seks. Selain itu, HIV juga boleh merebak melalui ibu kepada anak dalam kandungan, atau melalui pemindahan darah dan pemindahan organ yang dicemari kuman HIV. Bagi mereka ini sama sekali tidak boleh dipinggirkan apatah lagi dipersalahkan atau disisihkan dari masyarakat kerana kebanyakan mereka ini tidak berdosa dan sepatutnya mereka perlu diberi sokongan, bahkan sawajarnya perlu diberi perlindungan dan pertolongan.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
Daripada Anas R.A. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesiapa yang memberi pertolongan kepada orang yang sedang menderita, Allah akan mengampunkan 73 kesalahannya. Salah satu daripadanya akan diberi kemudahan urusan dalam hidupnya di dunia, manakala 72 lagi akan diberi pada hari akhirat nanti.” (Riwayat Bukhari)

Justeru, bagi mereka yang telah disahkan positif HIV pastikan sentiasa menjaga kesihatan dengan menjalani pemeriksaan kesihatan secara berkala yang telah disediakan secara percuma oleh pihak kerajaan serta mematuhi peraturan-peraturan rawatan yang ditetapkan. dalam masa yang sama jangan lupa memohan keampunan dengan Allah s.w.t melalui taubat yang sebenar-benarnya, mudah-mudahan segala dosa-dosa yang lampau diampuni. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani terhadap hamba-hamba-Nya.

Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 222 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”

Akhirnya, marilah kita sama-sama menginsafi diri sejauhmana kita telah menjalankan amanah Allah menjaga diri, keluarga dan mereka yang berada di bawah jagaan kita agar mereka selamat daripada pengaruh dadah dan perkara-perkara mungkar yang boleh menjerumuskan diri ke lembah kehinaan dan azab seksaan api neraka Allah s.w.t.

Seterusnya, dalam usaha kita membendung masalah AIDS, adalah tidak wajar dibebankan kepada pihak tertentu sahaja sebaliknya masyarakat hedaklah sama-sama turut serta dalam menangani masalah penagihan dadah dan pelbagai penyakit sosial dalam masyarakat seperti pil khayal, seks bebas, dan sebagainya.

Susunan ALIAS ZAKARIA

Sumber: sini

Saturday, January 29, 2011

PESAKIT BERHAK PILIH DOKTOR


“SUSAH sangatkah hendak bercakap? Kita hendak tanya lagi tetapi dia cepat-cepat suruh keluar dan ambil ubat.”

Itu komen seorang pesakit yang baru mendapatkan perkhidmatan di sebuah klinik kecil di taman perumahannya. Ketika mengadu mengenai sakitnya, si doktor terus memberi beberapa ubat dan si pesakit yang mahu mengetahui ubat yang diberi seperti nama ubat, tujuan diberi dan kesan pengambilannya, dia tidak diberi penjelasan terperinci.

Ternyata doktor itu begitu berat mulut hendak berkomunikasi dan membuat penerangan. Tentu ada yang pernah mengalami pengalaman ini dan rasa kecewa lantas membuat keputusan tidak mahu mengunjungi klinik yang sama lagi.

Bolehkah doktor bersifat ‘pendiam’ di dalam tugasnya? Menjenguk bidang kerjaya lain sekadar untuk membuat perbandingan, bolehkah guru juga bersikap ‘pendiam’ lantas dia tidak mahu mengajar muridnya?
Semua bidang pekerjaan memerlukan komunikasi dua hala. Tidak semua doktor di negara kita tidak mahu berkomunikasi dengan pesakit atau orang yang terbabit dengan pesakit itu.

Pengalaman Zulkeflee Haron yang baru kehilangan ibunya buat selama-lamanya pada 10 Disember lalu berbeza pula.

“Saya pernah melalui pengalaman apabila doktor malas berkomunikasi dengan pesakitnya. Saya bercakap panjang lebar, dia hanya menunduk sambil menulis sesuatu."

“Selepas periksa tekanan darah dia terus menyuruh mengambil ubat di luar. Acuh tidak acuh sikapnya dan kita pun rasa panas hati. Bayaran pula mahal,” katanya.

Namun pengalaman terbaru ketika ibunya tiba-tiba diserang angin ahmar, membuatkan Zulkeflee berubah fikiran bahawa tidak semua doktor berat mulut berkomunikasi.

“Saya dan keluarga bersyukur kerana kali ini kami bertemu semua doktor yang baik-baik belaka di Hospital Besar Melaka. Mereka tidak jemu bercakap dan memberi penerangan mengenai keadaan emak walaupun kami asyik bertanya soalan yang sama berulang-ulang."

“Walaupun ketika itu wad kecemasan sedang sibuk, setiap kali kami adik-beradik mahu penerangan, doktor sentiasa mahu memberi penjelasan terperinci,” katanya.

Setiap orang ada pengalaman tersendiri ketika mendapatkan perkhidmatan doktor sama ada doktor kerajaan mahupun swasta. Namun sedarkah kita bahawa komunikasi antara doktor dan pesakit memang sebenarnya amat penting demi kebaikan kedua-dua pihak?

Komunikasi antara doktor-pesakit adalah antara yang terpenting.

Menurut Pegawai Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd, Dr Zubaidi Ahmad, dalam usaha doktor membantu pesakit menangani penyakitnya, seseorang doktor itu harus mempunyai tiga aspek penting dalam dirinya.

Aspek berkenaan ialah ilmu kedoktoran yang dipelajari, kemahiran menyampaikan informasi dan menerangkan masalah perubatan kepada pesakit serta sikap merawat pesakit yang betul.

Sikap merawat pesakit yang betul bermakna seorang doktor harus faham bahawa dia berhadapan dengan manusia yang beremosi dan berakal. Doktor bukan saja merawat penyakitnya tetapi harus mengambil kira emosi dan akalnya.

“Seorang profesor saya pernah berkata kepada saya, doktor bukanlah seorang mekanik yang membaiki kereta. Jika dia gagal membaikinya, mekanik mungkin akan membiarkan saja kereta itu menjadi buruk di hujung kedainya,” katanya.

Justeru, kata Dr Zubaidi, seorang doktor perlu sentiasa berinteraksi bagi memastikan usaha merawatnya berjaya.

“Doktor tidak boleh merawat dan kemudian membiarkan saja pesakit terpinga-pinga keliru dengan apa yang berlaku pada dirinya."

“Doktor juga berhadapan dengan manusia yang perlu ditenangkan emosinya dan diberikan penerangan agar fikirannya puas sebelum membuat keputusan."

“Apabila seorang doktor mempunyai sikap yang betul, maka terbinalah kemahiran berkomunikasi. Doktor dapat menerangkan apa yang berlaku pada pesakit dan memberitahu rawatan yang sepatutnya diambil,” katanya.

Komunikasi adalah aspek penting bagi menyampaikan maklumat. Seorang doktor harus sedar bahawa dia bukan saja merawat tetapi memberikan maklumat.

“Bagaimana seorang doktor mahu mengetahui maklumat yang diberikan difahami? Sudah tentu dengan cara mendapatkan maklum balas. Komunikasi dua hala sudah tentu akan melancarkan proses penyampaian maklumat dan memastikan pesakit tidak keliru,” katanya.

Bagaimana sekiranya seorang doktor kurang dalam aspek komunikasi, berat mulut apabila ditanya atau tidak suka ditanya?

“Sekali lagi ia bergantung kepada sikap dan kemahiran berkomunikasi yang baik yang seharusnya dipunyai oleh seorang doktor.

“Katakan seorang tua datang ke pusat kesihatan untuk pemeriksaan berkala serta mendapati tekanan darah dan kandungan gulanya tinggi. Adakah seorang doktor memarahi orang tua itu?

“Seharusnya doktor itu memeriksa tahap pengetahuan pesakitnya mengenai dos ubat dan cara pemakanan ubat yang diberikan. Makan ubat dua biji tiga kali sehari, mudah saja disalahfahamkan sebagai makan ubat tiga biji dua kali sehari. Kegagalan seorang doktor mengesan kelemahan pesakit memahami ubatnya adalah malapetaka yang bakal ditempah. Pesakit itu mungkin saja terlantar akibat terlebih dos atau penyakitnya menjadi bertambah tenat akibat dos yang tidak mencukupi."

“Namun begitu pesakit pun harus cuba memahami situasi seorang doktor. Sebagai contoh seorang doktor yang baru saja menghabiskan ‘on call’ selama 32 jam sudah tentu tidak mempunyai sikap prihatin kepada pesakit."

“Dalam keadaan ini, pesakit harus mencari doktor lain untuk mendapatkan penerangan atau datang semula untuk berjumpa doktor itu di waktu yang lain."

“Jika didapati sikap doktor itu tidak ada kaitan dengan bebanan ‘on call’ tetapi lebih kepada masalah sikapnya sebagai individu, saya mencadangkan agar pesakit memilih doktor lain yang boleh diajak berkomunikasi,” katanya.

Memang tidak ada salahnya seorang pesakit mendapatkan pandangan kedua atau ketiga daripada doktor lain.

Menurut Dr Zubaidi, menganggap doktor itu berilmu dan boleh membuat keputusan baik untuk diri pesakit seharusnya relevan jika doktor itu mempunyai kemahiran berkomunikasi dan sikap menghormati hak pesakit.

“Doktor yang tidak dapat berkomunikasi dengan pesakitnya tentunya tidak boleh diharapkan untuk membuat keputusan bagi pihak pesakit. Ini kerana jika pesakit menghadapi komplikasi rawatan atau penyakitnya tidak sembuh, pesakit terpaksa berjumpa semula dengan doktor itu,” katanya.

Tambah Dr Zubaidi, masalah komunikasi antara doktor-pesakit berlaku di kalangan komuniti Asia yang masih tebal dengan cara kehidupan perbezaan darjat.

“Seperti filem P Ramlee itu, orang kaya dilayan dengan baik, orang miskin dipandang hina. Keegoan doktor yang dilatih tanpa sedar oleh profesor mereka menyebabkan mereka ‘ego tanpa sedar’. Kata-kata mereka menyakitkan hati pesakit tanpa mereka sedari,” kata lulusan Kolej Perubatan Kastuba, Manipal ini.

Sekiranya masalah komunikasi terus beraja antara doktor dan pesakit, bagi membendung dan mengubah budaya ini, kata Dr Zubaidi, seharusnya ada kurikulum atau silibus pembelajaran perubatan mengajar aspek undang-undang dan kemahiran komunikasi yang baik.

“Seingat saya, sepanjang pembelajaran saya tidak ada subjek bagi memperbaiki kemahiran berkomunikasi. Pelajar perubatan harus didedahkan dengan perkara ini."

“Jika tidak mereka akan mengalami kejutan budaya, daripada suasana kampus yang sibuk dengan buku dan amali klinikal kepada suasana masyarakat yang mempunyai pelbagai ragam dan harapan."

“Perubahan membabitkan sikap tidak hanya terhadap pelajar perubatan tetapi juga tenaga pengajar mereka iaitu profesor."

“Profesor yang mengajar klinikal juga harus mengubah sikap mereka yang dengan selamba memarahi pelajar di hadapan pesakit ketika latihan klinikal di wad."

“Jika seorang guru (profesor) sanggup memarahi seorang pelajar perubatan dengan dengan kata, ‘Hoi monkey!’, bayangkan apa yang bakal doktor ini katakan pada pesakitnya nanti?” katanya.

Mengenai perbezaan perkhidmatan di hospital kerajaan dan swasta, Dr Zubaidi berpendapat, perbezaan perkhidmatan swasta dan kerajaan adalah daripada sudut jumlah pesakit.

“Jika tekanan kerja kurang, tentu doktor dapat memberikan perhatian kepada pesakitnya. Sebagai perbandingan semasa saya bekerja di Jabatan Kardiothoracic, setiap hari saya membantu lima pembedahan jantung selama lima hari dalam seminggu. Dalam seminggu bermakna 25 kes pembedahan."

“Di hospital swasta, rakan memberitahu mereka melakukan pembedahan sekali seminggu dan hasil gajinya berlipat kali ganda berbanding dengan kerja di hospital kerajaan."

“Di hospital kerajaan doktor bekerja dengan pesakit yang ramai berbanding dengan swasta. Maka nampak perbezaan layanan yang ketara,” katanya.

Menurut Dr Zubaidi, tekanan pesakit yang ramai dan harus dihabiskan dalam waktu tertentu (untuk mengelakkan aduan menunggu lama daripada pesakit), membuatkan doktor akan cuba mempercepatkan rutinnya melihat pesakit.

“Bagi penyakit yang tidak serius seperti batuk atau selesema, ada kalanya diperiksa hanya lima minit. Malah ada yang tidak memeriksa langsung. Rawatan hanya berdasarkan aduan pesakit. Namun bagi penyakit yang serius dan berulang, catatan sejarah dan pemeriksaan yang lengkap adalah suatu kemestian,” katanya.

Ada doktor yang malu mengaku kekurangan mereka seperti kurang pengetahuan dan hasilnya mereka tidak menjawab soalan pesakit.

“Doktor yang kurang berpengalaman atau berpengetahuan harus merujuk kepada doktor yang lebih senior. Kami faham mereka hanya manusia biasa yang mempunyai kelemahan,” katanya.

Panik dan takut pada apa yang menimpa diri juga sering dihadapi oleh ramai orang. Apakah bantuan yang boleh diberikan oleh doktor?

“Pesakit yang takut adalah fenomena biasa. Mereka panik, disebabkan tidak biasa berada di hospital atau melihat sesuatu yang mengerikan di klinik atau di wad. Seorang doktor yang berpengalaman tentu saja tidak panik kerana sudah biasa dengan situasi itu. Namun jika doktor juga panik, ini bermakna mereka kurang berpengalaman atau kurang berpengetahuan."

“Mereka menterjemahkan panik mereka dengan memarahi pesakit. Jika doktor penat atau sedih, saya rasa adil bagi mereka untuk sedikit beremosi. Namun jika ia disebabkan oleh masalah sikap, maka wajar seorang pesakit mencari doktor yang lain,” katanya.

Bagi menghadapi suasana panik atau kecemasan, doktor harus tenang dan menjadi contoh pada staf paramedik yang lain. Ketenangan dan kepantasan doktor tentu saja akan menyelamatkan pesakit.

“Pesakit berhak memilih doktor sebagaimana doktor berhak memilih pesakit (kecuali dalam keadaan kecemasan). Selagi belum terjadi hubungan doktor-pesakit, mereka berhak memilih. Jadi pilih doktor yang berpengalaman, berpengetahuan dan mempunyai kemahiran berkomunikasi. Itu hak pesakit,” katanya.


Dr Zubaidi, selain sibuk dengan kerjayanya, juga aktif di Internet dan boleh dilawati di www.drzubaidi.com.

Dia berpengalaman bekerja di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru selama lima tahun di Jabatan Pembedahan serta Jabatan Trauma dan Kecemasan. Selepas itu
di Kumpulan Perubatan Penawar Sdn Bhd sehingga kini.

Sumber: sini

BLOOD TEST RESULT (4)



XXX MEDICAL CENTRE LABORATORY REPORT
Date: 28.12.2010

TEST
RESULT
UNIT
Anti  HCV
Non Reactive
Non Reactive
HIV I & II Screening
Result withheld
Non-Reactive



CONFIDENTIAL REPORT
by Gribbles Pathology from XXX Medical Centre
Date: 6.1.2011

IMMUNOLOGY              SPECIMEN: SERUM
HIV CONFIRMATION
Western Blot Assay
gp160
(Env Band 160)
DETECTED
gp120
(Env Band 120)
DETECTED
p66
(Pol Band 66)
DETECTED
p55
(Pol Band 55)
Indeterminate
p51
(Pol Band 51)
Indeterminate
gp41
(Env Band 41)
DETECTED
p31
(Pol Band 31)
Indeterminate
p24
(Gag Band 24)
DETECTED
p17
(Gag Band 17)
DETECTED
HIV-2

Not Detected


Interpretation
Anti HIV-1 status: POSITIVE
Anti HIV-2 status: NEGATIVE

Interpretation criteria:
Detection of at least two ENV bands (gp160 and gp120) plus one Gag (p24) or POL (p31, p55 or p66) as determined by the WHO (World Health Organization).


AHP: Insya-Allah aku akan upload mana-mana keputusan ujian darah seterusnya jika aku mendapat butiran terperinci atau salinan laporan. Mohon maaf jika segala maklumat yang telah dipaparkan tidak lengkap. Terima kasih.