Monday, May 30, 2011

MANUSIA PERTAMA SEMBUH DARIPADA HIV

Timothy Ray Brown

Atas saranan dan sebagai tanda penghargaan terhadap beberapa orang pembaca blog ini yang tak jemu-jemu memberikan sokongan, aku paparkan entry yang pada asalnya aku pendamkan dalam draft entry-ku. Mari kita baca….


Doktor mengatakan, lelaki 45 tahun di California ini mungkin menjadi manusia pertama yang sembuh dari penyakit AIDS. Ini diketahui daripada gen kebal HIV miliknya.

Timothy Ray Brown diketahui positif HIV (Human Immunodeficiency Virus) pada 1995. Kini, beliau masuk jurnal ilmiah sebagai orang pertama yang berjaya 'menghapuskan' virus HIV dari tubuhnya secara sepenuhnya. Doktor menyebut keadaan ini 'penyembuhan berfungsi'.

Pada 2008, Brown tinggal di Berlin dan menghidap HIV dan leukemia. Di sana, saintis melakukan transplant tulang sumsum untuk mengubati leukemianya. Saintis mengatakan, Brown mendapat sumsum dari penderma yang termasuk dalam 1% caucasia kebal HIV.

"Saya berhenti mengubati HIV pada hari saya mendapat transplan itu," papar lelaki yang digelar 'Pesakit Berlin' itu.
Penyelidik penyakit AIDS, Dr. Jay Levy dari University of California, San Fransisco (UCSF) mengatakan, kes Brown membuka pintu 'penyelidikan penyembuhan'.

Namun, doktor menekankan, prosedur radikal Brown mungkin tak sesuai dengan pesakit HIV lain kerana sulitnya transplan sumsum dan mencari penderma yang sesuai. "Tentunya anda tidak mahu melakukan transplan ini kerana risiko kematian tinggi," ungkap Paul Volberding dari UCSF.

Banyak pertanyaan mengenai rawatan Brown tak dijawab, lanjutnya. "Satu elemen rawatan nampaknya membolehkan virus keluar dari tubuhnya," lanjutnya lagi. Hal ini akan menjadi kajian yang menarik. 


AHP: Terima kasih kepada Puan Ruha dan Deaf-Angel


Sumber: sini, sini dan sini


SURAT TERBUKA KEPADA AL FADHIL ALIM ULAMA', TOK-TOK GURU, PARA USTAZ DAN TUAN HAJI TENTANG HIV/AIDS


Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji…

Semoga Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji sentiasa dalam rahmat Allah dan istiqamah meneruskan usaha dakwah. Aku pembawa HIV. Maaflah aku cuma menggunakan ganti nama ‘aku’. Kita dengan Allah pun beraku engkau sahaja. Harap ustaz-ustaz bersabarlah dengan sikap jengkelku ini. Kita sama sahaja di sisi Tuhan.

Di awal kemunculannya, HIV/AIDS digambarkan sebagai satu jenis penyakit yang sangat jijik dan memang layak diterima oleh golongan berisiko yang terdiri daripada para penagih dadah, penzina, pelacur dan homoseksual sebagai balasan Allah.

Pembawa HIV dan AIDS dianggap sungguh hina. Mendekati mereka bagaikan menghampiri babi berkudis buruk kepala yang bakal merebakkan penyakit yang tiada penawar. Kejahilan ini sebenarnya terjemahan sikap dungu dan judgemental yang akhirnya bertukar menjadi stigma dan diskriminasi. Begitukah tuntutan Islam terhadap umatnya?

Perlahan-lahan penularan HIV/AIDS mula menunjukkan wajah sebenar. Kadar jangkitan terhadap golongan pekerja seks dan penagih dadah secara suntikan mula menunjukkan penurunan. Mereka semakin pandai mengambil langkah pencegahan. Jangkitan lebih tertumpu kepada pengamal seks bebas. Dalam masa yang sama isteri dan anak-anak pembawa HIV menunjukkan peningkatan jangkitan yang ketara.

Itu belum termasuk jangkitan melalui pemindahan darah atau organ dengan kadar 2.5%. Bermakna setiap 200 orang, ada lima orang mendapat HIV akibat pemindahan darah. Pekerja kesihatan sendiripun ada yang dijangkiti akibat risiko semasa menjalankan tugas.

Setiap hari jangkitan HIV/AIDS  di Malaysia sahaja lebih daripada 10 orang. Jumlah pembawa HIV/AIDS di Malaysia kini hampir 100,000 orang dan ustaz mungkin tak perasan tak perasan, lebih 70% pembawa HIV/AIDS di Malaysia adalah umat Islam!

Adakah Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji fikir jumlah itu sedikit? Itu belum termasuk golongan yang belum dan enggan didiagnos atas macam-macam sebab.

Sumber? Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji carilah sendiri di blog ini, internet dan lain-lain sumber. Memanglah ustaz sibuk baca kitab-kitab muktabar tetapi sesekali kenalah baca juga isu semasa. Tak larat aku nak tulis mengikut format assignment, proposal atau thesis. Yang pasti aku tak bercakap bohong.

Saban hari kita bersentuhan, berurusan, berkongsi sudu garpu di restoran atau gerai, bersama menggunakan kemudahan dan pengangkutan awam. Apa sahaja yang orang ramai gunakan, itulah yang mereka gunakan tetapi anehnya masih ada yang takut-takut dan memulaukan ahli keluarga sendiri, mengasingkan dapur dan peralatan makanan jika terdapat anggota keluarga di jangkiti HIV. Adilkah itu?

Akibatnya, ramailah pembawa HIV yang enggan mendapatkan rawatan kerana takutkan stigma, judgmental dan diskriminasi. Tahu-tahu HIV dah makin merebak. Mereka membayangkan HIV itu mati. Memanglah hidup lawannya mati. Orang sihat pun mati. Mati accident tu lagi ramai. Kenapa bersepah yang berani merempit?

Cuba bayangkan apabila pembawa HIV hidup dalam keadaan kecewa dan putus asa. Bukankah keluarga mereka yang tak bersalah menjadi mangsa, ustaz? Siapa yang patut tegur sikap tak betul tu?

Seperkara lagi aku cukup tak berkenan apabila ustaz-ustaz bermati-matian menentang pengagihan methadon, kondom dan jarum secara percuma kepada golongan berisiko. Ye lah, aku pun tak berapa setuju. Nampak seperti menggalakkan pula tetapi sekurang-kurangnya aku faham. Jadi fahami betul-betul dulu rasionalnya. Kemudian kalau nak menentangpun, tentanglah tetapi biarlah dengan alternative.

Tolong beri satu alternative yang dapat kita laksanakan, melibatkan semua golongan agama dan pejuang Islam ni turun pentas ceramah tu sekejap. Bercakap kat forum memang glamour, ustaz. RM masyuk pun cantik! Hehe.. Afwan, ana usik-usik je dengan antum, ustaz!

Jangan asyik menghentam tapi tak tahu apa-apa. Akibatnya ramailah orang awam yang cabul berkata, “padan muka dia orang dapat HIV.” Itu dah termasuk kategori menggalakkan kejahilan dan menghasut. Zaman fitnah dan akhir zaman ni method dakwah kena berbeza sikitlah kut…?   

HIV/AIDS sama sahaja seperti penyakit-penyakit kronik yang lain. Kami mampu hidup seperti biasa sama seperti insan lain.  Bahkan terlalu banyak penyakit kronik lain yang jauh lebih bahaya dan menderita. Contohnya, penyakit Hepatitis jauh lebih bahaya dan mudah berjangkit tetapi stigma yang mereka hadapi tidak sehebat pembawa HIV. Kenapa? Sekali lagi jawapannya ialah akibat kedunguan membuta tuli.

Pembawa HIV/AIDS digambarkan seperti golongan yang kurus kering, berbau busuk, berkudis seluruh badan dan penuh dosa. Mereka dianggap tidak layak hidup seperti orang lain. Akibatnya ada antara mereka dipinggirkan dan tidak dipandang sebelah matapun oleh kebanyakan anggota masyarakat termasuk daripada golongan ahli syurga seperti Al Fadhil Tuan Guru, Ustaz dan Tuan Haji… Itulah buktinya betapa kita begitu mudah menghukum daripada membantu.   

Golongan pembawa HIV sekarang merentas semua batas taraf hidup dan pendidikan. Ramai yang didiagnos HIV positif adalah golongan berpendidikan tinggi, punya karier dan peranan yang mulia dalam masyarakat dan mungkin golongan yang sentiasa membantu kita, tenaga muda professional dan para pelajar IPT.

Majority yang menghubungiku berkongsi rasa hati melalui emel adalah golongan terbabit. Mereka mungkin antara pengundi kita semasa pilihanraya. Mereka memang sangat perlukan golongan agama yang memahami dan dapat membimbing mereka kembali ke pangkal jalan. Penagih dadah (IDU) jalanan tak guna internet, ustaz..!

Jap nak tanya, ustaz clear ke bahawa penyalahgunaan dadah yang tidak menggunakan  jarum suntikan atau berkongsi jarum suntikan yang tidak tercemar dengan darah HIV takkan dijangkiti HIV melalui cara tersebut? Bukan apa, bimbang ustaz tersalah fakta semasa berceramah!

Ya, aku akui ada sebahagian daripada mereka dijangkiti akibat kesilapan lampau. Walaupun sekali mendedahkan diri kepada aktiviti berisiko, tidak mustahil mereka akan dijangkiti tetapi mana lebih besar dosa mereka berbanding golongan yang makan rasuah, menipu rakyat, memecah belah dan menabur fitnah, pecah amanah, melanggan pelacur di luar negara, menggunakan agama untuk kepentingan diri, mengutamakan cronyism dan nepotism? Peliknya ramai yang angguk-angguk kepala dan puji dengan golongan tersebut walaupun tahu diri tertipu ratusan kali. Mentality subsidi!

Sekalipun mereka dijangkiti akibat kesilapan lampau, tetapi dalam masa yang sama mereka juga biasanya adalah mangsa. Mangsa didikan keluarga di rumah, mangsa manipulasi ‘pemangsa,’ dan mangsa system yang hedonism. Jangan nak nafikan, aku lahir daripada sistem sekolah agama, ada juga produk pendidikan agama yang gay. Ada ustaz-ustaz aku yang minat one way entry…

Ikut hukum Islam, mana boleh hukum sebat kepada peminum arak selagi ada kilang arak dan kedai-kedai jual arak merata-rata. Samalah judi dan zina, kan ustaz?

Tapi tak kisahlah, kalau ustaz tak mahu aku pergi jauh-jauh, isunya sekarang adilkah mereka dibiarkan sebegitu rupa akibat kesilapan lampau? Bukankah ujian terhadap mereka adalah ujian terhadap kita juga kerana Allah akan melihat sejauh mana kita berperanan membantu saudara seagama. Ada fardhu ain, ada fardhu kifayah. Tak gitu ustaz?


Kenapa dibiarkan pembawa HIV/AIDS hidup melarat dan merempat? Kenapa bila pihak gereja pungut para pesakit yang terbiar ini dan beri perlindungan di gereja, Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji tahu pula marah-marah? Ustaz kata ada yang mati dalam keadaan akidahnya meragukan. Habis, kenapa sebelum tu tak kecoh pula? Tanggungjawab siapa tu ustaz?

Aku teringat ketika aku bertugas di Sarawak. Disebabkan di sana Christianization-nya sangat berkesan, aku bertanya kepada penganut Kristian yang tinggal di hulu-hulu sungai, bagaimana mereka mula mengenal Kristian?

Mereka kata paderi dan mubaligh mereka tak banyak cakap. Sanggup ke kawasan-kawasan hulu. Tinggal bersama mereka. Dengar keluhan dan tanya keperluan mereka. Nak sekolah, pakat-pakat gotong royong bina sekolah. Sebelum mampu bina sekolah yang sempurna, ajar dulu basic pendidikan di gereja atau chapel. Mereka tak cerita pun pasal agama secara direct!

Nak rawatan, mereka sediakan nurse. Nak elektrik mereka sediakan generator. Lama-lama kepercayaan dan hormat terbina sendiri. Kita? Nak tengok ustaz-ustaz melawat hospital terutama ziarah pesakit AIDS seperti menunggu gerhana matahari!   

Agaknya bagaimana jika golongan ini menganggap Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji hanya tahu rhetoric? Cakap tak seperti bikin. Ustaz hanya bercakap di kerusi empuk.

Ustaz kata bahawa segala ujian tanda kasih sayang Allah. Ustaz cakap, beruntung apabila diberi didikan secara langsung oleh Allah. Ustaz kata Allah tak pernah zalim. Ustaz nasihatkan sabar dan redha sebab segalanya terbaik daripada Allah. Ustaz kata kita wajib tolong menolong dan saling memaafkan.

Ustaz kata dan nasihat macam-macam. Ustaz keluarkan segala dalil aqli dan naqli. Mengalir air mata keinsafan tetapi cukup macam tu sahaja ya ustaz? Kerja turun padang ni kerja orang lain. Ustaz sibuk dan tak mahu kotorkan tangan? Zalim biarkan mereka pergi tanpa bimbingan. Cuba bayangkan ianya terjadi kepada anggota keluarga ustaz sendiri, bagaimana rasa agaknya?

Ustaz, penyakit ni bukan semestinya kifarah Allah terhadap penerimanya. Bayi dan kanak-kanak yang berjangkit daripada ibu mereka tu nak minta mereka bertaubat juga ke ustaz? Isteri-isteri yang menjadi mangsa akibat kenakalan suami mereka tu macam mana? Entahlah, aku tak berapa faham, ustazlah tolong jelaskan sendiri. ilmu ustaz-ustaz jauh lebih tinggi.  

Akhir kata, maafkan aku jika surat ni terlalu kasar bahasanya untuk orang semulia Al Fadhil Tok-tok Guru, Ustaz dan Tuan Haji. Aku tak nafikan ada yang sudi menghulurkan tangan tetapi terlalu sedikit berbanding pihak lain. Aku menyampaikan apa yang aku fikir betul. Kalau betul kenalah terima. Kalau aku salah, betulkan aku.

Sekian, terima kasih.


Daripada,
Aku HIV Positif!
29 Mei 2011


Friday, May 27, 2011

‘BERI SAYA 1 NYAWA’


KUALA TERENGGANU: “Saya juga ada cita-cita seperti orang lain untuk berjaya dalam hidup dan pelajaran. Apa yang berlaku sudah berlaku dan tidak mungkin akan jadi sebaliknya.

“Apa yang saya harap, berilah saya satu ‘nyawa’ untuk meneruskan kehidupan,” kata Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 25, yang membuat petisyen di Mahkamah Tinggi di sini, memohon menukar nama kepada Aleesha Farhana.

Menurutnya, dia kini menyerahkan kepada hakim yang akan membuat keputusan pada 18 Julai depan.

“Apa yang saya mahukan hanyalah peluang untuk meneruskan kehidupan termasuk dalam karier dan pelajaran,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan hasrat Mohd Ashraf Hafiz untuk menukar nama kepada Aleesha Farhana Abd Aziz tertangguh lagi apabila Mahkamah Tinggi di sini, kelmarin, menetapkan 18 Julai depan untuk mendengar keputusan permohonan berkenaan.

______________________________________________________________________________

HARAM WALAU APA JUGA ALASAN

KUALA TERENGGANU: “Walau apa alasan sekalipun, perbuatan menukar jantina tetap haram di sisi Islam dan berdosa besar,” kata Timbalan Mufti Negeri Terengganu, M Rodzi Bidin.

Beliau diminta mengulas mengenai hasrat Mohd Ashraf Hafiz Abd Aziz, 25, yang memohon menukar namanya kepada Aleesha Farhana Abd Aziz di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, semalam.

M Rodzi berkata, lelaki yang menyerupai wanita hukumnya haram, apatah lagi lelaki yang menukar jantina untuk menjadi wanita.

“Ia mengubah kejadian Allah, alasan digunakan kononnya mempunyai naluri perempuan tidak boleh diterima kerana asal kejadian adalah lelaki dan perasaan serta sangkaan itu tidak lebih daripada hasutan dan mainan syaitan.

“Lelaki tetap lelaki dan perempuan tetap perempuan, keinginan untuk menjadi perempuan daripada lelaki atau sebaliknya tidak dibenarkan dalam Islam.

“Melainkan jika si pemohon mempunyai kes tertentu seperti khunsa, dia boleh memilih jantina sama ada lelaki atau perempuan mengikut kecenderungannya walaupun begitu ia perlu diperiksa dan ditentukan pakar,” katanya.

Mohd Ashraf Hafiz yang menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand antara 2008 hingga 2009 mendakwa lebih cenderung kepada perwatakan wanita memfailkan petisyen memohon mahkamah membenarkannya menukar nama pada November tahun lalu.

Sumber: sini dan sini

Thursday, May 26, 2011

BERSABAR MENGHADAPI UJIAN DAN REDHA TERHADAP QADHA


Saat dilanda ujian dan dugaan, kita bertempik kecewa.

Tika cubaan datang, serasa sesak dada hingga berprasangka buruk kepada Tuhan.

Tatkala dihempit derita, kita menangis sambil meratapi kesedihan yang melanda.

Bahkan saat itu, kita lupa tentang kalimah ‘sabar’ dan ‘redha’. Kita juga lupa bahawa kita ada Allah Yang Maha Esa. Kita tidak menyakini bahawa dengan kehadiran ujian itu, sebenarnya adalah cubaan yang Allah SWT turunkan buat menguji sejauh mana keimanan hamba-hambaNya.

Bukankah Allah SWT telah mengkhabarkan kepada kita tentang ujian dan cubaan buat orang-orang beriman?

“Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?” Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah).” (Al-Baqarah: 214)

Maka setelah diturunkan ujian berganda-ganda bagi menguji keimanan hambaNya, Allah SWT mengingatkan kita tentang kalimah ‘sabar’. Kerana kesabaran adalah senjata bagi menghadapi segala mehnah dan tribulasi.

“Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira.” (Az-Zumar: 10)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan)…” (Ali-Imran: 200)

Allah SWT menjanjikan pertolongan saat menghadapi kesulitan, dengan syarat kita mestilah bersabar menghadapinya. Jangan sesekali kita berpaling dari Allah SWT, atau menjauhkan diri dariNya. Dibimbangi kita akan terjerumus ke lembah kehinaan dengan mengikuti jalan sukar yang dihembuskan Syaitan durjana.

Syaitan sama sekali tidak akan senang kepada hamba-hambaNya yang sabar dan senantiasa berpegang teguh kepada tali Allah SWT. Biarkan Syaitan kecewa dengan sikap kita yang keras menentang bisikan-bisikannya. Perbanyakkan doa dan solat agar tali yang mengikat kepada Rabbi bertambah utuh dan kuat.

Tatkala Dihadirkan Ujian

Setiap kesabaran yang terbina, adalah lahir daripada hati dan nurani yang bersih. Hati yang kotor, adalah amat payah untuk menerima sebuah kesabaran dan rasa redha berpanjangan.

Kebeningan hati laksana sebuah istana kukuh, mampu menahan segala serangan musuh. Sekuat mana musuh itu, jika istana yang dibina dibentengi perisai kukuh, penjaga berdisplin dan teratur, serta senjata penangkis yang utuh, pasti musuh tersungkur rebah tanpa sempat menawan istana itu.

Dari Abu Said al-Khudri RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:

“Barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah SWT akan menjadikannya mampu bersabar. Tidak ada pemberian yang diberikan kepada seseorang yang lebih baik dan lebih luas daripada kesabaran.” (Muttafaq ‘alaih)

Begitu juga hati kita, apabila dibina dengan benteng kesabaran, dikelilingi senjata redha, dan sistem pertahanan berupa doa yang tak putus-putus, nescaya ia sukar untuk diroboh. Saat itu, Allah SWT pasti akan menurunkan pertolonganNya yang berupa kekuatan menyinari dalamannya dan memberikan ganjaran berlipat kali ganda atas kesabaran yang menghiasi diri hambaNya. Dari Abu Malik al-Asy’ari RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:

“Sabar adalah cahaya…” (HR Muslim)

Rasulullah SAW pernah berpesan kepada kita, bahawa apabila Allah SWT menyayangi suatu kaum, pasti Allah SWT akan menurunkan ujian dan cubaan. Alhasil, Allah SWT akan menilai sejauh mana takat kesabaran yang terbentuk. Kadangkala, ada sesetengah manusia membenci kesusahan, kesakitan, bebanan yang ditimpakan ke atasnya sehingga bertempik benci dan mengeluh panjang kepada Allah SWT.

Maka, jika itulah keadaannya, ini bererti manusia itu telah menempah murka Allah SWT. Tatkala itu, Allah SWT akan menimpakan kemurkaanNya dengan nilaian dosa. Dosa akibat lemahnya rasa sabar manusia terhadap ujian yang dihadapi.

Hadis yang telah dikeluarkan oleh Ahmad melalui jalur Mahmud bin Labid menyatakan, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesungguhnya Allah Azza Wajalla jika menyintai suatu kaum, maka Allah akan memberikan cubaan kepada mereka. Barangsiapa yang sabar, maka dia berhak mendapatkan (pahala) kesabarannya. Dan barangsiapa marah, maka dia pun berhak mendapatkan (dosa) kemarahannya.”

Telah disebut oleh al-Qirafi bahawa adanya ijma’ (kesepakatan) di kalangan ulama’ mujtahid bahawa haram hukumnya kita marah terhadap qadha Allah SWT. Keharaman marah terhadap qadha juga ada disebut dalam sebuah hadis lain berbunyi:

Rasulullah bersabda:

 “Sesungguhnya jika Allah akan menyintai suatu kaum, maka Dia akan memberikan ujian kepada mereka. Barangsiapa yang bersabar maka kesabaran itu bermanfaat baginya. Dan barangsiapa marah (tidak sabar) maka kemarahan itu akan kembali kepadanya.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Imam at-Tirmizi. Ibnu Muflih berkata: “Isnad hadis ini baik”)

“Sebab aku tidak ada wang, aku terpaksa mencuri. Mungkin Allah SWT tidak menyayangiku lagi.” Rungut individu yang bersangatan kecewa tanpa dibatasi iman.

“Allah, mengapa Engkau turunkan ujian sebegini, mengapa?!” Bentak individu lain tanda kecewa.
Kes sebegini terlalu banyak berlaku di dalam masyarakat kita. Kita selalu marah-marah pada Pencipta bila letih menerima cubaan, hingga ada yang sanggup mencaci-maki bagai orang gila yang tidak berpedoman. Kita menyalahkan Allah SWT, menyalahkan takdir, menyalahkan qadar ketentuan Ilahi tanpa menggunakan neraca iman dan ilmu. Kita tidak lagi memandang akan hikmah tersembunyi.

Lantas, kekecewaan bersalut dosa terus membelenggu diri, merantai jiwa hingga tertutup pintu hati kepada sebuah kebenaran. Nauzubillahhi minzalik.
Moga, saya dan kalian terjauh dari perilaku sebegini.

Menelaah Erti Sabar

Erti sabar bukan hanya sekadar meniti di bibir. Bukan semata-mata mengatakan yang kita mampu menahan sabar bila dilanda sekelumit musibah. Sabar juga bukan omongan kosong yang harus diwar-warkan kepada umum agar mendapat pujian dan dilabel sebagai insan yang penyabar.

Justeru, erti sabar sebenar adalah ketika kita tegas mengatakan yang haq lalu melakukannya. Di samping melaksanakan, kita sudah siap-siaga menghadapi sebarang risiko mendatang tanpa rasa lemah, takut, atau berpaling melarikan diri.

Sifat sabar sebenar yang dikurniakan Allah SWT adalah rimbunan buah ketaqwaan yang menyubur di dalam nubari insan beriman. Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya barangsiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menyia-nyiakan pahala orang-orang yang berbuat.” (Yusof: 90)

Sifat sabar sebenar adalah kesabaran yang menyebabkan kita semakin dekat dengan Allah SWT, jelas matlamat dan tujuan hidup, bercita-cita untuk menuju ke syurga melalui siratol mustaqim (jalan lurus). Gambaran ini boleh dikutip dari kisah kesabaran Bilal bin Rabah menahan derita disiksa dan dihempap batu besar tatkala mempertahankan keimanan kepada Azza Wajalla. Begitu juga kisah keluarga Yasir yang disula hingga menemui ajal semata-mata bersabar menahan siksaan atas keengganan kembali kepada kepercayaan Jahiliyyah lagi Taghut. Lantas Rasulullah SAW bersabda:

“Sabarlah wahai keluarga Yasir, sesungguhnya yang dijanjikan bagi kalian adalah syurga.”

Misalan lain, sebagaimana kesabaran Khubaib dan Zaid; dia berkata:

“Demi Allah, aku tidak suka Muhammad SAW ditimpa musibah walau hanya dengan duri, sementara aku selamat dengan keluargaku.”

Selain itu, sifat sabar orang-orang yang menyatakan kebenaran di hadapan penguasa yang zalim, menghentikan perbuatan mencaci dari kalangan mereka yang suka mencaci, melaksanakan amar makruf nahi mungkar juga terkategori sebagai kesabaran sebenar.

Ini sebagaimana yang disabdakan Rasulullah SAW:

“Tidak, demi Allah, kalian harus menghentikan orang yang zalim, kalian harus membelokkan mereka (dari kezaliman) menuju kebenaran, dan kalian harus menahan mereka dalam kebaikan atau Allah akan mengunci hati sebahagian dari kalian disebabkan oleh sebahagian yang lainnya dan Allah akan melaknat kalian sebagaimana telah melaknat Bani Israil.”

Maka, bersabarlah dengan sebenar-benar sabar bila qadha Allah bertandang ke kamar hidupmu.


Sumber: sini


Wednesday, May 25, 2011

HARGAI TUGAS JURURAWAT

MUNGKIN agak terlewat untuk saya mengucapkan selamat Hari Jururawat yang disambut pada 12 Mei lalu.

Namun, ada perkara yang menarik untuk dikongsi mengenai dunia jururawat bersama masyarakat pada hari ini.

Pernahkah anda terfikir untuk menjadi jururawat? Marilah kita luangkan masa sedikit untuk menjadi seorang jururawat. Amat mudah.

Pertama sekali, sekiranya anda sudah berumah tangga dan mempunyai seorang cahaya mata yang baru dilahirkan, cuba anda bertanya kepada si ibu atau si ayah, sama ada susah atau senang untuk menukar lampin anak pada setiap hari tidak kira siang dan malam.

Kedua, andai kita masih mempunyai kedua-dua ibu bapa, tanyalah pada diri anda andai mereka lumpuh dan tidak berdaya untuk melakukan kerja, di manakah anda pada waktu itu dan apakah yang akan anda lakukan?

Bagaimana anda akan melaksanakan tanggungjawab anda sebagai seorang anak?


Mudahkah kita menjaga seseorang yang lumpuh?

Ketiga, anda seorang lelaki yang gagah perkasa, namun berapa ramai yang gagah bila melihat darah, berapa ramai lelaki di luar sana yang bersedia melihat mayat setiap hari?

Beranikah anda sebagai lelaki sejati merawat pesakit yang 90 peratus nyawa mereka berada di tangan anda.

Andaikan pemergian mereka sudah ditakdirkan, namun anda dipersalahkan oleh ahli keluarga pesakit, bersediakah anda?

Lelaki sememangnya mahir menggunakan mesin, tapi adakah mudah merawat manusia, di antara mesin dan nyawa manusia, yang manakah lebih bernilai?

Senario di atas hanyalah 1/100 daripada tugas seorang jururawat.

Pernahkah anda terfikir betapa sukarnya bekerja sebagai jururawat?

Kerja empat orang, jaga 40 orang dengan pelbagai ragam pesakit.

Doktor bagi arahan saja, yang buat kerja jururawat. Kalau anda tidak percaya pergilah melawat.

Pesakit tahu buat aduan tapi tidak pandai berterima kasih.

Mereka menyelamatkan banyak nyawa, namun orang tidak peduli.

Jururawat bermasalah hanyalah seorang dua, tapi jangan dihukum 80,000 orang jururawat yang lain.

Jururawat dikritik, namun tidak pernah dengar jururawat mengkritik.

Tiada waktu rehat diperuntukkan dalam waktu bekerja, namun mereka tetap bekerja sepanjang masa.

Takut dikritik masyarakat kerana jururawat tidak buat kerja, sedangkan mereka hanya berehat sekejap saja.

Bekerja lebih masa adalah perkara biasa, kalau tidak percaya tengoklah kad perakam masa.

Bukan semua dapat tuntut elaun kerja lebih masa, banyak alasan, banyak masalah birokrasi.

Jururawat hanya tahu bekerja, tetapi mereka masih tidak peka hak mereka sendiri.

Orang kata kalau tidak tahan bekerja jururawat, berhenti saja.

Tapi orang lupa, jururawat manusia biasa, yang mempunyai hati dan jiwa, mempunyai anak-anak dan keluarga.

Anak-anak di rumah juga perlu dirawat dan dijaga.

Kalau semua jururawat berhenti, bersediakah anda menjadi pengganti?

Bolehkah hospital beroperasi? Tanyalah diri tanyalah dengan seikhlas hati.

Masyarakat takut penyakit berjangkit, tetapi jururawat sentiasa terdedah dengan pelbagai penyakit.

Menjaga pesakit banyak tekanan, tapi ramai orang buat tak perasan.

Kerja mereka sungguh luar biasa, tapi orang pandang biasa saja.

Jagalah kebajikan mereka, janganlah sampai mereka berhijrah ke luar negara mencari kerja, kelak kita tidak cukup pekerja.

Jangan pandang sebelah mata bakti mereka, kerja mereka sungguh mulia.

Mereka tidak pandai berkata-kata, cuma tahu bekerja.

Mereka simpan di dalam hati, entah sampai bila boleh didengari.

Kerja mereka sungguh mulia. Tiada jururawat hospital tidak akan berfungsi.

Apakah kebajikan mereka sekarang ini sudah mencukupi?

Hargailah jasa mereka.


PELAJAR JURURAWAT
Kuala Lumpur

Sumber: myMetro

AHP: Maaf kalau pandanganku tersasar. Aku yakin ramai pembaca ada macam-macam pengalaman berurusan dengan jururawat. Sama seperti lain-lain pekerjaan, sukar dinafikan terdapat segelintir jururawat yang tidak menunjukkan sikap professional tetapi hampir kesemuanya bagus-bagus belaka.

Tiada sesiapa yang menidakkan kepentingan dan sumbangan jururawat. Kritikan bukan bermaksud menafikan sumbangan mereka. Jadi, mari kita laksanakan tugas dengan penuh rasa tanggungjawab dan ikhlas supaya hati kita puas, jiwa kita tenang dan tidak ada apa-apa yang membuatkan kita resah gelisah. Bak kata Dr. Iskandar: “PROVE YOURSELVES WORTHY.” Penghormatan akan datang sendiri.



ALUMNI: PROF ADEEBA PAKAR HIV/AIDS

Prof Dr Adeeba Kamarulzaman

PENAMPILAN dan keperibadian Prof Dr Adeeba Kamarulzaman cukup sederhana, namun siapa sangka wanita itu sebenarnya berjiwa besar dan bersemangat kental.

Minat mendalami kepakaran dunia perubatan khususnya bidang penyakit berjangkit seperti HIV/Aids selain sumbangan besarnya kepada negara serta masyarakat dalam menangani isu dan permasalahan penyakit berbahaya itu membuktikan beliau bukan calang-calang orang.

Kini menerajui Unit Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaysia (PPUM), Prof Adeeba antara individu dikagumi dan disegani ramai khususnya dalam dunia perubatan HIV serta Aids.

“Saya mula mendalami kepakaran dalam bidang penyakit berjangkit khususnya HIV ketika bertugas di Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne, Australia pada 1996.

“Ketika itu, penularan virus HIV di dunia baru lapan tahun dan rata-rata pesakitnya ialah kalangan generasi muda, manakala rawatan pula masih lagi baru. Faktor inilah menjadi tarikan kuat untuk saya mendalami kepakaran dalam bidang ini,” katanya.

Akur berdepan dengan banyak cabaran sepanjang kariernya, beliau bagaimanapun tekad meneruskan perjuangan membantu pesakit yang hidup dengan HIV dan Aids kerana sedar akan tanggungjawab dipikulnya.

Pengalaman kerjaya di luar negara banyak mematangkannya, malah beliau sama sekali tidak pernah jemu menggali ilmu dan kepakaran dalam bidang berkaitan.

“Secara umumnya, masyarakat masih belum terbuka dengan idea hidup bersama mereka yang hidup dengan HIV dan Aids kerana perasaan syak wasangka serta prejudis masih tebal dalam diri mereka.

“Halangan sebegini yang paling sukar sepanjang karier saya kerana majoriti masih enggan menerima mereka yang hidup dengan HIV dan Aids sebagai sebahagian daripada masyarakat,” katanya.

Tempoh 15 tahun di luar negara dirasakan sudah cukup sehingga akhirnya Prof Adeeba akur dengan permintaan ibunya agar kembali berkhidmat kepada negara.

“Awalnya, saya serba salah untuk kembali ke Malaysia kerana sudah selesa dengan persekitaran kerjaya di sana, apatah lagi saya bersuamikan warganegara Australia selain jaminan pendapatan yang cukup lumayan.

“Namun segala-galanya berubah selepas termakan pujukan ibu yang mahu saya kembali menyumbang bakti kepada tanah air selepas banyak wang kerajaan dilaburkan bagi membiayai pengajian saya di Australia,” katanya.

Beliau berkata, banyak perbezaan dirasainya sebaik kembali ke Malaysia khususnya dalam persekitaran kerjaya dan kemudahan perubatan yang disediakan kepada mereka yang hidup dengan HIV/Aids.

Katanya, pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap bahaya HIV belum meluas selain kekangan kos perubatan pada ketika itu amat tinggi.

“Saya ditugaskan di PPUM dan skop pekerjaannya lebih kepada pencegahan wabak penyakit berjangkit seperti HIV, denggi, tibi dan virus baru. Pengalaman paling getir ialah ketika kami perlu mengkaji dan mencari rawatan sesuai menangani virus Nipah yang melanda negara pada 1999. Situasi ketika itu amat genting dan menakutkan hingga suami menggesa saya beralih ke unit lain.

“Apapun, pengalaman menjalankan Projek Harapan membabitkan banduan yang hidup HIV di Penjara Kajang bersama rakan karib, Prof Dr Rick Altice dari Yale University cukup mengharukan.

“Detik itu cukup bermakna apabila satu hari saya didatangi seorang bekas banduan yang tidak putus-putus merakamkan ucapan terima kasih atau usaha saya melaksanakan projek sehingga berjaya membuka lembaran baru dalam hidupnya menjadi insan yang lebih baik. Perasaan saya ketika itu sukar digambarkan namun dalam hati terdetik rasa bangga menjadi seorang doktor,” katanya.

Pengalaman luas Dr Adeeba menangani isu HIV dan Aids, selain berdepan teman rapat yang disahkan hidup dengan virus itu, membuatkan beliau terus aktif dalam pelbagai aktiviti berkaitan HIV/Aids di seluruh dunia.

“Saya juga kerap ke luar negara menghadiri bengkel serta seminar berkaitan Aids selain aktif dalam badan bukan kerajaan seperti Majlis Aids Malaysia dan Yayasan Aids Malaysia.

“Apa yang saya lakukan ini ialah untuk sama-sama membantu masyarakat mendalami pengetahuan penyakit itu, jangan wujudkan unsur diskriminasi terhadap mereka dan sebaiknya, bantulah mereka daripada segi sokongan dan keperluan lain,” katanya yang berjaya merealisasikan penubuhan Pusat Kecemerlangan Kajian Aids (Ceria) di UM pada 2007.

Graduan perlu terus timba ilmu

“KELAYAKAN dalam bidang perubatan bukanlah penamat segala-galanya, sebaliknya sebagai seorang doktor, pencarian ilmu dan kepakaran perlu diteruskan selagi mereka memikul amanah itu,” itulah pesanan Prof Adeeba kepada graduan dan mahasiswa perubatan.

Katanya, ilmu yang dipelajari di universiti perlu diperkukuhkan dengan inisiatif graduan itu sendiri menggali maklumat bagi mempersiapkan diri menjadi seorang doktor yang terbaik.

“Jangan rasa diri sudah cukup dengan ilmu perubatan apabila berjaya menggenggam ijazah. Anggapan itu salah kerana perkembangan bidang perubatan begitu pantas, ada saja wabak baru melanda dunia, begitu juga kemajuan teknologi yang diguna pakai.

“Selari dengan itu, seorang doktor juga perlu bergerak bersama-sama perkembangan dalam dunia perubatan selain bersedia untuk melakukan perubahan,” katanya.

Beliau yang bimbang melihat sikap segelintir mahasiswa perubatan masa kini yang disifatkannya lalai dan tidak serius mendalami bidang pengajian itu mengakui faktor itu dikhuatiri mampu merencatkan usaha melahirkan bakal doktor yang terbaik.

Katanya, mahasiswa perubatan perlu sedar realiti profesion itu yang menuntut pengorbanan tinggi dan jika faktor mereka mengambil jurusan perubatan sekadar memenuhi impian atau desakan keluarga, ia satu alasan yang salah.


PROFIL

Prof Dr Adeeba Kamarulzaman

Pendidikan:
Felo Royal Australiasian College Of Physicians MBBS Monash University, Australia

Pencapaian: Pakar Perunding dan Ketua Unit Penyakit Berjangkit, Pusat Perubatan Universiti Malaya
Ahli Australasian Society for HIV Medicine
Felo Academy of Science, Fellow, 2010
Penasihat Yayasan Aids Malaysia
Editor Tamu, The Lancet Special Series : HIV and Injecting Drug Use 2009-2010
Ahli Australasian Society for Infectious Diseases, 2008
Ahli Majlis International Society for Infectious Diseases, 2008
50 Emerging Women Leader in Asia Pacific 2011 Advance Australia, Australian Government, 2011
Australian-Asian Fellowship Award, Australian Government, 2002
Fellow in Infectious Diseases, Senior Medical Staff, Fairfield Hospital, 1995
Merdeka Award, Exxon Mobil, Petronas and Shell, 2008
Tun Mahathir Science Award, Malaysian Academy of Science, 2008
Prof Adjung School of Public Health and Tropical Medicine, Tulane University, New Orleans, Amerika Syarikat
2008 - 2011
Prof Adjung, Department of Tropical Medicine, Tulane University 1 Januari 2008
Visiting Consultant Physician, Institut Jantung Negara, 1 Januari - 31 Disember 2000
Clinical Research Fellow, Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne , Australia, 1 Februari 1995 - 31
Januari 1996
Infectious Diseases Registrar, Austin Hospital, Melbourne, Australia, 1 Februari 1994 - 31 Januari 1995
Senior Infectious Diseases Registrar, Fairfield Infectious Diseases Hospital, Melbourne , Australia, 1 Februari 1992 - 31 Januari 1994

Sumber: sini

MENGHAKIS STIGMA RAWAT PESAKIT AIDS



Golongan agama perlu bantu perangi dadah, seks bebas
“JIKA saya lemah semangat dan terlalu sedih mendengar cacian orang, sudah lama saya mati. Tetapi rasa sedih itu hadir seketika saja kerana saya tahu, saya harus reda dengan ketentuan Ilahi,” kata Jamaliah Sulaiman, ketika ditemui pada sambutan Hari Memperingati AIDS Sedunia, baru-baru ini.
Jamaliah pernah mengecapi kebahagiaan seperti insan lain, namun segala-galanya musnahapabila dia disahkan HIV positif selepas kematian suaminya yang juga menjadi punca dia menghidap penyakit itu.
Bagaimanapun, peristiwa hitam itu tidak sedikit pun mematahkan keazamannya meneruskanhidup bahkan pengalaman itu dijadikan pengajaran untuknya memulakan kehidupan baruselepas bergelar pesakit HIV.
“Akibat terlalu akur dan taat kepada suami, saya tidak peka dengan perubahan berlaku terhadap suami hinggalah mengetahui perkara sebenar. Namun, saya tidak pernahmenyalahkan suami, malahan apa yang berlaku benar-benar membuka mata saya sebagai wanita.
“Selepas semua yang berlaku, saya sedar bahawa setiap anggota masyarakat harus peka dalam usaha mengembalikan penghidap HIV/AIDS ke jalan yang benar.
Kini, saya berkhidmat di Yayasan PT iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperoleh dana Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Kesihatanyang berfungsi membantu golongan penagih dadah, pelacur, mak nyah, pengemis serta anak-anak terbiar dan penghidap HIV positif yang tertumpu di kawasan Chow Kit,” katanya.
Jamaliah berkata, sepanjang tempoh perkhidmatannya di Yayasan PT, dia mendapati wanita sering menjadi mangsa lelaki, manakala sebahagian penghidap HIV/AIDS berasal daripada kelompok yang tiada kesedaran agama.
“Justeru, saya mencadangkan agar pendekatan agama digunakan dalam usaha mengembalikan penghidap HIV/AIDS ke pangkuan masyarakat,” katanya.
Perkara sama turut disuarakan hadirin acara Hari Memperingati AIDS Sedunia anjuran Yayasan PT yang rata-rata menganggap pendekatan agama sebagai kaedah terbaik mengatasi masalah itu.
Pengerusi Yayasan PT, Hisham Hussien, berkata pendekatan kembali kepada peganganagama cara terbaik dalam mengatasi masalah itu kerana ia bukan sekadar masalah kesihatan semata-mata.
“Walaupun kes baru yang positif HIV berkurangan berbanding lima tahun lalu, peningkatankes baru membabitkan hubungan seksual antara lelaki dan wanita, selain lelaki dan lelaki semakin membimbangkan kerana membabitkan golongan isteri dan kanak-kanak,” katanya.
Bagi mencapai usaha itu, kempen Hari Memperingati AIDS Sedunia mula menerapkan elemen keagamaan.
Kempen yang diadakan di Pusat Bantuan Khidmat Sosial Yayasan PT, Jalan Tuanku Abdul Rahman, itu turut mendapat sokongan 10 peserta program realiti Imam Muda, musim kedua.
Mereka tampil dalam slot keagamaan mempersembahkan nasyid dan membaca surah Yasin selepas solat berjemaah bersama komuniti Islam yang hadir pada malam itu.
Sumber: sini

JAKIM CETAK 10, 000 NASKHAH MANUAL ISLAM, HIV/AIDS

KOTA BHARU 22 Mei - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mencetak sekurang-kurangnya 10,000 naskhah Manual Islam dan HIV/AIDS untuk diberikan kepada imam dan pegawai agama di seluruh negara sebagai panduan dalam menguruskan jenazah penghidap HIV dan pesakit AIDS.
Ketua Pengarahnya, Othman Musthapa berkata, buku tersebut boleh menjadi panduan untuk mengelakkan berlakunya kes enggan memandikan jenazah kerana takut dijangkiti penyakit atau virus itu.
"Sekarang memang sudah tidak berlaku keadaan seperti sekitar 1980-an dulu kerana masyarakat sudah mempunyai ilmu mengenai HIV/AIDS, namun buku ini tetap wajar dimiliki.
"Semua maklumat mengenai HIV/AIDS ada di dalam buku ini, begitu juga mengenai cara-cara menguruskan jenazah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Latihan Fasilitator Manual Islam dan HIV/AIDS Kelantan, di sini hari ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Hussien; Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAC), Datuk Zaman Khan dan Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Profesor Dr. Adeeba Kamarulzaman.
Buku terbitan Jakim itu mempunyai lapan modul utama yang amat berguna termasuk kepada bakal suami atau isteri yang menghidap HIV.
Othman berkata, Jakim tidak pernah menghalang pasangan yang menghidap HIV untuk berkahwin, sebaliknya mereka akan diberikan kaunseling secukupnya.
"Pemeriksaan dibuat untuk kita mengetahuinya sahaja dan selepas itu bakal suami atau isteri akan diberitahu bahawa pasangan mereka menghidap HIV.
"Jika hasrat untuk berkahwin tetap diteruskan, kita tidak boleh menghalangnya tetapi bantuan kaunseling dan khidmat nasihat akan diberikan sepanjang masa," katanya.
Sumber: sini