Mana satu LR ya?
Nama Luka Rafieqa (LR) sangat sinonim dengan blog ini. Malah ramai yang beranggapan bahawa blog ini adalah milik LR sehingga menenggelamkan namaku (AHP).
Walau bagaimanapun, sebagai sahabat seperjuangan, ianya memang hak bersama. Blog ini memang aku dedikasikan kepada semua PLHIV. Aku angkat LR sebagai Penasihat POSITIVE WARRIORS SUPPORTER GROUP merangkap Penasihat blog AHP tanpa sedikitpun bimbang kami over-shadow antara satu sama lain.
Kehadiran LR memang meningkatkan rating pengunjung blog kerana LR (termasuk sahabat-sahabat sokongan lain yang enggan mendedahkan diri) sering mempromosikannya dalam pelbagai cara termasuk kepada pihak media.
Apabila ramai pengunjung, bermakna semakin tinggilah potensi info yang tepat dapat kita sampaikan kepada masyarakat. Ketika entry ini ditulis, secara umumnya, jumlah pengunjung hampir mencecah setengah juta orang dalam masa lebih kurang setahun.
OK lah untuk sebuah blog kerdil… Atas rasional tertentu, tanpa entry terbaru sekalipun, blog ini mampu meraih minat pembaca. Perlahan-lahan, tetapi berterusan.
Segala macam maklumat asas mengenai HIV telah disediakan. Tidak terlalu akademik, tetapi santai dan hampir 100% dalam Bahasa Melayu. Itupun peluang dakwah dan pahala juga, kan?
Jika LR dapat nama, alhamdulillah aku juga sangat bergembira dan bersyukur. Aku tak ada apa-apa masalah berkaitan isu tersebut. Itulah antara sedikit balasan yang aku mampu berikan terhadap perjuangan dan jasa LR yang menggunung terhadapku dan terhadap komuniti.
Siapa LR?
Aku tidak boleh memandai-mandai mendedahkan identity individu tanpa izin. Entri ini sekadar pandangan peribadiku terhadap LR dan sebahagian kecil daripada peranan dan jasa-jasa LR membantuku dan komuniti.
Cukuplah kalau aku katakan bahawa LR adalah seorang professional volunteer di peringkat kebangsaan dan international. Sangat merendah diri dan kaya dengan empati.
Bagaimana persahabatan terbina?
Ketika masih terlalu ‘hijau’ sebagai PLHIV, antara insan terawal yang sudi meninggalkan komen di blog ini ialah LR.
Tiap kali meninggalkan komen, aku dapat rasakan perkongsian LR sangat hampir dan meresap ke dasar hati. Jarang pembaca yang mampu meninggalkan sentuhan magis sebegitu kecuali seseorang yang istimewa.
Aku tertunggu-tunggu komen LR. Apabila ada, aku sangat gembira dan belajar banyak perkara. Kalau LR tak komen, aku gelisah dan tercari-cari.
Peringkat awal berblog juga bermakna aku masih banyak kekeliruan. Kalau ada pertanyaan pembaca yang tak dapatku jawab, LR biasanya menjawab dengan tepat dan turut memberikan kefahaman kepadaku.
Kadang-kadang ada pertanyaan pembaca yang menyedihkan dan menyinggung perasaanku. LR segera hadir menjernihkan keadaan. Aku rasa selamat dengan sokongan LR. Malahan sesekali LR sendiri turut dimaki hamun pembaca yang tidak beretika.
Ringkas cerita, aku dan LR akhirnya mula berbalas-balas emel dan bertukar nombor telefon. Banyak perkara aku rujuk LR jika perlukan bantuan. Kalau ada yang silap, LR berikan teguran. Maknanya betullah LR aku lantik sebagai Tuan Penasihat kan?
Kelakarnya, sebelum bertelefon, haram aku tahu LR ni lelaki ke perempuan. Bila sembang, jantan bro…! Kalau perempuan, memang aku tackle. Hahaha… Apa point aku katakan begitu? Bermakna persahabatan terbina tanpa sedikitpun rasa stigma dan diskriminasi.
Bermula daripada situ, baruku tahu rupa-rupanya jasa LR terhadap komuniti bukannya sedikit. Sejarah pengalaman LR membantu komuniti sangat panjang dan mencabar berbanding aku yang baru bermula. LR berjuang sepenuh masa termasuk mendekati dan membantu golongan gelandangan.
LR biasa menjelajah ke lorong-lorong hitam mencari mereka yang memerlukan bantuan, membantu menguruskan jenazah PLHIV, dan melawat hospital-hospital. LR juga kaya dengan pengalaman melihat derita dan tawa PLHIV.
LR juga aktif berkongsi pengalaman melalui ceramah, forum, seminar, pameran, motivasi, dan sebagainya. LR juga biasa berurusan dengan pihak media dan link LR dengan NGO’s lain juga sangat meluas.
Pendek kata, kalau dibandingkan peranan aku dan LR membantu komuniti, memang bezanya bagai langit dan dan bumi. Sedikit kelebihan aku barangkali hanyalah di bidang penulisan dan blog ini.
Di sebalik tubuhnya yang kurus, tersembunyi kekuatan semangat yang sangat luar biasa.
Turning point kehidupan AHP sebagai PLHIV
Aku akui di sini, LR adalah insan yang membuka ruang kepada aku untuk keluar daripada ketakutan dan mula berani bergaul secara terbuka bersama komuniti.
Kekuatan dan azam dalaman itu penting, tetapi insan prihatin berhati mulia yang sudi membimbing juga sangat-sangat penting. Allah berikan inayahNya melalui LR, insan lembut yang biasa dipandang sinis oleh masyarakat. (Maaf Fieqa)
Melalui entry ini (klik) pada 17 September 2011 aku memberanikan diri mendedahkan identity menghadiri jemputan Rumah Terbuka Komuniti Sempena Aidil Fitri di Pusat Persinggahan PT Foundation di Wisma Tan Com, Jalan TAR, KL.
Bermula dari situ juga, link aku bersama komuniti menjadi lebih panjang. LR lah yang memperkenalkan aku kepada Kak Jamaliah, Roslan (Atuk) daripada PTF, 'Puan Seroja' suami isteri dari MAC, dan lain-lain. Selepas itulah aku tidak menoleh ke belakang lagi.
Pertemuan itu juga membuka jalan kepada pertemuan-pertemuan lain kami sesama Positive Warriors Supporters Group.
Untuk makluman pembaca, Positive Warriors Supporters Group asalnya terdiri daripada PLHIV yang mendapat inspirasi perjuangan atau sokongan daripada blog ini. Terdiri daripada pelbagai latar kerjaya professional.
11 tahun hidup sebagai PLHIV
Semalam, Isnin (12 Mac 2012) LR menelefonku. Sambil ketawa LR berkata:
….
“Saya sengaja call sempena 11 tahun, bang.”
“11 tahun apa?”
“11 tahun sebagai PLHIV… syukurlah. Masih sihat selepas 11 tahun hidup dengan HIV. Kepada sahabat-sahabat PLHIV termasuk abang, tak perlulah risau dan sebagainya.”
“Tahniah Fieqa. Betul… terlalu banyak rahmat didikanNya melalui HIV kepada kita. Macam tau-tau je saya tengah down ni?”
“Tu lah, tak perlu down bang… ”
“Cantiklah kalau macam tu, sebab kebetulan saya memang sedang bercadang nak publish entry khas untuk Fieqa sebagai renungan kepada pembaca, sempena 11 tahun sebagai PLHIV pulak tu, hahaha… ”
Bla, bla, bla, yada, yada, yada…
Redha, bergaul sesama komuniti, banyakkan memberi daripada menerima dan tanpa diskriminasi
Kepada semua PLHIV, akui sahaja bahawa terlalu menyeksakan hidup sendirian menanggung HIV. Hanya PLHIV yang benar-benar memahami PLHIV. Tak kiralah apa punca kita memperolehi HIV. Itu bukan isu.
Usahlah takutkan HIV dan risaukan pandangan manusia mengalahkan kita takutkan dosa dan kemurkaan Allah. Antara kunci kekuatan kita adalah redha, bergaul sesama komuniti, banyakkan memberi daripada menerima, dan jangan diskriminasi.
Mahu diterima - belajar menerima. Mahu dihormati - belajar menghormati. Mahu berkawan - hulurkan persahabatan. Mahu difahami - belajar mendengar. Mahu disayangi - sayangilah sesama insan dan makhluk Tuhan. Mahu dibantu - belajarlah menghulurkan sokongan.
“Asyik menangis dan mintak disuap, tak dapeklah den nak nolong! Den pun ado masalah dan ramai yang nak dibantu ni hah!”
Itulah antara sikap LR yang aku perhatikan. Ujian hidup yang LR tempuh sebelum sampai ke tahap ini bukanlah sedikit, tetapi untuk apa ditangis pada sejarah yang takkan mampu diubah? Fokus kita ke depan.
Banyak lagi jasa LR membantu komuniti. Tak larat aku kongsikan semuanya kerana memang banyak!
Apa-apa hal, buktikan dulu diri kita tidak seburuk, selemah, dan sehina yang disangka. Rebutlah peluang dan berjuanglah untuk hidup bermakna dan diredhai sehingga ke nafas kita yang terakhir. Allah sentiasa melimpahkan inayah, kasih dan rahmatNya kepada kita dengan pelbagai cara.
Terima kasih dan jazakallah kheir sahabatku yang disayangi - LR. Sejak dulu, pelukan dan air mata kita adalah tanda kita saling memahami, berkongsi rasa, dan hidup sebagai sebuah keluarga.
Entry ini untuk LR sempena 11 tahun LR hidup sebagai PLHIV. I LOVE YOU!