Friday, March 09, 2012

HIV: TAZKIRAH IKHLAS SESAMA ISTERI SOLEHAH KEPADA PLHIV



Masih ingat perkongsian isteri kepada PLHIV iaitu Puan ZS sebelum ini? Tak pasti? Tak apa, sila klik sini.

Sebagai seorang lelaki dan suami, aku sering memainkan perananku mengingatkan PLHIV lelaki tentang peranan mereka sebagai pemimpin dalam sesebuah rumahtangga. Khalifah atau pemimpin mestilah berjiwa besar dan sentiasa berfikiran positif.

Namun isteri solehah sebagai pelengkap terhadap perjuangan suami sangat-sangat penting dan bermakna. Alhamdulillah kali ini kita berpeluang lagi berkongsi pengalaman dan pandangan yang superb daripada Puan ZS.

Kalaulah semua isteri PLHIV (atau non-PLHIV sekalipun) faham peranan mereka seperti Puan ZS, alangkah indahnya hidup ini. Aman dunia.

Beruntung kau XXXX, punya isteri sebaik ZS. Hargailah dia sepenuhnya.

Tapi aku lagi untung sebab aku ada 2 orang isteri hebat seperti ZS. Tambah pula punya 2 orang anak dara solehah. Itu belum termasuk 2 orang bodyguard macho (anak teruna) yang siap siaga menjadi penyejuk mata dan pembelaku sepanjang masa. Kau kalah XXXX. TKO! Hahaha…gurau-gurau aje.

Tetapi yang pasti, kita semua ada Allah. Tuhan yang Maha Menjaga dan Memelihara, kan? Itulah keadilan Allah. Syukur Alhamdulillah…

Mari baca:


Bismillahirrahmanirrahim…

Buat para isteri PLHIV yang dikasihi,

Pada pandangan saya, peranan sebagai seorang isteri kepada PLHIV adalah sangat besar. Ramai wanita yang berharap dapat bergantung kepada suaminya dan mengharapkan life yang perfect.  Seolah-olah, apabila bakal suaminya PLHIV, hancurlah seluruh impiannya sebagai seorang isteri.

Sedangkan banyak lagi faktor yang menggugat keharmonian rumahtangga. Saya juga beberapa kali disoal oleh bakal² isteri yang senasib dengan saya, "Macam mana saya hendak bergantung pada dia sedangkan dia sendiri tidak kuat dan masih berfikiran negatif?"

Jawapan saya pada mereka ini satu, kekuatan itu datangnya daripada Allah, bukannya daripada sesiapa. Sebaliknya, seorang isteri yang sihat dan bebas PLHIV itu harus mendapatkan kekuatan daripada Allah untuk membantu suami / bakal suami PLHIV dengan memberikan semangat dan motivasi kepada suaminya untuk meneruskan kehidupan seharian.

Kekuatan Allah itu kekal, manakala kita ini hanyalah hambaNya yang tidak berdaya. Maka bergantunglah sepenuhnya kepada Allah SWT dan bukan pada seseorang.

Saya pernah terbaca artikel saudara (AHP) betapa pentingnya seorang PLHIV untuk berfikiran positif dalam menjalani kehidupan seharian. Saya sangat setuju dengan pernyataan saudara. Tetapi bagaimana seorang suami boleh berubah menjadi positif jika pemikiran si isteri penuh dengan tanggapan negatif pada si suami? 

Saya selalu mengingatkan diri saya, "Never claim what other people can do to you, but think what you can contribute to others."

Apa ganjarannya? Pahala! Pada pandangan saya, kebanyakan wanita (termasuk bukan kes PLHIV) selalu inginkan balasan / penghargaan daripada suami dengan apa yang telah mereka lakukan. Tetapi saya menyarankan para isteri, terutamanya pada diri saya sendiri untuk menanamkan niat IKHLAS dalam diri.

Bila kita buat kerana IKHLAS, ganjarannya kita dapat di dunia dan di akhirat:

Di dunia - hati kita tenang, tidak mengharapkan penghargaan tinggi melangit dan yang bukan² dan Insya-Allah, rumahtangga akan aman damai.

Manakala setiap perbuatan yang ikhlas, Insya-Allah ganjaran pahala menanti di akhirat nanti. 

Buat para isteri, usahlah mengharapkan pembalasan daripada pengorbanan anda berkahwin dengan suami PLHIV. Berkorban bukan sahaja membawa erti tentang kesanggupan seseorang itu untuk menyerahkan harta, tenaga, atau apa-apa yang disayangi kerana menginsafi akan keperluan orang lain yang lebih memerlukan, tetapi lebih kepada kesanggupan seseorang untuk berbuat sesuatu untuk tujuan kebaikan.

Tidak akan ada pengorbanan tanpa kesusahan. Maka, betulkan niat untuk melakukan setiap ibadah kerana Allah. Buatlah sesuatu perkara yang baik itu dengan penuh rasa ikhlas dan penuh penghayatan. Selebihnya, anda akan rasai ketenangan hati dan kebahagiaan di dunia, dan Insya-Allah di akhirat juga.  

Di dunia yang sementara ini, seorang isteri juga seorang 'doktor', 'pharmacist', 'counsellor', 'guru', dan sebagainya buat suami. Isteri ialah orang yang paling hampir dengan suami yang dapat membantu suami bila sakit, susah, jatuh, lemah, buntu, dan sebagainya. 

Lemparkan jauh-jauh perasaan inginkan kesempurnaan dan penghargaan daripada suami. Selami hati sendiri, apa yang sebenarnya kita mahukan dalam kehidupan ini? Saya pasti jawapan setiap hamba Allah ialah untuk mendapat keredhaan Ilahi di mana ia jauh lebih besar daripada pemberian sesiapa pun.

Bantulah suami anda untuk berubah dan meneruskan kehidupan yang lebih baik. Salinglah ingat-mengingati sesama suami isteri akan tujuan kita dihidupkan oleh Allah SWT. 

Sebagai tambahan, berikan masa buat suami anda untuk berubah. Berikan mereka ruang untuk adjust dan berhijrah ke arah kebaikan. Usaha anda tidak mungkin berhasil dalam sehari. Ia perlu konsisten dan sentiasa dilakukan. Selalulah doakan suami anda. Walaupun memakan masa, jika diizinkan Allah, tidak mustahil anda akan melihat hasilnya. 
  
Buat para isteri yang dikasihi,

Kuatkanlah semangat anda. Kita tidak berseorangan di dunia ini. Jika maut memisahkan kita dengan suami kita, kita sentiasa ada Allah yang sangat dekat dengan kita. Malah, lebih dekat daripada urat leher kita sendiri. 

Carilah kekuatan dengan mendekatkan diri denganNya. Doakanlah yang terbaik buat diri kita dan suami agar memperoleh kebahagiaan di dunia dan di akhirat. INSYA-ALLAH!

Semoga Allah SWT memberi ganjaran yang baik buat anda semua. Amin.  

Akhir kata, saya memohon seribu kemaafan seandainya saya ada tersalah kata / bahasa. Pesanan di atas ditujukan buat para isteri, terutamanya sebagai peringatan untuk diri saya sendiri. Yang baik itu datangnya daripada Allah SWT dan yang buruk itu adalah daripada kelemahan diri saya sendiri.

Wallahualam.

Wassalam.  

-ZS-