Atuk
Kali ini aku akan kongsikan entry yang barangkali telah lama ditunggu-tunggu oleh pembaca. Kisah benar seorang PLHIV yang lebih dikenali sebagai ‘Atuk’ yang telah hidup selama 20 tahun dengan virus HIV.
Aku mula mengetahui kisah Atuk setelah terpilih menjadi antara segelintir insan istimewa bergelar PLHIV. Aku google beberapa info dan mendapat sedikit maklumat tentang seorang PLHIV yang telah lama berjuang membantu komuniti.
Melalui LR, Allah pertemukan aku dengan Atuk semasa Jamuan Aidil Fitri anjuran PTF Foundation 2011. Pertama kali berjumpa, ternyata Atuk bukan sebarangan orang kerana ramai di kalangan PLHIV dan kumpulan sokongan yang bersalam dan menyerbu beliau.
Apabila diperkenalkan dan bertukar-tukar sedikit maklumat, aku dapati Atuk penuh dengan sentuhan magisnya. Sangat lembut tutur kata sesama PLHIV, kaya dengan kasih sayang dan sifat prihatin.
Selepas itu kami boleh dikatakan terputus hubungan sekalipun nombor handfon dan alamat emel Atuk berada dalam simpanan. Maklumlah emel aku ketika itu tak berbalas. Aku faham kerana kami yang tua-tua ni payah sedikit nak faham dunia IT, hahaha...
Disember 2012, sekali lagi aku bersama keluarga berjumpa Atuk sambil makan malam di sebuah warung di Sungai Petani bersama Survivor dan Bro. Fareez Fauzi. Atuk rupa-rupanya diminta untuk bertugas di sana oleh pihak organisasi.
Sejak itu, perhubungan kami semakin rapat sehingga Atuk terbuka untuk berkongsi sedikit pengalaman dengan para pembaca pada kali ini. Jika memerlukan pertolongan untuk membantu komuniti di sekitar Temerloh, biasanya Atuk akan menghubungiku.
Tengah hari tadi, ketika melangkah lesu dengan fikiran yang kalut ke kereta, aku mendapat panggilan telefon daripada Atuk. Atuk segera menyatakan rasa empatinya terhadap tekanan yang aku kongsi dalam entry ini: HIV: KESEPIAN YANG TERAMAT DALAM SEORANG PLHIV (SAD BUT TRUE: TEWAS AKHIRNYA!)
Aku cuba mengelak dengan menyatakan itu sekadar luahan supaya insan lain berfikir, tetapi Atuk tetap juga bercakap.
Aku tidak berapa ingat apa yang Atuk perkatakan kerana mataku serta-merta rabak mendengar nasihatnya. Antaranya:
“Sabarlah Pie, Atuk faham perasaan Pie. Katakan 10 orang yang membaca luahan Pie, jika ada 3 orang sahaja yang betul-betul memahami, sudah cukup memberi kekuatan kepada kita.
“Bukan bantuan yang kita harapkan, tetapi cukuplah sokongan. Seseorang yang betul-betul faham, yang dapat memeluk kita, sudi mengizinkan bahunya untuk kita tumpang bersandar apabila sesekali menangis.
“Apabila membaca luahan Pie, Atuk terus memikirkan apa yang sepatutnya dan dapat Atuk lakukan untuk membantu Pie. Seorang di Utara, seorang di Pantai Timur. Tak patut Atuk membiarkan Pie sendirian begitu.
“Begitu ramai yang mengaku faham, tetapi berapa kerat sahaja yang betul-betul faham? Tak mengapalah. 1 April nanti, Atuk dan LR akan aturkan pertemuan sesama kita di KL. Itu medan kita, sesama kita.”
Aku jawab, “Cukuplah tuk, saya tak mahu menangis lagi, tolonglah…”
Mataku rabak lagi. Aduhai…!!
Sebelum itu Ham, Rusyida, Fariza, Mael, dan beberapa orang lagi SMS atau call, tetapi aku masih mampu bertahan. Tetapi, apabila tiba-tiba sahaja LR SMS: ‘I Love You bang…’ aku dah agak mesti ada yang tak kena.
Tak lama kemudian, LR menelefonku sebanyak 2 kali. Haram aku jawab. Hahaha… padan muka! Kemudian aku terima SMS:
“Memang saya call untuk menangis bersama-sama abang pun….” Hampehh… kau orang buat pakatan, aku yang meraung sorang-sorang dalam kereta!
Akhirnya, anak daraku AO kekal menjadi mangsa aku melepaskan tekanan. Aku call dia kerana dia membuktikan dirinya sentiasa ada dan menunjukkan kesungguhan untuk membantu. Aku menangis lagi sepuas-puasnya macam budak-budak. Menyampah betul. Tu lah, siapa suruh kau orang kacau aku!
Ya, aku sentiasa berkongsi masalahku dengan isteri-isteriku. Kadang-kadang menangis di depan mereka. Tetapi, apabila mahu dipeluk, biasanya aku tolak. Aku kongsikan masalah dalam keadaan kononnya aku masih kuat dan tabah. Aku masih tidak menjadi aku yang sebenarnya.
Hanya sahabat-sahabat sesama PLHIV yang bersikap empati sahaja faham perasaan kami. Bukan aku menidakkan insan-insan lain, tetapi aku pernah rasa sangat luka dan dikhianati apabila cuba berharap kepada mereka. Aku serik. Selain Allah, cukuplah sahabat-sahabat PLHIV yang betul-betul ikhlas.
Jika bukan teman sejati, sekalipun mulut sentiasa kata faham, tunggulah sampai ketikanya kita akan ditikam dari belakang. Simpati dan empati yang bukan dari dasar hati.
Point aku, jangan berseorangan. Dapatkan sokongan dan sedia berkongsi sesama komuniti. Aku bukan nak cerita sedih-sedih. Cerita sedih biarlah aku simpan di dalam. Berdarah dan luka macam mana pun aku akan cuba menghulurkan sokongan agar menjadi secebis amal bakti sebagai bekalan di akhirat. Aku insan hina dan berdosa.
Sebagai renungan bersama, bersama ini aku kongsikan emel berharga daripada Atuk untuk kita sama-sama fikirkan. Moga ada pengajarannya terutama kepada sesama PLHIV.
Dear Pie,
Atuk akan berkongsi bagaimana menjadikan HIV sebagai rakan dan bukan lawan.
Tarikh 1hb Mei 2012, genap 20 tahun Atuk hidup bertemankan HIV. Tapi tiada sesiapa pun boleh menerima hakikat yang mereka telah hidup dengan virus ini apabila mula-mula mengetahui telah dijangkiti.
Percaya kepada setinggi mana kedudukan & darjat kita, kita tidak akan mampu untuk membeli takdir yang kita inginkan. Atuk berjuang untuk hidup tanpa menoleh ke belakang. Atuk sentiasa berusaha kerana ianya lebih penting daripada meratapi nasib & sekadar menyerah sahaja.
Adakah dengan sekali usaha, jika gagal, kita akan tersungkur?
Berpeganglah kepada prinsip "TIDAK MENEMPAH MASUK HOSPITAL KECUALI DIPAKSA MASUK." Atuk sentiasa mencari ruang untuk berada di barisan hadapan kerana itulah kekuatan yang paling jitu untuk Atuk melangkah gagah.
Atuk tidak meminta simpati dan yang paling penting, Atuk mahu isu kita difahami. Ajal itu pasti. Ianya tidak boleh dipercepatkan atau diperlewatkan walau satu saat pun, tapi perlu difikirkan oleh rakan-rakan senasib...
Kita sakit, berpunca. Mati, bersebab. Inilah antara kunci perjuangan Atuk & jika terdapat sebarang pertanyaan, Atuk benarkan nombor handphone Atuk untuk dipamerkan.
017 3500 167
Terima kasih.
Salam Perjuangan.
Roslan @ Atuk
AHP: Terima kasih tuk. Moga hidup Atuk sentiasa dirahmatiNya. Kepada sahabat-sahabat yang panggilan telefonnya tak dijawab sementara waktu ni, faham-fahamlah ya. Aku tak mahu menangis. Aku mesti kuat!