Tuesday, March 20, 2012

HIV: SEJENAK BERSAMA ROZANNA, SEORANG IBU MUDA PLHIV


17 Mac 2012 (Sabtu)

Pagi itu aku mendapat panggilan telefon daripada Atuk. Atuk meminta pertolonganku menziarahi dan memberikan sokongan terhadap seorang PLHIV wanita yang bernama Rozanna (Bukan nama sebenar) di HoSHAS, Temerloh.

Rozanna seorang ibu muda kepada seorang anak. Khabarnya down sangat-sangat dan perlukan sokongan rakan senasib. Suami Rozanna berada di Penjara.

Puncanya? wallahu a’lam kerana kerana fokusku terhadap kebajikan Rozanna.

Alhamdulillah anak mereka bebas HIV. Jadi sudah tentu punca jangkitan HIV adalah melalui hubungan intim suami isteri, kan? So, fikir-fikirkan, adakah Rozanna sengaja mencari risiko atau sebahagian daripada statistik manusia malang menerima HIV akibat perbuatan orang lain?

Sebelum pergi aku call nombor handfon yang diberikan, bertanyakan apa-apa keperluan yang boleh aku bantu. Penjawab, (aku tak pasti sama ada Rozanna atau adiknya yang menemani di wad) menjelaskan mereka tak memerlukan apa-apa kerana Rozanna tidak mampu makan atau minum.

Petang itu aku sendirian ke hospital. Sampai di cafeteria hospital, aku meninjau-ninjau apakah buah tangan untuk Rozanna.

Malas berlama-lamaan aku beli sahaja sebuah buku Yaasin. Harapan aku mungkin ada manfaatnya jika sambil terlantar ada seseorang yang membacakan ayat-ayat suci al Qur’an. Paling tidak boleh direnung makna-makna ayatnya. Itu lebih baik daripada sekadar ziarah kosong tanpa menghadiahkan sebarang doa. 

Sampai sahaja di katil Rozanna, alahai, lemah kepala lutut aku. Hampir semua yang menziarahi Rozanna adalah saudara maranya yang tinggal berdekatan tempat kerjaku, ada yang merupakan bekas client aku.

Aku buat selamba sahajalah kerana niatku untuk membantu. Suka hatilah apa mereka nak fikir. Apa, hina sangatkah aku sebagai seorang PLHIV?

Mesti bekas klienku terkejut. Kaunselor ada HIV, hahaha… maaf, aku memang rasa kelakar dengan situasi tersebut.

Selepas mengucapkan salam dan bertanya-tanya khabar dengan mereka aku mengenalkan diriku kepada Rozanna. Aku lihat tangan Rozanna dimasukkan darah kerana dikatakan turut mengidap masalah anaemia.

Mulut Rozanna dipenuhi ulcer, sukar untuk bercakap. Sama seperti alahan yang aku lalui dulu.

Tubuhnya kurus dan mempunyai tanda-tanda alahan dengan ubat HAART. Wajahnya lesu dan kosong. Kelihatan bingung dan putus asa. Tetapi sinar matanya menunjukkan Rozanna amat mengharapkan sesuatu apabila aku menziarahinya.

Dengan lemah lembut aku bertanyakan serba sedikit masalah Rozanna, kondisi kesihatan dan apa-apa yang patut. Aku nasihatkan Rozanna bahawa supaya bersabar, redha dan jangan risau kerana HIV bukanlah masalahpun jika kita memahami.

Aku katakan masalah kesan sampingan HAART cuma sebahagian kecil daripada peluang dan harapan untuk hidup sihat. Jika aku mampu melaluinya, sudah pasti Rozanna juga begitu.

Aku minta supaya Rozanna sungguh-sungguh berjuang untuk sihat dan tidak berputus asa. Mengingatkannya bahawa dia boleh menghubungiku bila-bila masa sahaja jika perlu.

Aku turut menjemputnya datang ke rumah berkenalan dengan keluargaku apabila sihat kelak. Aku mahu Rozanna rasa berkongsi dan diterima. Rasa tidak keseorangan. 

Tiba-tiba sahaja Rozanna menangis teresak-esak. Mak aih, bab ni yang aku kalah! Nyaris je aku tumpang keriau sekaki. Keluarganya sibuk memujuk tetapi aku nasihatkan supaya biarkan sahaja Rozanna melepaskan tekanannya.

Aku hulurkan buku Yaasin sebagai tanda hadiah dan sokongan dan meminta izin untuk mengundur diri. Aku berjanji akan datang lagi memberi sokongan. 

Selepas itu aku mencadangkan salah seorang ahli keluarga yang terapat untuk berbincang sebentar denganku di lobby hospital.

Pertemuan tersebut aku cadangkan kerana ahli keluarga yang memahami sangat perlu untuk membantu seseorang PLHIV untuk bangkit. Selain itu mereka turut berdepan stigma, paranoid dalaman, judgmental, diskriminasi dan prejudis. Mereka mesti clear tentang beberapa perkara asas.

Adik Rozanna yang merupakan seorang jururawat di hospital yang lain, yang menjaga sepanjang Rozanna berada di hospital menawarkan diri untuk berjumpaku. Beliau ditemani anak saudaranya yang merupakan bekas klienku.

Syukurlah apabila aku dimaklumkan bahawa hanya beliau yang mengetahui status HIV kakaknya. Maknanya orang-orang lain tu hanya menganggap aku menziarahi Rozanna sebagai kenalan sahajalah.

Melalui perbincangan tersebut aku terangkan beberapa perkara yang sepatutnya mereka lakukan dan fahami. Aku cuba yakinkan mereka bahawa bahawa HIV bukanlah virus yang bahaya dan ianya senang dirawat berbanding penyakit-penyakit kronik lain. Pertama kali aku kaunseling nurse pasal HIV, hahaha….

Aku juga menjelaskan bahawa HIV bukanlah bermaksud kematian bahkan PLHIV boleh berkahwin, memperolehi bayi sihat dan sebagainya.

Selain itu, aku juga beri peluang kepada mereka mengemukan beberapa soalan. Soalan-soalan mereka adalah soalan basic untuk mereka yang masih keliru tentang HIV.

Aku turut menghulurkan namecardku untuk mereka hubungi jika perlu.

18 Mac 2012 (Ahad)

Seperti yang dijanjikan aku ziarah kembali Rozanna buat kali kedua pada petang ahad itu. Nampaknya lebih ramai saudara maranya yang hadir. Kali ini isteri-isteri dan anak lelaki sulungku turut serta menemani untuk memberikan sokongan dan harapan.

Alhamdulillah wajah Rozanna telah kelihatan semakin segar. Ceria melihat kehadiran kami. Lebih bersemangat dan tenang. Aku perkenalkan isteri-isteriku dan anakku kepada Rozanna dan ahli keluarganya yang hadir.

Ada yang tercengang melihat aku ditemani dua orang isteri sekaligus. Apalah agaknya yang mereka fikir? Ada sesiapa nak jadi calon ketiga? AO nak? Hahaha…  

Aku sempat mengusik Rozanna dan Rozanna tersenyum riang dengan lawak bodohku. Walaupun hanya lebih kurang 5 minit, aku rasa ziarah singkat itu dah memadai.

Dalam perjalanan pulang aku menasihati isteri-isteri dan anakku tentang betapa besar peranan dan pahala mereka yang menziarahi pesakit. Aku meminta mereka fikir bahawa di sebalik setiap PLHIV itu, terdapat ramai anggota keluarga mereka yang turut menderita. Mereka menjadi mangsa kejahilan semata-mata.

Selain menjaga hubungan dengan Allah, adalah sangat penting untuk menjaga hubungan sesama insan. Sikap prejudis dan mudah membuat kesimpulan adalah sebahagian daripada sikap kita yang gagal menjaga hubungan sesama insan.

Alhamdulillah, sekali lagi aku berkesempatan menikmati satu lagi peluang memberikan sokongan kepada insan-insan yang memerlukan dengan caraku sendiri.