Sunday, March 11, 2012

HIV: BERTERUS-TERANG TENTANG STATUS PLHIVKU KEPADA ADIK BONGSU





Selepas setahun 2 bulan aku didiagnos sebagai PLHIV, semalam 10 Mac 2012 (Sabtu) aku mengambil keputusan untuk berterus-terang tentang statusku kepada adik lelaki yang paling bongsu. Kami sama-sama tinggal di Temerloh.

Kenapa mengambil masa setahun lebih dan adakah ianya betul-betul perlu?

Pada peringkat awal diagnos, aku sendiri keliru dengan banyak fakta mengenai HIV. Bukanlah bermakna sekarang aku pandai, tetapi ketika itu aku sangat-sangat naif maklumat.

Jika aku sendiri alami stigma, paranoid dalaman dan tidak berapa faham, lebih baik aku mengelakkan diri daripada menambahkan beban untuk memberi kefahaman kepada mereka.

Aku juga bimbang ditolak keluarga, bimbang anak-anakku terpalit kesan, sangat rendah diri, dan bimbang menyusahkan hati adik beradikku terutamanya mak. Alangkah aib dan malunya mereka punya adik-beradik seorang PLHIV (kononnyalah).

Mak aku pula dah 80 tahun lebih, mengidap pelbagai penyakit-penyakit kronik. Pendengaran pun tak berapa bagus. Kalau aku berterus-terang, bimbang bertimpa-timpa pula kerisauannya.

Betul-betul perlu?

Tidak juga sebenarnya. Sejak dulu aku jenis yang tidak suka bercerita tentang masalah yang aku tanggung kepada mak dan adik-beradik sesuka hati. Maklumlah, dalam sesetengah perkara, kadang-kadang kita sangka difahami, sebaliknya apabila kita bercerita, perkara lain pula yang berlaku.

Walaupun sesama adik-beradik, hatinya lain-lain. Daripada zuriat, perut, dan ibu bapa yang sama tetapi fitrah kejadian manusia adalah unik. Jika bermasalah, aku biasanya akan cuba selesaikan sendiri segala masalahku. Jika ada tindakanku disalah anggap, aku cuba buktikan aku tidak seperti yang disangkakan. Aku tak suka mengadu-ngadu dan merayu-rayu.

Walau bagimanapun, blood is thicker than water. Adik-beradik tetap adik-beradik. Mereka adalah antara yang terawal berdepan dengan tempias jika kita bermasalah. Ada kelemahan, tetapi banyak pula kelebihan masing-masing di tempat lain. Aku tidak boleh bersikap prejudis. Tambahan lagi manusia boleh berubah.

Prinsip aku mudah sahaja. “Ya… aku PLHIV, so what?” Apa yang orang nak fikir, aku tak mahu fikir. Apa orang lain nak buat, terpulang kepada diri masing-masing.

Aku kenal diri aku, aku ada pendirianku sendiri. Jika dengan berterus-terang menyebabkan secara tiba-tiba aku dan keluargaku rasa terasing atau dipandang hina, terserahlah. Anak-anakku cukup kenal abah mereka yang tiga suku ni.

Kenapa sekarang?

Kerana aku yakin perlu ada seorang wakil keluarga yang tahu statusku jika berlaku perkara di luar jangka terhadapku. Maklumlah kondisi kesihatanku tidak menentu. Sekarang aku lebih berkeyakinan.

Secara peribadi, aku tidak akan menyerah kalah terhadap apa juga cabaran secara mudah. Esok kiamat sekalipun, aku tetap akan semai benih dengan harapan ianya dapat memberikan manfaat kepada alam.

….

9 pm di sebuah kedai makan yang agak privacy aku berjumpa adikku. Seperti biasa, aku lebih bersikap sebagai seorang pendengar dan pemerhati. Ramahku agak bertempat dan bergantung situasi. Pelan-pelan aku mula ke persoalan sebenar.

Untuk makluman pembaca, sebenarnya sejak awal-awal dulu aku telah memberikan beberapa hints mengenai status kesihatanku kepada keluarga. Terpulang kepada mereka untuk menekanya kerana aku tidak mahu mereka terlalu terkejut atau isteri-isteri dan anak-anakku dipersalahkan suatu ketika nanti.

Tanpa berlapik-lapik dan meleret, aku cakap sahaja apa yang perlu aku bagitahu. Aku juga tidak terangkan secara terlalu detail tentang HIV, rawatan, stigma, diskriminasi, judgemental, cabaran, dan sebagainya. Adikku seorang guru, sepatutnya dia lebih bijak untuk mencari maklumat jika bersikap prihatin.

Nak cakap banyak buat apa kalau aku sendiri mengambil masa yang panjang untuk faham. Takkan dalam waktu singkat sahaja boleh faham serba serbi. Inikan pula mereka yang sihat walafiat. Paling tinggipun ada sakit-sakit ringan sama seperti kebanyakan orang lain. Aku hulurkan name-cardku sebagai pemilik blog AHP.

Reaksi?

Yelah, sebab aku cool sahaja, adikku cool jugalah. Luarannya nampak faham dan of coz kekal menyokong seperti biasa, tetapi sudah tentu tidak lari dari daripada kekeliruan. Setahun lebih hidup sebagai PLHIV dan punya sedikit pengalaman sebagai kaunselor, aku mengenali bahasa tubuh seseorang. Aku dapat menghidunya.

Aku tak menyalahkannya. PLHIV yang biasa adikku kenal adalah PLHIV yang kurus kering (aku memang kurus sejak menjadi PLHIV ni) dan bekas penyalahguna dadah secara suntikan.

Adikku tidak terdedah dengan PLHIV yang berkarier professional, berbadan tegap, gempal, dihormati masyarakat, atlet dan sebagainya.

Aku cuma mengingatkan adikku supaya merahsiakan statusku daripada mak, isterimya dan adik-beradikku yang lain. Dia berjanji untuk menunaikan amanah tersebut.

Walau bagimanapun, aku memang tak peduli dengan persepsi orang. Sekalipun jika amanahku supaya status kesihatanku dirahsiakan tidak dipatuhi. Pengalaman menjadikan aku sentiasa bersedia dengan risiko. 

Bukan bermakna aku tidak percaya adikku, tetapi lagi sekali aku nak tanya, yes, i’m HIV positive, so WHAT? Aku berahsia kerana tak mahu menyusahkan hati mereka, tetapi tidak sesekali disebabkan oleh virus dan statusku sebagai PLHIV. Aku serahkan segalanya kepada Allah.

Sebelum pulang, adikku minta aku bersabar dengan segala ujian dan katanya dia tidak risau kerana aku faham tentang isu kesihatanku. Aku pula menasihati adikku supaya ambil masa untuk cuba faham apa itu HIV secara perlahan-lahan.

Syukur Alhamdulillah, satu lagi perkara yang aku rasa perlu dilaksanakan telah diizinkanNya.

Ku start enjin jentera 2.0 kesayanganku, meluncur tenang menuju rumah untuk aku melayan familyku bersiar-siar pada malam minggu. Tak kuasa aku semakkan kepala. Tiada resah tiada gundah. Nikmati sahaja semuanya secara A, B, C, D…