Sejak beberapa minggu yang sangat-sangat memenatkan, ditambah 2,3 hari kebelakangan yang penuh tekanan dan tuntutan menjadikan aku hampir-hampir tenggelam punca.
Sentiasa memberi kadangkala menyebabkan kita terkapai-kapai keseorangan mencari kekuatan diri. Sentiasa mendengar tangisan, hakikatnya kita sendiri perlu menangis di bahu seseorang yang mengerti.
Umpama terperangkap dalam ruang sunyi. Sepi dalam keriuhan adalah sangat-sangat menyiksakan. Kadangkala terasa umpama mengharap cahaya di sebuah lorong gelap dan sangat panjang.
Hidup kita memang sentiasa diuji. Diuji dengan cara masing-masing.
Ada yang diuji dengan kekayaan. Ada yang diuji dengan kemiskinan. Ada yang diuji dengan masalah kesihatan diri. Ada yang diuji dengan kesihatan ahli keluarga. Ada yang diuji dengan kedua-duanya.
Ada yang diuji dengan percintaan. Ada yang diuji dengan jodoh. Ada yang diuji pekerjaan. Ada yang diuji dengan zuriat, ada yang diuji dengan dengan kezaliman dan fitnah.
Ada yang ujiannya lebih kurang sahaja dengan kita. Ada yang dengan ujian yang lebih ringan pada mata kita tetapi cukup berat bagi pemikulnya.
Ada yang menghadapinya dengan segala macam bentuk ujian yang pada logik akalnya sangat mencabar. Hebatnya luaran mereka kelihatan sabar, tenang, ceria dan tabah. Masih mampu memberi berbanding menerima.
Di sebalik ujian tersebut, memang kita rasa perlukan seseorang untuk memahami dan berkongsi rasa. Ada yang membayangkan kononnya mampu menghadapi apa jua bentuk ujian apabila ditemani sahabat sejati, kekasih, isteri, ibu bapa, anak-anak dan seseorang yang rapat dan istimewa.
Di hujung segala pengharapan tersebut, akur sahajalah bahawa hanya DIA yang sentiasa ada dan sentiasa sudi memberi dan menerima. Hakikatnya segala yang di dalam kehidupan ini adalah jalan pulang kembali kepadaNya. Pengharapan kepada yang abadi memberi kesegaran kepada iman.
Pergantungan kepada sang kekasih, si isteri, teman sejati, doktor teristimewa, anak-anak yang menyayangi ada had dan kemampuan. Akhirnya hanya kain putih membalut badan sendirian di alam barzakh. Hakikat norma manusia tidak sempurna. Hanya iman dan amal jadi bekalan.
Alhamdulillah, sekali lagi aku dirotanNya supaya teruskan sahaja perjalanan dengan cara sendiri. Banyak hikmahnya kerana realitinya masing-masing punya tingkatan dan fikrah yang berbeza.
Terima kasih Allah kerana masih sudi ingatkan aku betul-betul bahawa:
“Kepada Engkau kami sembah dan kepada Engkau kami meminta pertolongan.” (Fatihah 1:5)
“Cukuplah Allah sebagai penolong kami, dan Allah adalah sebaik-baik tempat bersandar.” (Ali ‘Imran 3:173)
Abah & As: Walaupun terasa sebak, sesungguhnya pagi jumaat ini ialah pagi jumaat yang sangat cerah, langit biru indah. Aku percaya ini masanya untuk kembali mengetuk diri supaya hanya bergantung kepadaNya.
“Sabar itu bukan di hujung jalan, tetapi di sepanjang jalan. Dan jalan menuju sabar itu sudah sedia indah!”