Friday, March 02, 2012

KISAH BENAR SITI SEBAGAI PEMBAWA HIV (BAHAGIAN 1)


Kali ini aku kongsikan pengalaman seorang PLHIV wanita yang aku namakan Siti (Bukan nama sebenar). Perkongsian pengalaman beliau agak panjang, menggunakan tatabahasa yang tersendiri, tetapi demi menjaga originality dan unsur-unsur pengajaran yang terdapat di dalamnya, sehabis mungkin aku meminimakan editing.


Editing hanya dilakukan dalam perkara yang aku fikirkan wajar demi menjaga maruah Siti dan memudahkan pembaca membaca pengalaman ini secara santai. Aku juga tepaksa menjadikan perkongsian pengalaman Siti kepada beberapa bahagian kerana banyak perkara yang dikongsikan. Nak diedit terasa sayang sebab menarik pengalamannya.


Selain Anonymous One, As dan Lifejacket (non-PLHIV) yang berpengalaman bergaul sesama komuniti ini atau sama ada kerana suami atau ahli anggota keluarga mereka adalah PLHIV, Siti adalah satu-satunya PLHIV wanita yang sudi menjadi menjadi Kumpulan Sokongan Positive Warriors secara terbuka. Memang jelas wanita tabah ini tidak tenggelam dalam stigma peribadi.


Alamat emel beliau terdapat di menggunakan nick Buzy Gurlz di wall blog. Terima kasih aku ucapkan. Aku harap kumpulan sokongan Positive Warriors mengalu-alukan kehadiran Siti sebagai keluarga baru. Semoga Siti sekeluarga sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah.

Mari baca:


ASSALAMUALAIKUM…

Sebenarnya aku sedikit ragu untuk bercerita tentang kisahku dalam mengalami pahit manis bergelar PLHIV. Terus-terang aku katakan, bukan mudah untuk meneruskan hidup. Tetapi rakan-rakan di luar sana, aku harap kalian tabah untuk teruskan hidup sebagai PLHIV.

Memang sukar untuk percaya tentang kisahku, namun sememangnya ini adalah sejarah aku dijangkiti virus ini. Harap-harap teman di luar sana mengambil langkah lebih berjaga-jaga apabila berhadapan situasi sepertiku.

Tahun 2005, 2006 & 2007

Aku merupakan anak ke-2 dalam adik-beradik. Aku salah seorang anak yang bijak dan boleh dikatakan agak nakal dalam keluarga. Namun aku masih berpegang pada ajaran yang diberikan oleh keluarga. Tamat sahaja SPM, aku menerima tawaran melanjutkan pelajaran ke UiTM Arau, Perlis dalam Jurusan Perakaunan.

Namun, kedua ibu bapaku hendak aku meneruskan ke Tingkatan 6. Aku redha dan aku meneruskan pelajaran ke Tingkatan 6.

Aku begitu kecewa kerana tidak dapat keluar dari kampung. Aku begitu teringin untuk mengikuti jejak kakak dan kawan-kawan yang belajar di kampus.

Aku mengambil keputusan memohon pula ke politeknik dan aku diterima di Politeknik Port Dickson dalam jurusan yang sama. Ibuku berkeras untuk aku terus ke Tingkatan 6.

Mereka ingin aku menjadi guru sepertinya. Akhirnya aku menamatkan juga pelajaranku di Tingkatan 6.

Tahun 2008

MULA BEKERJA

Selepas tamat Tingkatan 6, aku bertekad untuk duduk di bandar. Aku bekerja kilang dan setelah mendapat gaji aku mula duduk di bandaraya Johor Bahru. Di bandar, aku mula mencari pekerjaan dan pelbagai temuduga aku pergi termasuk lah di SPAJ.

Akhirnya aku mengambil keputusan untuk bekerja di McD, City Square. Di sini aku sering dipinjamkan kepada McD Angsana kerana kekurangan staf. Hidupku tidaklah enjoy seperti orang lain. Ada teman yang mesra… boyfriends. Aku lebih senang bersendiri.

Gajiku juga lebih banyak yang aku simpan daripada digunakan. Matlamat aku masa itu hanya nak cari duit untuk study. Aku takut kalau-kalau aku terjebak benda yang bukan-bukan dan duitku habis. Masa itu otak aku agak kolot. Bak kata orang macam “rusa masuk kampung.” Hehehe…

KEJADIAN MALAM MINGGU

Aku tidak akan lupa peristiwa yang menggugat kesihatan aku sehingga kini. Malam minggu itu, jadualku menunjukkan aku perlu ke Angsana. Kebetulan motorku pula rosak.

Tamat saja kerja, aku menapak ke lorong menunggu teksi. Ketika aku sedang menunggu, tiba-tiba belakangku terasa seperti digigit semut, tetapi lebih sakit lagi. Aku toleh ke belakang sebab aku rasa seperti ada orang di belakangku.

Dalam hati rasa bersyukur sebab ada juga orang yang teman aku di situ. Then, tidakku sangka aku dihentak dengan benda keras. Mata aku berpinar dan aku tak tahu apa yang jadi. Yang terakhir aku dengar adalah deruman motor pergi meninggalkan aku. (02 2008)

Pagi itu aku sedar pun disebabkan pakcik tukang sapu yang kejutkan aku. Aku segera mencari barang-barang aku. Namun semua tiada. Aku meminta pakcik tu untuk hantar aku ke balai polis berdekatan. Alhamdulillah, berkat pertolongan pakcik itu, aku sampai di pondok polis.

Di situ aku membuat laporan polis mengenai kecurian. Hampir 5 jam aku di-torture oleh abang polis. Manalah aku tahu situ black area. Bukan ada tanda pun di situ.

Aku dihantar ke HSA untuk mendapat rawatan. Aku ada memberitahu pegawai bertugas bahawa aku seperti dicucuk sesuatu.

Tahu tak apa abang perubatan tu kata?

‘‘Ala dik, kena gigit kerengga je tu. Siapa suruh duduk bawah pokok.’’ Aku rasa nak hempuk abang tu. Suka hati je cakap macam tu. Namun apa yang aku mampu untuk buat hanyalah senyap dann mengomel dalam hati.

Aku takut, mana tau dia masukkan dadah dalam badan aku ke apa. Akhirnya pegawai itu melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadapku; darah, air kencing dan air liur semua diambil. Tubuh badanku juga semua dicheck termasuk alat sulitku. Keputusannya alhamdulilah tiada apa yang perlu aku risaukan kecuali bekas jarum suntikan di belakang badanku.

Kepalaku cuma bengkak sedikit kerana dihantuk sesuatu. Aku diberi cuti rehat selama 2 hari dengan ubat tahan sakit KK. Tiada ubat lain.

Aku juga tidak diberi tarikh temujanji akan datang. Ada juga aku Tanya, tapi dia orang cuma kata tak ada apa-apa yang perlu dirisaukan. Lagipun aku telah diberikan ubat pelali penyakit yang diambil semasa mula masuk McD. Kalau rasa tak sihat, datang ke mana-mana klinik terdekat. Itu saja. Aku rasa lega bila pegawai tu kata macam tu.

TERIMA KERJA KERAJAAN

Beberapa minggu selepas kejadian itu, aku dipanggil untuk bertugas sebagai Pembantu Akauntan di salah sebuah kerajaan negeri Johor. (03 2008) Mak dan abah menyuruh aku untuk melapor diri. Ikutkan hati aku belum nak lagi, tetapi disebabkan keputusan STPM aku belum keluar, aku pergi juga.

3 hari selepas bertugas, keputusan STPMku keluar dan aku dapat 4P dan pointer aku 2.80. Hahaha… begitu seronok aku rasa. Bagai dunia milikku. Bukan senang nak lulus STPM ni.

Niat hati nak sambung study dalam bidang akaun, namun jawapan mengecewakan daripada mak dan abah aku bila aku disuruh belajar secara part time. Menitis air mata aku. Kakak dan adik-adik aku semua dapat belajar sepenuh masa. Sedihnya.

Aku study part time di UiTM, namun separuh jalan saja. Aku tidak dapat bawa pelajaran yang diajarkan berikutan perjumpaan hanya sebulan sekali. Jauh pula di ibu kota. Aku kecewa. Namun aku bersyukur kerana aku telah ada kerja yang bakal menjamin masa depan aku walaupun masa itu aku bekerja secara kontrak.

Nak dijadikan cerita, dalam jabatan aku itu begitu ramai yang menjual ubat-ubat supplement dan macam-macam lagi. Aku pun dengan semangat yang membara mencuba supplement 4life TF. Harga sebotol hampir RM300. Aku beli juga.

Bukan sebab apa. Orang kata baik melabur beli supplement sekarang dari jadi papa kedana sebab penyakit masa akan datang. Duit tinggi gunung pun kalau dah sakit, bukan boleh beli kesihatan.

DEMAM BERPANJANGAN SELAMA 2 BULAN

Aku try ubat tu. Dalam tempoh 2 hari aku tiba-tiba saja demam. Demam yang aku tak tau dari mana puncanya. Badan aku menggigil. Aku ke HSA untuk buat pemeriksaan. (bulan 8 tahun 2008) Nurse tu kata demam biasa. Tiada tanda denggi atau apa-apa. (Masa itu aku tak tau itu adalah tanda aku dijangkiti virus merbahaya)

Aku teruskan juga makan supplement itu dan aku mengeluarkan kahak yang begitu pekat. Aku muntah-muntah. Selepas hampir 2 bulan aku demam, akhirnya demam aku itu sembuh, tetapi berat badan aku turun mendadak daripada 50 kg ke 40 kg. Kurus kering aku… (kurang keayuanku)

Hurm… masa tu aku still juga ambil supplement itu. Walaupun mahal, tapi aku rasa perubahan badan aku yang lebih sihat selepas demam teruk itu dan aku kerja macam biasa.

Bersambung...


AHP: Sila baca bahagian kedua dan seterusnya nanti. Beberapa peristiwa menarik dan tips tertentu akan kita temui nanti.