Dalam hujan renyai malam Khamis (8 Mac 2012) yang lepas, aku menjemput anak dara keduaku, As di R&R Temerloh. Ini adalah pertemuan pertama kami sekeluarga sekalipun telah hampir setahun saling berhubung melalui blog, SMS, call, Facebook dan emel.
As mengambil kesempatan untuk berkumpul bersama keluarga sempena sebuah progam motivasi jemaah yang As sertai di sebuah sekolah menengah berdekatan selama 2 hari.
Kepada pembaca yang tak berapa jelas, AO adalah anak dara sulungku. Anak dara kedua adalah As. Ya, mereka berdua bukan anak secara biologi, tetapi kasih sayang terhadap mereka tetap sama seperti kasih dan sayangnya aku terhadap dua orang anak lelakiku. Cuma kali ini focus perkongsianku lebih kepada As.
Kenapa?
Ada dua sebab iaitu:
Pertama, kerana aku dah pernah kongsikan pengalamanku yang sangat berbahagia dengan ‘kelahiran’ AO. Jadi kali ini dedikasi untuk As pulalah. Ngeee…
Kedua, kerana ada sesuatu ikatan yang istimewa antara aku dengan As.
Anak-anak lain dengan keistimewaan masing-masing. Syukur Alhamdulillah kerana Allah aturkan ukhwah dan mahabbah ini melalui HIV, Dr. Iskandar dan blog ini.
Aku pernah kongsikan bahawa As adalah pesakit kronik. Mudah sebut, sakit FM. Macam bunyi channel radio sahaja, kan? Hehehe… Sila klik di sini.
Ketika itu, aku masih menganggap As sebagai sahabat, mentor dan antara sumber inspirasiku. Malahan As juga pernah berkongsi pengalaman sempena setahun aku didiagnos sebagai PLHIV Januari yang lalu.
Bagaimana bermula?
Ketika itu kami mendapat rawatan dengan doctor yang sama iaitu Dr. Iskandar Firzada bin Osman di KK Jaya Gading, Kuantan. Aku tidak pasti tarikh sebenarnya, tetapi ketika itu aku masih pada peringkat awal diagnos. Dr. Iskandar yang memperkenalkan blog aku kepada As.
Sudah tentu antara mereka yang terawal memberikan sokongan dan sehingga sekarang adalah As. Sokongan dan perkongsian pada peringkat kita ‘lemas’ sebenarnya sangat-sangat bermakna. Aku rasa diterima walaupun sokongan tersebut daripada seseorang yang masih dianggap terlalu muda berbanding usiaku.
Antara sumber kekuatan kita adalah dengan cara membandingkan ujian yang kita tempuhi dengan ujian insan lain walaupun mereka bukan PLHIV.
As ada kekuatan dan keajaiban tersebut yang Allah kurniakan. Aku menjadi antara pengunjung setia blog As (sini)
Aku kagum dalam usia semuda As, As mampu menghadapi segala tekanan dengan redha. Tangisan di hati hanya Allah yang tahu. Aku juga lihat banyak kelebihan yang Allah kurniakan kepada anak gadis bertubuh kurus ini.
Dalam diam sebenarnya aku selalu sebut nama As, menyatakan penghormatan dan kasih sayangku dan berkongsi ujian-ujian yang As hadapi dengan isteri-isteriku.
Malahan isteri-isteriku tahu ada beberapa amanah khas aku minta As tunaikan jika ditakdirkan aku tewas dan terlantar atas sebab-sebab tertentu. Aku mahu As ada bersama mereka menemaniku ketika itu.
(Itu pun jika As mampu dan suami As mengizinkan, andai ditakdirkan As telah bertemu jodoh ketika itu, hehehe… Suami dan anak-anak yang lebih berhak ke atas As)
Uniknya perhubungan kami menjadi semakin rapat setiap kali kami tertekan dan saling berkongsi sokongan. Ketika aku mengalami kesan sampingan awal rawatan HAART, dan apabila memikirkan betapa ujian As yang tanggung jauh lebih berat berbandingku, menjadi syifa’ yang sangat mujarab. Sokongan di blog ketika itu tidak sehebat seperti sekarang.
Barangkali kerana sama-sama diuji menyebabkan kami saling menyokong tanpa syarat dan walaupun tanpa komunikasi.
Perlahan-lahan As menjadi terlalu dekat di hati, tetapi kerana penghormatanku terhadap As terlalu tinggi, dan kerana mengutamakan kesihatan As turut menjadi tembok yang tersendiri mengekang komunikasi kami. Agak formal dan terhad.
Alhamdulillah, atas beberapa faktor yang Allah permudahkan, akhirnya aku juga sedar As perlukan aku sebagai abah. Aku rasa rendah diri terhadap As dan As juga mungkin begitu. Syukur tidak terkira atas inayah Allah, walaupun aku tahu siapalah aku.
….
Sekalipun pertama kali bersua muka, komunikasi dan kasih sayang kami sekeluarga umpama air yang mengalir lancar tanpa dapat dihalang. As individu yang sangat pandai membawa diri dengan sesiapa sahaja dan mengkagumkan dalam masa yang cukup singkat.
Aku bahagia melihat As begitu selesa denganku. Selesa berkongsi masalah dan rasa sayangnya terhadap aku, isteri-isteri serta adik-adik. Pantas menyesuaikan diri dengan suasana baru di rumah kampung kami yang serba kekurangan.
Sekurang-kurangnya aku juga terasa berperanan memberi sedikit kebahagiaan dan kekuatan kepada As. Aku dapat belajar erti ketabahan dengan cara melihat ketabahan As secara live berjuang melawan kesakitan walaupun cuba disembunyikan di sebalik watak yang kelihatan periang dan ceria.
Bahkan aku dan As lebih banyak menghabiskan masa bersama apabila berkesempatan. Aku selesa dan bangga As menemaniku ke mana-mana sebagai anak daraku yang comel dan manja. Aku lupa kesakitanku.
Baru aku sedar betapa nikmatnya punya anak-anak perempuan yang punya peranan dan keistimewaan tersendiri. Ianya umpama nikmat yang aku abaikan, tetapi Allah kurniakan kembali melalui HIV.
Sudah tentu sekalung penghargaan kepada keluarga asal (ibu bapa secara biologi) anak-anak daraku ini yang telah berjaya mendidik mereka menjadi insan yang sungguh istimewa. Kami sekadar menumpang kejayaan pengorbanan dan susah payah mereka.
Itu pun aku sedar waktunya cuma sementara. Insya-Allah akan sampai masanya mereka menjadi milik orang. Akan sampai juga masanya kita terpaksa berpisah. Sekurang-kurangnya aku pergi dengan rasa syukur dengan nikmat yang Allah pinjamkan.
Untuk As, terima kasih sayang atas segala-galanya. Sudah tentu isteri-isteriku dan anak-anak lelakiku sangat-sangat istimewa, tetapi As dan AO juga punya keistimewaan tersendiri.
Alhamdulillah, sekalipun aku hidup sebagai PLHIV, dan terdapat beberapa nikmat yang Allah tarik sebagai didikan, tetapi Allah Maha Adil kerana mengurniakan pula berbagai-bagai nikmat yang tidak terjangka.
Hadiah buku daripada As, Chicken Soup for the Soul by Jack Canfield, Mark Victor Hansen dan Amy Newmark menemaniku ketika ini.