Sambungan dari sini,
TERIMA SALAM PERKENALAN
Guru adikku yang handsome telah menyampaikan salam perkenalan kepadaku dan aku terima dengan hati yang terbuka. Namanya H. H juga merupakan lelaki ke-2 dalam hidupku dan berjaya mencuri hatiku dengan wajah yang handsome dan hati yang baik.
Dia juga banyak memberi tunjuk ajar tentang kehidupan dunia. 2 minggu berkenalan, dia menyatakan hasrat untuk lebih serius dalam perhubungan. Aku menerima dengan hati yang berbunga. Aku mengharapkan agar dia merupakan lelaki yang terakhir dalam hidupku. Hubungan kami berjalan lancar. Aku berterima kasih kepada adik aku sebab dia yang mengenalkan H kepadaku.
Tahun 2009
PEMBUKAAN TAHUN
H ditawarkan untuk mengikuti kursus perguruan selama setahun dengan elaun bulanan RM 1,333.00. Dekat je. Aku memberi semangat kepadanya untuk terus belajar dan dapat apa yang diimpikan oleh orang tuanya.
Perhubungan kami sama seperti orang lain. Yalah, orang bekerja dengan belajar mana sama. Banyak pertelingkahan kecil terjadi. Masing-masing cemburu buta.
Telefonku disambungkan ke H sekiranya aku tidak menjawab (divert call). Dah tu ramai pulak kawan-kawan sekerja yang menelefon aku waktu aku telah tidur. Aku pula jenis tidur awal. Lepas Isyak, aku akan tidur. (Tidur mati... bom meletup belum tentu bangun) Penat sangat.
REZEKI DARIPADA ALLAH
Kontrak ku dengan SPAJ tamat pada 04/2009 dan telah disambung lagi selama 2 tahun. Namun aku menerima tawaran kerja dengan kerajaan Federal (tetap) jawatan yang sama 2 bulan sebelum kontrakku tamat.
Sekali lagi ibu bapaku masuk campur dalam hala tuju kerjayaku. Tanpa pengetahuanku mereka telah menghantar borang penerimaan jawatan tersebut. Bukan susah untuk meniru tandatanganku. Tujuanku membuat tandatangan yang senang adalah memudahkan mereka sekiranya ada dokumen yang penting untuk diisi sekiranya aku tiada.
Menyesal rasanya. Aku ditugaskan di Negeri S. Adoi ai, jauhnya dari H. Aku sedih. H pun tidak setuju untuk aku ke sana. Namun aku terpaksa pergi juga. Hubungan antara aku dan H semakin jauh.
Namun setiap hari H tidak pernah lupa untuk bermesej dengan ku. Sekiranya ada masa terluang, dia akan video cam aku. Masing-masing sibuk dalam bidang masing-masing.
Aku dihantar berkursus selama 2 minggu. Selama itu kami tidak dapat berhubung. Aku rindukan H.
KURSUS DALAM PERKHIDMATAN
Aku sedih apabila perhubungan telefon tiada dalam kem tersebut. Namun aku dan teman-teman lain redha. Sebelum memulakan kursus, kami perlu menjalani ujian air kencing, darah, mata dan juga pelbagai jenis perkhidmatan perlu dijalani oleh peserta. Hanya beberapa peserta sahaja yang perlu menjalani Rapid Test dan dibawa ke hospital berdekatan atas sebab apa aku pun tak tahu. Yang penting aku selamat dan lepas daripada masalah kesihatan.
Di situ kami dibahagikan seramai 4 orang dalam 1 bilik. Aku menerima teman dari Terengganu, Perak, dan Melaka. Masing-masing lebih tua daripada aku. Seorang 1 katil. Huh… lega rasanya, tak payah aku share katil dengan orang lain.
Dalam bilik itu aku seronok sangat sebab aku kenal dengan budaya dan kebiasaan teman-temanku. Yang seorang sibuk dengan tempoyaknya, yang seorang sibuk dengan cencalok dan budu. Aku je tak bawa belacan. Hahahahhaha… kelakar!
Masing-masing keluarkan stok makanan. Termasuklah aku. Ye lah, berkursus 2 minggu. Makan 5X sehari, tapi bukan kita tau, kalau-kalau dah kebulur tengah-tengah malam, mana nak mencari.
Peserta kursus siri 2/2009 seramai 198 orang. Paling ramai dalam sejarah jabatan aku dan paling ramai adalah lelaki iaitu seramai 70% dan perempuan 30%. Gred jawatan dari 1-17. Kami akan ditempatkan di serata pelosok negara termasuk Sabah dan Sarawak. Aku alhamdullilah sebab aku telah mendapat penempatan di S tetapi mereka belum ada tempat. Kasihan.
Kami dibahagi lagi kepada groups. 1 group ada 10 orang yang terdiri daripada 7 lelaki & 3 perempuan. Di situ ramai kawan-kawan 1 ofis yang bertemu jodoh. Pelbagai tugasan dan kerenah selama dalam berkursus.
Akhirnya, setelah 2 minggu bersama, kami terpaksa berpisah. Rasa begitu sedih kerana mereka adalah teman semasa dalam kem tu. Merekalah yang berkongsi suka duka kita. Segala-gala masalah kita mereka kongsikan bersama. Dah macam adik-beradik. Itulah yang jabatan aku hendak terapkan.
Sehingga kini, walaupun kami jauh daripada pandangan, namun kami tetap mesra sekiranya bertemu dalam functions yang jabatan anjurkan. Saling tak lupa untuk ber-email dan chatting dalam extranet… rindu korang!
MULA TUGAS DI TEMPAT BARU
Selepas tamat kursus, aku ke Seremban dan dapat rumah sewa. Aku duduk sendirian di situ. Hanya ada radio, dapur, dan tong gas yang aku beli. Bayangkan keadaan aku begitu. Esok aku mula kerja. Rasa nak terkencing bila aku sampai di ofis. Nak menangis dan meraung.
Semua orang yang ada sebaya mak dan bapak aku. Nasib baik aku ada 6 orang kawan yang ditugaskan di tempat yang sama. Ada juga teman. Aku masuk dalam bilik kewangan. Dadaku berdebar sangat. Tak tahu siapa bos aku, teman seperjuanganku.
Adoi ai… dalam bilik tu ada 5 orang termasuk aku. Yang muda sememangnya aku. Yang lain sebaya mak aku. Yang nak pencen pun ada. Rasa pening kepala otak aku. Sistem pulak semua tak pakai Excel. Masih lagi pakai buku lama yang panjang menjela. Hadoi hai, macam mana aku nak buat ni? Komputer ada, tetapi masing-masing buat main game. Kelakar tak?
Aku dikehendaki menyiapkan tugasan tahun 2008. Pernah pula aku terfikir yang aku kena buat kerja yang aku tak pernah tahu. Aku start kerja pun 2009. Aku sedih. Langsung tiada tunjuk ajar. Semua aku kena buat sendiri. Aku buat tugasanku secara perlahan-lahan.
Aku bertugas dengan penuh dedikasi. Dengan kepakaran yang aku ada, aku berjaya melakukan tugasan dengan bimbingan yang minimum.
KEINGINAN HATI
H memberi kata putus untuk hubungan ini. Sekiranya aku benar-benar serius dalam perhubungan, dia nak hubungan ini terus ke jinjang pelamin. Aku mengambil masa untuk berfikir. Aku minta dia untuk habiskan pengajiannya yang sudah tidak lama. 6 bulan saja lagi, tetapi pihak keluarga dia memaksa aku untuk berkahwin tahun itu juga. Bukan apa, adiknya terpaksa menunda majlis disebabkan tunangnya kemalangan jalan raya.
Aku tersepit. Last-last aku kata pada H untuk tanya sendiri pendapat keluargaku dan aku tidak sangka yang H serius untuk menjadikan aku surinya. Dia datang bersendirian dengan membawa cincin risik. Bapaku minta tangguh disebabkan kakakku pun belum berkahwin dan dia nak H habis belajar dahulu.
H berkeras dan hendak majlis dibuat pada bulan 8 tahun tersebut. Aku cuma ada masa kurang dari 2 bulan. Aku tak sanggup. Aku nak majlis bertunang dahulu sebab aku memang belum bersedia. Umurku baru 21 tahun masa itu.
Akhirnya dia bersetuju untuk bertunang dahulu. Beberapa hari selepas majlis tunang berlangsung, keluarganya datang untuk menetapkan tarikh pernikahan. Sekali lagi aku tepuk dahi. Ingatkan dah tunang boleh relaks. Rupanya tidak. Dia tetap mahu bernikah pada tahun itu juga.
MENGETAHUI BAHAWA AKU ADALAH PEMBAWA HIV
Akhirnya aku mengalah. Dia telah mengambil semua borang yang perlu diisi bagi prosedur pernikahan termasuk borang saringan HIV. Kami mengisi segala borang yang penting dan kami pergi bersama-sama membuat saringan di HKT. Aku berdebar-debar tak tahu kenapa.
Tiba giliran aku untuk membuat ujian. Aku menunggu di luar. Beberapa ketika selepas itu, aku dipanggil lagi untuk membuat Rapid Test. Aku dengan tanpa prasangka membuat ujian itu. Akhirnya staf di situ suruh aku isi borang untuk ambil darah. Aku tanya kenapa dia tak beritahu langsung. At last budak pelatih beritahu maybe aku HIV +ve dan borang aku tidak dipulangkan.
H telah mendapat keputusan dan borang. Boleh pula staff nurse tu tak beritahu aku perkara yang penting itu. Jadi timbul pertanyaan daripada H berkenaan keputusanku dan mengapa borangku tidak dipulangkan. Mulutku berat untuk aku katakan kepadanya. Nantilah, belum sampai masa.
Keesokan hari aku meminta ibuku untuk menemani aku mengambil darah pada jam 8 pagi. Ibu banyak bertanya dengan staff nurse tu, namun tiada jawapan daripada mereka.
Ibuku beristighfar panjang. Apa yang boleh aku buat? Staff nurse tu kata 1 bulan akan datang pihak hospital akan telefon semula. Tanpa memberitahu aku status sebenar, tanpa sebarang kaunseling. Tanpa ada sepatah kata daripada mereka. Soal siasat dari mereka kujawab dengan biasa sahaja. Aku memberitahu ibuku mengapa aku perlu mengambil ujian itu. Ibuku hanya mampu untuk menangis.
Aku tahu mesti hatinya hancur luluh bila menegtahui keadaanku. Aku hanya mampu menangis dalam hati. Apa lagi yang mampu untukku lakukan? Ibu beritahu abah segalanya berkenaan diriku. Aku lihat abah menangis. Nampak titis air matanya. Namun apa yang boleh aku lakukan?
Aku sendiri tidak tahu aku dijangkiti, bila aku dijangkiti. Aku tidak punya teman sosial. Aku tidak melakukan perkara-perkara berisiko dan aku juga tidak menagih dadah. Aku betul-betul tidak tahu apa itu HIV dan cara jangkitannya. Yang aku tahu HIV adalah virus yang tiada ubat dan membawa maut. Cara jangkitannya aku tidak tahu. Takkan sekadar bertempuk-tampar boleh membawa kepada penyakit ini.
Aku tertekan dengan diriku sendiri. Aku mengambil cuti rehat selama 1 minggu untuk menenangkan diri aku. Aku duduk di dalam bilik. Bila aku rasa sesak, aku keluar dan memandu keluar ke tepi laut. Sepanjang minggu aku offkan handphone aku. Aku keluar tak tentu hala. Aku hilang punca. Aku rasa terlalu kotor dengan virus ini. Aku mencari dari mana datang virus itu. Aku menangis sepanjang hari. Aku salahkan Tuhanku kerana memberi aku begitu berat dugaan. Aku tidak mampu untuk menerimanya.
Terlintas di fikiranku untuk bunuh diri. Namun ibu bapa dan adik-beradikku memberi support yang paling baik kepadaku. Aku bersyukur kerana mereka tahu keadaan aku. Begitu beruntung kerana mereka tidak membuang aku, malah mereka mencari pelbagai ubat alternative untukku.
Naik muak aku dengan pelbagai ubat. Peria kataklah, jarum emaslah, dengan mahkota dewa, misai kucinglah. Apa-apalah semua untuk antibody dan cuci darah, tapi aku telan juga nak jaga hati mak dan abah.
Malam minggu semasa aku tidur, aku tersedar bila aku terdengar keluargaku berbincang berkenaan diriku. Banyak persoalan yang ditimbulkan oleh adik-beradikku dan abah menjawab dengan panjang lebar. Yang membuat aku terasa sedih apabila abah kata pada mereka:
“Siti tengah diduga oleh Allah. Sama-samalah kita sokong dia untuk terus hidup. Jangka masa dia dengan kita pun kita tak tahu. Keadaan kita akan datang pun kita tak tahu. Apa dugaan yang akan kita terima dan kebaikan di kemudian hari. Kalaulah abah boleh ganti kesihatan abah ni dengan dia, abah sanggup.Abah nak anak-anak abah sihat.
Apa yang jadi pada dia jadikan iktibar. Jangan ditanya mengapa dan dari mana. Abah nak korang sokong dia dengan sepenuh hati. Ingat, macam mana pun dia tetap darah daging kita. Darah dalam tubuh kita sama.”
Begitu sekali pengorbanan yang sanggup abah buat untukku. Pemikiran bapaku, orang kampung seperti bapaku boleh berfikir sepositif itu. Tetapi kenapa para educated di hospital tu boleh fikir negatif dengan PLHIV seperti aku.
Aku peluk abah kuat-kuat. Abah hanya mampu memujukku dengan mengatakan:
“Tak apalah. Allah nak duga kau. Engkau kira beruntung sebab dia dah bagi peringatan awal pada kau. Orang lain mabuk dengan maksiat, mati mengejut dan mati accident, tak sempat nak ingat pada Dia. Tapi engkau, Dia nak kau selalu ingat Dia. Kau sempat untuk bertaubat. Terimalah. Inilah kifarah yang perlu engkau bayar. Insya-Allah, sekiranya engkau terima dengan redha, kau akan dapat yang lebih baik dari Dia.Dia Maha Adil lagi Maha Mengetahui.”
Mak aku cuma mampu senyum saja. Tapi aku tahu, hati ibu dan ayah mana yang tak kecewa bila penyakit yang belum ada ubat ni ada pada anak dia.
Habis saja cuti, aku pulang ke Seremban. Kebetulan pada hari itu, H datang ke rumah ibu bapaku dan dia telah mengetahui statusku. Bapaku memberitahu status hivku kepadanya. Aku tak mampu untuk bertemu dengannya. Aku tidak keluar langsung untuk berborak dengannya. Namun aku terus menyiapkan barang-barang aku untuk dibawa pulang.
Bapaku menahan aku daripada pulang dengan keadaan sebegitu. Dia sanggup hantar aku balik sekiranya aku perlukan dia. Dia tahu hati dan fikiranku bercelaru. H tidak menghubungi aku sejak dia tahu penyakit aku. Aku pasrah. Aku sedia dengan keputusan yang akan dia ambil terhadap diriku. Akhirnya, setelah hampir 2 minggu H senyap seribu, dia muncul di pejabatku petang itu. Sepatutnya dia ada kelas. Namun dia ponteng semata-mata hendak bertemu dengan aku.
Dia menanyakan tentang kesihatanku dan dari mana aku dapat virus ini. Adakah aku curang padanya? Namun aku hanya boleh jawab dengan air mata. Aku sendiri tak tahu di mana silap aku sehingga Tuhan menduga aku sebegitu.
H minta maaf kerana mahu bersendirian dan melakukan istikharah untuknya. Akhirnya H mengambil keputusan untuk meneruskan hubungan kami. Kerana apa? Aku sendiri tak tahu. Aku tahu, begitu ramai gadis di luar sana yang inginkan dia. Dengan kerjaya yang menjamin masa depan dan personality yang menarik, mudah saja untuk menawan hati mana-mana gadis. Aku berkeras untuk berpisah dan menjalani kehidupan sendiri. Namun dia tetap ingin teruskan.
Tanpa pengetahuanku, dia merancang dengan kakakku untuk menjalani ujian saringan bagi pihakku. Dia mencuri IC ku dan aku telah buat report polis yang IC ku hilang dan duitku juga melayang kerana mengganti IC yang baru. Dia tidak mahu keluarganya tahu.
Kakakku telah bersetuju setelah mendapat kepastian yang H serius inginkan aku. Semua borang telah dihantar kerana aku telah mengisi terlebih dahulu sebelum membuat ujian saringan. Jadi semua yang perlukan tandatangan aku telah ditanda. Akhirnya permohonan nikah kami telah lulus. (AHP: Tips penting ni tetapi risiko kau orang tanggung sendiri. Aku tak campur! Gurau-gurau je, aku bukan provoke ya. Hahaha...)
Bersambung...
AHP: Sila baca bahagian seterusnya nanti. Beberapa peristiwa menarik dan tips tertentu akan kita temui nanti.