Tuesday, March 27, 2012

HIV: 500, 000 KUNTUMAN HARAPAN UNTUK MENJALANI KEHIDUPAN YANG LEBIH POSITIF



Alhamdulillah, Sabtu lepas (24 Mac 2012), jumlah pengunjung blog ini secara rasminya melebihi setengah juta orang pengunjung dalam tempoh setahun 2 bulan ianya diwujudkan.

Aku memang bercadang nak buat entry khas sempena pencapaian tersebut, tetapi malangnya kesibukan melampau bersama komuniti dalam kehidupan harian menghalang hasrat mengemaskini blog.

Bagi sebuah blog kerdil yang bukan mengutamakan berita sensasi, pencapaian tersebut amat membahagiakan. Ianya cukup bermakna kerana ianya antara indicator pencapaian perjuanganku menyebarkan info bermanfaat kepada masyarakat.

Dalam tempoh setahun, bermacam-macam yang telah kita kongsikan. Info, motivasi, HAART, tips, kaunseling, khidmat sokongan komuniti, tazkirah, dan sebagainya bersama para pembaca.

Sudah tentu ianya bukan terlalu sempurna, tetapi cukuplah sebagai maklumat asas secara santai. Aku juga bukan pakar di bidang perubatan dan keutamaan adalah lebih kepada perkongsian sokongan moral.

Melalui beberapa kategori yang telah ditetapkan, terutamanya dalam kategori AKU, hampir semua sejarah suka-duka hidupku sebagai PLHIV aku kongsikan. Bukan bertujuan mendedahkan aib diri, tetapi lebih kepada berkongsi rasa dan pengalaman.

Alhamdulillah, melalui blog ini juga, aku dapat menjalin hubungan dengan beberapa NGOs tertentu yang terlebit secara aktif dan profesional membantu komuniti, bahkan beberapa individu berpengalaman yang berhati mulia, doktor-doktor, kakitangan KKM, para pelajar di bidang perubatan, dan sebagainya.

Jika aku mahu senaraikan, senarainya terlalu panjang dan bagi pengunjung yang biasa ke blog ini, nama-nama tersebut sangat sinonim. Kadangkala mereka tidak menonjol di blog, tetapi sentiasa membantuku melalui emel, SMS dan sebagainya.

Bukan itu sahaja, kita juga berpeluang membina rangkaian kumpulan sokongan yang dinamakan sebagai POSITIVE WARRIORS dan rangkaian blog komuniti PLHIV yang sentiasa terbuka berkongsi pengalaman dan suka-duka, saling bantu-membantu dan sebagainya. Ianya cukup-cukup menakjubkan dan bermakna.

Bahkan akhir-akhir, ini blog kita turut mendapat perhatian beberapa tokoh dan pemimpin penting dalam masyarakat termasuk pihak media.

Sokongan para pembaca pula, Allahu Akbar! Tidak putus-putus bersilih ganti. Hanya Allah yang dapat membalas jasa baik semua. Pertolongan Allah datang tanpa disangka-sangka.

Untuk itu, atas semua perkongsian yang sungguh bermakna ini, aku doakan kalian sentiasa berada dalam rahmat dan redha Allah dunia akhirat. Aku tidak mampu membalas jasa kalian.

Teruskan sokongan dan perkongsian secara positif di sini. Tolong sebar-sebarkan maklumat atau mengenai blog ini supaya kita dapat mencegah HIV secara tepat kepada masyarakat.

Kepada semua sahabat PLHIV, ujian virus ini terlalu ringan jika dibandingkan dengan segala ujian Allah yang lain. Yakinlah kita mampu hidup seperti insan lain, bahkan dalam keadaan sentiasa diberi peringatan untuk memperbaiki kelemahan diri.

Kekuatan kita adalah daripada pertolongan Allah dan dalaman diri sendiri. Aku bukanlah individu yang memberikan inspirasi, kekuatan, dan sebagainya kerana aku juga punya masalah serta ujian yang sama. Kadangkala kuat dan ada ketikanya turut memerlukan sokongan.

Insya-Allah selagi langkah mampu dihayun, selagi itu perjuangan diteruskan.