Thursday, March 15, 2012

HIV: MARI BETULKAN SALAH FAHAM


Baru-baru ini keluar sebuah artikel di dalam sebuah akhbar harian yang menceritakan tentang seorang PLHIV kaya bernama Danial. Secara ringkasnya, artikel tersebut memaparkan kisah Danial yang mampu hidup sihat, sekalipun tidak pernah menjalani rawatan secara klinikal.

Kononnya PLHIV tersebut hanya bergantung kepada kekuatan mental sahaja untuk melawan virus.

Artikel tersebut mendapat teguran segera daripada aku dan beberapa orang sahabat kumpulan sokongan Positive Warriors blog ini.

Secara umumnya kami bimbang artikel tersebut meninggalkan kesan negative jika berlaku salah tanggapan kepada masyarakat dan PLHIV yang enggan menerima rawatan. Niat asal untuk mendidik akhirnya bertukar menjadi bala.

Alhamdulillah, penulis artikel memberikan respon positif untuk memperbetulkan persepsi tersebut dan akan berkongsi pula pandangan daripada PLHIV yang lain. Tahniah dan terima kasih atas keprihatinan pengarang.

Salah seorang ahli kumpulan kumpulan sokongan Positive Warriors yang memberikan teguran adalah Along. Ada kemungkinan teguran Along akan diterbitkan oleh pengarang dalam masa terdekat. Mari kita kongsi perkongsian pengalaman dan pendapat Along.


Saya XXX (Along) ingin memberi serba sedikit komen berkaitan tajuk artikel yang memaparkan kisah seorang insan bernama Danial yang merupakan HIV positif yang bertarikh 04.03.2012 (Ahad) dalam ruangan 'Pancaroba' bertajuk "Kekuatan Mental Lawan Virus HIV".

Untuk pengetahuan pihak pengarang, saya merupakan seorang pemuda berumur 24 tahun yang merupakan HIV positif sejak setahun yang lalu selepas melakukan aktiviti berisiko. Saya disahkan menghidapi virus HIV pada 08.02.2011 selepas membuat ujian saringan HIV di PT Foundation, sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Saya kemudiannya dirujuk ke Klinik Pakar Perubatan Bahagian Penyakit Berjangkit Hospital Sungai Buloh (HSB) pada keesokan harinya (09.02.2011) bagi tujuan menjalani ujian makmal untuk menentukan tahap bacaan antibodi di dalam badan (CD4), CD8, ujian penyakit kelamin "Sexually Trasmitted Disease"(STD) dan juga berjumpa dengan pihak kaunselor.

Memang pada mulanya, saya merasakan masa depan saya sangat gelap apabila disahkan HIV positif, kerana pada ketika itu saya baru sahaja berumur 23 tahun dan baru sahaja 2 minggu memulakan kerja di sebuah universiti swasta di Selangor.

Tidak ada apa yang boleh saya lakukan pada masa itu selain menangis dan merasa kesal di atas perbuatan yang telah saya lakukan sebelum ini. Kadangkala wujud perasaan ingin membunuh diri kerana tidak mahu dan tidak sanggup menghadapi padangan negatif orang ramai sekiranya mengetahui status diri saya yang HIV positif, lebih-lebih lagi saya merupakan anak kepada seorang ustazah di sebuah sekolah rendah.

Apa yang telah saya lakukan selepas disahkan HIV positif adalah memberitahu ibu saya, adik perempuan, ahli keluarga, majikan, dan kawan-kawan yang rapat dengan saya berkaitan dengan status saya. Alhamdulillah, mereka semua dapat terima diri saya dan ada di antara mereka yang turut menangis kerana simpati pada saya selain banyak memberi sokongan moral supaya saya tabah menghadapi ujian ini.

Hanya pada mereka sahaja tempat saya mengadu berkaitan ujian yang telah Allah S.W.T. berikan kepada saya ini. Sehingga kini, sudah hampir 100 lebih orang mengetahui status saya yang HIV positif. Selain itu, saya juga banyak bertanya pada doktor, kaunselor, mempelajari, dan juga membaca artikel berkaitan HIV.

Selepas hampir 11 bulan, pada awal bulan Januari 2012 saya dikehendaki oleh pihak Doktor Pakar Klinik ID Hospital Sungai Buloh untuk memulakan pengambilan ubat HAART (Highly Active Anti-Retroviral Therapy) selepas bacaan CD4 saya turun ke paras 283.

Ubat HAART yang saya ambil sekarang adalah jenis Combivir dan Stocrin. Alhamdulillah, selepas setahun, saya mampu kembali hidup normal seperti orang lain yang negatif HIV.

Saya juga sekarang sudah menjadi salah seorang sukarelawan kumpulan sokongan di blog Aku HIV Positif "AHP" (http://akuhivpositif.blogspot.com/) yang menggunakan nama samaran "Along". Di dalam blog tersebut, komuniti AHP banyak membantu golongan yang senasib seperti saya, terutama yang baru sahaja disahkan HIV positif.

Saya juga telah menanam semangat di dalam diri saya bahawa saya sangat bertuah kerana dipilih oleh Allah S.W.T. untuk menjalani ujian ini, kerana semuanya ada hikmah di sebalik musibah yang berlaku, dan mungkin juga merupakan salah satu cara Allah S.W.T. untuk mengurangkan dosa-dosa yang telah saya lakukan selama ini. 






Cuma, saya ingin menegaskan di sini, bukan semua penghidap HIV bernasib baik seperti insan bernama Danial yang walaupun selepas hampir 10 tahun menghidapi HIV, beliau masih sihat dan tidak mendapatkan rawatan ubat-ubatan dari mana-mana klinik atau hospital mahupun rawatan tradisional.

Saya risau, sekiranya ada di kalangan individu HIV positif yang membaca artikel tersebut terutama yang baru disahkan positif, akan ada yang mempertikaikan pada doktor kenapa mereka perlu makan ubat sekiranya bacaan CD4 mereka rendah di bawah paras 350.

Ini akan meninggalkan sikap negatif di kalangan HIV postif yang tidak mahu mendapatkan rawatan susulan. Umum perlu mengetahui tujuan utama ubat HAART diwujudkan adalah untuk membantu pesakit HIV hidup lebih lama dan juga untuk mengelakkan berlakunya gejala HIV AIDS.

Dengan teknologi dan penyelidikan terkini daripada para saintis, banyak penemuan baru dan ubat HAART jenis baru yang telah ditemui dan diwujudkan berbanding 10 hingga 20 tahun yang lalu semasa mula-mula virus HIV dikesan buat pertama kalinya. Tidak mustahil satu hari nanti akan ditemui pula penawar HIV.

Selain itu, saya lihat banyak drama Melayu yang memaparkan cerita yang menggambarkan bahawa seolah-olah semua penghidap HIV akan mati disebabkan AIDS dan berkudis.

Bukan semua penghidap HIV meninggal dunia disebabkan AIDS. Kebanyakannya disebabkan oleh penyakit-penyakit lain seperti barah otak, jangkitan kuman pada paru-paru, dan lain-lain lagi. Itu pentingnya rawatan dan pengambilan secara konsisten ubat HAART.

Selagi pihak media tidak memperbetulkan stigma tersebut, selagi itulah akan menyebabkan masyarat Malaysia melakukan diskriminasi dan memandang serong pada golongan HIV positif terutama masyarakat yang kurang membaca.

Contohi media di luar negara yang banyak membantu golongan HIV positif membetulkan semula tanggapan masyarakat supaya tidak memandang hina pada golongan seperti kami.

Contohnya di Jepun ada sebuah siri drama yang memaparkan perjalanan hidup seorang penghidap HIV dari mula-mula dia disahkan HIV positif sehinggalah dia mampu hidup normal semula sama seperti individu yang negatif HIV selepas mendapatkan rawatan susulan di hospital.

Bagi saya, media massa sangat memainkan peranan penting dalam membantu golongan HIV positif.

Saya berharap, apa yang saya tulis ini dapat memberi serba sedikit pandangan dan juga dapat membetulkan semula padangan serong masyarakat terhadap insan-insan seperti kami.

Sekian, terima kasih.

Sukarelawan Kumpulan Sokongan Aku HIV Positif (http://akuhivpositif.blogspot.com/)


AHP: Tahniah kepada Along. Walaupun baru dan muda, tetapi sangat prihatin dan berani.

Kepada PLHIV yang tetap enggan mendapatkan rawatan secara klinikal, saya rayu sekurang-kurangnya jalani ujian pemantauan kiraan CD4 dan Viral Load anda.

Jika anda memang berduit dan mampu membeli supplement yang mahal-mahal, dan enggan mendapatkan rawatan HAART, itu semua pilihan anda.

Kalau CD4 masih tinggi dan Viral Load anda rendah, sihat, tidak mengandung, dan sebagainya, memanglah tidak perlu memulakan HAART.

Tetapi dengan hanya kekuatan mental sahaja, ianya umpama menghulurkan kepala untuk disembelih bila-bila masa. Jika melakukan pula hubungan seks dengan pasangan tanpa langkah-langkah pencegahan, bertambahlah masalah.