Sunday, February 12, 2012

PROSEDUR PERMOHONAN KEBENARAN BERKAHWIN KEPADA PASANGAN PLHIV DAN CABARANNYA





Antara ramai sahabat komuniti yang berkahwin dengan PLHIV, ZS adalah salah seorangnya. ZS memang wanita yang sangat istimewa. Siapa ZS tu, apa istimewanya?

Dah tentulah ZS bukan nama sebenar, hahaha…

ZS bukanlah seorang PLHIV, tetapi suami ZS. Kesudian dan keikhlasan ZS menerima insan PLHIV sebagai suami sangat menyentuh hati. Suami ZS pula aku yakin seorang yang bersikap positif. Jadi mereka berjaya melayari rumahtangga dengan bahagia, insya-Allah…

ZS bukanlah orang sebarangan. ZS dan suami mempunyai karier professional di bidang tertentu, anak kepada seorang VVIP. Comel lote macam anak patung. Pendek kata, kalau ZS tak ambil peduli tentang PLHIV pun ZS tak rugi apa-apa.

ZS sangat merendah diri dan berjiwa besar. Walaupun masih malu-malu, tetapi ZS sentiasa sudi memberikan 2nd opinion kepada bakal pengantin pasangan PLHIV apabila aku minta pertolongan untuk berkongsi pengalaman dan nasihat. Ramai juga pasangan telah ZS bantu sehingga berjaya membina masjid.

Kebanyakan yang ZS bantu menghubungi aku semula dan memuji keperibadian mulia ZS.

Entry tentang perkahwinan ZS pernah aku kongsikan di sini. Aku sekeluarga hadir ke majlis perkahwinan mereka bersama LR, Azri, D, dan Rusyida & family. Ketika itu kami yang lebih teruja berbanding orang lain.

Sebenarnya, pada peringkat awal dulu, aku agak berdebar jika ZS suami isteri gagal menyesuaikan diri dengan alam rumahtangga. Maklumlah berkahwin dengan insan PLHIV bukannya sebarang orang boleh faham dan terima.

Alhamdulillah, sekarang aku semakin yakin dengan kebahagiaan rumahtangga mereka. Mungkin ini berkat keikhlasan mereka suami isteri mencari keredhaan Allah. Keadaan ini menyebabkan aku turut bahagia serta bersyukur.

Tak sia-sia rasanya kami membantu setakat yang termampu. Sama-sama kita doakan kebahagiaan dunia akhirat buat insan yang berhati mulia ini.

Baru-baru ini aku menerima emel daripada ZS yang sudi berkongsi pengalaman dan cabaran berkaitan prosedur permohonan kebenaran berkahwin dan pengesahan status ujian HIV dengan pihak KKM dan Jabatan Agama Islam Negeri.

Aku memang tercari-cari info ini kerana sebelum ini aku, seorang hamba Allah turut berkongsi pengalaman yang hampir sama. Masalahnya apabila aku cari semula di kotak emel untuk dipublishkan, entah ke mana pula hilangnya emel tersebut. Agaknya aku ‘terdeleted’ semasa membersihkan kotak emelku.

Kiranya perkongsian ZS ini umpama pertolongan Allah kepada mereka yang tercari-cari panduan asas mengenai prosedur berkenaan.

Aku publishkan perkongsian pengalaman ZS dengan sedikit editing untuk disesuaikan sebagai entry.

Pengalaman ZS ini adalah semasa berurusan dengan pihak hospital dan Jabatan Agama Islam sekitar Wilayah Persekutuan dan Selangor. Apa-apapun, kepada pasangan PLHIV lain yang bakal berkahwin, maklumat ini boleh dijadikan panduan asas kepada yang memerlukan.

Pesanan ikhlas aku kepada non-PLHIV, bersedialah dengan bermacam-macam tekanan mental dan kerenah birokrasi apabila memilih untuk berkahwin dengan PLHIV.

Kalau tak sanggup, rasa berisiko, dan asyik nak diungkit kesilapan lampau mereka, tak payahlah terima. Senang cerita kahwin sahajalah dengan orang lain yang sudi.

Bahagia derita adalah atas usaha sendiri dan pertolongan Allah, tak kira kepada pasangan ada PLHIV atau tidak. Maaf, ada sebab kenapa aku berkata begitu.

Terima kasih ZS, ianya sangat-sangat bermakna. Semoga pahalanya akan berterusan dan mendatangkan manfaat kepada semua muslimin dan muslimah yang memerlukan. ZS adalah antara pasangan dan insan istimewa yang membanggakan dan sangat-sangat diperlukan di sini.

Mari baca:

Bismillahirrahmanirrahim...

Ya Allah yang Maha Bijaksana, terangkanlah hatiku dan mudahkanlah urusanku serta rungkaikan simpulan pada lidahku, semoga mereka memahami perbicaraanku. Amin.

Assalamualaikum saudara AHP,

Pantasnya masa berlalu setelah hampir 3 bulan sejak kali terakhir saya menulis email kepada saudara. Dengan izin Allah, saya mendapat ilham daripadaNya untuk berkongsi kisah yang memberi kesedaran kepada saya. Saya berharap dengan perkongsian saya yang tidak seberapa ini dapat membantu segelintir insan yang buntu mencari jawapan penyelesaian.

Baru2 ini saya bertemu dengan Cik Aisyah (bukan nama sebenar) yang memerlukan panduan untuk meneruskan pernikahan walaupun setelah mengetahui bahawa tunangnya adalah seorang HIV positif.

Seperti saya, keputusannya ingin meneruskan pernikahan adalah dengan kehendak dirinya sendiri tanpa paksaan daripada mana2 pihak. Beliau sgt berfikiran positif dan saya pasti beliau telah memahami apakah impaknya meneruskan pernikahan ini.

Seperti saya juga, beliau dan tunangnya telah mengambil keputusan untuk menyembunyikan hal ini daripada pengetahuan keluarga masing2, memandangkan kesan buruknya lebih memudaratkan daripada kebaikannya.

Permasalahan yang dihadapi oleh Cik Aisyah dan tunangnya ini adalah berkenaan dengan borang keputusan ujian saringan HIV. Beliau dan tunangnya telah membuat ujian saringan HIV di salah sebuah klinik kerajaan di Wilayah Persekutuan.

Beliau menceritakan betapa sukarnya untuk mendapatkan keputusan HIV yang ditandatangani oleh doktor / pegawai perubatan sehingga hampir 2 bulan beliau menghadapi kesukaran memperoleh keputusan HIV yang telah ditandatangani.

Beliau menceritakan pengalaman pahit di klinik tersebut apabila jururawat di makmal tidak memberikan kerjasama untuk menghubunginya setelah keputusan HIV dikeluarkan. Malah, jururawat tersebut telah menghebahkan keputusan HIV positif tunangnya kepada staf2 lain di klinik tersebut.

Bukan itu sahaja, beliau telah dipandang serong oleh jururawat di klinik tersebut yang juga mempertikaikan keputusannya untuk meneruskan perkahwinan.

Apa yang saya sesali, doktor di klinik tersebut juga tidak dapat memberikan khidmat nasihat sepenuhnya dan kurang pasti dalam memberikan jawapan serta hanya merujuk pada 'slaid' apabila diajukan soalan oleh Cik Aisyah.

Lebih menyulitkan pihak Cik Aisyah ialah apabila borang ujian HIV tunangnya telah dicop dengan perkataan 'reaktif'. Hal ini menyukarkan pihaknya untuk mendapatkan persetujuan pihak keluarga dan pengurusan borang2 lain.

Seperti yang telah kita sedia maklum, pengurusan borang nikah memerlukan tandatangan wali, 2 orang saksi, penolong pendaftar nikah kariah masjid dan pendaftar nikah di jabatan agama Islam negeri.

Di manakah terletaknya 'keputusan anda adalah rahsia' seperti yang diwar2kan di dalam iklan di kaca TV apabila cop 'reaktif' jelas terpampang pada borang keputusan saringan HIV dan menjadi tontonan semua pihak yang terlibat untuk pengesahan borang2 pernikahan?

Borang saringan HIV inilah juga yang telah menyukarkan saya dan menyebabkan saya menemui jalan buntu semasa menguruskan borang pernikahan saya suatu masa dahulu.

Alhamdulillah, setiap masalah ada jalannya. Mujurlah saya dipertemukan dengan Dr. Khadijah (bukan nama sebenar) di Hospital Besar Kuala Lumpur yang sangat banyak membantu saya dulu.

Saya dimaklumkan oleh Dr. Khadijah bahawa borang keputusan HIV tidak perlu ditanda/dicop 'reaktif' atau tidak reaktif. Pemohon nikah boleh mendapatkan borang ujian saringan HIV terus dari klinik kerajaan, iaitu borang yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).



Jika diamati, tidak ada ruangan atau kotak untuk ditandakan 'reaktif' atau 'tidak reaktif' pada borang ini. Berbeza dangan borang saringan HIV yang terdapat pada lamab web JAWI/JAIS, kotak 'reaktif' atau 'tidak reaktif' perlu diisi oleh pegawai perubatan.

Oleh itu, bagi kes pemohon HIV positif yang tidak mahu keputusan HIV-nya menjadi tontonan orang ramai, bolehlah mendapatkan borang ujian saringan HIV yang dikeluarkan oleh KKM di klinik kerajaan.

Tetapi, walaupun Cik Aisyah telah menggunakan borang dari KKM, jururawat tersebut berkeras untuk mengecop 'tidak reaktif' pada borangnya dan membiarkan kosong pada borang pasangan Cik Aisyah. Hal ini pastinya menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli keluarga masing2 kerana borang keputusan HIV masing2 jelas kelihatan berbeza.

Sekali lagi, saya memanjat kesyukuran pada Ilahi kerana saya dipertemukan dengan Cik Aminah (bukan nama sebenar), seorang jururawat di HKL yang banyak membantu saya semasa saya dalam kesusahan menguruskan borang HIV dahulu.

Saya memberikan nombor telefon jururawat Cik Aminah kepada Cik Aisyah untuk mendapatkan bantuan. Saya menasihatkan Cik Aisyah untuk memperkenalkan dirinya melalui nama saya dan menceritakan masalah yang dihadapinya pada Cik Aminah.

Dengan izin Allah, jururawat Cik Aminah terus memberikan tarikh appointment secepat mungkin dan menguruskan borang HIV Cik Aisyah tanpa sebarang tanda atau cop 'reaktif' atau 'tidak reaktif' seperti borang saya dahulu.

Perlu difahami, KKM mempunyai saluran tersendiri utk berkomunikasi dengan jabatan agama Islam mengenai keputusan HIV individu bagi menjaga institusi kekeluargaan Islam.

Oleh itu, borang ujian saringan HIV tersebut hanyalah sebagai bukti bahawa pemohon telah menjalani ujian HIV. Keputusan reaktif atau tidak reaktif itu tidak penting dalam urusan pernikahan dan tidak wajar menjadi tontonan orang ramai.

Alhamdulillah, hari ini saya berasa sangat gembira dan bersyukur apabila mendapat berita bahawa urusan borang nikah tunang Cik Aisyah telah diluluskan oleh JAIS.

Untuk pengetahuan, JAIS atau JAWI atau mana2 jabatan agama Islam (setakat hari ini) tidak akan membantah mana2 pemohon HIV yang ingin meneruskan pernikahan. Malah, urusan di JAWI/JAIS untuk pemohon HIV adalah SAMA seperti pemohon2 lain. Tidak ada sesi kaunseling yang melibatkan kaum keluarga dan sebagainya seperti yang saya pernah terbaca pada carta aliran proses nikah untuk tahun2 sebelum ini.

Namun begitu, pemohon yang ingin bernikah dengan pasangan yang menghidapi HIV perlulah meneliti dan memahami kesan baik dan buruk yang akan dihadapi setelah berkahwin.

Jangan kerana mengikut emosi dan nafsu cinta pada si dia sehingga menjadi buta, tetapi cintalah pada DIA yang kekal kerana kebahagiaan itu juga adalah hak milik Allah sepenuhnya. Dia yang menentukan kebahagiaan kita, tidak kira dengan siapapun yang kita kahwini.

Saya juga ingin menegaskan pendirian saya bahawa keputusan HIV itu seharusnya dirahsiakan kerana itu adalah hak individu masing2. Saya kesal dengan tindakan sesetengah pihak perubatan yang indah khabar dari rupa. Hebahan di kaca TV, media dan banner 'keputusan anda adalah rahsia' harus dipersoalkan. Saya berharap setiap individu sama ada PLHIV ataupun tidak, perlu tahu hak mereka dan pertahankan hak mereka apabila berhadapan dengan kes seperti yang dialami oleh Cik Aisyah.

Bersama-samalah kita berdoa agar hasrat Cik Aisyah dan pasangannya untuk mendirikan masjid menjadi kenyataan. Amin.

Saudara AHP,

Andainya terdapat mana2 insan terutamanya kaum Hawa yang memerlukan bantuan, tolong berikan nombor telefon terbaru saya. Saya bukanlah ustazah, bukan pula kaunselor yang berkelayakan. Saya hanyalah seorang muslimat yang ingin membantu orang lain terutama saudara seagama dengan saya yang terkapai2 mendapatkan bantuan seperti saya dahulu. Insya-Allah, saya akan membantu sebaik mungkin. Wsalam.

-ZS-