Thursday, February 09, 2012

HIV: PESANAN RINGKAS KEPADA BAKAL PENGANTIN PLHIV (18SX)





Kali ni aku nak kongsi lagi pandangan merapuku terhadap PLHIV yang bakal berkahwin. Kenapa? Kerana kebelakangan ini, aku banyak menerima berita gembira dan jemputan daripada sahabat-sahabat PLHIV yang bakal mendirikan rumahtangga.

Lagipun sebelum ini aku dah share entries berkaitan pengantin baru dan pengantin lama PLHIV. Untuk adil, kita sembang-sembang dengan bakal pengantinlah pulak!

Ingat ya, aku bercakap ni kepada golongan yang bakal berkahwin. Yang dah lama kahwin dan melakukan kesilapan tu, itu perkara yang dah berlalu. Hanya Tuhan yang tahu betapa mereka menderita kerana gagal memaafkan diri akibat kesilapan lampau. 

Kahwin Dengan PLHIV

Kita bersikap terbuka. Majority PLHIV yang melayari blog ini terdiri daripada golongan yang terdedah kepada risiko jangkitan kerana pernah melakukan hubungan seks yang tidak selamat sama ada homoseksual, biseksual atau heteroseksual. Aku yakin penagih dadah suntikan jalanan (IDU) tak ada masa nak cari info di sini.

Pembaca setia blog ini pasti faham bahawa PLHIV boleh berkahwin sama seperti insan lain sama ada sesama PLHIV atau salah seorang non-PLHIV. Risiko jangkitan terhadap pasangan non-PLHIV boleh dihindari.

Bahkan ada caranya untuk mendapatkan bayi bebas HIV. Kepada yang tak faham, rajin-rajinlah buat sedikit carian mengikut kategori yang tertera di wall blog.

Walaupun tumpang gembira, tetapi banyak juga berita sedih yang aku terima di sebalik berita gembira tersebut. Aku yang rekomen, hujung-hujung masalah terbeban atas batu jemala patik juga. Kalau aku tahu, baik aku sahaja yang kahwin. Hahaha…

Berita sedih tersebutlah yang membuatkan aku frust tertonggeng (sambil memasukkan kepala ke bawah bantal sepanjang hari). Kesudahannya aku tak tahu sama ada mahu bergembira atau berduka.

Jadi, maaflah jika pandanganku agak kasar dan kritis terhadap PLHIV sendiri. Aku tidak tujukan direct kepada mana-mana individu. Lagipun ramai juga pasangan yang berkahwin dengan PLHIV hidup bahagia. Aku bercakap secara umum, sebagai langkah peringatan dan cuba meminimakan risiko.


Masalah pasangan yang berkahwin kebanyakannya berpunca daripada sikap PLHIV mengikut character dan attitude masing-masing. Semua pandangan ini berdasarkan pemerhatianku terhadap kes-kes perkahwinan pasangan PLHIV yang aku bantu.

Aku harap perkongsian ini sedikit sebanyak dapat dijadikan panduan asas kepada bakal isteri PLHIV. Bukan aku tak sokong kahwin dengan PLHIV, tetapi tersalah pilih, merana seumur hidup.

Tapi normal lah kan. Pasangan tanpa HIV pun begitu juga. Allah Maha Adil, ada pula cabaran dalam bentuk yang lain.

Sekali lagi, mohon ampun dan maaf kerana bukan niatku untuk menyinggung sesiapa. Kalau sesuai, pakai. Tak sesuai, abaikan. Tak rugi apa-apapun.

Apa Isunya Jika PLHIV Nak Berkahwin?

Tak ada isu. Walau bagaimanapun, yang paling penting ialah apa tujuan utama nak kahwin? Ikut sunnah? Cover line? Desperate? Cuba-cuba? Desakan keluarga? Keperluan psikologi dan pengiktirafan masyarakat atau apa? Adakah jika berkahwin kita benar-benar bersedia untuk berubah, sanggup menjaga amanah terhadap sebuah perkahwinan?

Kalau bersungguh-sungguh mahu berubah, Allah Maha Pengampun, Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Jujur terhadap diri sendiri, teruskan sahaja. Ada cabaran, ada penyelesaiannya. Aku sokong 100%. Masalah timbul apabila berlaku sebaliknya.

Homoseksual

Kalau dah tahu diri tu pure gay, tak payahlah sekadar cuba-cuba nak kahwin. Buat apa berkahwin kalau nafsu terhadap isteri tak ada langsung. Takkan setakat nak onani together-gether sepanjang hayat! (Maaf)

Aku tak menghina dan memandang mudah terhadap kecenderungan seksualiti individu. Bahkan aku cukup simpati dengan ujian Allah yang perlu dihadapi. Orang cetek akal sahaja yang mudah menghukum dan menganggap fitrah manusia semuanya sama.

Ujian terhadap kecenderungan seksualiti ni sama seperti mereka yang diuji sebagai orang kurang upaya, mengalami kecacatan pancaindera, kecacatan fizikal, penyakit-penyakit kronik, dan sebagainya.

Bukankah jika betul-betul tidak bernafsu terhadap isteri, lebih baik kita focus untuk menjaga kesihatan diri dan berdepan dengan ujian Allah? Berjihad melawan nafsu. Zalim menganiaya mereka yang sudi berkorban untuk kita.

Biseksual

Andai biseksual pula, buatlah decision awal-awal bahawa kita akan tinggalkan perkara yang di luar fitrah tersebut. Salah dan silap lain cerita kerana setiap manusia ada kelemahan tetapi malangnya memang terdapat yang tak pernah berhajat nak ubah apa-apa.

Bila berkahwin, masih leka mengejar anak-anak ikan untuk diratah di belakang isteri. Isteri sangka suaminya jujur berkawan dan melepak bersama rakan-rakan lelaki tulen. 

Lagi malang bila tak clear tentang pilihan hidup, berbulan-bulan kahwin masih tak berupaya menunaikan nafkah batin. Diri sendiri confuse dan tak dapat menikmati proses hubungan intim tersebut sepenuhnya.

Heteroseksual

Ramai juga yang pernah mengamalkan seks bebas sebelum mereka menjadi seorang PLHIV. Barang yang lepas tak dapat nak diubah. Walaupun berzina itu berdosa besar dan menghilangkan kemanisan alam rumahtangga, sekurang-kurangnya Allah masih sayang kita dengan kafarah sebagai PLHIV.

Taubat dan belajar daripada kesilapan. Bila didiagnos HIV positif dan mahu berkahwin, takkan tak mahu berubah juga.

PLHIV Enggan Ambil HAART

CD4 yang tinggi adalah bagus untuk imuniti individu tetapi Viral Load yang rendah sangat penting untuk mengelakkan risiko jangkitan terhadap pasangan dan bayi. Penggunaan kondom adalah mandatory. Setakat ini, satu-satunya cara secara klinikal untuk kurangkan jumlah virus adalah melalui HAART.

Masalahnya apabila doktor dah cadangkan ambil HAART, ada pula yang enggan dengan macam-macam alasan sendiri. Entahlah, tak larat aku nak nasihat banyak kali. Nak nasihat apa lagi kerana masing-masing belajar tinggi. Ini hak dan keadilan untuk isteri. Janganlah bersikap selfish dan mengambil risiko!

Aku bimbang jika tanpa sedar, akibat denial terhadap reality hidup, golongan begini mencipta macam-macam teori dan andaian di fikiran mereka. Mereka cuba alih isu dengan memikirkan macam-macam kelemahan pasangan sebagai escapism.

Mereka terlupa dengan kelemahan diri sendiri. Baru kahwin sehari dua dah nak fikir pasal cerai-berai. Tension… memang tension aku dibuatnya!

Fikir-fikirkanlah tentang erti sabar, pahala mendidik isteri, konsep dan method dakwah, kaunseling, psikologi, naluri, fitrah, emosi, hikmah wa mauizatun hasanah, fiqh perbandingan, dan sebagainya. Google dan cari sahajalah kitab-kitab muktabar. Isteri tu amanah Allah.

Macam mana nak berjuang di medan yang lebih besar jika medan kecil begitupun cepat benar mengalah?

Ya, jodoh ketentuan Allah. Boleh difahami jika dah bertahun-tahun mencuba andai jodoh tak kekal dan tiada keserasian.  Janganlah sampai inai masih dijari, dah kecoh nak bercerai? Manis bulan madu bertukar menjadi tangis bulan madu…

Pleaselah, jangan sampai tanpa sedar kita diuji Allah dengan takabbur terhadap pendapat sendiri. Sikap begini jauh lebih bahaya daripada HIV.

Paranoid

Huh, ini sikap paling sinonim. Paranoid terhadap HIV, rawatan, risaukan status diri atau enggan berkongsi dan bergaul sesama komuniti. Semua ni paranoid dan stigma dalaman PLHIV sendiri.

Macam-macam jenis paranoid ni dan kebanyakannya kerana gagal memahami serta menguasai maklumat asas mengenai HIV. Dah kita ada HIV, kenali sikit penyakit kita dik…

Akibat paranoid lah, ada kes yang dah hampir setengah tahun kahwin masih gagal menjalin hubungan intim. Kononnya risaukan risiko jangkitan. Bila aku pelawa jumpa untuk sesi kaunseling, tahu pula malu dan takut-takut.

Hahaha... tau pula rasa tercabar untuk buka kelemahan diri depan isteri tetapi peliknya aniaya isteri tak kisah pula. Ego tak bertempat!

Hello brader, aku ada 2 orang isteri OK? Dua-dua non-PLHIV tetapi kami tetap meneruskan kehidupan rumahtangga seperti biasa tanpa apa-apa masalah.

Paranoid ni bagi aku kerana tidak betul-betul tawakkal dengan takdir Allah walaupun ada yang mendakwa mereka sedang mencari keredhaan Allah. Kalau kita dah ambil ubat dan pencegahan, tawakkal lah.

Kalau tak mahu ambil ubat dan tak mahu pula pakai kondom, memanglah kita takut. Bila takut, macam mana nak concentrate? Bila tak concentrate, macam mana nak erection? Kalau dah tak erection, macam mana tak anti klimaks?

Paranoid juga berkait rapat dengan mentaliti subsidi. Apa itu mentaliti subsidi? Asyik nak bergantung dan mengharapkan pertolongan orang lain.

Semua nak dipujuk rayu dan dibelai. Sepatutnya kita yang bermasalah sendiri perlu bold, tampil ke depan menunjukkan contoh terbaik kepada pasangan sebaliknya kita sibuk berselindung di bawah ketiak pasangan supaya sentiasa dipujuk rayu.

Suami manja mengalahkan isteri, perghh… aku memang tak suka! Manja-manja sayang tu aku fahamlah. Sesekali OK, tetapi kalau sepanjang masa, KO. Bukan isteri sahaja yang boring, aku pun tak larat nak bantu.

Paranoid akhirnya membawa kepada ‘perasan bagus.’ Akibat perasan bagus mulalah enggan bergaul dan berkongsi dengan komuniti. Kononnya bimbang maklumat diri bocor, risau orang lain tahu karier, tersebar maklumat peribadi dan sebagainya.

Aduhai, kenapalah buruk sangka sangat? Sesama komunitilah lebih memahami masalah komuniti. Kau ingat diri dan karier kau tu bagus sangat? Kalau kau pandai, bersepah yang lagi pandai. Kalau kau banyak harta, lebih ramai yang banyak harta. Kalau kau berpangkat, bersepah yang pangkatnya tinggi-tinggi.

Ramai yang berhubung dengan aku terdiri daripada para ustaz, ustazah, bekas pelajar tahfiz, macam-macam jenis jurutera, pensyarah universiti, reporter, SB, tentera, doktor, lawyer, nurse, office-boy, VIP, guru, yang ada Master, ada PhD, dan entah apa-apa lagi. Jangan nak perasan baguslah…

Terserah jika tak nak join, tak ada sesiapa boleh paksa. Kita hormati pendirian dan perbezaan masing-masing. Risiko tanggung sendiri. Aku tak kuasa nak bergaduh dalam perkara remah-temeh dan khilafiah.

Jadi, apa-apa hal, buatlah ikut cara dan keselesaan sendiri asal jangan dianiaya pasangan masing-masing akibat sikap tersebut.

PLHIV Berhati Kering

Berhati kering yang aku maksudkan bukan sahaja kerana kedegilan dan enggan menerima nasihat orang lain, tetapi segelintir PLHIV yang kekal aktif menyebarkan virus sesuka hati. Bertuhankan nafsu.

Mula-mula dapat HIV bukan main insaf dan tak tinggal sejadah. Tetapi, bila dah serasi, sibuk kembali ke tabiat lama dan tidak ada rasa gentar langsung terhadap peringatan Allah, malahan selesa menyebarkan virus sesuka hati.

Golongan begini bukan sahaja tak layak kahwin tetapi elok masukkan sahaja ke dalam penjara. Masalahnya mereka sangat pandai berpura-pura. Jadi berhati-hatilah.

Penutup

Akhir kata kepada semua bakal pasangan PLHIV, sama ada sesama PLHIV atau non-PLHIV, fikirlah dulu dalam-dalam jika berhasrat mahu meneruskan perkahwinan dengan PLHIV.

Kalau mereka negative thinking dan bersikap negative seperti yang aku kongsikan ni, tak payahlah pening-peningkan kepala. Tak perlulah kahwin dengan mereka kerana kasih sayang membuta tuli. Tak guna kahwin selagi tuan punya badan enggan membantu diri sendiri.

Biarlah malu sekarang kerana membatalkan perkahwinan selepas segala persiapan dan kad jemputan telah diedar daripada berdosa, menderita dan timbul fitnah berganda pada kemudian hari. Perkahwinan bukan seperti main pondok-pondok dan masak-masak pada zaman kita kecil-kecil dulu.

Kalau mereka punya sikap positif dan belajar daripada kesilapan, why not? Teruskan. Aku sokong sepenuhnya.

Selamat menempuh alam rumahtangga. Semoga bahagia bawa ke syurga dan dikurniakan zuriat yang menjadi menjadi penyejuk mata serta pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa sehingga berdozen-dozen!

Tetapi kalau tak sudi, jangan disebar dan dijaja aib mereka. Mohon maaf dari hamba (AHP).