Saturday, January 14, 2012

HIV: PESANAN RINGKAS KEPADA PENGANTIN LAMA @ PLHIV YANG HIDUP BERKELUARGA



Haa… ini entry yang aku janjikan. PESANAN RINGKAS KEPADA PENGANTIN LAMA @ PLHIV YANG HIDUP BERKELUARGA. Hehehe… Pengkhususannya pula lebih kepada PLHIV yang hidup dengan pasangan non-PLHIV. Kalau sama-sama PLHIV tu situasinya sedikit berbeza dan dalam beberapa perkara mereka ada beberapa kelebihan.

Sebenarnya seram juga nak share entry ni, maklumlah ianya lebih kepada golongan yang otai dan berpengalaman. Kebanyakannya ada kena-mengena dengan pengalaman sahabat-sahabat rapat. Silap-silap nanti aku kena baling dengan kasut.

So, sebagai langkah berjaga-jaga, awal-awal lagi aku dah standby kunci kereta. Kalau nampak macam ada yang nak baling kasut je, aku cabut. Hahaha…

Apa-apa pun niat aku cuma untuk saling muhasabah diri, ingat-mengingati dan berkongsi. Pandangan aku tidak semestinya betul dan langsung tak ada niat nak mengenakan sesiapa. Aku akui pandanganku lebih kepada pandangan peribadi seorang PLHIV lelaki. Hati perempuan atau pasangan tak berapa mampu aku selami.

Ok, macam mana nak mula ya?

Beginilah, terus-terang majority sahabat PLHIV dalam kategori otai mengetahui status kesihatan mereka selepas berkahwin. Ada yang mengetahuinya setelah mendapat rawatan masalah kesihatan tertentu dan ada kerana semasa menderma darah.

Kebanyakannya pula langsung tak menjangka mereka dijangkiti akibat kesilapan lampau yang telah lama mereka lupakan. Biasanya sudah tertutup terus daripada ingatan.

Sebaik sahaja didiagnos sebagai PLHIV, secara umum (umum sahaja ya) kedua-dua pihak akan mengalami tekanan dengan cara tersendiri:

1. Diri sendiri
2. Pasangan dan anak-anak

Bermakna mereka berdepan dengan tekanan yang 2, 3 kali ganda berbanding yang masih solo.



Tekanan Dalam Diri Sendiri

Rasa keliru, takut, bimbang, tertekan dan sebagainya adalah sama seperti PLHIV yang bujang tetapi rasa bersalah biasanya lebih tinggi. Sebagai suami dan bapa, mereka rasa diri mereka tidak berguna dan gagal.

Mereka tertekan dengan rasa bersalah yang amat sangat terhadap pasangan dan anak-anak. Mereka risaukan jangkitan dan masa depan keluarga. Mereka rasa takut ditinggalkan dan dibenci.

Mereka tiada pilihan kecuali perlu jujur mengakui kesilapan diri. Terpaksa menebalkan muka dan membuang ego. Memohon maaf, menuntut rasa empati dan simpati terhadap khilaf lampau. Allah beri mereka didikan direct supaya belajar merendah diri.

Jika mereka pernah mengamalkan apa juga cara seks bebas terutamanya homoseksual, alangkah beratnya untuk mengaku: “Ketika di IPT dulu abah / abang adalah gay.” Nanti terpaksa berdepan pula dengan stigma yang lain.

Biasanya mereka terpaksa beralih kepada alternative kedua iaitu mengaku sama ada mereka pernah ‘sekali atau beberapa kali’ mengamalkan seks bebas (tanpa mengambil langkah-langkah pencegahan) atau pernah ‘sekali’ mencuba dadah secara suntikan.

Hai, cover line nampaknya bro… tak mengapa, aku faham!

Perkara lepas bukan boleh diubah dan buat apa membuka aib sendiri. Dah orang tanya, terpaksalah jawab. Dia orang tak diuji seperti kita, memanglah mudah membuat andaian. Apa yang penting, belajar daripada daripada kesilapan, bertaubat dan ambil pengajaran. Apa-apa pun, antara ciri utama insan yang hebat adalah bersikap jujur mengakui kelemahan diri.

Bagi aku yang terdedah sikit-sikit dengan kaunseling kes PLHIV ni, sebenarnya tak adalah PLHIV sejahat manapun. Apa sangatlah dosa mereka berbanding menipu rakyat, makan rasuah, dan menabur fitnah tetapi tetap dipuja dan dipuji setiap hari.

Bersepah yang hina Allah, hina Rasulullah, hina ulama’, minuman harian mereka adalah arak, melanggan pelbagai bangsa pekerja seks kelas atasan, tetapi mereka tidak dijangkiti.

Bezanya kita diberi peringatan awal, syukurlah… Bukankah itu tanda kasih sayang Allah? Buat sikit je dah kena. Sesetengahnya muda-muda lagi Allah dah tinggikan darjatnya dengan ujian supaya berubah. Kau orang pula kecoh anggap ianya tidak adil. “Aku muda lagi bro Pie…” Peliklah! Hahaha… jangan ada yang terasa ya!

Katalah apa saja. Memang PLHIV tahu kesalahan mereka dan rasa bersalah itu sendiri lebih menakutkan berbanding virus yang berada di dalam tubuh mereka. Takut kehilangan pasangan dan anak-anak lebih menggerunkan, tetapi apakan daya selain memohon sedikit pengertian.

Aku percaya rasa benci dan bersalah terhadap diri sendiri jauh melebihi rasa benci dan tuduhan bersalah yang mungkin diluahkan oleh pasangan. Mereka terpaksa redha jika mereka dipinggirkan atas perkara yang takkan mampu diubah lagi.

“Pergilah sayang, pergilah intan jika itu yang kau mahu. Itu hakmu. Apalah dayaku insan yang bersalah ini.”

Menangis pasangan dan anak-anak kerana kecuaian PLHIV nampak pedih di luar. Simpati semua pihak menyerbu kepada mereka sedangkan tangisan dalam hati PLHIV tiada siapa yang tahu. Cercaan pula bertalu-talu.

Apatah lagi jika ianya menjadi caci-maki dan ungkitan pasangan masing-masing. Tersilap sikit  sahaja, tanggunglah segala hinaan atas batu jemala patik. Akhirnya terperangkaplah PLHIV dengan rasa sepi yang sangat dalam sepanjang hayat mereka.

Lebih malang lagi, aib yang sepatutnya disimpan pasangan dijadikan modal oleh pihak mertua untuk menambah luka di dada.

Bagi yang dijangkiti akibat human error atau machine error, ibu kepada bayi, akibat pemindahan darah dan sebagainya pula. Mereka juga ada tekanan-tekanan yang tersendiri. Kadang-kadang jauh lebih dahsyat daripada kau orang tetapi mereka cool aje.

Bayangkan ada yang sejak lahir hanya mampu duduk di kerusi roda, lengkap dengan segala pakej penyakit kronik akibat perbuatan ibu bapa. Apalah sangat nasib mereka berbanding kau orang.

Awal-awal diagnos dulu aku pernah terfikir, kalaulah aku tahu masuk darahpun boleh dapat HIV, baik aku enjoy puas-puas masa muda dulu. Satu habuk pun aku tak merasa tetapi tetap dapat HIV. Astaghfirullahal azhiim… tak baik kan? Itulah namanya takdir.

Nasihat aku kepada pasangan (non-PLHIV), jika tak sudi tak apa. Anda memang ada hak tetapi tak perlulah menjaja keburukan suami atau isteri sendiri kepada orang lain. Mereka tetap bekas pasangan atau ayah / ibu kepada anak-anak kita. PLHIV insan biasa yang punya hati dan perasaan.

Tak apalah kalau memilih untuk berpisah, tetapi simpanlah rahsia tersebut. Bukankah ada beribu-ribu alasan lain untuk berpisah. Bukan susah sangat, bagitahu sahaja kau orang memilih perpisahan kerana tak panjang jodoh atau kerana tidak serasi. Sedih kau orang sahajalah yang kau orang tahu. Sedih kami? Ingat kami ni bangku ke tak ada perasaan?

Bila dah timbul campur tangan pihak ketiga yang bersikap judgmental dan tak rasional ni, faham-faham sahajalah. Info pasal HIV pun tak clear, memang batu apilah jawabnya. Meruntuhkan masjidpun dia orang tak peduli. Bagi penampar sedap juga kan? Hahaha…

Perkara kecil jadi besar. Sepatutnya selesai jadi kusut. Sepatutnya berfikir dan ambil masa bertenang bertukar menjadi terburu-buru mengikut hati. Pastu mulalah menyesal. Ingat ya, bukan sedikit kes pasangan (non-PLHIV) yang menyesal akibat minta cerai pernah aku jumpa.

Bukankah PLHIV pernah kongsi saat-saat indah bersama kita? Insan yang pernah kita peluk dan ucapkan cinta. Tiada langsungkah kebaikan mereka? Berpisah sekalipun bukan semestinya kita bermusuh. Hak anak-anak tetap ada. Berkawan elok-elok pun tak boleh?

Kadang-kadang aku pelik dengan kau orang ni. Belajar tinggi, sesetengahnya memang di bidang perubatan pun tapi tak faham-faham. Ramai pula yang punya latar belakang agama yang baik tetapi mentality mengalahkan orang jahil. Aku yang bodoh ni bila cakap banyak kau kata melalut, tak akademik!

Jadi, fikir dulu dalam-dalam sebelum buat keputusan. Jangan cepat sangat melatah nanti menyesal. Jangan fikir diri kita maksum dan tak berdosa.



Tekanan Pasangan

Jika dilemma utama PLHIV adalah rasa bersalah, lain pula tekanan yang dialami oleh pasangan mereka. Mereka yang tidak pernah mengetahui kesilapan lampau pasangan PLHIV biasanya akan rasa dikhianati. Confirmed!

Rasa dikhianati, terhina, sampainya hati pasangan (PLHIV) melihat mereka diperlakukan begitu, kenapa mereka terpaksa menanggung beban kesilapan pasangan (selepas begitu banyak berkorban), kenapa, kenapa, kenapa, kenapa dan beribu-riban kenapa mengapa yang semuanya berkisar tentang emosi.

Memang simpati dan pedih apabila cinta didustai. Maklumlah, ‘bicara soal hati’ tapi maaf, aku tak pandai layan sangat bro, sis... Aku praktikal. Muda-muda dulu aku minat heavy metal, trash. Aku minat Slipknot, Megadeth dan Iron Maiden. Makin tension, makin aku angguk kepala dengar lagu-lagu tersebut. Bukan bangga, itu cerita dulu-dulu tapi faham-fahamlah cara aku. Memberontak sikit, jiwa kacau.

Non-PLHIV juga risau tentang jangkitan, risiko terhadap anak-anak, keliru mahu meneruskan rumahtangga, bagaimana mahu bersama semasa melakukan hubungan intim, dan sebagainya. Memang beratpun tekanan mereka tetapi agak-agaklah. Kadang-kadang akibat terlalu memikirkan tentang diri sendiri, kau orang lupa tentang perasaan PLHIV. Kalau teringat pun, “arghhh… itu akibat masalah dia sendiri yang cari.”

Tambah-tambah lagi jika mereka turut mendapat jangkitan penyakit kelamin akibat kecuaian PLHIV. Makin menjadi-jadilah stress dan berangnya. Ada masa simpati, ada rasa nak ketuk aje kepala PLHIV supaya cepat mati. Sakit hati Tuhan sahaja yang tahu.

Ketika itu, ringan sahaja mulut mahu berkongsi perasaan dengan orang lain walaupun orang tersebut hakikatnya mungkin tak faham apa-apa tentang HIV. Ayat paling power didengar ialah, “kau orang bercerai ajelah, bahaya penyakit ni, tak ada ubat!” La hawla walaa quwwata illa billaah…

Anak-Anak?

Ermmphhh… nak cakap apa lagi kalau ayah atau emak PLHIV. Apa yang tergambar hanyalah segala-galanya yang berkaitan dengan perkara negative termasuklah jenazah dimandikan dengan clorox, batu nesan, air mata, umpatan orang dan entah apa-apa lagi.

Beginilah, tak perlu aku panjang-panjang membebel. Cuba kau orang fikir betul-betul. Sehina dan sejahat manapun manusia, siapa yang nak sakit dan menyusahkan diri sendiri dan keluarga? Mendiang Pablo Escobar tu dulu sangat cool dengan family dia.

Adakah reality boleh dinafikan dan sejarah boleh diubah? Sebab tu aku kata jangan pandang belakang. Kau orang asyik sangat pandang ke belakang sampai tak boleh nak ke depan.

Adakah HIV tiada rawatan atau diri sendiri yang jahil dan enggan terima kenyataan?

Bukankah ujian terhadap PLHIV juga merupakan ujian Allah untuk menilai keimanan kita dan untuk menguji ketaqwaan kita?

Bukankah rasa ego dan enggan memaafkan menyamai sifat iblis yang menyebabkannya tercampak dari syurga? Riak itu hanya sifat dan pakaian kebesaran Allah. Sebab itu antara nama-nama Allah ialah al-Akbar, al-Azhiim, al-Jabbar, al-Qahhar dan semualah 99 nama-nama Allah tu.

Kenapalah kau orang sanggup pisahkan kasih sayang seorang bapa atau ibu dengan anak-anak? Kenapa perlu dibuang anakmu yang khilaf itu? Kenapa mesti dicaci ayah / ibu kepada anak-anak atau cucu-cucumu sendiri? Setidak-tidaknya PLHIV tetap saudara seagamamu.

Malaslah aku cakap banyak, nanti aku emo.

Bagi aku simple sahaja. Apabila ada bayang-bayang (perkara silam) bermakna pasti ada cahaya (harapan). Takkan ada bayang-bayang tanpa cahaya. Aku yang tak belajar sains ni pun boleh faham. Takkan kau orang yang ada Masters dan PhD tak faham-faham konsep tu. Pernah ke Allah tu zalim?

Tak payahlah nak kecoh-kecoh. Allah tu Maha Pengampun, Maha Adil dan Maha Penolong.

Namun, apa yang paling penting ialah PLHIV sendiri mesti bangkit. Mesti bersikap positif dan membuktikan mereka berubah menjadi berganda lebih baik daripada sebelum diberi peringatan. Kasihanlah kepada anak-anak yang memerlukan perhatian, bimbingan, dan kasih sayang. Orang dah tak nak, jangan dirayu. Siksa diri buat apa? Cari lain. bersepah lagi yang bagus-bagus dan boleh terima kita.

Tak payahlah sikit-sikit nak dipujuk, dirayu, dan dibelai. Nak puting susu ke? Apa, nak bunuh diri??? Haaa… cantik!! Kau terjunlah bangunan tapi wasiatkan harta kau orang kat aku. Tahulah aku menggunakannya. Ramai lagi yang nak hidup…

Jangan terlalu memikirkan kenapa orang lain tidak begitu, begini, dan sebagainya. Sebaliknya, marilah kita memulakan langkah. Seribu langkah bermula dengan langkah yang pertama. 


Seperti aku selalu kata, kalah sekalipun biar bermaruah. Alang-alang mandi, biar mandi junub. Eh, sori… dah mula melalut dah. Risau juga kalau ada virus menyorok kat otak aku ni.

Mana boleh pakai, kau orang pakai. Yang merapu meraban, abaikan! Wallahu a’lam.