Thursday, January 19, 2012

HUKUM BERKHATAN TERHADAP KANAK-KANAK HIV POSITIF (PLHIV)

 Dr. Iskandar Firzada bin Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician



Entry ini aku olah semula hasil perkongsian dengan Dr. Iskandar Firzada melalui emel. Ianya bermula apabila aku meminta pandangan dan pertolongan beliau berhubung dengan satu kes seorang kanak-kanak lelaki PLHIV yang enggan dikhatankan oleh pihak-pihak tertentu atas sebab-sebab perubatan.

Untuk makluman, kanak-kanak tersebut berumur 10 tahun (jika tidak salah) dan telahpun mula mendapatkan rawatan HAART sejak berusia kurang daripada setahun. Bacaan CD4 terbarunya ialah 1500 dan viral loadnya undetected.

Ada yang berpendapat kanak-kanak tersebut tidak perlu dikhatankan kerana dianggap dharurat.

Mari kita baca apa pandangan Dr. Iskandar dalam isu ini:


Hukum Berkhatan Kanak-Kanak PLHIV

Pandangan 1:

Sumber rujukan utama kami adalah JAKIM dan Bahagian Pengurusan Fatwa, JAKIM. Setakat hari ini, hanya yang berkaitan kanak-kanak dengan penyakit haemophilia dan cacat akal sahaja yang tidak wajib berkhatan. Sebabnya dikuatiri kanak-kanak tersebut akan mengalami pendarahan semasa prosedur berkhatan.

Walau bagaimanapun, doktor-doktor pakar masih menjalankan prosedur berkhatan untuk kanak-kanak ini dengan memberikan ubat Factor VII atau Factor IX, dan sebagainya bergantung kepada masalah haemophilia tersebut, sebelum prosedur berkhatan dan sebaik sahaja selepas berkhatan.

InsyaAllah, mereka tidak akan mengalami pendarahan selepas berkhatan. Ini dimaklumkan sendiri kepada saya oleh Setiausaha Persatuan Hemophilia Malaysia semasa saya terlibat dengan program (Kem Remaja Haemophilia) yang mereka jalankan di Kuantan tahun lalu.

Semasa kem tersebut, ada lebih kurang 20 pesakit haemophilia dari umur 9 tahun sehingga 18 tahun, semuanya lelaki sebab penyakit haemophilia ini majoritinya lelaki, dengan pesakit heamophilia yang dah tamat pengajian di universiti sebagai fasilitator, yang mana yang dah akil baligh, semuanya sudah berkhatan.

Berikut adalah jawapan kepada soalan yang saya tanyakan kepada Sistem Kemusykilan Agama di portal IslamGrid:
 
Assalamua'alaikum wbt,

Soalan anda adalah seperti berikut:
41944. Assalamualaikum. Apakah hukum berkhatan untuk kanak-kanak Muslim yang menghidap HIV?

Untuk makluman, soalan anda telah dijawab. Jawapannya adalah seperti berikut:

Wajib berkhatan bagi kanak-kanak Muslim tersebut setelah mendapatkan pandangan doktor pakar perubatan muslim bahawa ia tidak membawa apa-apa implikasi yang negatif kepada kanak-kanak tersebut.

Untuk makluman, soalan anda tidak akan dipaparkan di laman web Kemusykilan Agama IslamGrid kerana Panel menganggap soalan tersebut terlalu peribadi.

Pandangan 2:

Saya ada bertanyakan pandangan Dr. Basri Ibrahim, rakan Pakar  Perubatan Keluarga dari Terengganu (Pensyarah KUSZA, kini UNISZA - Penulis buku fekah perubatan semasa).

Jawapan beliau:

Berkhatan (sebutan betulnya adalah berkhitan) bagi lelaki adalah wajib dalam aliran Syafie. Jatuhnya wajib tersebut akibat dari menjaga kebersihan diri dan demi untuk menjalani ibadah. Sementalahan ianya adalah sunnah para Nabi dan Rasul. Hadis yang menyarankan kewajiban berkhatan adalah riwayat dari Abu Daud.

Kerunsingan jangkitan kepada peng'khitan' (surgeon/mudim) juga harus diambil kira mengikut pandangan Wahbah Az Zuhaili, dan wajib dijaga kemashlahatannya. Ini penting bagi menjaga 5 tunggak Maqasid Syariah tersebut.

Apabila bertembung antara dua kewajiban tersebut (Wajib Khitan vs Wajib menjaga Surgeon/Mudim supaya tidak dijangkiti), kita harus mengambil kemashlahatan yang lebih utama (salah satu hukum fekah).

Hukum itu tergantung kepada surgeon/mudim yang akan menjalankan pembedahan tersebut. Jika beliau merasakan risiko jangkitan adalah minima, (juga berdasarkan beberapa kes ibu HIV yang menjalani pembedahan caesarean dan beberapa fakta saintifik yang menyatakan bahawa tiada kes lagi seumpama itu menyebabkan jangkitan kepada surgeon/mudim), maka kewajiban berkhitan adalah lebih utama mashlahatnya.

Dr. Haji Suhazeli Abdullah
Terengganu





Alternatif.

Jika sekiranya yang dikhuatiri adalah jangkitan kepada yang menjalankan prosedur, insyaAllah banyak cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan atau menghalang sama sekali dari perkara tersebut berlaku. Misalnya tentukan universal precaution dipatuhi dengan menggunakan kaedah yang kurang pendarahan seperti clamp dan menjalankan prosedur tersebut pada waktu akhir bekerja atau senarai terakhir supaya peralatan pakai semula boleh disuci hama pada malam tersebut. Tidak ada alasan kenapa tidak boleh dilakukan dengan selamat.

InsyaAllah, kalau saya tak boleh buat atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, saya akan cuba dapatkan bantuan daripada rakan pakar-pakar/pensyarah Kulliyyah Perubatan, UIAM Kuantan sebab bila saya bertanya, mereka sanggup lakukan.

Isu-isu Berkaitan:

Disertakan petikan daripada Bahagian Pengurusan Fatwa untuk rujukan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-77 yang bersidang pada 10 - 12 April 2007 telah membincangkan Hukum Khatan Bagi Pesakit
Haemophilia Dan Kanak-Kanak Cacat Akal. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Pesakit haemophilia tidak diwajibkan berkhatan kerana proses khatan boleh membawa mudharat kepada pesakit. Walau bagaimanapun, aspek taharah bagi pesakit haemophilia perlu dipelajari dan diberi perhatian khusus oleh pesakit berkenaan untuk memastikan kesempurnaan bersuci dan kesahihan ibadah.

Bagi kanak-kanak yang cacat akal, kewajipan berkhatan adalah bergantung kepada tahap kecacatan otak yang dialaminya. Gugur semua kewajipan melaksanakan ibadat termasuk berkhatan ke atas kanak-kanak yang mengalami kecacatan otak yang teruk. Ahli keluarga kanak-kanak berkenaan perlu memastikan kebersihan anggota kanak-kanak tersebut dijaga dengan baik.

Keterangan/Hujah:

Haemophilia adalah penyakit yang melibatkan kegagalan fungsi darah di mana darah pesakit tidak dapat membeku secara normal disebabkan kekurangan faktor pembeku dalam darah (clothing factor). Pakar perubatan belum menemui ubat bagi merawat penyakit warisan (genetic) ini dan pesakit akan menderita sepanjang hayat. Pesakit haemophilia akan mudah mengalami pendarahan walaupun hanya berpunca daripada kecederaan kecil seperti pendarahan dalam sendi tulang, pendarahan hidung bahkan pendarahan dalam otak.

Menurut fuqaha’, sebarang penyakit termasuk penyakit keturunan adalah perlu dihindari, dirawat, dan diubati. Dalam konteks ini, prinsip pencegahan (al-wiqayah khairun minal ‘ilaj ; mencegah lebih baik dari mengubat) daripada sebarang bentuk gejala yang menjejaskan kesihatan menjadi pegangan. Ia selaras dengan tujuan syariat Islam (maqasid al-syari’ah) yang pada asasnya untuk menjaga lima perkara utama iaitu memelihara agama, nyawa, harta, akal, dan keturunan. Atas asas ini juga hukum taklif hanya ditujukan kepada orang Islam yang memenuhi syarat untuk melaksanakan ibadat.

Beberapa kaedah fiqhiyyah boleh dikaitkan dengan kelonggaran yang wajar diberi kepada kedua-dua golongan dan kekecualian daripada melaksanakan amalan berkhatan iaitu:

-Tidak ada kemudharatan dan tidak memudharatkan.
-Dharurat boleh menghapuskan larangan.
-Kemudharatan hendaklah dihapuskan.

Haemophilia merupakan sejenis penyakit di mana aliran darah tidak dapat berhenti walaupun setelah dijahit. Penyakit ini sangat merbahaya dan boleh membawa maut.

Mengikut prinsip Islam, penjagaan terhadap nyawa amat diutamakan dan sekiranya kewajipan berkhatan ini boleh mendatangkan mudharat kepada pesakit haemophilia, maka kewajipan tersebut digugurkan.

Dalam semua kewajipan yang diwajibkan ke atas umat Islam, akal yang waras adalah antara syarat utama. Sekiranya seseorang itu mengalami cacat akal yang teruk atau gila, tiada taklif ke atas seseorang itu untuk melaksanakannya.

Nota AHP:
Nilailah sendiri komitmen, keprihatinan dan keperibadian mulia seorang doktor. Semoga lebih ramai lagi doktor-doktor Muslim bersikap begini suatu ketika nanti. Sesungguhnya skop dakwah dan ibadah sangat luas.  


Terdapat juga beberapa teknik baru untuk mempercepatkan proses bersunat dan masa pemulihan. Ini termasuk menggunaan alat ‘clamps’ seperti TaraKlamp (dicipta di Malaysia) dan SmartKlamp. Secara ringkasnya, alat -alat ini dipasang pada foreskin sebelum ianya dipotong. Clamp ini akan dibuka setelah lukanya agak kering. Alat ini juga akan melindungi bahagian luka dan glans penis. Masalah pendarahan sangat-sangat minima.