Soalan: Prof Madya Dr Mohd Asri, saya ada saudara yang menganggap bahawa kita tidak patut mengambil berubat dengan ubat-ubat yang lain dari yang Nabi s.a.w dah ajar. Dia kata perubatan Islam seperti ubat-ubat nabi sudah sempurna. Ubat-ubat hospital atau orang putih itu tidak sesuai dengan orang Islam. Orang Islam patut pegang ubat Islam, bukan ubat kafir. Apakah pandangan Dr Asri dalam hal ini?
Maslina, Jerantut.
Jawapan Dr MAZA:
Maslina, sikap saudara puan/cik yang ingin menghayati ajaran Nabi s.a.w itu amatlah baik. Namun, beliau memerlukan kefahaman terhadap Islam yang lebih jelas dalam masalah ini. Perkataan perubatan Islam itu sendiri memerlukan penjelasan berdasarkan nas-nas Islam itu sendiri. Untuk itu maka saya ingin menyentuh beberapa perkara berikut:
Perkara 1:
Tiada istilah ‘perubatan Islam’ yang hanya merujuk kepada jampi atau bahan-bahan yang disebutkan oleh Nabi s.a.w semata. Berubat memang disuruh oleh Islam. Apa sahaja ubat yang mengikut kaedah perubatan yang betul maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh syarak. Ini termasuk perubatan dan ubat yang disebut oleh Nabi s.a.w, atau selainnya yang mengikut disiplin ilmu perubatan.
Maka, perubatan moden, atau cina, atau india, atau melayu yang berasaskan kaedah yang benar, bukan haram, khurafat atau syirik maka ia adalah perubatan yang diizinkan oleh Islam. Bahkan jika diyakini boleh menyembuhkan seseorang yang sakit, maka ia disuruh oleh Islam tanpa mengira asal usul perubatan tersebut.
Perkara 2:
Nabi s.a.w dalam hadis menyebut perubatan dan ubat secara umum, tanpa menghadkannya. Maka, setiap orang hendaklah berusaha mencari ubat yang paling berkesan. Dalam hadis yang sahih Nabi s.a.w bersabda:
“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).
“Berubatlah wahai hamba-hamba Allah, sesungguhnya Allah tidak meletakkan penyakit, melainkan meletakkan untuknya ubat, kecuali satu penyakit, iaitu tua” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dan Ibn Majah).
Juga sabda baginda:
“Bagi setiap penyakit ada ubatnya. Apabila betul ubatnya, maka sembuhlah dengan izin Allah.” (Riwayat Muslim).
Kata Al-Imam Nawawi:
“Hadis ini memberi isyarat disunatkan mengubat penyakit. Inilah mazhab ashab kita (aliran mazhab al-Syafi`i), kebanyakan salaf dan keseluruhan khalaf. Kata al-Qadi ‘Iyadh: Dalam hadis-hadis ini terkandung beberapa ilmu-ilmu agama dan dunia, antaranya; benarnya ilmu perubatan, diharuskan berubat secara keseluruhannya..” (Al-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, 359/14, Beirut: Dar al-Khair).
Perkara 3:
Kemudian, satu perkara yang perlu diperingatkan bahawa bukan semua hadis-hadis tentang perubatan itu sahih, bahkan banyak yang palsu. Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (w. 751H) yang menulis kitab al-Tibb al-Nabawi (perubatan kenabian) sendiri mengingatkan dalam kitabnya al-Manar al-Munif bahawa salah satu ciri hadis palsu itu; hadis yang lebih berunsur ungkapan para pengamal perubatan yang dibuktikan oleh pancaindera atau fakta yang sahih tentang kepalsuannya. Dalam ertikata lain, di zaman sekarang jika fakta sains berjaya membuktikan kesalahan fakta hadis tersebut, maka itu salah satu ciri bahawa ia hadis yang palsu.
Satu contoh yang jelas hadis: “Terung itu mengikut hajat ia dimakan” dan hadis “Terung itu ubat untuk segala penyakit”. Ini adalah riwayat palsu.
Kata al-Imam Ibn al-Qayyim:
Kata al-Imam Ibn al-Qayyim:
“Semoga Allah menghodohkan pereka kedua hadith di atas. Perkara seperti ini jika disebut oleh orang yang paling pakar dalam perubatan pun, orang ramai akan mentertawakannya. Jika dimakan terung untuk demam panas, kemurungan dan banyak penyakit lain, ia hanya menambahkan keburukan lagi. Jika orang fakir makan agar dia kaya, dia tidak akan kaya. Jika orang jahil makan untuk pandai, dia tidak akan pandai” (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Da‘if, m.s. 51. Syria: Maktab al-Matbu`at al-Islamiyyat).
Perkara 4:
Maka, banyak dakwaan yang dikatakan bersumberkan hadis, seperti makan kismis menguatkan ingatan tiada dalil yang sahih daripada Nabi s.a.w mengenainya. Ibn al-Qayyim sendiri menyebut dalam al-Tibb al-Nabawi bahawa ada dua hadis yang disebut tentang kelebihan kismis, tetapi kedua-duanya tidak sahih. Cumanya, ada riwayat daripada al-Zuhri beliau menyatakan kismis bermanfaat untuk ingatan. (lihat: Ibn al-Qayyim, Zad al-Ma’ad, 4/318
Perkara 5:
Apa yang disebut oleh al-Quran seperti khasiat madu, tiada sebarang syak tentang kewahyuannya (divinity). Cumanya, bagaimanakah proses perubatan itu hendak dikendalikan atau kadar dan caranya memerlukan kajian ilmiah perubatan.
Perkara 6:
Adapun hadis-hadis yang sahih yang menyebut tentang ubat-ubat tertentu seperti hadis habbatus sauda’(jintan hitam), berbekam, air kencing unta, susu unta, oud hindi dan seumpamanya; para ulama berbeza pendapat tentangnya. Ada yang berpendapat hadis-hadis ini berasaskan wahyu. Ada pula yang berpendapat bahawa hadis-hadis ini Nabi s.a.w sebut berasaskan pengalaman, persekitaran dan zaman baginda hidup, bukanlah wahyu daripada Allah S.W.T.
Perkara 7:
Secara umumnya, ulama Hadis cenderung kepada pendapat bahawa hadis-hadis perubatan yang sahih itu berasaskan wahyu. Dalam ertikata lain ia adalah perkhabaran daripada Allah S.W.T kepada nabiNya s.a.w. Maka, semuanya kandungannya benar tepat dan untuk diamalkkan. Ertinya, ia perubatan yang mendapat pengiktirafan daripada Allah S.W.T sendiri. Maka, dalam kitab-kitab hadis didetilkan perkara-perkara ini sehingga dalam Sahih al-Bukhari ada Kitab al-Tibb (Kitab Perubatan). Ibn al-Qayyim dalam al-Tibb al-Nabawi berpegang dengan pendapat ini.
Perkara 8:
Golongan kedua seperti al-Qadi Iyadh, Ibn Khaldun, Muhammad Abu Zahrah berpendapat bahawa hadis-hadis perubatan ini bukan berteraskan wahyu, sebaliknya Nabi s.a.w bercakap berdasarkan pengalaman dan persekitaran baginda ketika itu. Bagi ulama yang berpegang dengan pendapat ini mereka menyatakan bahawa Nabi s.a.w tidak diutuskan sebagai ahli perubatan dan itu bukan tujuan baginda diutuskan. Maka, ucapan atau tindakan baginda dalam perubatan sama seperti ahli masyarakat Arab lain ketika itu dan tidak semestinya tepat dengan realiti perubatan. Antara yang berpegang dengan fahaman ini al-Imam Ibn Khaldun (w. 808H) dalam kitabnya al-Muqaddimah.
Kata Ibn Khaldun:
Kata Ibn Khaldun:
“Maka perubatan yang diriwayatkan dalam syarak (hadis) kepada kita adalah dari jenis perubatan arab, sedikit pun bukan dari wahyu. Ia hanyalah perkara yang menjadi kebiasaan arab. Apa yang disebut keadaan Nabi s.a.w dalam hal ini termasuk dalam jenis adat dan jibiliyyah (tabiat kebiasaan) bukan kerana ia disyariatkan amal sedemikian rupa. Ini kerana Nabi s.a.w diutuskan untuk mengajar syariat, bukan untuk memperkenalkan perubatan atau adat kebiasaan yang lain” (Ibn Khaldun, al-Muqaddimah, 493-494. Beirut: Dar al-Fikr).
Perkara 9:
Antara alasan golongan yang berpendapat bahawa perubatan Nabi s.a.w berasaskan kebiasaan dan pengalaman bukannya wahyu ialah hadis sahih yang mana Nabi s.a.w pernah melihat sahabat mengahwinkan pokok tamar, lalu baginda bersabda:
“Apa yang sedang kamu lakukan?”. Jawab mereka: “Kami telah lakukannya sebelum ini”. Jawab baginda: “Barangkali jika kamu tidak buat ia lebih baik”. Maka mereka pun tidak melakukannya, lalu pokok tidak berbuah. Mereka menyebut hal tersebut kepada Nabi s.a.w, lalu baginda bersabda: “Aku ini manusia. Apabila aku menyuruh kamu dari perkara agama, maka ambillah (patuhlah). Jika aku menyuruh kamu sesuatu dari pendapatku, maka aku hanyalah seorang manusia” (Riwayat Muslim).
Dalam riwayat yang lain, baginda menjawab:
Perkara 10:
“Jika itu memanfaatkan mereka maka lakukanlah. Aku hanya menyangka satu sangkaan, maka jangan salahkan aku atas sangkaan. Namun, jika aku memberitahu sesuatu daripada Allah maka ambillah, kerana sesungguhnya aku sama sekali tidak akan berdusta atas nama Allah” (Riwayat Muslim).
Juga di sana ada dalil-dalil yang lain yang menunjukkan bahawa adanya tindakan dan perkataan Nabi s.a.w itu berasaskan kebiasaan, atau pengalaman atau pandangan baginda dan bukannya wahyu. Ini termasuk pemilihan tempat yang baginda buat dalam Perang Badar yang kemudian dicadangkan tempat yang lain oleh Hubbab bin Munzir dan baginda mengubah pandangannya dan bersetuju dengan cadangan tersebut. Perkara ini menjadi perbahasan panjang dalam kalangan ulama dalam membezakan sunnah Nabi yang disyariatkan untuk diamalkan dan yang tidak disyariatkan untuk diamalkan.
Perkara 10:
Saya melihat secara umumnya tujuan hadis-hadis perubatan ingin memberitahu kita bahawa kita disuruh untuk berubat berasaskan kepada bahan-bahan yang digunakan dalam perubatan yang diyakini boleh memberikan kesan. Nabi s.a.w menyebut bahan-bahan yang ada dalam masyarakat baginda dan digunakan serta memberi kesan pada zaman dan iklim baginda. Bahan-bahan itu boleh diambil iktibar, namun bukanlah pilihan yang terbaik bagi setiap masa dan keadaan. Bergantung kepada sejauh manakah ia berkesan untuk sesuatu tempat dan masa. Apa yang penting kita disuruh mencari yang berkesan tanpa mengira jenisnya.
Artikel oleh Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, forwarded e-mail by Dr. Iskandar Firzada bin Osman.