Wednesday, January 04, 2012

CANDIDIASIS

Assalamualaikum berjumpa lagi kita dalam topik ini.

Hari ini AO nak terangkan topik mengenai penyakit yang selalu menyerang wanita. Penyakit ini selalu menyerang wanita dan dikatakan semua wanita walau sekali seumur hidup akan mengadapi masalah ini. Apakah ia? jeng jeng jeng.. Penyakit ini di kenali sebagai Candidiasis.

Apa itu Candidiasis?

Candidiasis adalah penyakit bawaan kulat ataupun yis yang menyebabkan jangkitan di tubuh manusia. Candidiasis selalunya dikenali sebagai seriawan di dalam bahasa Melayu dan juga terdapat beberapa nama lain. Antaranya ialah Candidosis, Moniliasis, dan Oidiomycosis.

Jangkitan Candidiasis boleh berlaku kepada beberapa peringkat daripada peringkat yang ringan kepada peringkat yang teruk. Contoh peringkat yang ringan atau kebiasaan adalah Oral Thrush (jangkitan di mulut) sehingga jangkitan yang teruk adalah Candidid yang menjangkiti kawasan kulit.

Jenis-jenis Candidiasis

Candidiasis terdiri daripada banyak jenis tapi yang cuba saya terangkan adalah yang biasa dijumpai iaitu:

1.      Oral Candidiasis
2.      Candidal Vulvovaginitis  
3.      Diaper Candidiasis

Bagaimana Candidiasis Menjangkiti?

Secara umumnya yis yang menjangkiti adalah daripada spesis Candida namun yang selalu atau kebiasaanya adalah Candida Albicans. Candida Albicans ini adalah merupakan suatu normal flora (1) di tubuh kita. Biasanya, ianya hidup dengan aman dan bahagia di kawasan mulut, usus, kawasan kemaluan wanita, dan juga banyak lagi kawasan di tubuh.

Namun, jangkitan akan berlaku apabila jumlah yis ini melebihi paras normal sehingga menyebabkan kesakitan. Candida Albicans membiak dengan banyak disebabkan oleh beberapa keadaan iaitu keadaan yang lembap, panas, dan bergula.

Mempunyai sistem imun yang rendah seperti AIDS, mengandung, menopause, pengambilan pil perancang, dan diabetes boleh merangsang pertumbuhan yis dengan mudah.

Douching yang kerap juga turut merangsang pertumbuhan yis ini. Secara umumnya, Candidiasis bukanlah penyakit STD dan ianya boleh terjadi disebabkan pelbagai keadaan. Namun begitu, ia juga mudah merebak dengan STDs.

Selain itu, bagi kanak-kanak, pemakaian lampin yang lembab juga merangsang terjadinya Candidiasis. Bagi ibu yang menyusukan bayi, sekiranya terjadi Candidiasis di bahagian payudara, dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan supaya bayi tidak mendapat Oral Candidiasis.

Merokok, stress, dan juga pelbagai habit buruk tentang penjagaan kesihatan mulut turut menyumbang kepada Oral Candidiasis.

Simpton-simptom, Rawatan dan Pencegahan 








Oral Candidiasis adalah Candidiasis yang berlaku di bahagian mulut. Bayi baru lahir dan menyusu mudah mendapat jangkitan ini. Orang dewasa yang mengamalkan gaya hidup kurang menjaga kebersihan atau merokok, mempunyai sistem imun yang rendah, diabetis dan pelbagai lagi mudah mendapat jangkitan ini.

Oral Candidiasis boleh menjadi lebih teruk sehingga ke tahap mejangkiti kawasan esofagus yang dinamakan Esophageal Candidiasis.

Simptom-Simptom

1.   Rasa sakit atau sukar untuk menelan
2.   Hadir gumpalan putih kekuningan di kawasan mulut dan lidah
3.   Demam berpanjangan jika menjangkiti esofagus
4.   Terasa gumpalan makanan di tekak 
5.   Bibir dan mulut terasa kering

Rawatan 

1.   Sapuan ubat Antifungal Agent Nystatin pada mulut 
2.   Berjumpa dengan doktor gigi dan kebersihan mulut harus dijaga
3.   Cuci semua objek yang digunakan untuk mulut bayi seperti puting botol susu
4.   Ibu yang menyusukan bayi harus berhati-hati agar tidak menyebarkan Candida ke mulut bayi
5.   Rawatan untuk orang dewasa  adalah Troches (Antifungal Lozenges) atau pil seperti Fluconazole (Diflucan)

Pencegahan

1.   Kebersihan mulut
2.   Selalu berjumpa doktor gigi
3.   Nyahkumankan peralatan bayi anda 
4.   Kurangkan merokok, lebih baik berhenti
5.   Kurangkan penggunaan spray mulut dan cucian mulut kerana dapat mengurangkan keseimbangan mikroorganisma di dalam mulut anda
6.   Kurangkan makan makanan manis dan berkanji

Candidal Vulvovaginitis

Vaginal Candidiasis adalah jangkitan Candidiasis di bahagian vagina (faraj) wanita. Jangkitan ini selalunya adalah jangkitan yang biasa dihadapi oleh setiap wanita biarpun hanya sekali seumur hidup.

Candida Albicans hadir 19% pada wanita sihat apabila dikulturkan di atas agar (2). Jangkitan ini lebih mudah berlaku untuk wanita yang sudah berumur, menopause, pesakit diabetes yang tidak terkawal, dan juga pesakit-pesakit yang mempunyai tahap imun yang rendah seperti HIV dan juga kanser.

Pengambilan pil perancang dan juga aktiviti douching yang kerap juga menyumbang kepada pertumbuhan yis ini.

Simptom-Simptom

1.      Keputihan yang berlebihan dan biasanya tidak berbau
2.      Lendiran kuning seperti cheese (keju)
3.      Kencing yang sakit
4.      Rasa panas dan terbakar apabila kencing
5.      Rasa sakit di bahagian perut 

Rawatan




1.   Miconazole (Micon 7, Monistat 3, Monistat 5, Monistat 7, M-Zole Dual Pack) 
2.   Tioconazole (Monistat-1, Vagistat-1) 
3.   Butoconazole (Gynazole 1) 
4.   Clotrimazole (Femcare, Gyne-Lotrimin, Mycelex-G)
5.   Pil Fluconazole juga boleh diambil



Bagi yang menggunakan krim, lakukan rawatan tanpa henti sehingga 7 hari atau 14 hari.

Pencegahan

1.   Jangan membasuh vagina dengan sabun biasa kerana ianya dapat mengurangkan keseimbangan pH
2.   Pastikan kawasan genital anda bersih dan kering
3.   Elakkan douching
4.   Seks yang selamat dengan menggunakan kondom
5.   Banyakkan makan yogurt atau pil Lactobacillus Acidophilus
6.   Gunakan pad, bukan tampon
7.   Elakkan memakai pakaian yang ketat untuk mengurangkan iritasi
8.   Pakai pakaian dalam berasaskan cotton
9.   Kawal kandungan gula sekiranya anda mempunyai diabetes

Diaper Candidiasis
 
Diaper Candidiasis adalah suatu keadaan yang terjadi kepada bayi. Pengunaan lampin yang terlalu lama dan lembab boleh merangsang kepada pertumbuhan yis ini.







Rawatan

Clotrimazole merupakan krim yang boleh disapu pada kanak-kanak.

Pencegahan

1.      Kebersihan bayi
2.      Tukar lampin dengan kerap
3.      Penggunaan losyen antifungal

Wallahualam.

AO: Masih banyak tajuk di bawah Candidiasis ini, namun AO kecilkan skop kepada tiga yang utama terlebih dahulu. Ada tajuk khas untuk AIDS bagi Candidiasis. Sekiranya ada rezeki atau peluang, Insya-Allah AO akan cuba, namun tidak berani janji kerana bukanlah bidang AO untuk memberitahu tentang simptom dan penyakit ini dengan lebih lanjut.

Pengetahuan AO adalah yang asas sahaja. Segala kritikan dan teguran amat-amat di alu-alukan.

Nota Kaki:


(1) Normal flora adalah mikroorganisma yang berada pada tubuh yang tidak mendatangkan penyakit. 

(2) Agar merujuk kepada medium untuk menumbuhkan bakteria tersebut. Contohnya medium bagi pokok rambutan ialah tanah; medium bagi tumbuhan air seperti teratai ialah air. Ianya adalah sejenis agar-agar yang ditambah nutrien untuk keperluan zat bakteria.


Beberapa contoh agar:


Blood Agar

Candida Albicans

Chocolate Agar

Mac Conkey


Urne Plate (CLED)