Friday, January 20, 2012

HAHAHA … PADAN MUKA KAU ORANG KENA HIV!



“Penyakit kau ni sengaja dicari.”
“Inilah laknat akibat membelakangkan hukum Allah.”
“Dulu tak fikir panjang, bila kena baru nak menyesal.”
“Pergi mampuslah budak HIV tu, kaki maksiat.”
“Bapanya penagih dadah, padan muka satu keluarga kena penyakit.”
“Pesakit HIV memang tak guna, menyusahkan masyarakat.”
“Buang saja ke pulau, menyemakkan mata.”
“Memang patutpun, dulu hero sangat. Biar dia rasa.”
“Kena AIDS lah segala pondan dan bapuk tu nanti.”
“Jijik… Pandangpun takut. Nanti berjangkit.”
“Golongan bermasalah memang begitu…”
“Dah tahu ada HIV nak beranak juga, menyusahkan betullah.”
“Kau ni degil sangat nak kahwin dengan dia. Dapat HIV baru kau tau.”

Ini semua antara ayat yang biasa kita dengar. Ironinya, kebanyakan yang bercakap tu langsung tak faham tentang cara jangkitan dan tidak rasa berdosa menyebarkan fitnah (maklumat palsu) terhadap PLHIV dan keluarga mereka.

Selalu juga yang berkata begitu hidupnya sendiri sentiasa bergelumang dengan maksiat. Mengumpat, ujub, riak, takabbur, rasuah, pecah amanah, berzina dengan suami atau isteri orang, kaki mabuk, gila kuasa, kaki ekor (tahi judi), menindas anak yatim, tidak solat dan sebagainya menjadi rutin. Melaram bangga dengan T shirt CK yang dibeli di Chow Kit pun sampai berminggu-minggu.

Patut tak orang-orang merasakan diri mereka mulia di sisi Tuhan ini menghina PLHIV sedangkan PLHIV juga adalah insan biasa yang ingin kembali ke pangkal jalan?

Bukankah PLHIV telah mendapat didikan Allah untuk menebus dosa-dosa mereka?

Bukankah ujian terhadap PLHIV juga merupakan satu ujian untuk menilai keprihatinan dan tanggungjawab mereka terhadap saudara seagama?

Bagaimana dengan kaum keluarga yang turut difitnah sedangkan mereka tidak bersalah?

Bersalahkah anak-anak yang menjadi mangsa akibat perbuatan ibu bapa?

Bersalahkan isteri-isteri yang dijangkiti daripada suami? (Golongan paling ramai yang mendapat jangkitan HIV).

Bersalahkan mereka yang dijangkiti akibat menerima darah dan organ tercemar?

Apa pandangan agama dalam isu ini ya?

NABI MUHAMMAD TIDAK MENGIZINKAN PENDOSA BERAT DIKUTUK

Dari satu segi, jenis-jenis kesalahan dapat dibahagikan ke dalam 2 kategori.

1. Kesalahan yang ada hukumannya di dunia, oleh itu kesalahan itu dibawa ke hadapan hakim. Contoh kesalahan dalam kategori ini adalah kesalahan meminum arak.

2. Kesalahan yang tiada hukumannya di dunia, oleh itu kesalahan tersebut tidak dibawa ke hadapan hakim.

Dalam rekod sejarah, terdapat catatan yang menunjukkan Nabi Muhammad tidak membenarkan orang yang sudah terbukti melakukan kesalahan berat minum arak sekalipun daripada dikritik dan dikutuk.

Kes 1: Umar bin al-Khattab melaporkan, pada suatu masa ada seorang lelaki bernama Abdullah yang nama jolokannya adalah 'Himar' (keldai), seorang yang selalu menyebabkan Nabi Muhammad ketawa. Nabi Muhammad pernah mengenakan hukuman rotan kepada Abdullah atas kesalahan meminum arak. 

Pada suatu hari, sekali lagi Abdullah dibawa ke hadapan Nabi Muhammad atas kesalahan minum arak, Nabi pun merotan dia lagi. Melihat peristiwa itu seorang lelaki berkata, “Ya Allah! Kutuklah dia. Selalu benar dia dibawa ke hadapan Nabi.” 

Nabi Muhammad berkata, “Jangan kutuk dia, kerana demi Allah, saya tahu dia mencintai Allah dan Rasulnya.” -- Hadith No. 2161 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari.

Kes 2: Abu Hurairah melaporkan, pada suatu hari ada seorang lelaki peminum arak dibawa ke hadapan Nabi Muhammad. Nabi Muhammad berkata, “Pukul dia.” Abu Hurairah melaporkan lagi, sebahagian orang yang ada di situ memukul lelaki itu dengan tangan, ada yang memukul dengan selipar, ada yang memukul dengan baju.

Apabila selesai, ada seseorang berkata, “Moga-moga Allah merendahkan kamu!” Mendengar kata-kata itu Nabi Muhammad berkata, “Jangan kata begitu, kerana saudara menolong syaitan menguasai dirinya.” -- Hadith No. 2159 dalam kitab Ringkasan Sahih al-Bukhari

Dalam peristiwa itu Nabi Muhammad melarang perbuatan mengutuk pendosa berat sekalipun, apatah lagi pendosa yang lebih ringan. Alasan yang diberikan oleh Nabi Muhammad adalah, apabila kita mengutuk seseorang sebenarnya kita menolong syaitan menguasai orang itu.

Apakah yang dapat kita fahami tentang kata-kata Nabi Muhammad " ...kita menolong syaitan mengusai orang itu."?

Antara tafsiran yang dapat kita beri adalah orang itu akan membenci orang yang mengutuk, sedangkan si pengutuk itu adalah orang baik dan niatnya baik. Malah dia akan membenci orang-orang lain yang satu kelompok dengan si pengutuk.

Sebagai contoh jika si pengutuk itu seorang ustaz, dia akan membenci semua golongan ustaz. Lebih serius lagi, dia mungkin bukan hanya membenci semua ustaz, malah dia mungkin membenci agama Islam. Dalam keadaan begitu, dengan mengutuk dia kita telah memberi kemenangan kepada syaitan.



Hadis renungan:

“Sesiapa yang menghina seseorang kerana dosa yang pernah dilakukannya, maka ia tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut.” (Hadis direkod oleh Tirmizi)

Pada suatu hari, ada seorang lelaki datang berjumpa dengan Nabi Muhammad. Dia berkata, “Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan paduka tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang paduka tuan mahu.” Saidina Umar memarahi lelaki itu, katanya, “Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi diri kamu sendiri!” Mendengar kata-kata saidina Umar itu, Nabi Muhammad tidak bercakap apa-apa. Kemudian lelaki itu pergi. Nabi Muhammad segera menyuruh orang memanggil lelaki itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepada lelaki itu ayat ini: “Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan daripada malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa daripada perbuatan-perbuatan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang ingat.” Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada di situ bertanya, “Wahai Rasul Allah, apakah ayat itu ditujukan khusus untuk dia seorang sahaja, ataupun ayat itu ditujukan untuk semua orang?” Nabi Muhammad menjawab, “Untuk semua orang.” - (Hadith ini direkodkan oleh Abu Daud)

Sumber: misabammas


Nota AHP: Sesungguhnya segala isi dunia dan nikmat hidup adalah terlalu singkat untuk ditangisi. Pinjaman semata-mata. Semakin dikejar semakin menjauh. Bersedialah untuk perkara yang semakin kita lari, semakin menghampiri. Itu pasti dan kekal abadi.