Saturday, January 21, 2012

KISAH BENAR PEMBAWA HIV: BAHAGIA DI SEBALIK DERITA (KAHWIN TAHUN MATI)


Kita beli paper Metro semalam. Ada cerita pasal pengalaman hidup seorang PLHIV. Mesti ramai yang tak perasan, Zulaikha yang kat dalam cerita tu adalah Puan Seroja tau!

Pada sesiapa yang tak tau, Puan Seroja adalah salah seorang ahli kumpulan sokongan Positive Warriors. Alhamdulillah, makin hari makin ramai ahli kumpulan kita yang berani tampil ke depan dan menyumbang sesuatu kepada masyarakat.

Kalau LR tu, tak payah cerita dah la… Dia memang selebriti dah pun. Satu Malaya kenal dia. Atuk dan Kak Jamaliah pun sama. Survivor dan Psychonuts pun kita tengok boleh menjadi pelapis yang hebat. Insha Allah… All the best!!!

Kita pula bakal menjadi penapis teh sarbat je, kikiki…  Kita dah tua-tua ni tak boleh galak sangat. Duduk diam-diam je. Apa-apa pun, kita boleh play our roles thru our own ways yea.

Walaupun ada di antara mereka yang kita tak display any of their e-mails or handphone numbers on de blog wall, just bear in your mind that mereka always available and prepared to help whenever being contacted for certain cases.

Puan Seroja herself pernah share some of her experiences dengan kita. One of them adalah TIPS DAN PENGALAMAN SEBENAR SEORANG IBU PLHIV MELAHIRKAN BAYI BEBAS HIV

Other than that, ada juga other n3s yang related dengan Puan Seroja, cuma ianya tak dinyatakan directly for some reasons. Beliau sendiri pun semakin hari semakin konfiden menyebarkan maklumat dan berkongsi pengalaman yang beliau lalui bersama masyarakat. Beliau juga sangat aktif nya pun sebagai sukarelawan ke seluruh negara.

Menurut Puan Seroja, kisah beliau itu telah diedit oleh pihak paper Metro, tetapi kita masih boleh gunakannya pun sebagai pengajaran dan pengiktibaran bersama. Berikut adalah berita penuh yang kita copy daripada paper Metro kerana berita onlinenya terlalu ringkas.

Honestly, blog AHP kita ni dah share pengalaman Puan Seroja dengan masyarakat jauh lebih awal. Cuma, our field and capacity agak terhad berbanding paper Metro. Tahniah yea Puan Seroja! Salam Perjuangan daripada kami yang menyayangi kamoo sekeluarga.

Disediakan oleh: lifejacket

Mari baca sebagai renungan dan pengajaran:


KUALA LUMPUR: Selepas disahkan positif dijangkiti virus maut HIV pada 2004, doktor menjangka dia hanya boleh hidup selama empat tahun, namun selepas tempoh itu berlalu, dia bukan saja masih mampu bernafas, malah mendapat kehidupan baru apabila ada lelaki berhati murni memperisterikannya.

Itu bukti kekuasaan Allah atas kesabaran serta kegigihan seorang penghidap virus HIV yang hanya mahu dikenali sebagai Zulaikha dan kini kehidupannya tambah bermakna apabila dikurniakan cahaya mata lelaki berusia setahun dua bulan yang disahkan bebas HIV. 

“Hati siapa yang tidak remuk apabila doktor memberitahu saya hanya boleh hidup empat tahun iaitu sehingga 2008. Ketika itu saya percaya kata-katanya dan menganggap kehidupan ketika itu sudah tidak bermakna,” katanya.

Zulaikha, 33, berkata dalam tempoh tiga tahun, dia kerap berkurung dalam bilik sehingga tidak makan, minum dan mandi sehingga jatuh sakit.

“Mujur keluarga menerima dan menyokong saya. Mereka yang memujuk saya mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar serta jangan berputus asa dengan rahmat Allah.

“Dengan kuasa Allah, tanpa diduga pada 2008 iaitu tahun saya diramalkan meninggal dunia, saya mendapat hidup baru apabila bertemu jodoh, malah kini dikurniakan cahaya mata,” katanya.

Menurutnya, ketika dilamar suaminya yang mahu dikenali sebagai Azlan, 48, dia seolah-olah tidak percaya masih ada insan yang sudi berkahwin dengannya yang disahkan positif HIV.

Zulaikha berkata, mereka bertemu ketika dia mendapat khidmat nasihat daripada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu penghidap HIV dan pesakit AIDS kerana Azlan menjadi sukarelawan di situ.

“Macam-macam yang saya fikirkan mengenai keluarga Azlan, terutama sama ada mereka boleh menerima saya. Saya mengambil masa dua bulan sebelum bersetuju menerima lamarannya.

“Pada masa sama saya banyak membaca dan mencari pengetahuan mengenai HIV dan AIDS. Saya bersyukur dan yakin kerana Azlan seorang yang arif mengenai HIV dan tahu bagaimana untuk mengendalikan orang yang hidup dengan HIV,” katanya.

Menurutnya, sebelum membuat keputusan untuk mengandung, dia banyak membuat kajian dan membaca mengenai penyakit itu selain mendapatkan nasihat pakar.

“Wanita yang senasib dengan saya juga mempunyai hak untuk hidup berkeluarga. Jangan pandang rendah kepada individu yang dijangkiti HIV kerana kami juga ada hak untuk hidup seperti orang lain,” katanya yang merancang untuk menambah anak.

Ketika ditanya bagaimana dia dijangkiti HIV, Zulaikha enggan memperincikannya kerana baginya biar kisah lama itu dipadamkan daripada kamus hidupnya dan lebih penting kini ialah membina kehidupan bahagia bersama suami serta anak tercinta.

Sementara itu, Azlan berkata, banyak pihak yang membantah dan memandang serong apabila dia ingin berkahwin dengan Zulaikha, namun dia yakin dengan keputusannya kerana cinta yang mendalam.

“Saya mengambil risiko walaupun tahu Zulaikha positif HIV kerana saya amat mencintainya. Apabila disebut HIV atau AIDS semua orang akan berfikiran negatif dan hanya fikirkan mati.

“Tetapi, saya anggap penyakit itu sama dengan penyakit lain seperti diabetes. Asalkan mereka menjalani kehidupan selamat, memeriksa kesihatan mengikut jadual serta sihat fizikal serta emosi, tidak ada sebarang masalah,” katanya.

Malah, katanya, sehingga kini dia masih merahsiakan status kesihatan Zulaikha daripada keluarga serta saudara-mara bukan kerana malu, tapi kerana sedar pengetahuan mereka terhadap HIV dan AIDS masih rendah.

“Namun, saya sedar adik-beradik saya syak ada sesuatu yang tak kena kerana di rumah kami banyak ubat. Sebab itu apabila mereka menziarahi kami, masakan isteri saya tidak disentuh sebaliknya mereka akan masak sendiri.

“Saya terkilan, tetapi kita perlu hormat orang dulu sebelum orang lain menghormati kita, namun saya cuba sedikit sebanyak memberi kesedaran kepada mereka sehingga benar-benar faham mengenai HIV,” katanya.

Menurutnya, persepsi negatif, stigma serta diskriminasi kebanyakan anggota masyarakat menyebabkan orang yang hidup dengan HIV disisih dan ditakuti sehinggakan pernah satu ketika dulu, jenazah mereka dilapik plastic ketika mahu dimandikan.

“Malah, kadang-kadang drama di televisyen juga menggambarkan mereka yang hidup dengan HIV ini sangat teruk umpamanya berkudis di seluruh badan sedangkan ia tidak berlaku selagi mereka menjalani kehidupan sihat.

“Lebih penting emosi mereka mesti dijaga kerana tekanan membuatkan penyakit itu semakin teruk,” katanya.

Azlan berkata, terdapat beberapa perkara perlu dilakukan bagi mengelak penyakit itu berjangkit kepada anak umpamanya kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan Caesarean selain tidak boleh menyusu badan.

“Kita perlu ada ilmu serta maklumat tepat mengenai perkara ini bagi mengelak timbulnya ketakutan yang bukan-bukan terhadap jangkitan HIV.

“Isteri saya hamil dan melahirkan bayi selepas mengikuti prosedur pencegahan jangkitan HIV daripada ibu hamil ke kandungan yang disyorkan doktor,” katanya.

Azlan berkata, dia bersyukur kepada Allah kerana merahmati keputusannya untuk mengahwini Zulaikha dan kelahiran seorang anak lelaki yang kini berusia setahun dua bulan membuktikan kepada semua pihak bahawa penghidap HIV seperti isterinya tidak harus disisihkan.

Panduan Berumahtangga Penghidap HIV

  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan  khidmat kaunseling berterusan.
  • Ubat Anti-Retro Viral (ARV) perlu diambil secara konsisten.
  • Jumlah virus HIV dalam darah penghidap sentiasa dipantau doktor.
  • Guna kondom ketika melakukan hubungan kelamin.
  • Jika isteri melewati pusingan haid, rujuk segera doktor untuk pastikan kemungkinan hamil.
  • Jika hamil, doktor akan rujuk kepada pakar penyakit berjangkit dan obstetriks untuk rawatan lanjut.
  • Wanita menghidap HIV boleh lahirkan anak secara normal tetapi proses itu perlu dipercepatkan.
  • Kelahiran dengan kaedah Caesarean mungkin perlu dilakukan untuk kurangkan risiko bayi dijangkiti virus.
  • Tidak boleh menyusukan bayi kerana virus boleh berjangkit menerusi susu badan.
Tentang Persepsi Negatif

KUALA LUMPUR: Masyarakat perlu mendapat maklumat dan fakta yang betul kerana pada masa ini persepsi mereka mengenai penghidap virus HIV dan penyakit AIDS secara keseluruhannya banyak yang berunsur negatif.

Presiden Majlis AIDS Malaysia (MAM), Tan Sri Mohd Zaman Khan Rahim Khan berkata, persepsi negatif atau stigma itu dilihat masih menjadi ancaman terbesar kepada orang yang hidup dengan HIV.

“Bagaimanapun, kita mampu menentang stigma ini. Bukti dan keberanian bersuara sangat penting untuk menghapuskan stigma serta mitos mengenai jangkitan HIV,” katanya yang dipetik dari laman web MAM.


Sumber: sini