Tuesday, January 17, 2012

HIV: KENANGAN MANIS SEMASA USRAH DAN PERTEMUAN SANTAI SESAMA KOMUNITI DI PUSAT ISLAM



LR semasa menjadi moderator


15 Januari 2012 (Ahad) aku menghadiri Program Usrah Bulanan Anjuran Komuniti FB Taman Fidausi dengan kerjasama JAWI di Dewan Hadhari, Pusat Islam.

Seperti yang aku maklumkan sebelum ini, kehadiranku untuk belajar, saling berkongsi, menambah kenalan dan bertemu sahabat-sahabat baru pembaca blog.

Sesampainya di sana, kumpulan Positive Warriors sedia menunggu dan kami sama-sama ke dewan. Malangnya kerana agak lewat, aku terlepas peluang keemasan untuk bertemu Puan Seroja. Hanya kelibat anak sulungnya yang sempat aku lihat. Puan Seroja sampai sejak awal, tetapi kerana baby istimewanya meragam, terpaksalah beliau pulang supaya tidak mengganggu program.

Syukur sangat-sangat kerana aku dapat berjumpa kembali sahabatku LR, Sha, Azri, Mizan dan Laila. Dah jumpa, apa lagi, berpeluk sakanlah kecuali dengan Laila, hehehe…

Sahabat yang baru pertama kali jumpa pula Faizal, Latif, Farhan dan Uzzi. Itu tidak termasuk kesempatan istimewa menjalin silaturrahim dan ukhwah dengan tenaga utama penganjur program iaitu Psychonuts dan rakan beliau Mahathir.

Kehadiran peserta sekitar 30 orang sahaja, tetapi bagi aku itu semua bukanlah isu. Perjuangan mesti diteruskan dan aku anggap ianya sebagai langkah permulaan. Lebih baik sedikit dan berkualiti daripada ramai umpama buih.

Para peserta terdiri daripada pelbagai latar survivors penyakit-penyakit kronik. Tidak semestinya PLHIV, tetapi kami sama-sama dapat berkongsi rasa dan aura positif berdepan dengan ujian Allah ini. Apa yang membanggakan aku ialah majority peserta lelaki usrah terdiri daripada kalangan kumpulan Positive Warriors.

Ini bermakna ukhwah Islamiah dan komitmen sangat tinggi di kalangan sahabat-sahabat. Tahniah! Aku terharu kerana sedikit sebanyak objektif kita mula menampakkan hasilnya. Bahkan ada yang sanggup datang dari Terengganu semata-mata untuk menghadiri usrah dan untuk bertemu dengan sahabat-sahabat komuniti Positive Warriors.

Kami dibimbing oleh 2 orang penceramah yang sangat-sangat memahami. Terima kasih dan jazakallah khier ustaz! Pengisian ilmunya berkisar soal perkara-perkara yang berkaitan solat fardhu. Walaupun basic, ianya tetap bermanfaat.

Kalau memandang semata-mata atas dasar kepentingan ilmu asas fardhu ain, tak perlu aku memandu sejauh itu dan mengeluarkan modal besar untuk memahami perkara-perkara asas solat. Lebih baik aku berehat sahaja di rumah menikmati cuti hujung minggu. Bersepah buku, ustaz, ustazah dan majlis ilmu di kawasan sekitar yang mengajar soal berkaitan tetapi aku memandang impak dakwah jauh lebih besar daripada itu.

Terdapat sesi brainstorming yang agak menarik pada sejam terakhir sesi usrah bertajuk ‘Kaffarah’.  Moderatornya LR dan panelnya kedua-dua penceramah tadi.

Apa yang menarik minat aku ialah, usrah pada sesi berikutnya akan dijalankan dengan penglibatan interaksi / komunikasi semua peserta usrah. Penceramah hanya akan bertindak sebagai facilitators. Ianya bertujuan melatih para peserta bersedia memainkan peranan sebagai volunteers membimbing dan membantu golongan berkaitan apabila sampai masanya nanti.

Selesai usrah, jamuan makan tengahari dan solat Zohor berjemaah, kami ramai-ramai bergerak ke Taman Burung, Tasik Perdana.

Sesampainya di sana kami memilih sebuah gerai, memulakan ta’aruf ringkas dan mula berkongsi-kongsi pengalaman. Syukur Alhamdulillah ianya mulai sedikit demi sedikit membuka ruang kepada sahabat-sahabat baru untuk berkongsi rasa dan mengatasi rasa segan di awal perkenalan.

Ada yang pada awalnya kelihatan segan dan tertanya-tanya mula tersenyum lebar dan bergelak ketawa bersama-sama sahabat-sahabat senasib. Ada yang sebelum ini berbulan-bulan terkurung sendirian kesedihan mula berkeyakinan meluahkan isi hati. Ada yang mengadu macam-macam tekanan dan ketakutan dalam emel dan SMS sebelum ini secara tiba-tiba kelihatan sihat dan bersemangat.

Selesa tanpa prejudis dan tanpa paranoid apabila bersama komuniti. Diskriminasi, stigma dan judgemental tiada sama sekali.

Jelaslah ‘kesakitan’ PLHIV  bukan disebabkan virus tetapi akibat kejahilan dan sikap manusia. Mereka sangat mampu hidup seperti insan lain, meneruskan karier, menyumbang sesuatu kepada masyarakat, berkahwin, memperolehi zuriat bebas HIV dan sebagainya. Ada cara dan kaedahnya asalkan kita menguasai ilmu dan mendapatkan rawatan.

Cukuplah, jangan dihina dan difitnah mereka dengan kejahilan melampau itu. Tak guna menghina kerana sekarang masanya untuk membantu dan mencegahnya secara tepat.

Selain itu, kami juga sempat berkongsi dan merancang beberapa aktiviti komuniti dalam waktu terdekat. Perkongsian yang asalnya mengikut skrip mula bertukar menjadi gegak gempita dengan gurau senda.

Adakalanya kami tertawa besar bila mengenangkan perangai masyarakat yang selalu salah faham terhadap kami. Di sebalik rasa luka, terselit rasa lucu tentang kejahilan sikap manusia.

Bagi kami yang sedia menjalin silaturrahim sesama komuniti ini mungkin pertemuan santai begini menjadi rutin biasa, tetapi kepada yang baru, rata-rata mereka sangat tersentuh hati.

Beberapa maklum balas yang diterima oleh pelbagai pihak, nampaknya blog kita ini dan kumpulan Positive Warriors mula diperhatikan sebagai kumpulan yang besar pengaruhnya memulihkan semangat PLHIV. Tahniah kepada semua!

Lebih kurang pukul 5 petang, kami bersurai. Disebabkan masih tak puas dengan perbualan sebelum itu, aku, Azri dan LR menyambung perbualan sambil minum-minum pula di Maju Junction. Berat hati rasanya nak berpisah kerana kami tahu kesan psikologi yang bakal ditanggung setiap kali pertemuan sesama komuniti. Kami bergerak pulang sebelum Maghrib.

Seperti biasa, apabila memandu pulang sendirian, serta-merta rasa sunyi yang sangat dalam menyerbu. Aku kembali sepi dalam keriuhan kerana terpaksa menyembunyikan rahsia ini daripada orang lain walaupun HIV bukanlah virus yang membahayakan mereka yang bergaul dengan kami.

Kembali ke dunia sebenar yang penuh prejudis sehingga ada yang lupa terdapat ramai yang tidak bersalah apa-apa turut menderita akibat tempias sikap negative mereka.

Akhir kata, terima kasih dan jazakallah kepada semua, khususnya kepada Psychonuts, kumpulan FB Taman Firdausi, LR, JAWI, dan ustaz-ustaz. Tahniah semua dan tahniah Positive Warriors. Teruskan perjuangan!