Saturday, June 30, 2012

TAZKIRAH KEPADA DIRIKU, SEORANG PLHIV TUA



Assalamualaikum AHP,

Selagi AHP bernama makhluk, kemampuan serba terhad dan terbatas adalah fitrah kita.

Berdepan dengan apa pun ujian di bumi Allah ini, sama ada dalam bentuk kesenangan atau kesusahan, AHP perlukan sumber kekuatan untuk menghadapinya.

Sebab itu syukur dan sabar sama-sama penting. Tanpa kedua-duanya menyebabkan kita hilang kekuatan dan bahkan boleh merosakkan aqidah.

Kemampuan isteri ada batasnya, kesabaran suami ada tempatnya, pertolongan anak-anak ada tempohnya, dan kesetiaan teman ada jangka masanya.

Tiada siapa mampu selama-lamanya hidup menongkat langit. Hakikatnya kehidupan ini memang serba terbatas.

AHP,

Bukankah itu bermakna hidup ini hanya sementara?  Kehidupan, semakin dikejar, semakin jauh meninggalkan kita. Akhirat pula, semakin lari semakin menghampiri. Setiap detik membawa kita semakin jauh atau semakin menghampiri kedua-duanya.

Jadi, di manakah destinasi kita yang sebenar-benarnya?

Di sanalah kehidupan hakiki dan kekal selama-lamanya. Tubuh yang sasa pasti akan kendur, wajah jelita pasti akan layu, langkah yang tangkas pasti akan longlai, dan harta menimbun pasti akan ditinggalkan.

So, di mana sumber kekuatan kita sebenarnya AHP?

Pada doktor yang hebatkah? Pada sahabat-sahabat yang ambil pedulikah? Pada harta yang menimbunkah? Pada pasangan yang setiakah? Pada rawatan yang sempurnakah? Pada apa?

Ingatlah AHP,

Kadangkala sepanjang hari AHP memberi motivasi, menghadiri apa juga seminar dan kaunseling, tetapi akui sahaja hakikat sebenar kekuatan adalah dengan cara menjaga hubungan dengan Allah. Kekuatan sesama makhluk bersifat luaran dan sementara semata-mata.

Maaf bertanya, adakah AHP solat?

Tiada makna dan pahala AHP melakukan sesuatu yang AHP katakan sebagai amal bakti jika tidak menunaikan kewajipan kepada Allah yang satu ini. Tiada maknanya… hanya komestik dan luaran semata-mata. Tidak kekal di hati!

AHP,

Jangan terpedaya dengan fitnah dunia. Sedarlah satu hakikat, selagi hidup, pasti kita akan sentiasa diuji. Tanpa ujian, kita hilang arah dan tujuan. Apa sangatlah ujian HIV berbanding dengan ujian iman.

Tunaikan solat, kerana sesungguhnya solat dan doa itulah sumber sebenar kekuatan kita.

Jika masih ada kemaksiatan dan perkara-perkara mungkar yang AHP amalkan, hentikanlah. Usahlah terpengaruh dengan ujian nafsu walaupun aku tahu ianya amat berat.

Allah hanya uji seseorang mengikut kemampuan dirinya. Mustahil Allah zalim terhadap makhluknya.

Ingatlah selagi jantung berdenyut, selagi itu nikmat Allah AHP nikmati dan gunakan. Oksigen, cahaya mentari, melihat wajah comel si anak, merasa sentuhan lembut tangan ibu, mendengar kicauan burung dan ketawa sahabat-sahabat adalah antara sekecil-kecil nikmat Allah yang AHP nikmati.

Alangkah malang dan ruginya jika ujian HIV tanda kasih sayang Allah ini, gagal dilihat segala hikmah dan kebijaksanaanNya. HIV punya hikmah yang tersembunyi untuk mendidik AHP. Usahlah angkuh melulu terutama terhadap yang Maha Pencipta.

AHP,

Bangkitlah, istighfar, dan bersihkan diri. Ambillah wudhu’. Pakai pakaian yang bersih dan menutup aurat. Solatlah wahai diri. Berdoalah, bermunajatlah, dan muhasabahlah kembali, di mana dan ke mana arah perjuangan.

Jika AHP betul-betulkan sayangkan sahabat-sahabat AHP, ajak mereka solat dan melakukan kebaikan dengan penuh hikmah. Biarpun mungkin dibenci, biarpun hanya sendiri, itulah bukti kasih sayang sejati AHP kepada mereka.

Jangan sesekali AHP kecewa jika mereka enggan mendengar nasihat kerana tanggungjawab AHP hanyalah menyampaikan. Soal hidayah, Allah yang tentukan.

Di samping itu, baca dan hayatilah al-Quran kerana di situlah terletaknya segala macam penawar termasuk kekusutan akal fikiran. Bersedekahlah, berpuasalah, bantulah anak-anak yatim dan mereka yang memerlukan kerana itulah antara penawar yang mustajab untuk menyembuhkan kekerasan hati.

Akhir kata wahai AHP,

Aku tahu bukan sedikit air matamu tumpah dalam diam dengan perjuangan ini. Fikirkanlah sedalam-dalamnya. Jika perjuangan ini membawa ke syurga, teruskanlah. Jika hanya selangkah lagi ke pintu neraka, hentikanlah. Jangan sesekali terlibat dan bersetuju dengan kemaksiatan. Na’uzubillahi min zaalik!

Ingatlah tipu daya iblis dan nafsu itu sangat liciknya. Tanpa sedar boleh  memperdaya AHP.

Maafkan aku wahai AHP. AHP adalah aku, aku adalah AHP.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya amal yang mula-mula sekali dihisab pada hari kiamat ialah sembahyang (solat) seseorang, jika sembahyangnya diterima, maka sesungguhnya beruntunglah dan berjayalah ia, dan jika sembahyangnya tidak diterima, maka kecewa dan rugilah ia. Sekiranya terkurang daripada sembahyang fardhunya sesuatu, Allah berfirman: Periksalah, adakah hamba-Ku itu mempunyai sembahyang-sembahyang sunat untuk dicukupkan dengannya apa yang terkurang daripada sembahyang fardunya? Demikianlah keadaan amal-amalnya yang lain.” [Riwayat at-Tirmidzi]






Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
Along: insansepertiaku@yahoo.com
Survivor: survivorpng@yahoo.com

Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya termasuk FB (secret group), sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela) Pengasas
017-366-5570 (Norhayati)