Sunday, June 03, 2012

HIV: INSAF SEORANG MAK NYAH

ATUK (tengah) bukan sahaja aktif dalam pertubuhan membantu PLHIV malah dia juga sering menjadi buah mulut di kalangan golongan tersebut.
SECEBIS pengalaman hitam yang cukup perit untuk dikenang adakalanya tidak perlu dipadamkan terus daripada kotak ingatan.

Sebaliknya, jika perjalanan penuh ranjau itu dijadikan iktibar yang membangkitkan keinsafan, tidak mustahil anda lebih menghargai kehidupan selepas itu.

Itu prinsip hidup Roslan Hamzah, 54, insan yang pernah tersasar daripada landasan kehidupan sehingga terpaksa menanggung padah sehingga akhir hayat.

“Setiap kali bangun daripada tidur, saya berasa amat bersyukur kerana masih hidup.

“Allah masih menyayangi saya sedangkan dahulu saya adalah hamba-Nya yang paling daif.

“Islam saya hanya pada nama sedangkan kehidupan saya jauh menyimpang,” ujar Roslan yang lebih selesa membahasakan dirinya sebagai Atuk.

Dilahirkan di Kajang, Selangor pada tahun 1958, hidup Atuk mula hilang seawal usia remaja lantaran perpecahan keluarganya.

“Percaya atau tidak, saya menghuni Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur ketika umur saya 14 tahun.

“Masa itu, saya tidak kisah hidup di kaki lima asalkan bebas daripada masalah di rumah.

“Di situ, saya mula bercampur dengan penagih-penagih dadah dan mula belajar hisap (dadah) heroin,” katanya.

Lantaran gian yang sentiasa memuncak, wang menjadi satu masalah besar buat Atuk.

“Masa itu susah untuk dapatkan kerja lebih-lebih lagi kerana faktor umur yang masih muda dan perwatakan lembut saya yang sering dianggap tidak normal.

“Saya semakin tertekan lebih-lebih lagi dalam masa sama teman lelaki meninggalkan saya kerana mahu berkahwin dengan wanita tulen.

“Desakan itu menjadikan saya nekad untuk campakkan ego dan kehormatan diri jauh-jauh.

“Saya ubah diri menjadi mak nyah dan melacur untuk dapatkan wang,” cerita Atuk.

Pergaulan bebasnya di Lorong Haji Taib memperkenalkannya dengan lebih ramai pekerja seks lelaki.

Menurutnya, mak nyah yang masih muda dan memiliki raut wajah disifatkan sebagai jambu sering menjadi tarikan.

“Kalau badan masih muda, muka pun cun, memang lebatlah poket.

“Tak mustahil boleh dapat RM200 hingga RM300 satu malam.

“Tapi kalau umur melebihi 30 tahun, biasanya mereka akan bersara,” jelasnya.

Dalam kalangan pelacur lelaki, kata Atuk, tidak semua mereka mak nyah. Ada juga lelaki tulen malah ada yang sudah berkahwin.

Kebanyakannya menjadi pilihan kepada pelanggan yang inginkan layanan lebih sensasi.

“Pelanggan mereka terdiri daripada lelaki biseksual, gay, mak nyah dan perempuan.

“Boleh katakan semua pekerja seks lelaki di situ mengambil syabu atau heroin.

“Bagi yang tak mahu ambil risiko dadah, mereka gemar togok arak,” kata Atuk.

Bak kata orang, roda itu bulat dan tidak selamanya kita berada di atas.
Zaman kegemilangan Atuk di Lorong Haji Taib beransur pudar apabila umurnya semakin meningkat. Maklumlah, pelanggan lebih suka makan pucuk muda.

“Hidup saya mula melarat. Pendapatan tidak seberapa tapi keperluan untuk heroin semakin meningkat.

“Ketiadaan wang menyebabkan saya merempat di bawah jambatan.

“Makan pun asal jumpa. Pernah juga saya korek tong sampah untuk cari sisa makanan. Tak fikir pun soal kotor kerana saya selalu berada dalam alam khayalan,” akuinya.

Penyakit

Atuk bagaimanapun ditangkap dan didakwa mengikut Seksyen 39 A (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia dipenjarakan 40 bulan dan dikenakan empat sebatan. Selepas bebas, dia perlu berada dalam pengawasan polis selama setahun.

“Saya temui keinsafan di dalam sel. Keadaan di dalam penjara bukanlah faktor utama saya berubah.

“Ibu saya meninggal dunia ketika saya berada di dalam tahanan.

“Saya cukup berasa terkilan kerana tidak sempat menjaga dan berada di sisinya ketika diperlukan.

“Kehilangan ibu membuka mata saya tentang realiti kehidupan. Terdetik dalam hati, inilah masanya untuk saya berubah. Cukuplah saya menzalimi diri sendiri selama ini,” ujar Atuk.

Selepas dibebaskan, Atuk kembali ke Lorong Haji Taib. Kali itu Atuk tekad untuk jadi baik.

“Cabaran untuk menjadi Roslan yang baharu bukan mudah, namun saya tekad, cukuplah saya tersasar selama ini.

“Saya tidak mahu hidup ditentukan nafsu sendiri. Untuk menguatkan hati, saya paksa diri melihat kawan-kawan yang asyik menghisap dadah.

“Alhamdulillah, apabila teringatkan arwah ibu, keinginan untuk kembali menagih hilang. Mungkin ini hikmah di atas pemergiannya,” ujar Atuk sayu.

Mahu hidup lebih positif, Atuk mula menyertai PT Foundation, sebuah pertubuhan yang memberi khidmat kepada golongan yang berisiko tinggi untuk mendapat HIV. Kumpulan sasarannya adalah pekerja seks lelaki.
Atas kesedaran sendiri, Atuk menjalani pemeriksaan HIV pada tahun 1996 dan dia didapati positif HIV.

“Walaupun sudah bersedia dengan keputusan tersebut, saya akui, saya sangat kecewa dan berkurung dalam bilik selama lapan hari,” katanya yang mengandaikan seks bebas dan perkongsian jarum suntikan sebagai punca sebenar dia dijangkiti HIV.

Kini selepas 20 tahun hidup bersama virus yang belum ditemui penawarnya itu, Atuk lebih selesa pergi kepada golongan penagih dan kumpulan yang berisiko tinggi mendapat HIV seperti remaja perempuan, wanita, dan pekerja seks lelaki.

Menurut Atuk, terdapat lebih 100,000 rakyat di negara ini yang dijangkiti HIV.

“Mungkin bukan mudah untuk kita mahu mensifarkan kematian akibat HIV, namun dengan bermacam jenis pendedahan, saya amat berharap, angka tersebut dapat disusutkan.

“Program pemberian kondom percuma dan pertukaran jarum suntikan, saya lihat sangat membantu meminimumkan penyebaran virus ini khususnya kepada keluarga,” katanya yang ingin menghabiskan usianya dengan mendidik masyarakat tentang HIV khususnya di Kedah.

Baginya, pengetahuan tentang virus HIV sangat penting disebarkan kerana kesan daripada virus itu bukan sahaja boleh merosakkan diri pembawanya tetapi ia juga memberi risiko kepada keluarga dan masyarakat.

“Akar kekuatan diri ini datangnya dari rumah. Ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting demi memastikan anak-anak tidak terjebak dengan gejala negatif yang boleh membawa mudarat seperti dijangkiti HIV.

“Didiklah anak-anak anda tentang konsep pergaulan yang betul. Kenali mereka, dekati rakan-rakannya, dan jangan malu untuk memberi pendahan tentang apa itu HIV, dadah, dan seks bebas.

“Saya tidak menyesal dapat HIV. Ia sejarah yang tidak boleh diubah. Namun, saya tahu, Allah sayangkan saya.

“Dia beri saya ujian yang penuh dengan hikmah. Benar saya ada HIV tapi itu tidak menghalang saya untuk membantu dan mendidik masyarakat ke arah kehidupan yang lebih sihat,” kata Atuk.

Sumber: sini


AHP: Atuk adalah salah seorang Penasihat blog ini dan beliau boleh dihubungi melalui nombor: 017 350 0167