Kali ni kita cerita tentang perkara lain sikitlah kut. Asyik-asyik cerita tentang HIV. Macamlah PLHIV ni tak ada perkara lain nak fikir dalam hidup. Jadi, objektif aku berkongsi cerita ini adalah untuk membuktikan bahawa PLHIV juga mampu menjalani kehidupan sama seperti insan lain tanpa apa-apa masalah.
Apa-apapun, kerana blog ini kepunyaan PLHIV, tak dapat larilah daripada diselitkan denngan isu berkaitan HIV.
Mulai 27 Mei – 1 Jun 2012, aku tidak berblog. Ramai yang bertanya, ke mana AHP menghilangkan diri?
Sebenarnya aku bawa keluargaku bercuti. Dah hampir 3 tahun aku tak berkesempatan betul-betul bercuti. Sejak aku being diagnosed sebagai PLHIV, terencat macam-macam perkara.
Kalau nak ikutkan, aku tak berapa minat berkongsi kisah cuti-cuti ni kerana bimbang timbul salah faham. Aku selalu terkenangkan mereka yang lebih susah. Para ibu tunggal, anak-anak PLHIV terbiar, dan sebagainya. Percutian bagi mereka umpama mimpi semata-mata. Orang lain bersedih, kita sibuk bercerita tentang perkara remeh-temeh.
Bagi golongan kaya-raya pula, setakat cuti-cuti Malaysia, apa kelas? Itu pun kecoh cerita kat blog? Malu aku, tapi tak kisahlah kan… kebahagiaan adalah pada hati yang merasa, bukan pada mata yang memandang. Syukurlah apa yang ada dan apa yang termampu…
Jenis percutian yang aku paling suka ialah yang melibatkan dengan alam semulajadi. Snorkeling, jungle trekking, photography, driving, riding, camping, dan sebagainya. Bercuti kat bandar ni bagi aku tak ada beza sangat. Nak keluar negara tak mampu. Ada duit, baik aku pergi umrah atau haji.
Memang dah lama benar aku kepingin rehatkan fikiran. Kebelakangan ini, kesibukan melampau-lampau. Tepu… sedangkan aku sukakan ketenangan. Masalahnya nak lari tapi tak mampu…
Selain berdepan beberapa ujian berkaitan statusku sebagai PLHIV, tekanan kewangan memang bertimpa-timpa. Sengaja aku rahsiakan kerana bagi aku, jika aku susah, ramai lagi yang jauh lebih susah. Nak mengeluh dan mengharap bantuan orang lain bukan caraku.
Syukurlah barangkali kerana biasa hidup susah semasa kecil dan remaja dulu, setakat susah sikit-sikit tu tak adalah menggusarkan aku sangat pun.
Allah dah janji di sebalik setiap kesusahan ada kesenangan. Jika diizinkanNya, akan tercapailah impian. Jika tak tercapai, bermakna tak adalah rezeki. Simple je peraturan hidup ni.
Alhamdulillah, akhirnya Allah lapangkan sedikit tekanan kewanganku kebelakangan ini. Bernafaslah untuk hidup secara sederhana. Terima kasih kerana aku yakin ini berkat doa sahabat-sahabat dan atas prinsip bahawa mesti banyak memberi sebelum menerima.
Ringkas cerita, pada 28 Mei – 31 Mei, aku sekeluarga bercuti ke Tasik Kenyir. Kami 5 beranak. Aku, Kak Da, Lifejacket, Danial, dan Danish.
Memandang kapasiti bot tersebut boleh memuatkan sehingga 10 orang dewasa, aku pelawa adikku sekeluarga seramai 3 beranak dan kakak iparku 3 beranak. 11 oranglah semuanya.
Plan asalnya aku cuma mahu menghabiskan masa bersama familiku sendiri, tetapi bila memikirkan bahawa mungkin ini antara kenangan manis terakhir yang dapat aku tinggalkan kepada sebahagian keluarga, kami sepakat mempelawa sebahagian daripada ahli keluarga lain yang berkesempatan.
Kami sewa sebuat boathouse untuk percutian selama 3 hari 2 malam. Malam pertama sewaktu sampai ke tasik, kami sudah dibenarkan tumpang bermalam di bot. Lebih tepat lagi jumlah hari sebenar adalah 3 hari 3 malamlah.
Pakej murah, RM1800 sahaja. Peralatan memasak disediakan, tetapi bekalan makanan bawa sendiri. Air mineral sangat-sangat penting. Aku tak mampu nak sewa pakej yang mahal, kerana itu pun dah cukup mewah bagi aku.
Kebetulan aku diserang selsema yang teruk sejak 2, 3 hari sebelum pergi bercuti kerana sentiasa tak cukup rehat dan memandu hingga lewat pagi. Sibuk ke sana ke mari tanpa mengira masa. Suka atau tidak, terpaksa gagahkan diri kerana tak mahu mengganggu mood percutian family. Orang sakit pun kena faham mood orang sihat.
Ditambah dengan aktiviti-aktiviti berembun, berhujan, berpanas, dan melayan family mandi-manda di tasik selama 3 hari, memang mencabar kemampuan badan untuk berdepan ancaman kesihatan.
Pembaca setia blog ini dan sahabat-sahabat rapat tentu tahu bahawa bacaan CD4 aku sangat rendah sekalipun Viral Load aku adalah Not Detected.
Lebih kurang pukul 9 pagi keesokan harinya, kami bertolak ke Taman Negara dan sampai di sana lebih kurang 3 petang. Hujan lebat berserta angin yang agak kencang pada waktu malam sejak malam pertama memberi cabaran dan pengalaman yang tersendiri.
Sepanjang perjalanan ke Taman Negara (lebih kurang selama 6 jam setengah) kami menikmati keindahan pemandangan tasik sepuas-puasnya. Sampaikan ada yang berdengkur dan ada pula yang tak sabar-sabar nak memancing. Perasan expert mengalahkan pemancing profesional.
Aktiviti di dapur susah nak reda maklumlah sebahagian daripada kami ialah anak-anak remaja. Pantang ada peluang, cekodok pisang, jemput-jemput, mee segera, beehoon goreng, kopi panas, dan sebagainya tak henti-henti berlumba masuk perut.
Kalaulah Doktor Iskandar tahu, habislah aku. Tiap kali aku makan berlebihan, aku asyik terbayangkan muka Doktor Iskandar, tetapi cepat-cepat aku lupakan bila makanan dah berada di depan mulut! Hihihi…
Sesampai sahaja di Taman Negara, masing-masing teruja nak memancing, tapi tak dapat seekor pun sedangkan ikan lampam penuh di sekeliling bot. Masing-masing bukan pandai memancing pun. Harap pancing dan gaya sahaja yang lebih!
Apa taknya, kami salah pilih mata pancing, tali kail, dan sebagainya.
Kesudahannya aktiviti sekadar dipenuhi aktiviti makan-makan dan menikmati keindahan alam.
Syukurlah pemilik bot bersikap memahami dan baik hati kerana aku berterus-terang bahawa kami tidak ada pengalaman memancing. Lagipun, aku rasa kami bukanlah jenis penyewa bot yang banyak kerenah. Apa yang ada, kami enjoy sahaja kerana yang penting ialah untuk menghabiskan masa berkualiti bersama family.
Beliau mengajar dan menunjukkan cara. Alhamdulillah, sedikit demi sedikit kami mulai menguasai kemahiran tersebut. Sebaik sahaja kemahiran memancing ikan lampam dikuasai, meriahlah suasana dengan jerik-pekik keseronokan memancing walaupun kadang-kadang ikan yang dipancing hanya sekadar sebesar jari masing-masing…
Tidak cukup dengan itu, pemilik bot sanggup bersusah-payah mencari sendiri pelbagai jenis ikan di kawasan berdekatan dengan menaiki bot kecil bersama isteri dan anaknya.
Akhirnya kami tak termakan segala macam jenis ikan. Ada yang besar, kecil, mahal, murah, dan sebagainya. Toman, kelisa, haruan, baung, dan sebagainya jenuh kalau setakat untuk dimasak. Yang penting, anak-anak seronok merasai pengalaman memancing ikan lampam di bot.
Antara moments indah lain sudah tentulah sesi mandi-manda. Jangan tak tahu, aku masih mampu tunjukkan beberapa skills mandi sungai sewaktu kecil dulu seperti menunjukkan kemahiran menyelam, berenang, terjun tiruk, dan entah apa-apa lagi.
Hakikatnya sampai naik cramp kaki aku sewaktu melompat ke tasik dengan macam-macam aksi ala tarzan tersebut, tetapi demi berlagak hebat depan anak-anak, terpaksalah buat-buat tak sakit. Hehehe…
Paling best sudah tentu aktiviti solat berjemaah bersama-sama. Solat dengan seluar trek dan singlet pun tak mengapa selagi bersih daripada segala najis.
Kewajipan tetap perlu ditunaikan walaupun di mana dan apa keadaan. Tanggungjawab tersebutlah yang menyedarkan kita ini sekadar hamba dan bahawa itulah sahaja sumber kekuatan sebenar kita menghadapi ujian hidup.
Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Taman Herba untuk menjalani aktiviti jungle trekking. Kami juga diberi peluang untuk merasa air Tongkat Ali, air Mahkota Dewa, dan air Kacip Fatimah yang memang ada disediakan di situ. Air tersebut sentiasa direneh dengan menggunakan dapur kayu tradisional.
Ok, itu ajalah kut. Tak larat nak share panjang-panjang. Ngarut-ngarut je cerita aku ni, bimbang pulak kau orang boring membacanya.
AHP:
Tips
1. Jika mahu memancing ikan lampam di Tasik Kenyir, gunakan mata kail yang halus, ‘joran puyu’ dan tali yang halus sehingga sukar dilihat oleh ikan. (Tak perlu gunakan joran yang mahal-mahal)
Gunakan umpan palet pun memadai, tetapi kena pandai tabur umpan untuk tarik perhatian ikan dan segera campakkan mata kail ketika ikan menyerbu menangkap umpan palet yang dicampakkan sedikit demi sedikit.
Kalau betul caranya, kita boleh dapatkan bertong-tong ikan selama 3 hari 2 malam tersebut.
2. Nasihat aku, ketahui tahap diabetes, bacaan CD4, dan persekitaran masing-masing jika mahu bercuti. Jangan mandi-manda sebarangan. Pastikan bekalan HAART dan ubat-ubatan antara keperluan utama. JANGAN SESEKALI TERTINGGAL ATAU MISSED.
3. Tekong bot aku memang bagus walaupun tak banyak cakap. Mahir dalam bidangnya (cari ikan) tetapi kita pandailah respect dia sebagai “tuan tanah” walaupun kita bayar perkhidmatan dia. Janganlah bossy sangat.
Cuba bayangkan kita jadi seorang pemilik homestay, tinggal bersama penyewa. Penyewa datang rumah kita, tetapi macam-macam komplen yang remeh-temeh. Mesti dia bengkek. Nak selesa, pergi bercuti di hotel 5 star, jangan pergi tasik.
Jika perlukan nombor beliau, boleh hubungi aku. Nak publish rasa tak berapa sesuai tanpa izin. Insya-Allah berpuas hati.
Berdasarkan pengalaman, ikan-ikan hasil tangkapan setelah puas dimakan, masih dapat dibawa balik anggaran setong kecil untuk 3 keluarga. Untuk beginner, hebatlah tu…