Thursday, June 07, 2012

KHATAN KANAK-KANAK PLHIV & TAHNIAH KEPADA KK JAYA GADING, KUANTAN

KK JAYA GADING, KUANTAN

Antara diskriminasi yang dialami oleh para PLHIV termasuklah sebahagian doktor enggan mengkhatankan kanak-kanak PLHIV atas alasan-alasan tertentu sekalipun sunnah berkhatan dapat meningkatkan kebersihan diri dan mengurangkan risiko jangkitan HIV terhadap pasangan.

Bayangkan inferiority yang terpaksa dilalui oleh kanak-kanak PLHIV sehingga dewasa dan berumahtangga jika tidak dikhatankan. Begitu juga kedua ibu bapa dan keluarga mereka.

Jika kanak-kanak PLHIV tersebut mempunyai paras CD4 yang normal, VL yang rendah, tanpa apa-apa penyakit kronik, dan mematuhi jadual pengambilan HAART dengan teratur, mengapa mereka dinafikan hak untuk berkhatan?

Ianya seumpama luka kecil yang takkan dapat dielakkan 100%, mungkin terjadi kepada mana-mana PLHIV sekalipun sepanjang hayat mereka. Dengan rawatan yang betul, apakah isunya?

Kali ini kita bertuah kerana sekali lagi dapat berkongsi pengalaman dengan seorang ibu PLHIV iaitu Puan Seroja yang merupakan sebahagian daripada Positive Warriors Support Group blog ini.

Sudah beberapa kali Puan Seroja berkongsi pengalaman berharga dengan cukup ikhlas dan prihatin demi komuniti. Sekarang, sekali lagi kita berpeluang berkongsi rasa dan pengalaman Puan Seroja.

Mari baca pengalaman Puan Seroja:



Assalamua’laikum w.b.t.

Syukur alhamdulillah akhirnya doa kami agar anak kami dapat dikhatankan selamat disempurnakan di bawah ketentuan, perlindungan, dan rahmatNya.

Setinggi-tinggi  ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada insan-insan mulia terutama sekali kepada doktor yang menjalankan proses berkhatan tersebut iaitu Dr. Iskandar Firzada bin Osman, Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Jaya Gading, Kuantan, Pahang dan pembantu beliau yang tidak dapat saya perolehi namanya. Begitu juga tidak dilupakan kepada AHP. 

Insan-insan inilah yang telah banyak membantu.  Bermula daripada AHP yang memperkenalkan kami kepada Dr. Iskandar, menyokong, membantu, dan mengambil berat tentang perkara ini semenjak dari mula isu ini dikemukakan kepada AHP.

Ingin kami berkongsi pengalaman ini kerana saya dan suami berasa pengalaman ini amat bermakna sekali bagi kami. Harapan kami ianya dapat dijadikan panduan buat sahabat-sahabat senasib di luar sana yang mempunyai masalah seperti kami (anak yang berstatus HIV) untuk dikhatankan.

Anak kami, bernama Putera mula didiagnos pada 2004 ketika diminta oleh doktor yang merawat arwah suami saya yang terdahulu apabila beliau disahkan dijangkiti HIV semasa menjalankan ujian saringan darah.

Melalui ujian darah yang dijalankan, didapati saya dan Putera turut disahkan dijangkiti HIV. Bayangkan sahaja bagaimana perasaan saya ketika itu yang setelah mengetahui bukan setakat suami, malah yang paling tidak dapat saya terima ialah anak yang masih bayi dan tidak mengerti apa-apa turut menjadi mangsa keadaan.

Putera ketika itu baru berusia 8 bulan dan kelihatan sangat comel.  Rupanya tidak ubah seperti anak kacukan (memang pun kerana datuknya berketurunan Pakistan), berkulit sawo matang, badan sihat dan montel, sentiasa ketawa, dan ramah apabila disapa.

Hampir sahaja saya pitam saat melihat mata Putera yang bulat itu memandang ke arah saya. Ya Allah, Tuhan sahaja yang tahu. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan perasaan saya ketika itu.

Dipendekkan cerita, saya telah mengabaikan Putera selama hampir setengah tahun kerana faktor kemurungan sehinggakan suntikan imunisasinya tidak dapat saya sempurnakan seperti anak-anak yang lain.

Saat saya sedar daripada kemurungan, Putera selalu sakit-sakit dan demam. Bermula dari situlah saya membawanya mendapatkan rawatan di HTAA Kuantan biarpun usianya baru mencecah 1 tahun lebih.

Putera terlebih dahulu memulakan rawatan HAART berbanding saya. Kalau tidak silap, rawatan HAART yang dimakan adalah Zidavuden, Novir, dan Bactrim yang kesemuanya adalah cecair (syrup).

Sangat sukar untuk memastikan ubat itu ditelan oleh Putera kerana hampir setiap kali diberikan ubat tersebut, Putera akan muntahkan kembali. Dengan linangan air mata, saya akan memaksa dan memastikan ubat itu ditelan semula oleh Putera.

Manakan tidak muntah, sebaik penutup ubat dibuka, bau yang sangat teruk untuk dihidu apatah lagi hendak ditelan oleh bayi sekecil Putera. Memang amat-amat meloyakan.

Boleh dikatakan setiap bulan saya akan membawa Putera ke hospital dan setiap kali pergi, pasti bukan Putera sahaja yang meraung-raung kerana dicucuk untuk diambil darah, bahkan saya juga turut menangis teresak-esak kerana tidak sanggup melihat Putera melalui proses sedemikian.

Hari berganti bulan dan akhirnya menjadi tahun, Putera semakin sihat walaupun badannya tidak lagi semontel dulu. Dia semakin cergas dan pandai.

Kehidupan saya ketika itu agak sukar setelah suami meninggal dunia ketika Putera berumur 2 tahun lebih. Tiada pekerjaan yang tetap kerana selalu diberhentikan kerja akibat selalu mengambil cuti untuk menerima rawatan di hospital.

Hanya keluarga tempat mengadu dan memohon bantuan. Bersyukur sangat kerana saya mempunyai keluarga yang amat memahami dan mengambil berat.

Akhirnya saya bertemu jodoh dengan seorang pemuda yang amat memahami dan dapat menerima keadaan kami berdua seadanya. Kini, Putera telah mendapat merasakan kasih sayang daripada seorang bapa yang digelar “Papa” sejak berusia 5 tahun.

Dia pelajar yang cemerlang di sekolah dengan mendapat beberapa penghargaan di dalam beberapa subjek dan sekarang usianya mencecah 9 tahun.

Tahun lepas, semasa temujanjinya dengan doktor, saya bertanyakan pendapat doktor tentang berkhatan. Doktor berpendapat jika CD4 > 500 dan viral load < 20 pcs, tiada masalah untuk berkhatan kerana ianya menyamai dengan orang biasa.

Setelah berbincang dengan suami dan Putera, akhirnya kami bersetuju untuk mengkhatankan Putera pada cuti sekolah hujung tahun lepas (2011).

Pada hari temujanji Putera yang seterusnya, saya berbincang dengan doktor tersebut tentang bagaimana jika saya ingin mendaftarkan anak saya untuk berkhatan di hospital tersebut, namun jawapan yang diberikan oleh doktor itu amat mengecewakan sekali dan bertentangan dengan kenyataan awal yang diberikan.

Katanya, "Putera adalah kanak-kanak istimewa. Dia dikecualikan untuk berkhatan. Tidak apa-apa jika dia tidak berkhatan pun…"

Saya merasa amat tidak puas hati dengan jawapan tersebut. Seolah-olah Putera dibeza-bezakan dan dinafikan hak dengan kanak-kanak lain hanya disebabkan oleh statusnya. Dengan kata lain, ia adalah berbentuk stigma dan diskriminasi.

Namun, doktor tersebut enggan berbincang lanjut mengenai perkara tersebut dan tidak menggalakkan sama sekali ianya dilakukan. Akhirnya, saya meluahkan perkara ini kepada AHP.



Dengan segera AHP memberikan sokongan yang positif. Beliau telah membantu mengajukan perkara ini kepada doktornya iaitu Dr. Iskandar Firzada bin Osman.

Pertama kali berjumpa Dr. Iskandar, saya dapati orangnya sungguh menyenangkan dan sentiasa tersenyum.

Dr. Iskandar Firzada bagi saya adalah semulia-mulia doktor yang pernah saya temui dan memang tidak hairanlah AHP sangat-sangat menghargai beliau.

Begitu cepat Dr. Iskandar respon tentang perkara ini dan pandangannya sangat positif. E-mail yang dihantar kepada saya mengenai berkhatan sangat teliti dan lengkap, siap dengan hukum dan pandangan berkhatan terhadap PLHIV mengikut perspektif Islam yang dirujuk daripada JAKIM.

Dr. Iskandar juga mengumpul maklumat daripada sahabat-sahabat doktor yang lain tentang khatan. Akhirnya, setelah beberapa kali berbalas e-mail dan perbincangan menerusi telefon, tarikh temujanji untuk berjumpa Dr. Iskandar telah ditetapkan pada 31 Mei 2012 baru-baru ini, jam 8.00 pagi di Klinik Jaya Gading, Kuantan, Pahang.

Hari yang dijanjikan tiba dan kami sampai di klinik seawal 7.50 pagi. Putera seperti biasa sahaja, tidak langsung menunjukkan tanda-tanda resah, bimbang, atau takut, malah kami sebagai ibu bapa pula yang risau dan resah yang bukan-bukan.

AHP menghubungi kami dan menyatakan hasrat untuk turut bersama-sama menemani pada hari Putera berkhatan, walaupun baru balik daripada percutian keluarga di Kenyir.

AHP bergegas dari Temerloh ke Kuantan ditemani isteri-isteri beliau pada pagi itu bagi memberi sokongan tambahan.

Setelah pemeriksaan kesihatan ke atas Putera dan mengetahui bacaan CD4 dan viral load Putera yang terakhir bagi memastikan tahap kesihatan Putera memuaskan, proses berkhatan secara Smart Klamp dijalankan oleh Dr. Iskandar sendiri dengan dibantu seorang MA di KK Jaya Gading.

Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dan kami suami isteri sangat bangga dengan Putera. Putera langsung tidak menangis sepertimana kanak-kanak lain, malah masih boleh tersenyum lagi.

Terus-terang saya dan suami amat terharu dan gembira melihatkan situasi dan emosi ketika itu.  Bagi kami ini bukanlah sekadar proses khatan biasa tetapi telah menjadi lambang perjuangan bersama menentang stigma dan diskriminasi terhadap PLHIV.

Hari Rabu (6 Jun 2012), Putera dibawa berjumpa Dr. Iskandar untuk rawatan susulan dan proses ini akan berterusan untuk memantau dan mengelakkan jangkitan kuman. Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar. Tolonglah doa-doakan Putera betul-betul sihat kembali. 

Sekali lagi, sekalung penghargaan kepada  Dr. Iskandar, semua kakitangan KK Jaya Gading dan AHP sekeluarga yang banyak membantu kami menyelesaikan masalah ini.

Budi baik dan jasa yang ditaburkan tidak termampu kami membalasnya. Hanya doa sahajalah yang dipanjatkan semoga insan-insan ini sentiasa dipelihara dan diberkati Allah.

Semoga mereka dapat meneruskan usaha murni dan suci kepada mereka yang memerlukan.

Akhir kata, secara jujurnya saya dan suami mengaku bahawa peristiwa ini sedikit sebanyak telah menghijabkan perasaan kecewa dan marah kami sebelum ini yang berdepan masalah stigma dan diskriminasi.

Berusaha dan bersabar sangat penting di dalam kita mencari penyelesaian masalah dan bersedia untuk berkongsi perasaan dengan orang lain agar setiap masalah itu dapat dibantu dan dicari jalan keluarnya.

Pandangan kami terhadap doktor-doktor juga berubah di mana ia telah membuktikan tidak semua memandang serong kepada mereka yang hidup dengan HIV/AIDS. Masih ada lagi insan yang memahami dan mengerti akan keperitan kita sebagai PLHIV.


Sekian. Wassalam.

Seri Seroja 04


AHP:  Para pembaca boleh berkongsi pengalaman dengan Puan Seroja melalui AHP Positive Warriors Support Group. Untuk menyertainya, sila hubungi:

Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com