Saturday, June 16, 2012

BAYI BEBAS DARIPADA VIRUS HIV; KITA TANYA PADA YANG PAKAR

Temubual bersama DR KAMARUL AZHAR MOHD. RAZALI,
Pakar Perunding Kanak-Kanak & Penyakit Berjangkit Hospital Kuala Lumpur

Soalan: Bagaimana cara transmisi HIV berlaku secara vertikal daripada ibu ke anak?

Ibu yang hamil juga terdedah dengan risiko yang tinggi dalam menjangkiti janin yang dikandung mereka dengan virus HIV, serta penyakit kelamin (sekiranya ada) jika tiada ujian antibodi HIV yang dijalankan.

Langkah ini amat penting bagi ibu yang hamil yang untuk menjalani ujian saringan atau antibodi HIV yang disediakan oleh hospital kerajaan, di Klinik Kesihatan Kerajaan dan juga di pihak swasta. Ujian saringan atau antibodi yang dilakukan oleh hospital dan klinik kesihatan kerajaan adalah percuma.

Virus HIV boleh berjangkit daripada ibu kepada anak melalui tiga cara iaitu melalui kandungan atau pregnancy, proses bersalin secara normal dan melalui penyusuan badan.

Ini adalah kerana risiko transmisi vertical virus HIV daripada ibu kepada anak melalui darah dan cecair rembesan badan seperti air ketuban, susu badan adalah tinggi. Setiap langkah pencegahan dilakukan secara menyeluruh dan berhati-hati.

Proses semasa hamil

Doktor yang bertugas akan memastikan ibu yang hamil akan menjalani proses rawatan dan pencegahan yang rapi dengan pengambilan ubat-ubatan anti-HIV selama proses kehamilan dan kemudiannya untuk memastikan kesihatan kedua-dua ibu dan anak bebas daripada jangkitan virus HIV.

Semasa hamil, wanita yang HIV-positif akan menerima kombinasi sekurang-kurangnya tiga jenis ubat anti-HIV setiap hari, termasuk AZT (Zidovudine) jika perlu.
Sekiranya diagnosis HIV dikenal pasti pada peringkat kehamilan lewat atau semasa proses kelahiran, ujian status HIV akan dilakukan pada waktu itu dan pengambilan ubat-ubatan akan diberikan kepada wanita tersebut pada kadar segera.

Proses semasa melahirkan anak

Walaubagaimanapun, kelahiran melalui pembedahan (caesarean) mungkin dilakukan sekiranya kelahiran melalui proses biasa berkemungkinan besar meningkatkan risiko penularan HIV kepada bayi.

Bayi juga tidak akan dibenarkan menyusu ibu. Hanya penyusuan formula sahaja dibenarkan kerana susu ibu juga mengandungi virus yang boleh menyebabkan penularan virus kepada bayi.

Soalan: Apakah kaedah untuk mengawal risiko daripada terkena jangkitan HIV?

Langkah pertama dalam mengawal risiko daripada terkena jangkitan bagi wanita yang mengandung ialah dengan menjalani ujian HIV yang akan dijalankan melalui dua cara.

Ujian antibodi HIV yang pertama (menggunakan darah) akan dijalankan dan sekiranya hasil ujian ini adalah positif, maka ujian yang kedua (ujian konfirmatif, yang menggunakan darah juga) akan dijalankan.

Sekiranya keputusan kedua-dua ujian ini adalah positif, masih ada sinar bagi wanita yang hamil untuk menjalani kehidupan normal dan sihat dan melindungi bayi mereka daripada HIV.

Wanita yang hamil ini masih boleh mendapatakan rawatan anti-HIV untuk mengelakkan transmisi vertikal daripada ibu ke anak dan untuk kesihatan mereka sendiri.

Soalan: Bagaimana pasangan yang berkahwin berstatuskan HIV-positif boleh mendapat zuriat?

Pasangan yang berkahwin sama ada salah seorang daripada pasangan mereka ada HIV-positif atau kedua-duanya sekali, masih boleh mendapat zuriat yang sihat dan bebas daripada hiv.

Pasangan ini disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi mendapat khidmat nasihat dan membuat perancangan yang teratur dan teliti bagi mengelakkan zuriat mereka dijangkiti virus HIV.

Doktor juga akan memantau dan memberi isterinya (sekiranya HIV-positif) ubat-ubatan anti-HIV untuk diambil sebelum dia disahkan mengandung.

Setelah disahkan mengandung, ia adalah amat penting bagi wanita ini untuk terus mengambil ubat-ubatan sehingga ia melahirkan anaknya.

Walau bagaimanapun, doktor akan menasihati wanita HIV-positif yang hamil hadir untuk pemeriksaan berkala dan menerima rawatan ubat pencegahan (mencegah penularan HIV kepada janin).

Kelahiran bayi secara biasa atau melalui caesarean jika perlu, bagi melahirkan anak dan pemberian susu formula dan bukan susu badan, bagi mengelak jangkitan HIV daripada ibu ke anak berlaku.

Soalan: Apakah yang dimaksudkan status “bayi bebas-HIV”?

Bayi yang dilahirkan oleh ibu yang HIV-positif akan kelihatan normal dan sihat, ini tidak bermakna yang ia terus bebas daripada jangkitan HIV. Doktor akan memantau status kesihatannya sehingga 18 bulan bagi memastikan kesihatannya terjamin.

Ujian virologic akan dibuat keatas darah bayi ini mengenal pasti sekiranya ada terdapat virus HIV ini.Bayi ini akan  menjalani dua ujian virology. Keputusan bagi kedua-dua ujian ini seharusnya negative, barulah keputusan “bebas-HIV” boleh dikenal pasti dan diputuskan. 

Doktor juga akan menyarankan ujian saringan antibodi-HIV perlu dibuat selepas bayi ini menjangkau 18 bulan bagi mengenal pasti tiada sebarang jangkitan berlaku.


ROSMAH DAIN - Utusan Malaysia

Kredit kepada sumber online: HIDUP MESTI DITERUSKAN