Saturday, June 16, 2012

ANAK SAYA TIDAK DIJANGKITI HIV - Suci

Berlainan dengan kisah wanita ini, Suci (bukan nama sebenar), 35, yang berasal dari Teluk Intan Perak, ibu kepada tiga cahaya mata berumur 15, 14 dan 5 tahun.

Berkahwin dengan Johari (bukan nama sebenar), 42, yang merupakan seorang peniaga kecil-kecilan pada tahun 2004. Bagi Suci ini adalah merupakan perkahwinannya yang ke tiga dan kedua bagi Johari.

Anak pertama dan kedua merupakan hasil daripada perkahwinan pertama Suci manakala tiada zuriat pada perkahwinan kedua manakala perkahwinannya dengan Johari dianugerahkan seorang cahaya mata lelaki berusia lima tahun.

Kisah Suci bermula pada tahun 2008 apabila Johari diserang demam yang berpanjangan dan dimasukan ke Hospital Selayang. Di mana dia disahkan HIV-positif.




Rentetan daripada itu Suci juga diminta oleh pihak doktor untuk melakukan pemeriksaan darah dan darahnya juga disahkan HIV-positif. Johari pada ketika itu telah pun dimasukkan kedalam wad kerana menghidap sakit paru-paru yang teruk. Kemudian mereka berdua diarahkan untuk mendapatkan rawatan di Sungai Buloh.

“Pada masa itu anak saya yang ketiga baru berumur beberapa bulan dan saya menyusukan badan anak saya. Apabila pihak hospital mengetahui saya menyusukan badan anak saya, mereka terus meminta saya berhenti dan mencadangkan saya memberi susu botol untuk mengelakkan anak saya itu daripada dijangkiti HIV”, katanya yang mentafsirkan dirinya dan 

Johari mendapat HIV mungkin daripada perkahwinan-perkahwinan terdahulu.

Mengakui dunia  terasa gelap gelita apabila menerima berita itu, anak-anaknya juga turut melakukan ujian darah untuk mengetahui tahap kesihatan mereka.

Alhamdulillah, apa yang amat menakjubkan, biarpun Suci dan Johari telah lama mempunyai virus HIV dalam badan dan hanya mengetahuinya beberapa tahun selepas itu, anak ketiga yang dikandungnya langsung tidak dijangkiti virus itu.

“Pihak doktor telah melakukan pemeriksaan dan sekarang anak ketiga saya itu disahkan bebas daripada virus HIV. Syukur saya dan suami kepada Tuhan, anak saya itu dilindungi.

“Kini hanya saya dan suami melakukan pemeriksaan dan rawatan berkala disamping ubat-ubatan.

“Alhamdulillah saya dan suami kini sihat dan meneruskan kehidupan sebagaimana insan normal yang lain disamping ubat-ubatan yang perlu kami ambil setiap hari”, katanya.

Apa yang ingin disampaikan oleh Suci disini ialah dia masih bernasib baik kerana Tuhan melindungi anaknya daripada dijangkiti virus berkenaan.

“Biarpun saya dan suami HIV-positif namun dengan izin Tuhan anak saya itu dilahirkan dalam keadaan sihat,” katanya yang sentiasa mengucapkan syukur atas kebesaran Nya.

Sumber: Utusan Malaysia

Kredit kepada sumber online: HIDUP MESTI DITERUSKAN


AHP: Suci adalah salah seorang sahabat yang aku kenali secara personal. Sangat positif dan aktif membantu komuniti.