Thursday, June 28, 2012

KELUARGA BESAR AKU HIV POSITIF (AHP)



Antara nikmat Allah yang tidak terhitung sejak aku didiagnos sebagai PLHIV ialah peluang menjalin silaturrahim dengan ramai insan hebat. Kebanyakan hubungan kami sangat erat bagaikan sebuah keluarga besar.

Segalanya disatukan atas nama Allah demi sebuah tuntutan Fardhu Kifayah untuk saling bantu membantu.

Antara senarai panjang jalinan silaturrahim dan mahabbah tersebut, sudah tentu sahabat-sahabat terawal yang sudi bertemu dan berkongsi sokongan.

Walaupun sesetengahnya jarang berhubung disebabkan kesibukan masing-masing tetapi doa dan ingatan di hati tetap kekal selagi hayat dikandung badan.

10 orang sahabat terawal tersebut ialah Luka@Suka Rafieqa, (hihihi…) bro Fareez Fauzi, Survivor, Mizan, Are Yie, Azam, Mael, Sha, Laila Isabella dan Fariza Sfn.

Kami memang telah lama bercadang untuk reunion selepas pertemuan pertama di Majlis Perkahwinan adik lelaki Luka Rafieqa 2011 yang lalu di Cheras.

Malangnya kekangan masa sentiasa menjadi penghalang. Kalau bertemu pun, tidak kesemuanya sekaligus. Jadi sentiasa terasa ada kekurangan dan kadangkala rasa rindu terlalu mendalam.

Syukur Alhamdulillah hasrat untuk bertemu dan bersatu semula dengan sahabat-sahabat lama tersebut dapat direalisasikan secara spontan baru-baru ini.

Semuanya bermula apabila aku nyatakan hasrat untuk berjumpa sahabat-sahabat lama kepada Survivor. Ianya bukan sekadar pertemuan suka-suka tetapi ada sesuatu yang mendesak naluriku.

Atas inisiatif Survivor, kami menjemput sahabat-sahabat lama ini berkumpul di rumahku di Temerloh pada 23 dan 24 Jun 2012 (Sabtu dan Ahad) yang lalu.Alhamdulillah tanpa disangka-sangka kali ini kesemuanya menyatakan persetujuan.

Walaupun begitu aku agak terkilan kerana tidak menjemput Azam yang berada nun jauh di negeri Sabah. Sha dan Mael pula tidak dapat hadir kerana ada komitmen lain yang lebih penting di saat-saat akhir.

Allah Maha Adil, digantikan kekurangan tersebut dengan kehadiran gadis sopan manis jelita yang rajin di dapur bernama Camelia (hihihi…) dan kehadiran Siti yang tidak disangka-sangka dari Johor Bharu.

Selain itu 2 orang jejaka tampan dari Temerloh turut hadir iaitu Ibnu Sina dan Along.

Aku terharu atas komitmen Siti walaupun ibu muda hebat ini terkejar-kejar dengan pelbagai urusan. Bahkan sebaik sahaja pulang ke Johor Bharu, keesokannya Siti terus travel ke Utara selama 3 hari dan terpaksa meninggalkan anak kecilnya bersama keluarga.

Ada sesuatu yang sangat istimewa tentang Siti. Kisah beliau pernah aku kongsikan di blog walaupun ramai yang mempertikaikannya terutama ketika itu Siti masih keliru dengan beberapa perkara.

Aku yang berdegil untuk menerima Siti tanpa judgemental kerana bagiku sokongan lebih utama daripada segala-galanya.

Alhamdulillah kini Siti mampu membuktikan dirinya dapat berdiri sama hebat (bahkan mungkin lebih hebat) seperti Positive Warriors yang lain walaupun baru berusia 24 tahun.

Selain dikejutkan dengan kehadiran Siti, aku juga berbangga apabila Mizan dapat hadir bersama keluarga.

Sekurang-kurang Mizan adalah ikon dan simbolik sebuah penghijrahan seorang PLHIV. Ada sesuatu yang boleh direnungkan jika semua anggota masyarakat bersikap positif dalam isu berkaitan PLHIV ini. InsyaAllah aku ada jawapan apabila Allah tanya di akhirat kelak.

Seperti yang dirancang, Alhamdulillah segala-galanya berjalan lancar. Jika selama ini rumah kami memang meriah kerana tidak henti-henti dikunjungi sahabat-sahabat PLHIV atau yang menerima impak akibat HIV, tetapi kali ini kemeriahannya lebih ketara.

Maklumlah masing-masing dah lama kenal dan tahu kekuatan serta kekurangan masing-masing. Setakat usik mengusik langsung tidak berbekas di fikiran. Riuh rendah hingga lewat malam dengan segala macam perkongsian serta gurau senda.

Sahabat-sahabat perempuan dan kaum ibu bermalam di rumah manakala demi keselesaan, sahabat-sahabat lelaki disediakan homestay secara ala kadar. Mereka hanya ke sana untuk bermalam.

Antara perkongsian paling menarik sudah tentulah apabila kami berpeluang menunaikan Solat berjemaah, mengadakan majlis tahlil dan doa selamat yang diimamkan oleh Ibnu Sina serta sesi Sharing and Caring sambil melahap BBQ yang kendalikan oleh Luka Rafieqa.

Kami juga melakukan beberapa sesi lawatan santai ke kawasan berdekatan sambil menikmati durian seperti ke Temerloh Waterfront, bermain dengan gajah di Kuala Gandah dan memberi rusa makan sambil berkelah di Deerland, Lanchang. Apabila bersama sahabat-sahabat, habis segala diet dan pantang larang makan aku langgar! Akibatnya... tanggung sendiri apabila terpaksa MC selama 2 hari.

Menjelang 10:30 malam Isnin, rumahku terasa sunyi secara tiba-tiba apabila semuanya kembali ke destinasi masing-masing termasuk Survivor yang perlu pulang sementara untuk menghadiri rawatan di Pulau Pinang dan menziarahi keluarga.  

Berpegang kepada prinsip bahawa, menyemai impian biarlah seolah-olah akan hidup beribu tahun lagi dan melakukan amal ibadah dan kebaikan biarlah seolah-olah hari ini hari terakhirku, aku menarik nafas lega dalam kepenatan.

Sekurang-kurangnya hajatku untuk berkongsi kegembiraan bersama insan-insan yang aku anggap sebagai anggota keluarga sendiri telah terlaksana. Mungkin sedikit kenangan manis dapat menjadi teman apabila aku tiada nanti.

Kepada sahabat-sahabat yang sudi dan dapat hadir, jazakumullah khier aku ucapkan. Moga kalian berbahagia dunia akhirat. Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan rasa terhutang budiku kepada kalian. 

Maafkan atas segala kekurangan dan kelemahan peribadi dan anggota keluargaku selama melayan keperluan sahabat-sahabat. 



“Syukur kepadaMu Ya Allah kerana satu lagi impianku tercapai. Seperit dan sepedih manapun, perjuangan tetap perlu diteruskan selagi berkesempatan.”

Kepada Ibnu Sina- Ini bukan peluang dakwah dan perjuangan yang sebarangan wahai sahabat. Pilihlah untuk mengambil peluang atau terus tenggelam dalam perasaan dan paranoid sendiri.

Sebahagian daripada gambar-gambar aktiviti tersebut dapat dilihat jika pembaca menyertai FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). 

Salam sayang daripada kami- (Aku, Kak Da, Lifejacket, Danial dan Danish).




Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui FB AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Untuk menyertai, sila hubungi:

Luka Rafieqa: rafieqakl@hotmail.com
Along: insansepertiaku@yahoo.com
Survivor: survivorpng@yahoo.com

Sokongan khusus kepada wanita: PEWAHIM.
Untuk menyertainya termasuk FB (secret group), sila hubungi:

pewahim@gmail.com
019-259-5864 (Norlela)
017-366-5570 (Norhayati)