Wednesday, June 13, 2012

EMPOWERMENT WORKSHOP FOR PEOPLE LIVING WITH HIV 2


8-10 Jun 2012 yang lalu aku berpeluang menyertai workshop tersebut bersama komuniti di Starpoints Hotel, KL.

Aku bersama Survivor telah mendaftarkan diri di hotel sejak petang 7 Jun lagi untuk mengelakkan ketinggalan/ lewat mengikuti bengkel keesokan harinya.

Tanpa membuang masa, pada malam tersebut, kami telah mengambil kesempatan bertemu beberapa orang ahli komuniti yang sejak awal menyatakan minat untuk berjumpa bagi berkongsi pengalaman dan sokongan. Keadaan tersebut berterusan sehingga ke dinihari malam terakhir workshop.

Sejak brainstorming pada hari pertama workshop, Encik Zamzuri dari MAC telah mengingatkan bahawa objektif utama program pada kali ini adalah untuk berkongsi pengalaman dan aura positif sesama PLHIV demi menyebarkan info yang tepat tentang pencegahan dan salah faham mengenai HIV kepada masyarakat.

Beliau meminta para peserta berkongsi pengalaman secara positif dan tidak perlu terlalu memikirkan drama dalam kehidupan sebagai PLHIV. Itulah antara objektif utama kami dipilih mengikuti workshop.

Pelbagai aktiviti menarik telah dikongsikan terutamanya persiapan mental bagi kami yang bakal berdepan dengan media massa. Beberapa orang artis Red Ribbon Celebrity Supporters telah hadir berkongsi sokongan dan pengalaman.

Bagi peminat artis dan celebrity tanah air, memang meriahlah. Aku yang dah tua-tua ni tak adalah teruja pun, tetapi aku tetap sangat-sangat menghargai keprihatinan, komitmen dan effort yang mereka berikan. Sekurang-kurangnya mereka lebih peka daripada sebahagian golongan agama yang sangat-sangat diperlukan oleh komuniti. Hahaha…. Sekalung tahniah kepada mereka.

Antaranya sesi yang paling aku suka ialah sesi brainstorming oleh Encik Zamzuri, penerangan mengenai MyPlus oleh Mr. Andrew dan sesi penghasilan video oleh para peserta workshop sendiri.

Rakaman video tersebut menceritakan mesej dan pesanan positif PLHIV kepada masyarakat dan memang ianya sangat-sangat membantu menyebarkan maklumat yang tepat.

Jika dizinkan peserta, video-video tersebut akan digunakan oleh pihak MAC untuk tujuan tersebut, tetapi malangnya aku difahamkan bahawa kesemuanya hanya bersetuju untuk digunakan dalam closed event anjuran MAC.

Belum ada yang betul-betul bersedia atas rasional tertentu yang perlu dihormati (termasuk aku sendiri) walaupun videoku terpapar di blog ini. Hehehe…

Pada asalnya, aku telah mendapat sokongan dan keizinan family supaya video tersebut dikongsi bersama umum. Bahkan family ku sendiri sudah lama mendesak aku mendedahkan diri kerana mereka bangga aku menerima hakikat menjadi PLHIV dengan cara yang positif.

Tetapi, sebagai ketua keluarga dan setelah berfikir kembali sedalam-dalamnya terutama kemungkinan akan menerima tekanan halus daripada pihak majikan, aku terpaksa menangguhkannya sementara waktu. Tunggu sahaja, insyaAllah tidak lama lagi aku akan hadir secara terbuka.

Dalam sesi penghasilan video, apabila mencubanya sendiri, barulah aku dapat mengesan kelemahan diri untuk bercakap dengan selesa dan berkesan di depan kamera.

Sekalipun biasa berucap di depan public dan membentangkan kertas kerja dalam bengkel-bengkel tertentu, tetapi bercakap direct di depan kamera adalah terlalu berbeza. Boleh kering mulut dibuatnya.

Sebenarnya, aku pernah  beberapa kali ditemuramah oleh media eletronik sejak belum didiagnos sebagai PLHIV lagi, tetapi ternyata pengalaman kali ini betul-betul membantu memperbaiki kelemahan.

Patutlah sebelum ini aku kelihatan menggelabah dan buruk benar di depan kamera. Hahaha… Maklumlah sentiasa rasa rendah diri.

Pengalaman paling berharga pula ialah apabila berpeluang berbincang dengan pihak MAC untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai sebuah projek khas untuk komuniti yang bakal dilaksanakan dalam waktu terdekat. Insya-Allah… doa-dokanlah.

Jika projek tersebut berjaya dilaksanakan, aku bersedia mendedahkan diriku sepenuhnya kepada masyarakat.

Dalam perbincangan tersebut, ternyata pihak MAC memberikan respon yang sangat positif. InsyaAllah dalam waktu terdekat, aku cuba menyiapkan proposal ringkas memohon sokongan secara rasmi.

Sekalung penghargaan kepada pihak MAC atas sokongan yang sungguh bermakna. Aku telah berusaha. Selebihnya terpulanglah kepada ketentuan Allah. Selagi terdaya, dibantu atau keseorangan, perjuangan tetap aku teruskan.

Aku juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada ramai volunteer berpengalaman yang sudi berkongsi pengalaman dan tips untuk membantu komuniti. Sudah tentu nama-nama besar seperti Luka Rafieqa, Kak Ella, Puan Seroja, Ismadi, dan lain-lain staf MAC tidak mampu aku senaraikan sepenuhnya berbanding komitmen mereka.

Di kesempatan ini, aku memohon maaf dan ralat kepada sebahagian sahabat-sahabat komuniti, penyokong, dan pembaca blog sekitar KL yang merancang untuk bertemu berkongsi sokongan tetapi gagal aku penuhi.

InsyaAllah pada lain masa kita berjumpa. Terlalu banyak temujanji dan ruang pula sangat terhad. Dalam masa yang sama, aku sangat-sangat kepenatan kerana sepanjang masa, rumah buruk kami di Temerloh menjadi tempat pertemuan komuniti yang datang tidak kira masa.

Aku sentiasa tidak cukup rehat sekalipun kami sekeluarga mengalu-alukan kedatangan tetamu. Bagi kami, setiap tetamu adalah rahmat dan mungkin ianya antara peluang akhir menyumbang sesuatu kepada komuniti.

Mungkin ramai yang beranggapan bahawa kami sekeluarga hanya berperanan membantu melalui blog, emel, dan panggilan telefon, tetapi mereka yang rapat tahu betapa rumah kami sepanjang masa tidak pernah sunyi daripada komuniti.

Kerana itu, aku terdesak untuk membina sebuah Shelter Home sementara untuk komuniti di sebelah rumah kami kerana ruang rumah kami terlalu terhad dan demi keselesaan bersama.

Aku bertanggungjawab memberikan sedikit ruang privacy kepada anak-anak dan isteri-isteriku. Kasihan juga kalau sepanjang masa, siang malam mereka terpaksa bertudung dan ada kalanya tidur berhimpit di bilik sempit demi mengutamakan komuniti.

Kepada yang mempunyai kelapangan kewangan dan ingin menderma untuk merealisasikan hasrat tersebut, aku mengalu-alukannya dan boleh menghubungiku melalui emel.

Ingat, aku bukan meminta-minta. Aku sekadar membuka ruang untuk memanjangkan pahala. Itupun jika ada yang mampu dan ada rasa percaya.


Tekanan kewanganku demi komuniti untuk pelbagai keperluan termasuk ziarah dan derma tidak pernah aku persoalkan. Biar hanya Allah sahaja yang tahu.

Ramai juga di kalangan peserta workshop kali ini yang menegurku kerana kelihatan tidak seceria workshop kali pertama tempoh hari. Maafkan aku, seperti yang aku katakan tadi, sesungguhnya aku kepenatan melampau.

Tahniah juga aku ucapkan kepada sahabat dan adikku Survivor yang mula bangkit membantu komuniti secara lebih terbuka. Survivor kelihatan sangat bersemangat, ceria, dan ala-ala hero hindi membantuku dan komuniti.

Tidak henti-henti aku lihat Survivor cuba menghabiskan masa bersama komuniti. Semoga semangat tersebut berterusan. Aku pula dengan caraku, lebih selesa berkongsi sokongan secara personal kerana pengalaman asasku dalam bidang kaunseling adalah dengan cara begitu.

Sekurang-kurangnya aku boleh menarik lafaz lega buat beberapa saat. Bukan nama yang kita cari tetapi redha Allah dan kepuasan berbakti.

Prove yourself worthy.

Sebagai tanda kasih sayang kepada sahabat-sahabat komuniti yang menyertai workshop kali ini, pesananku ialah, berkongsilah sokongan secara positif. Hentikan pertelingkahan dan jangan terlalu memikirkan perkara remeh-temeh. Tak perlu mengejar kepentingan peribadi jika ingin berbakti.

Belajarlah sesuatu daripada ujian Allah ini. Jangan hanya bibir menuturkan bahawa kita bersyukur kepada Allah kerana memberikan kita ujian ini untuk kembali ke pangkal jalan, tetapi perbuatan kita masih tenggelam dalam kelalaian.

Hentikanlah kemungkaran, taatilah segala perintah Allah. Kekuatan palsu akhirnya hanya menjadi bala dan istidraj. Alangkah ruginya sedangkan dunia ini hanya ujian untuk kehidupan akhirat yang kekal abadi.

Yakinlah bahawa tiada yang lemah dengan kekuatan Allah kerana hanya Dia sebaik-baik pelindung. Selebihnya ialah sikap positif dalam diri sendiri.

Jangan mengharap kepada bantuan orang lain jika diri hanya mahu dikasihani dan dibantu. Kekuatan sesama insan hanyalah bersifat sementara. Mari bangkit dan membuktikan kepada masyarakat kita mampu bersikap lebih positif selepas menjadi seorang PLHIV.

Renung-renungkanlah… kerana peringatan ini atas dasar kasih sayangku kepada sahabat-sahabat.