Sunday, October 26, 2014

UJIAN MAKMAL KE ATAS DARAH YANG DIDERMAKAN: BOLEHKAH HIV BERJANGKIT MELALUI PEMINDAHAN DARAH?




Pengenalan

Langkah pertama untuk mengurangkan risiko pesakit daripada dijangkiti penyakit berjangkit menerusi transfusi darah adalah memilih penderma darah yang menderma secara sukarela, tidak berbayar (voluntary and non-numerated), serta memilih penderma yang tidak mengamalkan atau tidak terdedah kepada cara hidup yang berisiko tinggi berbanding dengan memilih penderma darah dari ahli keluarga pesakit atau penderma darah gantian.

Akan tetapi, dengan mengamalkan pemilihan penderma darah yang ketat serta berhati-hati ini, masih terdapat segelintir penderma darah yang dijangkiti penyakit berjangkit seperti HIV dan lain-lain penyakit yang boleh berjangkit melalui transfusi darah. Maka, ujian makmal yang ketat dan sistematik perlu dijalankan ke atas darah yang didermakan bagi memastikan bekalan darah adalah sentiasa selamat untuk digunakan oleh pesakit.


Apa Ujian Yang Dijalankan?


Mesin penganalisa kumpulan darah


Ujian-ujian makmal yang perlu dijalankan ke atas darah yang didermakan oleh penderma darah adalah seperti berikut:

1. Ujian Kumpulan Darah (ABO dan Rh)

2. Ujian Saringan Serologi (Serology Screening) terhadap penyakit berjangkit seperti HIV (Human Immunodeficiency Virus), Hepatitis B virus (HBV), Hepatitis C virus (HCV) dan Syphilis


Ujian pengesahan (confirmation) akan dijalankan jika sekiranya keputusan ujian serologi peringkat saringan reaktif


3. Ujian Saringan NAT (Nucleic Acid Testing) terhadap HIV, Hepatitis B virus dan Hepatitis C virus (bagi makmal yang mempunyai kemudahan ujian ini)


Ujian saringan nucleic acid testing (NAT) ke atas darah yang didermakan


4. Ujian saringan terhadap penyakit berjangkit yang lain sekiranya didapati perlu


Bagaimana Pensampelan Dibuat?

Untuk melakukan ujian kumpulan darah (ABO dan Rh), sebanyak 6 ml darah perlu dikutip dalam tiub ujian darah K2EDTA. Manakala untuk melakukan ujian saringan dan pengesahan terhadap penyakit berjangkit, dua sampel tiub 8 ml darah setiap sampel perlu dikutip dalam bekas K2EDTA yang bergel.

Setiap sampel darah yang diambil akan dilabel dengan nombor pengenalan yang unik atau khas bagi setiap sampel yang berbeza dan selalunya mengikut nombor barkod pendermaaan darah tersebut. Pensampelan darah akan dilakukan oleh jururawat atau doktor atau phlebotomist di lokasi pendermaan. Sampel darah akan dikutip ke dalam tiub ujian darah melalui beg darah yang diambil melalui salur darah vena di lengan penderma darah.


Kumpulan darah dengan kaedah gel


Kumpulan darah dengan kaedah plat microtiter
  

Kumpulan darah dengan kaedah tiub


Di Mana Ujian Dijalankan?

Sampel darah yang dikutip di lokasi pendermaan darah (sama ada di pusat darah atau ketika sidang perdermaan darah bergerak atau mobile) akan dihantar balik ke pusat darah untuk ujian darah selanjutnya.


Kenapa Ujian Makmal Dijalankan?

1. Ujian Kumpulan Darah (ABO dan Rh)

Ujian ini dijalankan bagi menentukan kesesuaian jenis darah supaya pesakit yang menerima darah tidak bertindak balas terhadap darah yang di pindahkan (transfusion adverse effect).

2. Ujian Saringan Serologi

Ujian ini dijalankan untuk mengesan kehadiran antibodi terhadap jangkitan HIV, HBV, HCV atau Syphilis yang boleh menyebabkan penerima darah mendapat jangkitan kuman atau virus tersebut.

3. Ujian Saringan NAT (Nucleic Acid Testing)

Ujian ini dijalankan bagi mengesan kehadiran virus itu sendiri dengan mengesan bahan genetik (genetic material) sama ada DNA atau RNA. Ujian ini lebih sensitif berbanding ujian serologi dan dapat mengesan lebih awal daripada ujian saringan serologi. Ini adalah kerana antibodi mengambil masa yang lebih lama untuk dikesan berbanding dengan ujian NAT terutama dalam masa “window period”. Walau bagaimanapun, ada ketika di mana kehadiran virus terlalu rendah (low viral load) ujian NAT tidak dapat dikesan tetapi dapat dikesan secara ujian serologi.


Ujian Kumpulan Darah

Ujian kumpulan darah (ABO dan Rh) perlu dijalankan terhadap setiap penderma darah kerana kita perlu mengetahui kumpulan darah (ABO dan Rh) bagi setiap beg darah yang telah didermakan supaya hanya beg darah yang sesuai sahaja akan dibekalkan kepada pesakit yang memerlukannya. Contoh jadual di bawah menunjukkan:

1.      Penderma darah yang jenis darah O boleh memberikan darah kepada semua pesakit jenis darah O, A, B dan AB.
2.      Penderma darah yang jenis darah A hanya boleh memberikan darah kepada pesakit jenis darah A dan AB.
3.      Penderma darah yang jenis darah B hanya boleh memberikan darah kepada pesakit jenis darah B dan AB.
4.      Penderma darah yang jenis darah AB hanya boleh memberikan darah kepada pesakit jenis darah AB sahaja.

Pesakit yang darah jenis Rh Negatif hanya boleh terima darah jenis Rh Negatif sahaja dari penderma darah. Manakala pesakit yang darah jenis Rh Positif boleh terima darah jenis Rh Positif dan Rh Negatif dari penderma darah.




KUMPULAN DARAH / PENDERMA DARAH


O

A
B
AB

KUMPULAN DARAH
/
PENERIMA DARAH


O

O




A

O
A



B

O

B


AB

O
A
B
AB
         

Ujian Saringan Serologi

Ujian saringan serologi (serology screening) dijalankan bagi mengesan penyakit berjangkit seperti berikut:
  • HIV (Human Immunodeficiency Virus)
  • Hepatitis B virus (HBV)
  • Hepatitis C virus (HCV)
  • Syphilis

Ujian ini dijalankan bagi mengesan kehadiran antibodi yang dikeluarkan oleh seseorang yang dijangkiti oleh penyakit-penyakit seperti yang dinyatakan seperti di atas. Dimaklumkan juga penghasilan antibodi mengambil masa dan berbeza di antara individu yang dijangkiti. Sebagai contoh, bagi kejangkitan HIV, antibodi yang dihasilkan adalah antara 11 – 22 hari dari tarikh jangkitan. Masa ini dikatakan waktu “window period” bagi kejangkitan HIV. Bagi kejangkitan HBV, tempoh masa pengesanan oleh ujian saringan serologi adalah antara 34 – 59 hari, manakala bagi kejangkitan HCV adalah antara 23 – 82 hari.

Ujian pengesahan atau “confirmation” bagi kes-kes yang reaktif di peringkat ujian saringan serologi perlu dijalankan kerana ujian serologi kadangkala memberi reaksi atau tindakan palsu atau “false reactive”. Ini disebabkan ujian saringan adalah terlalu sentitif dan bagi menentukan semua penderma yang dijangkiti tidak terlepas daripada dikesan pada peringkat ujian saringan serologi.


Ujian Saringan NAT

Ujian Saringan NAT (Nucleic Acid Testing) dijalankan bagi mengesan kehadiran virus itu sendiri (pengesan bahan genetik samada RNA atau DNA). Antara virus yang dikesan ialah jangkitan HIV (RNA), HBV (DNA) dan HCV (RNA).

Dengan adanya ujian NAT ini, darah akan lebih selamat kerana ia dapat mengesan lebih awal atau dapat mengesan dalam masa “window period” yang mana tidak dapat dikesan oleh ujian saringan serologi.

Tempoh masa bagi mengesan kehadiran virus secara ujian NAT adalah seperti berikut:

·        Kejangkitan HIV dapat dikesan dalam tempoh 5 hari dari masa kejangkitan (pengurangan lebih daripada 50% dari masa pengesanan secara ujian serologi)
·        Kejangkitan HBV, ujian NAT dapat mengesan dalam masa 15 hari (pengurangan lebih daripada 40% dari masa kejangkitan yang dikesan secara ujian serologi)
·        Kejangkitan HCV adalah dalam tempoh 3 – 5 hari (pengurangan lebih daripada 70% dari masa yang dapat dikesan melalui ujian serologi)

Walau bagaimanapun, adakalanya ujian tidak dapat mengesan kerana kehadiran virus yang terlalu rendah atau kehadiran virus yang tidak menentu (fluctuate) terutama bagi pesakit yang menghidapi jangkitan peringkat kronik. Oleh yang demikian, ujian saringan darah perlu dijalankan secara serentak iaitu ujian saringan secara serologi dan NAT bagi menentukan darah yang dibekalkan adalah selamat.


Ujian keserasian darah terhadap pesakit dan penderma darah


Siapa Yang Menjalankan Ujian?

Pegawai yang berkelayakan dan terlatih iaitu Juruteknologi Makmal Perubatan (JTMP) dan Pegawai Sains yang kompeten sahaja akan menjalankan ujian kumpulan darah (ABO dan Rh) dan ujian saringan penyakit berjangkit ke atas darah yang didermakan oleh penderma darah.


Bagaimana Untuk Mengetahui Keputusan Ujian?

Sekiranya keputusan ujian makmal adalah normal (ujian saringan penyakit berjangkit ialah non-reaktif), maka kuputusan ujian akan dimaklumkan oleh pegawai perubatan kepada penderma darah semasa temujanji atau sesi pendermaan darah berikutnya.

Sekiranya keputusan ujian makmal tidak menggalakkan (ujian saringan ialah reaktif dan ujian pengesahan ialah positif terhadap penyakit berjangkit), maka penderma darah akan dihubungi oleh panggilan telefon supaya membuat temujanji segera dengan pegawai perubatan.


Implikasi Jika Keputusan Ujian Tidak Menggalakkan

Penderma darah tidak dibenarkan menderma darah untuk sementara waktu atau selama-lamanya (bergantung kepada keadaan atau hasil ujian pengesahan "confirmatory") dan akan diberi kaunseling dan rawatan bersesuaian oleh pegawai perubatan atau pakar perubatan.


Rujukan

1.      Testing of donated blood. Retrieved August 13th 2013, from http://www.who.int/bloodsafety/donation_testing/en/

2.      Brecher, M.E. (Ed.). (2005). AABB Technical Manual 15th edition. Maryland: S. Karger AG

3.      Transfusion Practice Guidelines for Clinical and Laboratory Personnel, 3rd edition March 2008. Retrieved August 13, 2013, from http://www.pdn.gov.my/pdn/index.php?option=com_flippingbook&view=book&id=4&page=1&Itemid=236&lang=en


Sumber: sini


AHP Pie:
Perlu difahami bahawa human error dan machine error mungkin berlaku di mana-mana sahaja dan kerana itu sebelum setiap pemindahan darah dilakukan, bakal penerima darah perlu menandatangani borang akujanji seperti yang ditunjukkan di bawah.


Borang Persetujuan Pemindahan Darah
(klik untuk imej yang lebih jelas)



Memahami HIV dengan tepat dapat menyekat penularan dan meningkatkan kualiti hidup infected dan affected people. Kita berperanan memperbetulkan keadaan dan mengelakkan penganiayaan. 


Wallahu’alam.


"Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM) komited menentang PENGANIAYAAN, STIGMA, DISKRIMINASI, JUDGEMENTAL, DAN MENDIDIK MASYARAKAT secara terbuka."


Aku, hamba-Nya yang dhaif,
Mohamad bin Wahid @ Pie @ AHP
Facebook: Ahp Pie


Info Berkaitan:

Facebook Fanpage PPWM:

Laman Web Rasmi PPWM:

No. Akaun PPWM:
Bank: Maybank
Nombor Akaun: 5560 5750 3949
Nama Pemegang Akaun: Pertubuhan Positive Warriors Malaysia

Para pembaca boleh berkongsi pengalaman melalui Facebook AHP Positive Warriors Support Group (Secret Group). Anda juga dialu-alukan menjadi ahli Pertubuhan Positive Warriors Malaysia (PPWM). Untuk menyertai, sila hubungi admins yang berikut:

Abd. Shukor Mohd Yunus: shux@positivewarriors.org
Hishamudin Rahman: carphatz_04@yahoo.com