Masih ingat dengan entry tentang perkongsian pengalaman anak bongsuku dalam blog ini pada 29 Disember 2011 yang lalu? Kepada pembaca yang lupa atau masih baru di blog ini, sila klik sini.
Dalam perkongsian tersebut, anak bongsuku berkongsi pengalamannya setahun melihat abahnya (aku) hidup sebagai seorang PLHIV. Antara yang dikongsikan ialah tercetusnya inspirasi di hatinya untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, khususnya dalam bidang Infectious Diseases (ID) bagi membantu para PLHIV.
Entry tersebut sebenarnya turut dipetik dan diterbitkan oleh beberapa media cetak, tetapi dengan sedikit olahan atas keperluan tertentu. Aku tak kisahpun, asalkan infonya tepat dan mesejnya sampai kepada masyarakat.
Mungkin berkat sokongan dan doa semua, petang Jumaat, 6 April 2012 yang lepas, anak bongsuku ditawarkan melanjutkan pelajaran ke tingkatan 4 di salah sebuah MRSM. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya terbuka satu lagi peluang kepada ‘adik’ untuk mencapai cita-citanya.
Sebelum ini, adik sudah menolak beberapa peluang. Selepas keputusan UPSRnya dulu, memang adik telah ditawarkan melanjutkan pelajaran ke beberapa buah sekolah menengah asrama penuh berprestij, tetapi kami tolak kerana merasakan didikan agama adalah asas terpenting sebelum seseorang ke bidang seterusnya.
Lagipun, kami rasa, adik masih terlalu muda untuk berpisah dengan kami dan aku sendiri memang tak sanggup. Maaflah, aku tak boleh tipu perasaan sendiri. Aku serik kerana hampir 6 bulan, setiap malam aku menangis dan tertidur di katil anak lelaki sulungku semasa dia melanjutkan pelajaran ke sebuah sekolah asrama penuh yang lain.
Ringkas cerita, akhirnya adik bersekolah di sebuah Sekolah Menengah Agama (SMA) berhampiran dengan tempat tinggal kami. Bagi kami, di mana-mana sahaja kita boleh berjaya jika ada rezeki dan usaha.
Selepas PMR, Alhamdulillah adik masih mengekalkan kecemerlangannya dalam bidang akademik dan kecenderungan adik dalam bidang sains makin ketara. Aku tahu kali ini aku perlu lebih mengutamakan minat dan menghormati cita-cita adik.
Malangnya, aliran sains tidak ditawarkan di SMA yang terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Agama Islam Negeri di negeri kami. Kalau adapun, baru nak dimulakan, berada jauh di daerah lain, dan belum terbukti.
Untuk memohon ke Sekolah Menengah (aliran sains) kelolaan Kementerian Pelajaran Malaysia pula, adik perlu memohon bertukar ke sekolah menengah aliran biasa terlebih dahulu. Rumit dan leceh, tak seleceh nak jadi artis segera yang melambak dalam pasaran.
Akhirnya, adik terpaksa bertukar ke sebuah sekolah menengah harian biasa berdekatan yang mempunyai aliran sains tulen. Dalam tempoh 2 bulan, perlahan-lahan terbuka beberapa tawaran kepada adik dan tawaran yang terbaru ini menggembirakan adik kerana itulah target utamanya.
Setelah bermesyuwarah dan istikharah sebagai sebuah keluarga, kami serahkan kepada adik membuat pilihan muktamad untuk menentukan jalan hidup. Kakak-kakaknya iaitu AO, As dan edgnote turut memberikan pandangan dan menyokong apa juga keputusan adik.
Sekalipun serasi dengan sekolah barunya, adik nampaknya perlukan restu dan sokongan untuk meneruskan pelajaran ke MRSM. Kami akur kerana percaya ianya adalah yang terbaik untuk adik dan adik pun bukan terlalu muda untuk hidup berdikari.
Kini, rumah yang serba sederhana ini rasa terlalu sunyi tanpa adik. Sunyi sesunyi-sunyinya... sehinggakan kalau sebatang jarum peniti jatuh ke lantai, terasa gemanya bagaikan dapat didengar ke seluruh ruang.
Permata hatiku yang satu itu kini jauh di mata. Tiada lagi deruman motornya setiap kali waktu solat fardhu untuk ke Masjid. Tiada lagi peneman dan pelayan setia jika aku makan keseorangan di rumah. Hilang sebelah lagi tangan yang banyak membersihkan sampah dan dedaun yang gugur di sekeliling rumah semenjak aku makin kesibukan dan penat. Tiada lagi kudengar riuh mulutnya tika berbicara.
Terasa enggan ke mana-mana tanpa adik. Terasa, terasa, terasa, terasa, dan macam-macam rasa kekosongan, tetapi punya makna mendalam mendidik jiwa dan terkandung berbagai-bagai hikmah untuk kekuatan jiwa di sebaliknya.
Sesungguhnya manusia hanya lebih bersyukur dan menghargai apabila sesuatu nikmat itu ditarik kembali.
Sekalipun kelihatan kuat di luar, hanya Tuhan yang tahu apa yang bermain di mindaku. Aku redhakan apa juga kerana memang beginilah reality kehidupan. Suka dan duka datang dan pergi, silih berganti. Semuanya hanya pinjaman. Di kubur nantipun tetap sendiri.
“Adik, semoga berjaya sayang. Abah tahu adik akan baca entry ini. Inilah entry yang abah janjikan untuk adik.
“Abah redhakan adik pergi. Anggaplah ini peluang, perjuangan, dan hijrah dalam mencari keredhaan Allah untuk adik menjadi anak soleh bagi membantu insan-insan yang memerlukan. Jangan sesekali cepat mengalah.
“Jaga solat, baca Qur’an dan abah percaya adik pandai memilih kawan. Itulah kunci keselamatan kita. Hidup ini suatu perjuangan. Yang tabah dan sabar akan berjaya. Yang lemah dan pasrah akan tercicir.
“Adik jangan risaukan abah. Redhakan sahaja. Abah sentiasa setia di sini mendoakan adik dengan penuh kasih sayang, kekal berjuang dengan cara abah seperti biasa. Jangan bersedih dan senyumlah kerana terpilih untuk menjadi seorang true fighter!
“Abah dan family mahu adik berjaya dunia akhirat. Menjadi mujahid sejati dengan cara dan gaya adik sendiri. Kesedihan ini terlalu kecil untuk nilai kehidupan yang jauh lebih bermakna. Ayuh berjuang dan buktikan. Jangan biarkan hal remeh-temeh membelenggu dan mengganggu perjalanan kita.”
Da, lifejacket, Hafiz, adik, AO, As dan edgnote...
Hubungan cinta boleh putus apabila dua hati tidak lagi bersatu. Kadangkala ianya cuma diikat oleh ikrar dan lafaz yang sangat longgar. Tetapi hubungan keluarga, anak, dan abah akan kekal selama-lamanya walau apa juga situasi yang berlaku.
Berbahagia anak, bahagialah ibu dan bapa. Sederita manapun seorang ibu dan bapa akibat perbuatan anak-anak, anak tetap anak yang perlu dibela dan dilindungi.
“Tuhan kami, kurniakan kepada kami isteri-isteri (keluarga) dan zuriat yang menjadi penyejuk mata kepada kami dan semoga kami menjadi pemimpin kepada orang-orang yang bertaqwa.” Amin...
Selamat berjuang sayang. Ini lagu yang kita nyanyikan bersama dalam kereta dulu untuk keluarga kita...