TEMPOH PENGAMBILAN UBAT TB DAN KEBERKESANAN PENCEGAHANNYA KEPADA PLHIV SECARA RINGKAS
My best doctor.
Dr. Iskandar Firzada bin Osman.
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM), MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.), Fellow in Adolescent Health (Melbourne) Family Medicine Specialist / Primary Care Physician |
Masih ingat entry bertajuk: BERTEMU DR. ISKANDAR FIRZADA BIN OSMAN (16) - ISONIAZID PROPHYLAXIS THERAPY? Jika terlupa, ianya sangat berkaitan dengan entry ini dan pembaca adalah dinasihatkan merujuknya kembali. (Sila klik tajuk)
Kali ini, sekali lagi, My Best Doctor, Dr. Iskandar Firzada bin Osman sudi berkongsi pandangan. Sama-sama kita doakan semoga Dr. Iskandar Firzada sekeluarga berbahagia dunia akhirat sebagai tanda terima kasih atas kesudian beliau berkongsi info yang bermanfaat bersama pembaca.
Mari baca conversation emel aku bersama Dr. Iskandar:
Assalamualaikum,
Sejak mengambil ubat IPT, saya tidak pasti tentang kesan sampingannya. Mungkin sehari dua sangat ketara rasa sakit dan tidak selesa pada saraf serta otot, tetapi kebelakangan ini terasa mulai normal. Ianya juga terlalu subjektif kerana turut bergantung kepada pemakanan dan aktiviti seharian saya.
Yang menjadi persoalan kepada saya apabila saya mendapat maklumat bahawa IPT ini hanya berfungsi dalam tempoh 1-2 tahun sahaja dan kemudian akan dimulakan kembali selama 6 bulan seperti sekarang jika tidak mendatangkan kesan kepada fungsi hati. Mohon pandangan Doktor.
(AHP)
Jawapan Dr. Iskandar Firzada bin Osman:
Kesan sampingan Isoniazid di dalam IPT adalah lemah-lemah dan sakit-sakit saraf serta otot. Sebab itu, sesiapa yang mengambil Isoniazid perlu juga mengambil Pyridoxine 50mg setiap hari selama 6 bulan (sama seperti Isoniazid), bertujuan untuk mengelakkan daripada mendapat kesan sampingan tersebut.
Pengambilan IPT lebih kepada untuk menghapuskan Latent TB Infection (LTBI) kerana kuman TB yang dorman di dalam paru-paru atau hati boleh menjadi aktif walaupun telah dorman selama beberapa tahun jika sistem imunisasi badan menjadi lemah. Contohnya ketika CD4 kurang (PLHIV), Diabetes Mellitus yang tidak terkawal lama, penyakit Chronic Kidney Disease (CKD), dll.
Selain daripada itu, IPT juga melindungi pesakit daripada dijangkiti oleh TB sepanjang pesakit mengambil ubat IPT tersebut. Walau bagaimanapun, pesakit dinasihatkan supaya mengelakkan diri daripada dijangkiti oleh TB dengan mengelakkan diri daripada terdedah kepada pesakit TB yang aktif serta menasihatkan pesakit TB untuk mendapatkan rawatan SEGERA atau menasihatkan supaya pesakit yang disyaki dijangkiti kuman TB supaya mendapatkan pengesahan serta rawatan SEGERA.
Ini adalah kerana TB boleh dirawat serta SEMBUH sepenuhnya dan dengan rawatan SEGERA. Pesakit yang dijangkiti TB tidak akan menularkan kuman TB kepada orang lain.
Di antara gejala-gejala dan tanda-tanda dijangkiti TB adalah; batuk berpanjangan iaitu lebih dari 2 minggu sama ada mempunyai kahak atau tidak, lebih-lebih lagi kalau terdapat darah di dalam kahak. Atau demam berpanjangan iaitu lebih dari 2 minggu dengan tidak ada sebab lain demam serta kurang selera makan dan susut berat badan.
Setakat hari ini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan World Health Organisation (WHO) menyarankan (berdasarkan bukti-bukti kajian santifik) IPT untuk PLHIV hanya untuk 6 bulan sahaja. Ada pihak-pihak tertentu dari luar negara yang mengamalkan IPT untuk PLHIV selama 36 bulan, tetapi hasil kajian menunjukkan ianya tidak mempunyai kelebihan berbanding hanya 6 bulan.
Malah, ramai pesakit yang mengambil IPT selama 36 bulan mengalami kesan sampingan sebagaimana yang saya sebutkan di atas. Setelah mengambil IPT selama 6 bulan berterusan, IPT akan diberhentikan.
Walau bagaimanapun, pemantauan untuk jangkitan TB akan berterusan sepanjang hayat PLHIV dan jika didapati dijangkiti oleh TB baru, akan dirawat dengan SEGERA. Jangkitan TB baru lebih mudah dan lebih cepat untuk dikenal pasti berbanding dengan LTBI.
Harap dapat membantu.
Dr. Iskandar Firzada Osman
MD (USM), MMed (Family Medicine) (USM),
MAFPM (Mal.), FRACGP (Australia), FAFPM (Mal.),
Fellow in Adolescent Health (Melbourne)
Family Medicine Specialist / Primary Care Physician
KLINIK KESIHATAN JAYA GADING
26070 KUANTAN