Tuesday, April 03, 2012

HIV: PENGALAMAN MENGHADIRI WORKSHOP BERSAMA KOMUNITI (PLHIV EMPOWERMENT PROGRAMME)




Hampir seminggu aku tidak berkesempatan berkongsi pengalaman bersama pembaca. Maafkan aku. Hanya yang rapat mengetahui betapa sibuknya aku.

Luaran kelihatan santai tetapi hakikatnya sentiasa hidup terkejar-kejar dalam kebanyakan masa.  Keseorangan dan sesusah manapun, perjuangan mesti diteruskan. Esok lusa belum tentu peluang berbakti masih ada.

Ok, aku cuba ringkaskan perkongsian pengalamanku menghadiri PLHIV EMPOWERMENT PROGRAMME sepanjang 3 hari 2 malam tersebut. (30 Mac-1 April 2012) di Radius International Hotel, KL. Kepada yang lupa, sila klik sini dan sini.

Secara keseluruhan, workshop sesi pertama ini hanya menceritakan maklumat asas mengenai HIV, cara menanganinya, dan perkara-perkara asas lain yang berkaitan.

Walau bagaimanapun, aku memandangnya daripada sudut 3D. Disebabkan kehadiran para peserta kursus terdiri daripada pelbagai level pengetahuan dan bakal berdepan isu-isu berkaitan secara berterusan bersama komuniti, segala maklumat asas tersebut menjadi amat penting untuk difahami sepenuhnya.

Secara peribadi, workshop ini ialah peluang terbaik aku menyelami suara hati PLHIV, volunteers/peers dan support groups serta menambah jaringan kerjasama dengan NGOs dan lain-lain komuniti.

Aku mendengar luahan dan mempelajari sesuatu daripada kekuatan dan kelemahan mereka. Ada yang aku setuju dan ada yang tidak berapa setuju dengan cara mereka menangani isu HIV, tetapi itu bukan isu. Aku lebih selesa menjadi pendengar dan pemerhati daripada bersikap menonjolkan diri.

Aku juga sangat beruntung berkongsi kekuatan dan sokongan dengan beberapa pejuang PLHIV yang sangat-sangat berpengalaman dan menjadi sumber inspirasi kepadaku selama ini seperti Luka Rafieqa, Atuk, Kak Jamaliah, Kak Lela, Puan Seroja, Puan Siti, dan ramai lagi. Mereka pun nampaknya sangat-sangat sayangkan aku, hehehe… (gelak perasan)

Antara pengalaman paling menyentuh hati ialah apabila aku dipelawa secara peribadi mendekati dan menziarahi sendiri shelter home bagi kumpulan Mak Nyah di WAKE 3, Taman P. Ramlee Jalan Genting-Klang. Ini adalah satu-satunya shelter home yang ada untuk kumpulan Mak Nyah di Malaysia dan di dunia.

Apabila LR memintaku membacakan doa, alahai rabak lagi air mataku di khalayak ramai. Bencilah, benci… kenapalah aku menangis depan orang?

Banyak perkara yang berlegar di fikiranku ketika itu dan yang buat aku paling sedih ialah, di manakah saudara seagamaku yang merasakan dirinya adalah alim ulama’?

Nasib baiklah Camelia (bakal calon ‘isteri’ ketigaku) menghulurkan tisu dan menenangkan aku. Hahaha…

Aku juga berpeluang bersantai bersama sebahagian kumpulan sokongan Positive Warriors yang aku rindui dan sudi menziarahi aku, Survivor serta LR di hotel seperti Mizan, Mael dan Laila.

Bila berkumpul, mulalah tak ingat dunia. Lupa segala masalah masing-masing dan riuh dengan usik-mengusik dan gelak ketawa. Bahkan Positive Warriors adalah antara yang terakhir meninggalkan hotel apabila program selesai.

Sebelum pulang, aku berkesempatan bertemu pula dengan aina@ edgnote di Tasik Shah Alam sebelum menjemput isteriku di Klang.

"Aina, sesungguhnya Allah itu Maha Perencana atas segala-galanya." Semoga kata-kata tersebut cukup menggambarkan apa yang kita kongsi bersama selama hampir 3 jam tersebut.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua sahabat, volunteers, pihak penaja, staf MAM, PTF, PL, dan ahli keluarga baru yang aku jumpa. Kalau aku senaraikan, bimbang terasa hati pula jika ada yang terlupa. Kau orang memang best! Maaf atas segala sikap negatifku yang tidak disengajakan.

Akhir kata untuk entry yang dikongsi dalam keadaan yang sangat penat ini, aku menyeru kepada semua PLHIV, hentikanlah paranoid dan stigma sendiri terhadap PLHIV. Ayuh bangkit dan buktikan kita tidak seperti yang mereka sangka.

Usahlah asyik meratap dan mengeluh, ianya takkan mengubah apa-apa.

Apa yang nak dirisau tentang HIV sedangkan kehidupan hakiki kita ialah di sana. Kenapa kau menangis pada perkara yang bersifat sementara dan pasti kau tinggalkan bro, sis? Peliknya kau tak menangis pula tentang akhirat yang abadi dan pasti.

Sejujurnya lebih baik kita risaukan tentang pahala dan dosa. Mari baiki amal ibadah. Segala nikmat dunia terlalu singkat untuk perjalanan abadi di akhirat kelak.

Syukurlah kita ada HIV kerana sentiasa diberi peringatan dan mampu dirawat. Bergaullah bersama komuniti dan marilah cari keredhaan Ilahi. Berbakti ketika berkesempatan. Nikmati sahaja hidup secara A, B, C, D…

Terima kasih yang tidak terhingga kepada pihak penganjur dan urusetia. Insya-Allah aku akan hadir lagi pada sesi yang berikutnya. Terus-terang cakap, rugi besarlah kepada yang berkesempatan tetapi sengaja tidak mahu hadir.