Wednesday, April 25, 2012

PENTINGNYA IMPIAN DALAM KEHIDUPAN SEORANG PLHIV


Ramai sahabat yang bertanya, kenapa entry blog aku agak perlahan sekarang? Ada yang bertanya melalui telefon, emel dan SMS. Pening juga aku nak menjawabnya. Apa-apa pun, terima kasih atas segala keprihatinan dan sokongan.

Sebenarnya, susah aku nak jelaskan. Selain faktor kesibukan dan kesihatan diri, sebenarnya rumah buruk kami sentiasa didatangi tetamu, terutamanya ahli komuniti yang perlukan berbagai-bagai bentuk sokongan. Tak henti-henti. Ada yang datang sehari, dua hari, 3 hari, dan lebih lagi. Bahkan mereka datang dari seluruh pelosok Semenanjung.

Baru sahaja pulang si A, selang sehari datang pula si B. Apabila si B pula pulang, tahu-tahu si D pun nak datang. 

Alhamdulillah siapa sahaja tetamu, kami sekeluarga cuba raikan mengikut kemampuan dan ala kadar yang ada seboleh mungkin. Kalau kebetulan masa tu cuma bajet telur goreng dan ulam timun cecah sambal, nasib dan rezeki masing-masinglah. Hehehe…

Dalam begitu, aku yakin sangat-sangat keberkatan tak putus-putus datang bersama mereka. Aku juga hargai isteri-isteri dan anak-anakku kerana sangat memahami dan gembira dengan kehadiran para tetamu. Aku faham kesibukan mereka juga berganda apabila tetamu bertandang, tetapi semuanya kami anggap sebagai ahli keluarga besar yang sangat-sangat disayangi.

Tak kisahlah yang datang tu gay, transgender, bekas IDU, anak dara, duda, bujang, berkeluarga, atau apa sahaja. Kehadiran sangat dialu-alukan. Penat memanglah penat, tetapi ganjaran dan balasan yang Allah janjikan tak terbanding dengan kepenatan tersebut.

Jadi, dengan sedikit penjelasan tersebut aku harap pembaca boleh bayangkan kesukaran aku berblog seaktif dulu. Mohon maaf sangat-sangat terutama yang menghantar emel bertanyakan berbagai-bagai soalan dan berkongsi rasa. Harap bersabar. Aku perlukan sedikit oksigen. Bukan sesekali apabila tidak aktif bermaksud mengabaikan.

Ok, abaikan cerita tu. Kali ini, aku sebenarnya nak kongsi tentang betapa pentingnya impian dan cita-cita kepada seseorang pesakit kronik, khususnya PLHIV.

Sekalipun sihat, kita disarankan punya impian atau target peribadi. Apatah lagi apabila kita diuji. Tanpa impian, manusia umpama mati sebelum masanya. Kita tidak ada focus terhadap hari esok. Akhirnya mulalah meratap, meratap, dan meratap. Seolah-olah kita sahajalah yang paling bermasalah.

Sebenarnya, jika kita selami sejarah kehidupan insan-insan hebat, mereka sebenarnya dianggap gila dengan impian mereka yang terlalu besar atau tinggi. Mereka diketawakan dan dicemuh apabila melangkaui imaginasi pemikiran manusia biasa. Thinking out of the box.

Jika kita teliti rahsia kekuatan pesakit-pesakit kronik yang lain, mereka biasanya meletakkan impian jauh melebihi kemampuan fizikal mereka yang sedang berdepan dengan ujian Allah. Perlu aku berikan contoh ke? Kau orang google lah sendiri…

Impian pula biasanya terbahagi kepada dua iaitu impian peribadi dan impian untuk komuniti.

Impian peribadi.

Sebagai PLHIV, maaf cakaplah, eloklah kau orang jangan bertangguh bertaubat. Mari tunaikan segala perintah dan meninggalkan laranganNya. Bukan aku anggap kau oang berdosa dan ahli neraka, tetapi memang itulah yang sewajarnya.

Apabila kita rasa berdosa dan hina di sisi Allah, kita berusaha memperbaiki diri. Apabila rohani kita kuat, maka kuatlah minda dan fizikal. Doa juga satu bentuk terapi. Ala bro… perkara simple je yang aku share ni. Hehehe…

Kalau ada kemampuan tu, selesaikanlah hutang-piutang, pergi umrah dan haji. Selain itu, terpulanglah kepada kehendak masing-masing. Ada yang berani ambil risiko further study, berhijrah, mengelilingi dunia, belayar, tour satu Malaysia, mendaki, atau apa-apa sahajalah asalkan masuk akal. Pelik sikit tak apa, asalkan logic. Kalau sama sahaja, mana ada rare nya, betul tak?

Paling sengkek pun impian nak belajar Qur’an sampai khatam, tutup aurat, dan belajar berpuasa pun bagus bro… aku sokong!

Seterusnya impian untuk komuniti.

Bila kita bincang pasal komuniti, bemakna kita dah melepasi sebahagian daripada impian yang pertama iaitu impian peribadi. Ianya umpama tuntutan fardhu ain dan fardhu kifayah.

Kalau bukan komuniti yang membantu komuniti, jangan harap orang lain nak bantu. Setakat hidup nak melepaskan diri sendiri, pergi main jauh-jauh dalam hutan. Ngeee... Dengan membantu, ianya membentuk jiwa kita menjadi lebih bersyukur dan redha.

Membantu juga ada berbagai-bagai cara; bersedeqah wang ringgit atau tenaga kepada yang memerlukan, terutama ahli komuniti. Berblog juga membantu komuniti. Ziarah sahabat-sahabat, anak yatim PLHIV yang kurang upaya dan lebih menderita juga adalah salah satu bentuk usaha membantu ahli-ahli komuniti.

Berkongsi sokongan, membantu komuniti. Membina Shelter Home, menyampaikan info secara tepat tentang cara mencegah HIV juga membantu masyarakat dan komuniti.

Ala… banyaklah. Mungkin kedengaran dan kelihatan sangat biasa, tetapi besar maknanya sebagai bekalan di akhirat kelak.

So, teruskan bermimpi. Tidak salah punya impian asalkan ada usaha untuk mencapainya. Jangan sesekali berputus asa dengan sedikit sebanyak cabaran dan kekangan.

Hidup ni mudah sahaja sebenarnya. Kalau tak diuji, kita tak nampak arah dan tujuan. Setiap manusia punya nyawa yang tersendiri. Ada berbagai-bagai jalan ke syurga. Tak payahlah kau orang panic sangat. Apa nak hairan dengan HIV? Belajarlah untuk bersyukur dan bersabar dengan sebenar-benarnya.

Bermasalah sangat ke diuji dengan HIV? Apa masalahnya dan orang lain tak ada HIV tu tak ada masalah ke? Yup, aku PLHIV, tetapi aku enjoy je… Jumpa lagi.