Sunday, April 29, 2012

HIV: PENTINGNYA BERKONGSI RASA BERSAMA SAHABAT-SAHABAT KOMUNITI



Seperti selalu, hujung minggu ini adalah hujung minggu yang padat. Sahabat-sahabat komuniti sentiasa bertandang ke rumah buruk kami dengan keperluan masing-masing. Ada sahabat PLHIV dan ada yang non-PLHIV.

Ada yang sekadar ziarah, ada yang mahu berkongsi masalah, sekadar melepak, berehat, dan sebagainya. Cuma yang istimewanya kali ini, 2 orang anak dara kami pulang bercuti.

Tentu pembaca setia blog ini kenal mereka sekalipun mereka bukan anak secara biologi. Siapa lagi kalau bukan AO dan edgnote. Sayangnya kali ini tidak disertai As atas kekangan tertentu.

Memandangkan aku bukanlah biasa sangat ‘beranak’ dara, aku kadang-kadang blur nak melayan mereka. Maklumlah aku dah serasi melayan anak-anak lelaki dengan caraku yang brutal.

Ya, aku agak kaku melayan anak-anak daraku, walaupun terasa sangat meriah dengan kepulangan mereka. Kalau sekadar berbual di telefon atau SMS tu, aku tak kisah sangat. Nasib baiklah mak dan ummie mereka tahu menanganinya. Layan sahajalah apa-apa yang patut dan harap mereka gembira bersama keluarga.

Selasa nanti, Survivor dijangka sampai sehingga Sabtu. Along pula dijangka singgah sama seketika. Puan Ani (bukan nama sebenar) dan anak-anak pula mungkin akan sampai bila-bila masa.

Aku bercadang membawa Puan Ani berjumpa dengan Dr. Iskandar Firzada pada hari Jumaat (4 Mei 2012) nanti untuk mendapatkan 2nd opinion di KK Jaya Gading, Kuantan.

Siapa Puan Ani?

P&C. Sebagai pengajaran bersama cukuplah kalau aku katakan Puan Ani adalah seorang ibu tunggal yang tinggal hampir 8 jam perjalanan dari Temerloh.

Puan Ani asalnya adalah ‘penghuni dan pelanggan tetap’ hospital disebabkan oleh pelbagai penyakit kronik dan bermacam-macam ujian hidup yang berat.

Beliau juga kerap menjalani pemindahan darah terutama kerana masalah anemia. Beliau pernah menjalani ujian HIV lebih kurang 2 tahun yang lepas dan didiagnos negatif.

Baru-baru ini, sekali lagi ujian HIV telah dijalankan dan Puan Ani didiagnos positif. Punca? Wallahu a’lam.

Harus diingat, bahawa Puan Ani tidak mengamalkan seks bebas dan telah berpisah dengan bekas suami lebih kurang 4 tahun yang lepas.

Perjalanan Yang Melelahkan

Sebenarnya apabila aku memikirkan sahabat-sahabat komuniti yang singgah ke rumah kami, perasaanku bercampur baur.

Mereka kadangkala meredah perjalanan yang sangat jauh dan sukar. Turun naik bas perkara biasa. Datang dengan kereta yang selesa dan mewah tu sekali-sekala.

Aku sangat simpati apabila ada di kalangan PLHIV wanita yang sanggup drive beratus-ratus kilometer, selama berjam-jam dan tidur di mana-mana masjid atau surau bersama anak-anak semata-mata untuk berkongsi rasa.

Selain keadaan kesihatan yang tidak menentu, sesetengahnya ada yang sanggup mengambil risiko memandu kenderaan yang sekadar seadanya.

Aku sering terfikir, apalah sangat yang mampu aku berikan kecuali menerima mereka sekadar seadanya sebagai sebuah keluarga dan berkongsi rasa.

Berkongsi Rasa Dengan Insan Senasib

Kebanyakan sahabat komuniti yang datang sebenarnya bukanlah kerana mereka tidak tahu apa itu HIV, cara jangkitan, rawatan, keperluan bersikap positif, dan sebagainya.

Sebahagian daripada mereka lebih advanced daripada segi pengetahuan dan pengalaman. Cuma persamaannya ialah mereka mahu berkongsi rasa dengan sahabat senasib. Itu sahaja.

Mereka mahu diterima sekadar seadanya tanpa sebarang judgmental, paranoia dan diskriminasi. Mereka mahu mendengar sendiri kata-kata positif daripada sahabat mereka dan bukannya sekadar bermonolog mencari kekuatan diri.

Pesakit Kronik Manja

Memang fitrahnya pesakit-pesakit kronik bersikap ‘manja’. Manja yang aku maksudkan ialah ialah mereka mahu mengadu macam-macam termasuklah perkara yang sangat remeh-temeh, tetapi memang itulah hakikat terapi.

Aku cadangkan sahabat-sahabat Positive Warriors dan mereka yang terlibat membantu komuniti perlu faham hakikat tersebut. Komuniti memang mahu dimanja-manjakan.

Bermanja-manja bukan bermaksud lemah, tetapi mahu meluahkan apa yang mereka rasa. Hakikatnya mereka sendiri mampu menghadapinya sama ada dengan kita atau tanpa kita.

Bezanya, apabila merasakan ada seseorang yang mereka percayai dan selesa untuk berkongsi, mereka akan bermanja. Suka atau tidak, kita perlu berjiwa besar dan bersikap empati.

Fahamilah mood mereka memang sentiasa yoyo, sensitive dan always up and down.

Bersabarlah sedikit dan jika terlalu sibuk dan kepenatan, jangan marah-marah mereka. Abaikan sahaja sementara waktu dan bantu semula apabila telah bersedia.

Kalau tak mampu bantu dan mereka asyik merengek juga, abaikan sahaja. Pandai-pandailah mereka nak hidup kerana hakikatnya kita takkan mampu mengubah apa-apa kecuali Allah dan diri mereka sendiri.

Secara peribadi, aku selalu ingatkan sahabat-sahabat komuniti bahawa mereka yang memilih sama ada mahu bersikap positif dan negatif. Aku sekadar berikan pandangan. Pandangan aku belum tentu betul dan sesuai. Itu adalah atas pilihan mereka sendiri.

Aku bukanlah sesiapa untuk dijadikan sumber inspirasi. Kalau perlukan sumber inspirasi, elok belek sahaja kitab-kitab sirah Rasulullah. Baru puas hati.

Kepada yang perlukan sokongan, selagi anda menunjukkan sikap mahu berkongsi, mahu berubah dan perlukan bantuan, insya-Allah, bantuan Allah telah sediakan dalam pelbagai bentuk dan cara.

Bila begini, tiada lagi perbezaan taraf kewangan, darjat, umur, pangkat, dan sebagainya. Kita sama sahaja. Tak usah berlagaklah. Masing-masing ada HIV!

Kalau mahu mengadu dan berkongsi tu agak-agaklah. Jangan sampai pukul 2, 3 pagi pun masih nak telefon semata-mata nak tahu simptom HIV tetapi apabila dicadangkan supaya menjalani ujian HIV, kau orang tak mahu. Bila ditegur terus melenting dan marah-marah.

Bila berdepan dengan golongan begini, awal-awal dulu aku pun marah juga. Alhamdulillah sekarang ni aku dah kebal. Aku tak larat nak fikir. Suka hatilah kau orang nak merapu, meraban, atau meroyan. Hahaha…

Ok, jumpa lagi…