Monday, April 23, 2012

BERSYUKURLAH JIKA HANYA SEKADAR HIV!




Malam ni saya kebosanan, sambil memikirkan beberapa perkara yang mungkin tak sempat untuk saya buat disebabkan kekangan masa yang ada. Tiba-tiba muncul 5 perkara sebelum 5 perkara. Insaf! Namun masa yang telah meninggalkan kita tidak akan dapat balik andai ada segunung intan permata sekalipun.

Beberapa hari ini, abah saya (AHP) selalu bercerita tentang tahap kesihatannya yang sangat dipengaruhi oleh makanan, kesibukan, dan juga faktor umur.

Abah ada diabetis sebelum didiagnosis sebagai PLHIV lagi. Kandungan gula yang tinggi dan tidak terkawal dalam tubuh menjadikan seseorang itu mudah lesu dan letih. Begitu juga apabila kandungan gula sangat rendah, juga boleh menyebabkan letih, lesu, kecelaruan fikiran, dan sebagainya.

Menjadi PLHIV dan pesakit diabetis sekaligus bukanlah sesuatu yang mudah bagi abah. Tambahan lagi ada pelbagai komitmen, sama ada dengan komuniti, keluarga, dan juga kerjaya.

Kandungan gula yang tinggi boleh terjadi disebabkan rembesan insulin yang terlalu sedikit ataupun kadar penyerapan gula dalam darah oleh sel tidak begitu efektif. Untuk mengekalkan paras gula yang normal, abah perlu mengawal diet dan senaman yang konsisten.

Namun, akibat diet dan senaman yang ketat, abah selalunya akan terdedah pula kepada gejala hypoglycemia yang mana paras gula boleh turun ke paras yang sangat rendah.

Untuk pengetahuan semua, penambahan ubat IPT juga menyebabkan abah mengalami kesakitan saraf yang teruk pada peringkat awal rawatan. Syukurlah keadaan tersebut dapat diatasi kerana abah konsisten dengan senaman dan bersikap positif.

Saya kongsikan pengalaman abah bukanlah untuk meraih simpati, cuma saya ingin jelaskan keadaan sebenar kepada kawan-kawan seperjuangan. Termasuk kawan-kawan yang baru datang dan juga kawan-kawan yang tak pernah kisah pun apa yang jadi di blog ini.

Inilah keadaan sebenar abah ataupun PLHIV yang mengalami keadaan seperti abah. Jadi, jika ada masanya abah agak lambat memberi respon terhadap e-mel para pembaca, tidak dapat membalas SMS dengan segera, atau sesekali gagal menjawab panggilan, sila fahami bahawa abah mungkin sedang berdepan dengan masalah tersendiri.

Sebenarnya, saya ingin mengajak PLHIV dan rakan-rakan komuniti di sini berfikir bertapa bertuahnya menjadi PLHIV. What? Bertuah?

"AO kau tak rasa apa yang kita orang rasa. Kau tak tahu, so jangan cakap banyak. Duduk diam-diam!" 

Sabar-sabar…

Tentulah orang yang sihat macam saya lebih bertuah daripada PLHIV yang lain, tetapi bertuah saya boleh nampak dengan mata kasar. Bertuah para PLHIV tak boleh nampak dengan mata kasar. Ianya harus dinilai dengan hati yang bersih, minda yang optimis, dan jiwa yang lapang!

Bagaimana? Tentulah saya bukanlah orang yang paling layak untuk berkata-kata kerana saya tidak diuji seperti para PLHIV yang lain. Bahkan untuk merasa atau berlakon untuk merasai sebagai PLHIV pun saya tidak akan mampu.

Cuma di sini, saya melihat ini adalah satu peluang saya mengajak rakan-rakan komuniti dan para PLHIV yang lain untuk melihat HIV dari persepsi yang positif dan mejadikan kehidupan yang lebih baik.

Ujian sebagai PLHIV dengan diabetes telah pun saya kongsikan. Sekarang, abah banyak berkongsi tentang penyakit epilepsi, penyakit fibromyalgia, penyakit demensia, dan pelbagai lagi. Jadi, kita boleh menilainya dengan HIV berbanding penyakit-penyakit ini.

Selain itu, saya juga mahu kita semua melihat kehidupan para pesakit lain seperti pesakit mental, pesakit kanser, pesakit buah pinggang yang mana perlu kos rawatan yang sangat tinggi dan menghalang aktiviti kehidupan setiap hari.

Pesakit buah pinggang memerlukan dialisis 3 kali seminggu. Habis tangan lebam dan bengkak akibat tusukan jarum serta menghabiskan banyak masa di pusat dialysis dan di atas kerusi sementara di"cuci" darahnya.

Pesakit kanser terpaksa menghabiskan masa di atas katil dengan rawatan kimoterapi yang membunuh bukan sahaja sel kanser, tetapi sel-sel yang sihat. Akibatnya susut berat badan, rambut gugur, kulit yang seakan terbakar, dan pelbagai lagi.

Selain itu, kita bandingkan juga HIV dengan hepatitis yang bahayanya 100 kali berbanding HIV.

Sakit sifilis contohnya boleh menyebabkan kulit anda mengalami keradangan yang sangat teruk. Bagi pesakit gonorrhea, bayi akan menjadi buta ketika proses kelahiran atau pun keguguran berbanding bayi PLHIV yang boleh selamat dan bebas daripada HIV sekiranya si ibu mendapatkan rawatan.

Pesakit yang dijangkiti virus HPV contohnya boleh menyebakan berlakunya kanser. Chlamydia  pula boleh menyebabkan punca bayi luar rahim.

Ini adalah beberapa contoh perbandingan penyakit HIV dan juga penyakit-penyakit lain.

Selain itu, rawatan PLHIV juga adalah masih percuma di negara ini berbanding rawatan penyakit lain. Anda mampu hidup normal, sihat, punya zuriat, keluarga, sama seperti insan lain.

HIV tidak akan menyebabkan anda mati dalam masa 3 bulan selepas didiagnosis (peringkat sebelum AIDS atau peringkat awal) seperti dalam drama-drama Melayu dan juga filem-filem tempatan. (Mati sebab HIV, bukan sebab kemalangan atau penyakit lain).

Selain itu, PLHIV yang didiagnosis awal lebih bertuah daripada PLHIV yang didiagnosis setelah mengalami beberapa penyakit sehingga kadang-kadang doktor pun buntu.

Sampailah pada satu peringkat kebuntuan, barulah doktor terfikir nak melakukan ujian HIV dan didapati postif. Lebih malang apabila mendapat HIV daripada kelalaian orang lain berbanding melakukan aktiviti berisiko. Ini kerana kadangkala menyebabkan mereka dihantui pertanyaan mengapa, kenapa, dan apa yang terjadi...

Cuba renung-renungkan.

Wallahualam.


Composed and published by AO.